Saturday, November 28, 2015

Terus bersabar menongkah fitnah.



Assalamualaikum dan salam sejahtera semua rakan-rakan yang mampir membaca post saya pada kali ini.

Terima kasih kerana terus membaca hasil penulisan saya yang tidak seberapa.

Dicetuskan kemahuan untuk menaip sedikit malam ini, dijentik oleh satu kenangan hidup masa lalu yang begitu mengesankan.

Keluarga aku bukan berada, apa lagi berharta.

Tapi ada juga yang tidak putus-putus menuliskan coretan-coretan duka dalam buku catatan hidup keluarga aku yang berlima. Mama, bapa dan dua orang kakak aku.

Banyak sekali hal-hal yang tidak benar tentang kami, dicanang sebar entah atas tujuan apa.

Pedihnya sudah tentu dirasai oleh kami. Seronok agaknya, bila berlaku salah faham dan pertelagahan atas perkara yang tidak benar.

Silaturahmi yang dahulunya erat dan harmoni, kini tidak lagi sebaik dulu. Dan itulah kegembiraan buat mereka. Mungkin.

Aku begitu sangat terkesan pada apa yang berlaku betul-betul dibidik kepada aku.

Adu domba dan fitnah jadi peluru, mulut dan lidah jadi picu dan kelongsongnya.

Semasa aku masih belajar dulu, aku sudah mula bercadang dan merancang untuk memulakan rancangan untuk mendirikan rumah tangga. Perkara yang aku sudah ajukan kepada keluarga aku dan wanita yang telah aku pilih itu.

Tidak semena-mena cerita memburuk dan membusukkan saya dijaja oleh hati dan mulut yang busuk. Pelanggan sasarannya ialah keluarga wanita tersebut. Sanggup mereka hadir ke rumah keluarga wanita itu.

Sudahnya perancangan yang sudah dirangka aku telan bulat-bulat rasa pahit kegagalannya, walaupun ia baru sahaja mahu memperkemaskan kaki untuk memulakan langkah pertama.

Aku ditolak mentah dengan pakej merubah persepsi dan kepercayaan terhadap aku. Tembakan fitnah dan adu domba si hati busuk yang diacukan kepada aku tepat mengenai aku.

Aku dipandang buruk olehnya dan keluarganya. Aku hina dan tiada nilai di sisi mereka.

Oleh kerana baru sebentar tadi aku melihat wanita itu sedang makan bersama suaminya, aku teringat peristiwa yang tidak menyamankan aku.

Fitnah mereka kini masih diteruskan, tapi kali ini aku dan keluarga lebih berhati-hati.

Salam kasih sayang untuk semua.
Ampunkan dosaku, ibu bapa dan keluargaku ya Robbi..

2142
28 Nov 2015,
Kota Kinabalu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...