Showing posts with label ulama'. Show all posts
Showing posts with label ulama'. Show all posts

Saturday, January 26, 2013

Allah sayangkan Tok Ayah Musa..


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

 اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ

Assalamualaikum semua ~

Mari sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah kepada Al-Marhum Tuan Guru Hj Musa Tumpat, seorang ulama' sufi yang baru saja meninggal pada 26 Januari 2013, jam 3 pagi.

Aku baru saja mengenalinya tidak lama sebelum pemergiannya. Walaupun hanya melihat dan mendengar kata-kata beliau dari alam maya, ia sangat menyentuh jiwa terus ke dalam. 

Raut wajahnya yang menyenangkan serta tutur katanya yang tidak kering dengan menyebut nama Allah SWT dan berselawat kepada Rasulullah SAW.

Allah.. Aku sangat berharap dapat bertemu dengannya suatu hari nanti.

Aku mula sedar betapa pentingnya memuliakan para ulama', menghormati mereka dan mendekatkan diri kepada para ulama', kerana mereka adalah pewaris nabi yang meneruskan usaha menyampaikan risalah agama kepada masyarakat, sumber rujukan kepada sebarang permasalahan dan juga tempat bertanya yang sangat dituntut.



Tidak keterlaluan jika aku merasa sedikit sedih atas Tok Ayah Musa Tumpat. Aku baru saja mengenalinya dengan ilmu dan pesanan yang baru ku perolehi darinya dari video ini  dan sempat aku kongsikan dengan murid-murid dan rakan-rakan guru dalam satu sesi ceramah Maulid Ar-Rasul di sekolahku. 

Bukan sekali aku menonton video itu.  
Pertama kalinya aku turut sebak melihatnya yang dalam kondisi tidak begitu sihat, namun digagahi juga untuk menyampaikan ilmu. Dalam sebak itu, rasa untuk mendekati ulama' seperti ini semakin tinggi. 

"ada peluang atau tidak aku berjumpa dengan Tok Ayah Musa ni ya..??"

Sabtu petang, ketika aku buka facebook, aku terlihat gambar ini.
Allah.. siapa pula yang meninggal ni?
Aku buka gambar itu.
Kapsyen yang tertulis menyebut nama Tuan Guru Haji Musa Tumpat.

Biar betul ?

Aku scroll lagi ke bawah.
Allah... sudah banyak page yang mengongsikan gambar ini dan video tadi.

Aku menangis saat itu juga, kerana tidak berkesempatan bertemu dengan Tok Ayah Musa.
Dalam esak tangis itu, aku gagahi untuk menyedekahkan Al-Fatihah, doa dan bacaan yassin untuknya.

Mari sama-sama kita baca entri dalam blog ini, pengalaman mereka yang sudah menziarahi Tok Ayah Musa. 

Dengan pemergian Tok Ayah Musa, aku lebih menghargai dan bertambah rasa untuk mendampingi dan mengenali para ulama' yang lain. Jika berpeluang, hadirilah majlis-majlis yang ada padanya orang yang mengajarkan ilmu, lebih-lebih lagi yang disampaikan oleh ulama'. 

Sesungguhnya, sangat tinggi peranan ulama' pada zaman ini dalam membentuk ummat yang dinaungi oleh umara'. Umara' yang mentadbir dengan baik adalah umara' yang dekat dengan ulama' dan seterusnya menjadikan umat di bawah pimpinannya hidup berlandaskan syariat dan mendirikan sebuah baldatun toyyiban, insyaAllah ~

Al-Fatihah ~

Tuesday, November 6, 2012

Mereka Bagai Isi & Kuku

Bismillah..
Allahumma solli 'ala Muhammad.

Assalamualaikum rakan pembaca semua,



Para guru dan ulama', mohon tunjuk ajar diri yang jahil ini,
Rakan-rakan, aku perlukan sokongan dan dokongan kalian,
Para sahabat-sahabat hawariyyun, teman-teman dai'e,
Kombinasi qiadah perjuangan dan seluruh jundi yang menjadi tonggak dan nadi perjuangan habibina Rasulullah, Muhammad Sallallahu 'alaihi wasallam..

InsyaAllah, Alhamdulillah, semoga tulisanku pada hari ini sama-sama menjadi peringatan dan renungan kepada diri saya khususnya yang pertama sekali membaca dan menulisnya sendiri, sungguh peringatan ini sememangnya ku tujukan  khas buat diri yang sering pelupa dan alpa, seterusnya buat teman-teman, semoga kalian mengingatkan aku semula, kerana sifatku sebagai manusia sering lalai dan leka, kerana itu aku abadikan peringatan ini di sini, dengan harapan aku dapat memberi peringatan, dan teman-teman semua dapat mengingatkan aku.

Teman,
Jangankan lelah bila melangkah, insyaAllah segala yang kita buat kerana Allah adalah ibadah.

Teman,
Jangankan bosan bila seruanmu tiada balasan dan sambutan, kerana itu saja takat yang kita kerjakan, soal hidayah dan petunjuk itu Allah azza wajalla empunya urusan, buatlah yang terbaik olehmu teman.

Teman,
Jangankan dihitung segala apa yang kau keluarkan, kerana itulah tanda taqwa dan iman, orang yang memiliki kepunyaan diinfaqkan di atas jalan yang diredhoi Tuhan, insyaAllah balasannya kelak tidak sembarangan.

Teman,
Jangankan merasa payah dan mengah jika hidupnya tiada yang indah, kerana ganjaranmu kelak pastinya syurga yang nian indah hasil dari jerih lelah engkau bersusah payah.

Teman,
Jangankan hatimu dibiarkan bertitik noda hitam nan bertambah dan membiak, anggap saja bila mana setiap apa yang kita kerjakan bertemu kegagalan, antara sebabnya mungkin kerana dari diri kita seorang yang berhati kotor dan tiada takutnya pada Tuhan.

Teman,
Jangnkan pernah berifikir untuk berhenti melangkah di atas jalan ini, bila mana engkau temukan kebuntuan dan tribulasi sepanjang berjalan, kerana ia adalah sebahagian dari pelengkap kepada juzuk dan rukun sepanjang kaki engkau langkahkan di atas landasan perjuangan, kerana tanpanya maka gugurlah salah satu pelengkap dalam perjuangan, apalah makna perjuangan ini tanpa ujian dari Tuhan, kerana itulah perlunya jihad dan pengorbanan, kepentingan jiwa dan badan diketepikan, segala kepunyaan didahulukan, kerana tiadalah hasil diperolehi tanpa berlelah-lelahan.

Teman, begitulah segalanya yang kau rasa tiada kesenangan dan kemanisan di atas dunia yang hanya sebagai medan ujian dan kehidupan sampingan, padahal Allah sedia memberikan balasan yang tiada bandingan di masa hadapan yang waktunya kekal tiada batasan.

   
Siiru 'ala barokatillah..






Wednesday, October 10, 2012

Lirik Qasidah - Ya Hanana

Bismillah..

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّد


InsyaAllah,
Habib Syech Abdul Qadir Assegaf akan datang ke Malaysia dari 20 - 22 Oktober 2012.
Berikut merupakan jadualnya seperti yang diberitahu :

20 Oktober 2012 | Masjid Asy-Syakirin KLCC, Kuala Lumpur
21 Oktober 2012 | Dataran MBMB, Melaka
22 Oktober 2012 | Masjid UPSI, Tg. Malim, Perak
Semua persembahan dari jam 0830pm-1100pm.

____________________________________________

Di sini aku kongsikan untuk kamu semua lirik Ya hanana .

Klik VIDEO ini untuk menonton & mendengar.

يَا هَنَانَا

ظَهَرَ الدِّينُ المُؤَيَّد   بِظُهُورِالنَّبِى اَحمَد
dzoharoddiinul muayyad    bidzhuhuurin nabi ahmad
يَا هَنَانَــــــــا بِمُحَمَّد  ذَلِكَ الفَضلُ مِنَ الله
ya hana na nabi muhammad   dzalikal fadhlu minallah
يَا هَنَانَا
ya hana na
خُصَّ بِالسَّبعِ المَثَانِى   وَحَوى لُطفَ المَعَأنِى
khusho bissab’il matsani   wa hawa luthfal ma’ani
مَالَهُ فِى الخَلقِ ثَانِى   وَعَلَيهِ اَنزَلَ الله
ma lahu fil kholqi tsani   wa a’laihi anzalallah
يَا هَنَانَا
ya hana na
مِن مَكَّةٍ لَمَّا ظَهَر    لِاَجلِهِ انشَقَ القَمَر
min makkatillamma dzohar    liajlihin syaqqal qomar
وَافتخَرَت الُ مُضَر   بِهِ عَلى كُلِّ الاَنَام
waf takhorot aalu mudhor     bihi ala kullil anam
يَاهَانَانَأ
ya hana na
اَطيَبُ النَّاسِ خَلقًا   وَاَجَلُّ النَّاسِ خُلُقُا
athyabunnasi kholqon   wa ajallunnasi khuluqon
ذِكرُهُ غَربًا وَشَرقًا   سَائِرٌ وَالحَمدُ لِله
dzikruhu ghorbaw wa syarqon    saa iruw walhamdu lillah
يَاهَنَانَا
ya hana na
صَلُّوا عَلى خَيرِ الاَنَام   المُصطَفَى بَدرِالتَّمَام
shollu a’la khoiril anami   al musthofa badrittamami
صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا   يَشفَع لَنَأ يَومَ الزِّحَام
shollu a’laihi wasallimu  yasyfa’ lana yaumazzihami
يَا هَنَانَا
ya hana na

Maksud lirik.




” Betapa Beruntungnya Kami “

Telah muncul agama yang didukung,
Telah muncul agama yang didukung dengan munculnya sang Nabi Ahmad,
Betapa beruntungnya kami dengan Muhammad (Saw),
itulah anugerah dari Allah.

Betapa beruntungnya kami,

Diistimewakan dengan as-Sab’ul Matsany (al-Fatihah),
penghimpun rahasia setiap makna, tak ada yang senilai dengannya,
dan Allah mewahyukannya kepadanya (Muhammad SAW),

Betapa beruntungnya kami,

Ketika di Makkah bulan tampak terbelah deminya (Muhammad SAW),
lalu kabilah Mudhar (kabilah Muhammad SAW) menjdai dibanggakan di atas seluruh manusia.

Betapa beruntungnya kami,

Beliau adalah manusia yang terbaik ciptaanNya, dan teragung akhlaknya,
Semua mengelu-elukannya di barat dan di timur.
Segala puji bagi Allah,

Betapa beruntungnya kami,

Bershalawatlah kepada sebaik-baik manusia, yang terpilih,

Sang bulan purnama,
Bershalawatlah dan sampaikan salam kepadanya,
kelak ia akan memberi syafaat kita di hari kebangkitan.




اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّد



Sunday, October 7, 2012

Rindukan saat ini !

Bismillah..alhamdulillah..

اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ


Hari ini, pemikiran rakyat Malaysia cuba diubah tetapan menjadi sesuatu pemikiran yang bercorak dengan isme-isme yang pelbagai hasil ciptaan manusia sendiri yang nampaknya kurang mendapat sambutan, kerana manusia pada hari ini tidak semuanya suka kepada isme-isme yang sempit seperti itu, kerana masyarakat Malaysia pada hari ini sudah ada ketagihan dan kecanduan kepada satu perkara yang baru !

Seperti kecanduan sesuatu yang baru, corak pemikiran rakyat Malaysia hari ini semakin beralih arah sedikit demi sedikit, semakin kecanduan dengan majlis ilmu dan mendalami ilmu agama.



Sedikit demi sedikit kesedaran akan keperluan menghadapi hidup yang berpanduankan agama ini hadir dalam segenap hati yang merindukan akan siraman ilmu dari para alim untuk membasahi kekeringan dan kekosongan rohani yang gersang sebagai persediaan dan bekalan yang akan dibawa ke akhirat kelak.


Artis bukan lagi kecanduan biasa bagi masyarakat di Malaysia pada hari, tetapi para ulama' dan umara' adalah tarikan utama dan menjadi kerinduan kepada para pencinta ilmu dan yang dahagakan petunjuk menuju ke arah kebenaran dan membawa kita keluar dari kepompong kesempitan fahaman ilmu yang pada hakikatnya sangat luas jika dipelajari. Perkara seperti ini sangat elok kiranya jika dijadikan sebagai budaya yang rutin kepada masyarakat, kerana masyarakat yang cintakan ilmu adalah masyarakat yang insyaAllah tidak berada di dalam jahil dan kebuntuan sekiranya menghadapi kesulitan. Segala permasalahan dikembalikan kepada syariat, bukanlah diselesaikan atas kekasaran dan sebagainya cara yang tidak sepatutnya.


Budaya ilmu ini juga kian disemarakkan dengan seminar-seminar berskala besar dalam suasana yang komersial dan universal. Para ahli seminar tidak kisah untuk bayaran yang tinggi, kerana ilmu tidak berbaloi untuk diberi harga dengan nilai wang ringgit, kerana memiliki ilmu itu lebih utama berbanding memiliki harta yang banyak. Saban hari seminar-seminar dianjurkan baik seminar yang percuma atau berbayar, tentu saja dibanjiri dengan jutaan ummat yang sanggup datang dari segenap pelusuk tempat.


Dikira sesiapa yang mati ketika menuntut ilmu, syahid adalah miliknya !
Wow!
Bukan senang untuk dapat syahid !
Bagaimana pula jika mati di tempat berhimpunnya jutaan manusia, tapi menikmati sesuatu yang melupakan kita kepada syariat dan memuaskan nafsu dan mengenyangkan mata, hati dan sebagainya dengan perkara yang menggelapkan hati, merosakkan pandangan dengan perkara yang sia-sia ?


Na'uzubillahi minzalik..minta dijauhkan..
carilah majlis ilmu, insyaAllah tidak menyesal untuk dihadiri !

jeng..jeng..jengg...
*gambar hiasan


Tuesday, September 4, 2012

Jom Cinta Rasul - Bersama Al-Habib

Bismillah..
Assalamualaikum semua..




Salah seorang individu yang menyemarakkan arena qasidah dan juga menghidupkan sunnah Rasulullah ialah Habib Syeikh bin Abdul Qadir As- Sagaf.  Beliau adalah salah satu putera dari 16 bersaudara putera-puteri Al-Habib Abdul Qadir bin Abdurrahman Assegaf, iaitu seorang tokoh alim dan juga merupakan imam Masjid Jami' Assegaf di Pasar Kliwon Solo.

Beliau dilahirkan tanggal 20 September 1961. Beliau mendapat pendidikan awal daripada guru besarnya yang juga ayahnya sendiri dalam mendalami ilmu agama dan juga peribadi dan akhlak mulia yang luhur. Selepas itu, pendidikannya disambung pula oleh bapa saudaranya, iaitu al-Habib Ahmad bin Abdurrahman Assegaf yang datang dari Hadramaut, Yaman. Selain itu, beliau juga mendapat sokonga, dokongan dan tunjuk ajar daripada Al-Imam, Al-Arif billah, Al-Habib Muhammad Anis bin Alwiy Al-Habsyi, iaitu Imam Masjid Riyadh, Solo, Indonesia yang juga merupakan cucu al-Habib Ali bin Muhammad Al-Habsyi, iaitu pengarang Kitab Maulid masyhur Simtut Dhuror.

Berkat segala bimbingan, nasihat, serta kesabarannya, beliau menghidupkan hari-hari biasa dalam kehidupannya untuk sentiasa melakukan syiar kecintaan kepada Rasul yang tanpa disedari kini telah mencecah puluhan ribu jemaah yang setia bersama 'Ahbabul Musthofa' yang diketuai oleh beliau sendiri.

Kini, beliau semakin dikenali di seluruh nusantara dan dunia umumnya melalui qasidah dan madah pujian ke atas junjungan besar kita Rasulullah SAW.


___________________________________________________



Menelusuri jalan hidup yang terasa kosong dan bowink, aku mencari untuk sesuatu benda baru yang menarik.

Tidak membosankan.

Menenangkan.

Bermakna.

Dan berkembangbiak.

Aku diajak oleh seorang rakan ke salah satu program imarah masjid di Kampung Pandan, kalau tidak silap Masjid As-Syafie lah kot.

Setiba di masjid itu, kedengaran suara Ustaz Syed Norhisyam sedang berceramah.

Aku meluru masuk ke celahan lautan manusia yang sedang layan mendengar ceramah.

ceramah tentang Rasulullah.

Hmm..

Benda ni da biasa dengar.

Tapi it's ok, selagi bermanfaat, dan recall semula apa yang aku sendiri pun sudah lupa.

Lepas tu aku terpana kejap.

Al-Mawlid ??

Eh. Kejap.

Macam pernah nampak mamat-mamat nih.

Oh ya!

Aku pernah post dalam fesbuk aku, dorang ni dulu Ruffedge & V.E yang beralih haluan ke hiburan rohani.

Tabarakallah !

Tapi lagu dorang aku tidak lah minat sangat.

Bertepatan dengan tema program maulidur Rasul hari tu, aku dan hadirin yang lain terkejut.

Mungkin aku seorang saja yang terkejut.

"majlis kita sebentar lagi adalah satu majlis yang sangat penting, iaitu majlis maulid, yang mengagungkan Nabi Muhammad SAW dan ianya lebih penting daripada majlis raja-raja"

dengan tegas pengacara majlis pada ketika itu menegaskan dan memberi peringatan untuk para hadirin sungguh-sungguh memberikan komitmen pada majlis berkenaan.

Itulah majlis Maulid Akbar.

Malam itu aku terasa feel qasidah masuk ke dalam hati bila aku tengok translation dalam screen untuk setiap rangkap dan baris lirik alunan qasidah tu.


Jom Cinta Rasul !


Saturday, July 21, 2012

Mengenali Ibnu Battuta






أبو عبد الله محمد ابن عبد الله اللواتي الطنجي بن بطوطة


Nama sebenar ialah Abu Abdullah Muhammad Ibn Abdullah Al Lawati Al Tanji Ibn Battuta

Negeri-negeri di bahagian Timur memberikan gelaran Syamsuddin kepada beliau, manakala salah seorang daripada tokoh orientalis yang bernama Dozy pula memberi gelaran Pengembara yang jujur kepada beliau.

 Ibnu Battuta dilahirkan di Tangier, sebuah kota yang berhampiran dengan  selat Gibraltal, Maroco pada 25 Febuari 1304. Ibnu Battuta berasal dari sebuah keluarga yang ahli dalam hukum-hakam Islam. Beliau merupakan seorang yang berbangsa Berber, iaitu salah satu daripada suku kaum orang Afrika Utara di Lembah Nil, yang tersebar secara meluas di Atlantik ke Oasis Siwa di Mesir, dari Mediterranean ke Sungai Niger

Selain itu, Ibnu Battuta adalah seorang Muslim dari puak Sunni, iaitu golongan Muslim yang paling ramai di dunia atau lebih dikenali dengan nama “Ahli Sunnah wal Jamaah”. Di samping itu,  Ibnu Battuta juga adalah seorang cendikiawan dan ulama dalam Mazhab Maliki, iaitu mazhab fiqh yang tertua dalam Islam sunni. Mazhab Maliki diamalkan di Utara Afrika dan sebahagian Afika Barat. Mahzab ini mempunyai bilangan pengikut kedua teramai iaitu lebih kurang 25% daripada Muslim. Mazhab ini berbeza daripada tiga mazhab yang lain kerana terdapat tambahan kepada sumbernya. Selain menggunakan Al Quran, hadis, ijma' dan qiyas, Imam Maliki juga menggunakan amalan orang Islam Madinah pada zamannya itu sebagai sumber yang kelima. 

Mengikut Imam Malik, amalan orang Madinah dilihat sebagai sunnah hidup memandangkan Nabi Muhammad berhijrah, tinggal, dan wafat di Madinah, dan kebanyakan sahabat Nabi tinggal di Madinah. Sebagai seorang pemuda Muslim yang cintakan ilmu, lebih-lebih lagi mengenai Islam, beliau akan mempelajari “Sunni Maliki” di Afrika Utara pada ketika itu. Seawal usia enam tahun, kehidupan inteleknya diwarnai dengan pelajaran yang berlandaskan Al-Quran. Tangier bukanlah sebuah nama tempat yang sinonim atau terkenal dengan para ilmuannya, oleh itulah ramai anak-anak muda dari Tangier, salah satu daripadanya adalah Ibnu Battuta ini keluar ke Mekah bagi memperluaskan ilmu serta pengalaman beliau.

Pada bulan Jun 1325, ketika beliau berusia 21 tahun, beliau pergi ke Mekah untuk menunaikan haji.


Perjalanan dari Tangier ke Mekah.

Dalam pengembaraan beliau yang pertama, beliau telah menyusuri pantai utara Afrika melalui  Aljazair, Tunis, di mana tempat beliau tinggal selama dua bulan , kemudian meneruskan perjalanan ke  Tripoli serta ke  Alexandria sejauh 3.500 km  dari wilayah Tripoli.  Kemudiannya, Ibnu Battuta singgah di Cairo dan menetap di sana selama sebulan sebelum meneruskan perjalanan ke  Jerusalem. Selepas itu, beliau singgah di Damaskus dan seterusnya ke Madinah dan Makkah. Perjalanan pengembaraan Ibnu Battuta ini memakan masa selama 16 bulan.


Apabila selesai menunaikan ibadah haji di kota Mekah, Ibnu Battuta menetap sementara di kota Mekah untuk menuntut ilmu sebelum meneruskan pelayarannya  ke wilayah  Iran.


Setahun selepas itu, Ibnu Battuta kembali semula ke kota Mekah untuk menunaikan ibadah haji untuk kali yang kedua. Beliau seterusnya tinggal di kota Mekah selama setahun.

Pada tahun 1328 pula, Ibnu Battuta meneruskan penegmbaraannya yang ketiga, iaitu ke pantai timur Afrika hingga ke kota Kilwa, sekarang Tanzania dan kembali lagi ke Mekah melalui  laut ke Teluk Persia dan kembali ke kota suci Mekah melalui jalan darat. Ibnu Battuta kemudiannya kembali semula ke Mekah untuk menunaikan ibadah haji yang ketiga kalinya.



Ibnu Battuta kemudiannya melanjutkan perjalanan ke wilayah Asia Tengah melalui Anatolia ke Turki Asia. Singgah di Konstantinopel (sekarang dikenali sebagai  Istanbul, Turki) sebelum berlayar menyebrangi Laut Hitam ke wilayah Asia Tengah. Perjalanan beliau dilanjutkansehingga  ke wilayah Afghanistan sekarang.

Dari wilayah Sungai Volga, Ibnu Battuta telah menembusi wilayah Afghanistan pada tahun 1334 melalui Kabul hingga ke Delhi, India. Di Delhi Ibnu Battuta bekerja di bidang pengadilan sebagai “qadi” atau lebih dikenali sebagai hakim. Delhi yang pada ketika itu adalah termasuk dalam senarai negeri muslim. Sebelum itu, beliau bekerja dengan SultanDelhi,  Muhammad bin Tughluq sebagai penterjamah bahasa Dengan gaji beliau  yang tinggi Ibnu Battuta hidup senang dan sejahtera selama beliau menetap di India.

Sultan Delhi mengutuskan Ibnu Battuta ke China pada tahun 1342 sebagai delegasi sultan. Dalam perjalanan tersebut, beliau serta ahli rombongannya telah diserang oleh sekumpulan orang Hindu, dirompak dan seterusnya dipisahkan. Namun begitu, Ibnu Battuta berjaya mengejar semula ahli rombongannya selama dua hari dan kemudiannya meneruskan perjalanan mereka ke Khambat. Dari sana, mereka terus belayar hingga ke Calicut.



Beliau  seterusnya memulakan perjalanan dari Kepulauan Maldiva selepas tinggal di sana dalam tempoh masa embern bulan ke Sri Lanka dan selanjutnya meneruskan pelayaran melalui Bangladesh, Myanmar, Kepulauan Andaman, Aceh, Selat Malaka, Singapura,dan menembusi Laut China Selatan, berlabuh dan seterusnya beliau meneruskan perjalanan ke Beijing melalui jalan darat.

Pada tahun 1346, Ibnu Battuta memulakan perjalanan pulangnya dari Beijing ke tempat kelahirannya di Tangier di Maroko. Selama empat tahunmenempuhi  perjalanan darat dan pelayaran laut, akhirnya Ibnu Battuta  berjaya dan selamat sampai  ke kota kelahirannya Tangier di Maroko. Beliau  keluar untuk mengembara ke luar negeri untuk menimba ilmu serta memperluaskan pengetahuan dan pandangan  pada usia beliau 21 tahun dan akhirnya Ibnu Battuta kembali semula ke tempat asal kelahirannya ketika beliau berusia 44 tahun.


Tidak  lama di Maroko, Ibnu Battuta kembali meneruskan pelayarannya untuk melanjutkan perjalanan menyebrangi Laut Tengah ke Andalusia  iaitu wilayah Sepanyol selatan, kemudiannya  menembusi  gurun Sahara hingga ke Mali, wilayah Afrika barat.

Pada tahun 1354, Ibnu Battuta kembali ke tanah kelahirannya Tangier dan  menetap di kota Fez. Di sana, Ibnu Battuta berkawan baik dengan sultan. Baginda sultan yang sangat kagum dengan perjalanan Ibnu Battuta  telah  meminta supaya Ibnu Battuta menuliskannya ke dalam sebuah buku, yang dikenal berjudul Rihla atau My Travel. Sebuah perjalanan yang mencabar  sepanjang 120.000 km telah ditempuh oleh Ibnu Battuta. Sekiranya bukunya berbentuk diari,  tentunya orang akan lebih mengenal Ibnu Battuta dibandingkan dengan Samuel Pepys atau Anne Frank.

Semestinya perjalanan serta pengembaraan yang dialami dan ditempuhi oleh Ibnu Battuta memberi kesan yang cukup mendalam kepada hidupnya serta memperluaskan lagi ilmu yang ada padanya.

SUMBANGAN IBNU BATTUTA

1      Sumber Rujukan Sejarah.
Ibnu Battutah dijadikan sebagai sumber rujukan sejarah serta rujukan dari aspek yang lain, contohnya tentang pelayaran, ilmu-ilmu keagamaan, budaya serta adat resam dan bermacam-macam lagi. Hal ini bertepatan dengan penulisan sebuah buku oleh beliau sendiri yang bertajuk  “Al-Rihlah” apabila seorang sultan sangat mengagumi pelayarannya sehingga meminta Ibnu Battuta membukukan segala catatan harian yang beliau tulis sepanjang perjalanan serta pemerhatian beliau di setiap tanah hentian di benua Afrika serta Asia yang dijejaki oleh Ibnu Battuta dalam sebuah buku. Dalam Al-Rihlah itu mengandungi pelbagai aspek yang telah dicatatkan oleh Ibnu Battuta seperti aspek ekonomi, budaya dan sosial, poloitik, masyarakat serta aspek keagamaan. Buku ini telah menjadi sumber rujukan yang penting  pada zaman pertengahan. Beliau banyak menulis tentang negara-negara Islam, terutamanya India semasa pemerintahan Sultan Muhammad Taghluq, Anatolia, Maldives, Afrika, China dan Asia Tenggara.

       Menjadi Contoh serta Dorongan Pengembara Islam dan Barat
Dalam usia se awal 21 tahun mengharungi satu pengembaraan yang jauh menempuh gelora bukanlah sesuatu yang mudah. Tetapi kejayaan Ibnu Battuta sebagai seorang penjelajah muda yang Berjaya menjadi ikutan serta pendorong kepada penjelajah yang lain, bukan sahaja kepada penjelajah Islam, tetapi juga pendorong kepada penjelajah dari Barat. Ekoran dari kejayaan pelayaran beliau, muncul ramai nama-nama baru dalam arena pelayaran, contohnya Ibn Majid dan Sulayman Al-Mahri yang Berjaya merentasi Lautan Hindi dan Lautan Pasifik. Catatan mereka pula telah menjadi sumber panduan kepada para pelayar dari Eropah yang berusaha untuk mencari jalan ke Timur pada abad 15 dan 16 Masihi, seperti Vasco da Gamma.


3     Menambahkan sumber rujukan dalam bidang pelayaran dan geografi.
Pelayaran Ibnu Battuta telah membuka satu lembaran baru dalam dunia pengembaraan dalam bidang pelayaran khususnya serta dalam bidang Geografi. Catatan-catatan beliau yang telah dibukukan telah menjadi sumber yang penting kepada ramai ilmuan serta penjelajah telah diterbitkan dalam pelbagai terjemahan bahasa seperti bahasa Inggeris, Jerman, Belanda dan Perancis. Sebagai contoh, seorang professor, Prof. H.A.R  Gibb menterjemah buku Al-Rihlah kepada “The Travels of Ibn Battuta”. Dengan ini, catatan pelayaran beliau telah menjadi rujukan di seluruh dunia, bertepatan dengan penggunaan bahasa Inggeris yang digunakan hampir di seluruh dunia. Para orientalis barat pula memberi nama gelaran kepada Ibnu Battuta dengan gelaran “The Prince Of Muslim Travellers” yang meletakkannya sebaris dengan nama pengembara terkemuka di dunia seperti Marco Polo.

4    Meningkatkan Pengetahuan Politik dan Diplomasi.
Sepanjang pengembaraannya, beliau telah menemui ramai orang-orang penting dalam sesebuah pemerintahan serta pentadbiran negara atau negeri seperti sultan, menteri, pegawai dan sebagainya. Keperibadiannya, akhlak yang terpuji, berwibawa, mempunyai pengetahuan dalam bidang agama serta pandai berdiplomasi menyebabkan beliau mudah dipercayai apabila memerlukan bantuan uantuk meneruskan perjalanan pengembaraannya. Beliau pernah dilantik menjadi qadi oleh Sultan Muhammad Taghluq di India serta diberi kepercayaan untuk menjadi utusan ke negara China pada tahun 1342 Masihi. Apabila singgah di Pasai, sultan Al-Malik Al-Zahir memberikan penghormatan kepada beliau sebagai seorang ulama dengan menyediakan sebuah tongkang besar yang lengkap dengan peralatan untuk pelayaran ke negara China.


       Menambahkan pengetahuan sosiologi dan antropologi.
Dalam penulisan buku Al-Rihlah, beliau memperincikan setiap budaya serta kehidupan masyarakat di setiap negara. Sebagai contoh, beliau begitu kagum dengan keindahan kota Constatinople yang dilengkapi dengan pasar, jalan raya yang diperbuat dari batu serta gereja yang bernama Santa Sophia yang terletak di tengah-tengah kota tersebut. Selain itu, di China, beliau memuji tentang keamanan negara itu dengan mengatakan inilah negara paling aman yang pernah beliau kunjungi serta kecantikan corak kain sutera buatan orang Cina yang sangat mengagumkan. Dalam aspek keagamaan pula, Ibnu Battuta ada menulis tentang budaya keagamaan penganut Hindu, aktiviti ritual mereka serta perayaan serta kehidupan sosial masyarakat India yang beragama Hindu.

6    Memperluaskan Tamadun Islam
Pengambaraan Ibnu Battuta memberi sumbangan besar dalam memperluaskan tamadun khususnya tamadun Islam sendiri. Berlakunya interaksi antara tamadun apabila Ibnu Battuta mengembara dari tempat kelahirannya ke tempat lain, contohnya ke Mekah, India, China dan sebagainya. Perkara yang dibawa oleh beliau adalah ilmu-ilmu yang berkaitan dengan ajaran agama Islam, selok-belok pelayaran, ilmu perkapalan serta ilmu yang pelbagai yang telah dicurahkan serta disebarkan mencetuskan satu interaksi serta situasi yang sama apabila beliau menimba serta mendapatkan ilmu dari tempat lain.

Sebagai seorang remaja yang akan menjana serta tunjang kepada negara pada masa akan datang, nilai-nilai moral yang ada pada diri Ibnu Battuta sememangnya wajar untuk diadaptasi sekaligus dipraktikkan dalam kehidupan seharian. Perkara yang paling utama sekali ialah berilmu pengetahuan. Ibnu Battuta begitu mengambil berat tentang aspek ilmu. Beliau sanggup mengembara sehingga ke Mekah serta ke pelusuk dunia yang lain semata-mata untuk memperluaskan ilmunya. Selain itu, usaha beliau tidak tertumpu kepada menimba ilmu sahaja, malahan beliau juga turut mencurahkan ilmunya kepada orang lain. Dalam pengembaraannya pula, beliau mampu untuk meneruskan pelayarannya berbekalkan ilmu yang ada, kerana tanpa ilmu yang cukup, pelayarannya itu berkemungkinan akan menghadapi masalah yang sukar untuk diatasi. Begitu juga dalam kehidupan seharian kita, seharusnya mempunyai ilmu untuk menghadapi cabaran-cabaran yang bakal menyapa di dunia yang penuh dengan pancaroba ini.

Seterusnya ialah berakhlak mulia. Kerana sifatnya yang terpuji, Ibnu Battuta mendapat pelbagai jenis bantuan serta diberikan kepercayaan untuk melaksanakan sesuatu tugas. Sebagai contoh, Sultan Muhammad Taghluq memberi kepercayaan kepada Ibnu Battuta menjadi seorang qadi serta menjadi utusan ke negara China. Selain itu, sifat beliau yang dihormati bukan sahaja oleh masyarakat, malahan oleh orang-orang kenamaan seperti Sultan Pasai yang telah menghadiahkan sebuah tongkang besar sebagai tanda penghormatan kepada seorang ulama. Akhlak yang terpuji itu penting dalam diri individu, kerana akhlak itu sendiri boleh dijadikan sebagai cermin kepada perilaku kita terhadap orang lain. Apabila kita berlaku baik dengan orang lain, maka tidak dinafikan orang lain akan berlaku baik dengan kita.

Selain itu, sifat rajin dan tidak mengenal erti jemu juga boleh dijadikan sebagai inspirasi terhadap diri sendiri serta dalam kehidupan seharian. Sebagai contoh, Ibnu Battuta akan membuat catatan berkaitan dengan kehidupan masyarakat setempat, membuat kajian mengenai sesuatu masalah, pemetaan geografi serta tidak jemu untuk menuntut ilmu. Sebagai seorang pelajar, perkataan rajin itu sendiri sudah sebati dengan hidup di alam pembelajaran sejak dari bangku sekolah rendah lagi. Rajin dalam pelbagai aspek, rajin ke sekolah, membuat ulangkaji, bertanyakan soalan,menjaga kebersihan dan macam-macam lagi. Di samping itu, tidak perlu untuk merasa bosan untuk berusaha demi mencapai kejayaan, kerana ianya mampu menumpulkan fokus perjalanan individu untuk sampai ke puncak kejayaan.

Selain itu,antara nilai serta sifat-sifat terpuji yang dimiliki oleh Ibnu Battuta ialah dari aspek kepimpinan. Dalam konteks ini, Ibnu Battuta patut dicontohi kerana sifat kepimpinan beliaulah yang berjaya untuk  membawanya ke arah kejayaan. Beliau boleh dikatakan seorang pemimpin yang baik bukanlah kerana beliau seorang ulama atau seorang nakhoda, tetapi beliau mempunyai ciri-ciri serta sifat sebagai seorang pemimpin. Beliau Berjaya untuk menjadi pemimpin untuk dirinya sendiri sehingga mampu menjadikannya seorang pengembara yang ternama serta menjadi ikutan kepada pengembara yang lain. Beliau menegaskan kepada dirinya sendiri untuk pergi menuntut ilmu di tempat lain  Berjaya menjadi seorang pemimpin ketika berlaku serangan dari pihak orang Hindu. Seorang pemimpin yang baik adalah seorang yang disegani, dihormati serta dipandang mulia oleh orang lain.

Secara konklusinya, pengembaraan Ibnu Battuta bukan saja meninggalkan kesan terhadap dunia pengembaraan, tetapi juga dalam aspek rohaniah itu sndiri apabila individu menginterpretasikan pengembaraan itu dalam erti kata yang lain, iaitu kehidupan seharian. Dalam kehidupan, manusia seharusnya memiliki segala kelengkapan seperti sebuah kapal yang sarat dengan segala kelengkapan. Kehidupan manusia perlu ada sifat yang terpuji, akhlak mulia, beilmu pengetahuan luas serta mempunyai sifat kepimpinan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...