Showing posts with label tuan guru hadi awang. Show all posts
Showing posts with label tuan guru hadi awang. Show all posts

Saturday, December 21, 2013

Aku membebel pasal TV

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada rakan-rakan pembaca yang saya hormati.


Beberapa perkara yang dilihat agak teorikal mutakhir ini sangat mengecewakan banyak pihak.
Banyak maksud saya melibatkan ramai individu dan beberapa koalisi manusia yang lain.

Saya terpaksa juga akhirnya menonton beberapa siaran televisyen yang saya tidak begitu minat untuk tonton sebelum ini, seperti berita semasa, siaran langsung sidang dewan rakyat dan yang seumpanya dengannya.

Bukan apa, untuk mengetahui perkara-perkara terkini di samping pembacaan daripada internet bagi membuat persediaan menjelang temuduga lantikan pekerjaan yang akan dihadapi.

Daripada penilaian saya sepanjang tempoh tersebut, saya teringat suatu kekecohan yang berlaku di ibu negara yang telah berlaku beberapa siri melibatkan puluhan ribu rakyat Malaysia, iaitu dalam himpunan Bersih yang dikatakan bagi menyatakan beberapa tuntutan, khususnya berkaitan dengan pilihanraya yang adil dan bersih.



Namun bukan isu pilihanraya yang ingin saya perkatakan, sebaliknya saya tertarik dengan salah satu tuntutan bagi himpunan tersebut ialah 'akses media yang adil'. Saya bertanya kepada rakan-rakan di laman sosial facebook yang tidak dikenali berkenaan akses media yang adil itu, apa yang diinginkan sebenarnya?

Maka di sini saya ingin menyatakan semula beberapa jawapan yang diterima dan yang saya nilai sendiri bagi mengukuhkan lagi kenyataan berkenaan dengan isu ini.

Kepada kita yang benar-benar istiqomah untuk menonton berita di televisyen, pasti ada berita politik yang akan disiarkan dari seluruh negara. Durasinya akan lebih lama sekiranya berita tersebut dianggap sangat dan terpenting. Berita akan hentam sungguh-sungguh sekiranya perlu. Lebih berkesan apabila ianya akan disiarkan setiap sejam sehari, untuk setiap hari dalam seminggu.

Seperti satu doktrinisasi kepada jutaan otak yang ada di seluruh negara apabila akses siaran tersebut disiarkan dan ditonton setiap hari.



Masih dalam kerangka berita politik seperti yang disebutkan. Dalam kancah politik di negara ini, format asas dan yang mudah difahami ialah wakil rakyat dalam peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen akan dipilih sendiri oleh rakyat dalam pilihanraya yang dilakukan dalam tempoh 5 tahun sekali. Wakil rakyat yang bertanding adalah dari beberapa parti politik, dan hanya satu sahaja yang akan ditentukan secara mutlak oleh rakyat sebagai wakil mereka. Bagi wakil rakyat yang menang, akan dilantik sebagai wakil kepada kawasan yang ditandingi untuk hadir ke sidang dewan rakyat dan parlimen bagi membincangkan isu-isu berbangkit serta masalah-masalah rakyat.

Di dalam persidangan tersebut, wakil-wakil rakyat adalah terdiri daripada mereka yang telah menang dalam pilihanraya, daripada latarbelakang parti politik yang berlainan. Walaupun begitu, mereka akan duduk sama bersidang bagi membincangkan isu rakyat.

Ini bermakna, masing-masing wakil rakyat yang telah dipilih secara sah dalam pilihanraya, apabila masuk dan duduk bersidang bersama semua wakil rakyat yang lain turut sama berpeluang untuk bangun (berdiri) dan memberikan perkongsian, idea, buah fikiran, cadangan dan penambahbaikan.

Ya, sebenarnya perkara tersebut memang berlaku. Sebagai contoh, seorang wakil rakyat mengusulkan sesuatu, kemudian wakil rakyat yang lain boleh memberikan soalan, cadangan penambahbaikan malah memberikan alternatif lain sekiranya usul tersebut dikira tidak begitu relevan.

Masalahnya ialah, akses media tentang sidang ini hanya menunjukkan wakil-wakil rakyat yang tertentu sahaja, seperti menidakkan kewujudan wakil rakyat lain yang turut sama bersidang. Jika ada pun, hanya satu dua perkataan sahaja, cepat-cepat hujah mereka dicantas oleh iklan dan ulasan pengacara televisyen.



Saya mengira, saya dan penonton yang lain selayaknya sebagai seorang rakyat Malaysia yang ingin cakna terhadap isu semasa mempunyai hak mutlak untuk mendapatkan akses kepada setiap hujah daripada kedua-dua jalur pemikiran dan idea walaupun para YB itu berbeza parti politik, namun di dalam persidangan seperti itu, mereka punya ruang untuk bercakap, dan penyiaran persidangan tersebut kepada umum di televisyen merupakan peluang untuk rakyat Malaysia menilai dan menimbang buah fikiran mereka, mana yang baik dan mana yang lebih baik.

Saya dan jutaan rakyat Malaysia yang lain meyakini bahawa, banyak penambahbaikan dalam sistem yang diamalkan di negara ini adalah hasil daripada perbincangan dalam sesi-sesi seperti yang dipersidangkan dan sudah pasti proses untuk mencapai satu keputusan itu menghadapi banyak kesukaran khususnya akan berlaku berbezaan pendapat pada awalnya, kemudian perbezaan tersebut dijernihkan dengan fakta, keperluan semasa, mengambil kira kebajikan dan kesejahteraan umum dan melihat kepada unjuran manfaat yang lebih bersifat jangka panjang serta relevansinya.



Idea-idea dan gagasan yang baik ini sudah tentu dinaikkan oleh para menteri kabinet khususnya, kemudian, dinilai oleh para sidang perwakilan yang ada, kemudia diperbahaskan bagi tujuan pemurnian sebelum dilaksanakan. Dalam perbahasan itulah akan bangun ahli sidang yang bertujuan untuk mengemukakan pandangan, bukan untuk membantah secara total, namun menyuarakan pendapat, cadangan penambahbaikan serta alternatif, dengan mengambil kira beberapa aspek yang telah saya nyatakan sebagai mekanisme penjernihan apabila berlaku perbezaan pendapat pada perenggan sebelum ini.

Perkara ini (ruang penjernihan) saya tonton di dalam youtube dan laman sosial yang lain sahaja, kerana perkara yang disiarkan di kaca televisyen secara langsung hanya pembentangan usul, sedikit soal jawab yang tidak terjawab dan kemudian ulasan pengacara televisyen yang dilihat seperti mencantas apabila bangun atau kedengaran hujah yang dilihat ingin memberi cadangan penambahbaikan. Oh, bukan sekali saya menontonnya di televisyen. 

Saya dan lebih ramai lagi yang turut menonton cukup yakin dan pasti, bahawa terdapat beberapa soalan tidak dapat dijawab dan dijelaskan dengan baik, selaras dengan soalan yang diajukan, sekadar menjawab soalan dengan kata, tetapi tidak menjawab soalan dengan fakta. Ada yang mengulang semula soalan, kemudian menyebut beberapa perkataan yang ada dalam soalan, dikaitkan dengan ayat yang hampir sama dengan soalan, selepas itu membuat sedikit pengulangan pada kenyataan peribadi dan juga perihal usul, kemudian menyudahkan jawapan dengan duduk semula di atas kerusi.

Saya juga hairan, saya menonton berita khususnya apabila berlaku kes-kes yang melibatkan individu-individu utama di dalam negara yang dikaitkan dengan isu-isu yang sensitif, bahkan mengelirukan orang lain sekiranya tidak diperjelaskan secara tertib dan melibatkan satu pihak sahaja. 

Sekiranya benar ingin memberikan akses yang adil dalam penyiaran media arus perdana, tiada salahnya jika ada kes atau isu yang melibatkan individu tertentu, beliau diberikan ruang untuk memberi penjelasan sendiri di kaca televisyen, sepertimana yang turut disiarkan di dalam berita dalam durasi yang agak lama, kemudian disambung lagi dengan wacana dan diskusi dalam rancangan yang lain, sedangkan individu berkenaan hanya disiarkan wajah dan percakapannya dalam tempoh masa yang paling minimum, kurang daripada seminit dan ada juga yang diperlihatkan cuma gambar sahaja dan diulas oleh pembaca berita yang hanya membaca teksnya.


Biasanya isu yang sering timbul melibatkan ahli-ahli politik, khususnya daripada pihak parti pembangkang dalam satu koalisi yang dinamakan sebagai Pakatan Rakyat, merangkumi tiga komponen parti utama, iaitu Parti KeAdilan Rakyat (PKR), Democratic Action Party (DAP) dan Parti Islam SeMalaysia (PAS).

Saya ambil satu isu berkenaan isu yang melibatkan bekas Menteri Besar Terengganu dari Disember 1999 hingga Mac 2004 yang juga merupakan ahli Parlimen Marang, Yang Berhormat Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi bin Awang yang dikaitkan dengan isu "Amanat Haji Hadi" sejak beberapa puluh tahun yang lalu, baru-baru ini ditimbulkan kembali. 



Tiada satu pun ruang untuk beliau memberi respon terhadap perkara ini sejak ia mula disiarkan di media arus perdana, malah tiada ucapan beliau yang berperanan untuk memberi respon ini walau sepuluh minit diberikan oleh pihak media arus perdana, sedangkan perkara yang disiarkan di dalam berita memaparkan isu ini dalam tempoh masa yang lama dengan ulasan dari batang tubuh orang lain, sedikit ulasan daripada pembaca berita dan ulasan pihak yang tidak bersetuju dengannya. 

Lalu bagaimana para penonton hendak menilai di mana kebenaran yang sebenarnya sekiranya hanya sebelah pihak sahaja yang berpeluang untuk menyampaikan buah fikiran?

Saya akhiri bebelan saya dengan dua soalan.

Adakah ini benar-benar dinamakan akses media yang adil ?
Kenapa hanya 'satu' pihak sahaja yang dibenarkan berada dalam media arus perdana ?

Wallahu a'lam..

Tuesday, September 24, 2013

v(",) Aku dan Cina (-.-)v

Assalamualaikum dan selamat sejahtera..

Salam ceria untuk para pembaca semua :)



Saya ingin berkongsi cerita dengan anda semua tentang beberapa kisah yang menarik berdasarkan pengalaman peribadi saya.

Pengalaman mempunyai kawan berbangsa Cina bermula pada zaman sekolah menengah.

Pada peringkat menengah rendah, saya ada kenalan Cina, tapi berkawan tu belum ada lagi, cuma kenalan, kerana komuniti rakan sekelas semua Islam dan tidak ada rakan sekelas yang berbangsa Cina sehinggalah naik ke tingkatan empat, kelas telah bercampur dari kelas menengah rendah dulu.

Apa pandangan saya terhadap rakan Cina yang saya kenal dan rapat?

Seperti yang saya tonton dalam filem Gadoh, memang rakan-rakan Cina saya latarbelakang keluarganya adalah keluarga yang berniaga serta rajin belajar dan pandai, terutamanya dalam Matematik dan Sains.

Salah seorang dari kawan Cina saya tidak kisah untuk berkongsi masa dan kegembiraan dengan saya. Di waktu petang selepas waktu persekolahan, dia mesti menghubungi saya untuk keluar online di cyber cafe bersama. "aku belanja" katanya. Dia juga tidak lokek untuk memberi tunjuk ajar kepada aku dalam subjek yang aku agak jahil, seperti Matematik dan Matematik Tambahan. Untuk melengkapi banyak pemberiannya, aku turut mengajarnya subjek Bahasa Melayu.

Habis sekolah, sekali lagi aku berpeluang untuk berkenalan dengan lebih ramai kawan berbangsa Cina dalam siri Program Latihan Khidmat Negara. Sebahagian besarnya saya masih ingat lagi namanya, baik lelaki dan perempuan. Maksud saya, amoi..hehe..

Kawan sebilik saya, ketika cuti seminggu, dia balik ke KL. Bila pulang semula ke kem, setiap dari kami dibelikannya cenderahati dan banyak makanan ringan untuk dimakan ketika waktu lapang di bilik. Selain itu, dia juga tidak kisah untuk meminjamkan saya telefon miliknya ketika saya berkeperluan untuk menelefon. "awak guna sahaja, tidak perlu risau, bilnya parent saya yang bayar pun". Sahabat di dorm sebelah saya, dia membelikan untuk kawan-kawan cenderahati tidak mengira harga. Saya lihat harganya mahal-mahal, namun harga bukanlah ukuran bagi sebuah persahabatan katanya.

Paling seronok, mereka tidak kekok untuk berkenalan dengan budak-budak kampung seperti kami, rasa ingin tahu tentang masing-masing yang sangat tinggi lebih mengeratkan hubungan kami. Rakan sebilik saya itu, badannya besar berbanding kami, budak-budak luar bandar yang bertubuh kecil. Dia selalu jadi 'bantal peluk' ketika kami sedang berehat dan bergurau senda.

Masuk ke alam kampus, saya turut berpeluang untuk mengenali lebih ramai kenalan dan kawan berbangsa Cina, baik lelaki dan perempuan.

Bukan niat saya untuk membandingkan bangsa siapa lebih baik, cuma saya ingin berkongsi cerita, bahawa saya tidak merasakan sebarang ancaman atau situasi yang tidak selamat apabila bersama dengan rakan yang berbangsa Cina. Jika bertembung atau berselisih dengan mereka, dari jauh lagi mereka sudah melontar senyum, melambai tangan dan menghulur tangan (lelaki) apabila bertemu, bertanya khabar dan sangat ramah menyantuni saya.

Dalam berkongsi isu semasa juga, saya ada mengenali rakan di luar kampus, beliau sangat fasih berbahasa Melayu dan katanya, "saya antara pelajar Cina yang dapat A dalam SPM untuk mata pelajaran Bahasa Melayu". Saya juga turut mengikuti hasil tulisannya di akhbar dan internet yang ditulis dalam Bahasa Melayu, serta buku salah seorang penulis berbangsa Cina yang ditulis dalam Bahasa Melayu, apabila saya bertemu dengan penulisnya, beliau berkata orang yang menyunting bukunya itu adalah rakan saya yang memperolehi A dalam SPM itu. Saya juga berpeluan untuk berbual panjang dengannya dalam satu perjalanan, dia menumpangkan saya menaiki keretanya tanpa meminta bayaran pun, malah berkongsi banyak pengalamannya sepanjang perjalanan itu.

Selain itu, saya juga pernah menghadiri suatu sesi diskusi yang dilaksanakan sepenuhnya dalam bahasa Cina, kerana saya ingin bertemu dengan penulis Cina yang menulis buku dalam Bahasa Melayu yang saya telah sebutkan tadi. Saya seorang yang bukan berbangsa Cina dalam kelompok bangsa Cina yang sangat ramai ketika itu. Namun, saya rasa senang berada di sana, lebih-lebih lagi saya berpeluang berjumpa dengan rakan saya dalam program tersebut.

Saya tidak begitu pasti, kenapa banyak di media arus perdana ketika ini seperti tidak mesra dengan kepelbagaian kaum di Malaysia, sedangkan gagasan perpaduan dan 1 Malaysia sangat megah dicanangkan. Saya sangat tidak begitu faham, kenapa masih banyak kempen seperti boikot barangan  Cina, ada wacana yang berlatarbelakangkan pendidikan, kemudian dibawa kepada memperkasakan Melayu dan menghapuskan sekolah jenis kebangsaan. Kenapa masih ada lagi laungan "kita lah tuan" dan sebagainya.

Kenapa perlu semua ini berlaku, sedangkan kita boleh hidup mesra sebumbung langit yang sama, selantai bumi yang dikongsi bersama. Jangan perbezaan jadi modal sengketa.


Firman Allah dalam surah Al-Hujurat, ayat ke 13 yang bermaksud :

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)


Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, dalam bukunya Tafsir Surah Al-Hujurat menjelaskan konteks mendepani hidup dalam kepelbagaian kaum dengan menyatakan bahawa penyelesaian yang baik adalah secara berukhuwah dan akan menyebabkan manusia terus hidup dalam rahmat Allah SWT serta berada dalam kesejahteraan.

Sunday, September 9, 2012

Jangan pandang enteng pada MOTIVASI !

Bismillahirrahman nirrahim..

Assalamualaikum semua rakan-rakan pembaca yang budiman.

Apa khabar perutnya, sudah diisi atau belum?
Apa khabar ilmunya, sudah ditambah atau masih lagi dengan ilmu semalam?
Apa khabar dengan imannya, sudah diperbaharui atau semakin menurun ?

3 soalan yang dalam maknanya kepada diri saya sendiri khususnya dan juga kepada kita semua amnya.

Sebelum kita mula masuk ke dalam isu perbincangan kita dalam post yang agak bosan ni, saya hendak bertanyakan satu soalan lagi lah. (asyik soalan saja....)

Bila sebut saja perkataan motivasi, apa yang terlintas dalam fikiran kita ??

1) Kem Motivasi di sekolah - Ada jalan tutup mata, tidur dalam kelas/khemah, ada sesi nangis-nangis..


2) Pakar Motivasi - Seorang yang berkacamata, petah berbicara, pakai kot, selalu keluar di TV awal pagi.

3) Seminar Motivasi - Kadang-kadang pesertanya pelajar, ibu bapa, guru-guru & remaja bermasalah.
4) Buku Motivasi - Buku yang agak boring, tiada ilustrasi, semuanya tulisan, cover buku pun kurang menarik


5) Kata-kata Motivasi - Lepas kita rasa hampeh dengan diri sendiri, ada orang cakap sesuatu, lepas tu kita kembali bersemangat !


mungkin ada banyak lagi lah benda yang boleh kita fikirkan bila sebut perkataan motivasi ni.

SEBAGAI PERINGATAN AWAL, POST NI BUKANLAH SATU POST PEMBANGUN JIWA YANG HILANG ATAU SEMANGAT YANG RAPUH, TIADA KATA-KATA BERSEMANGAT DALAM POST INI, CUMA BINCANG ISU TENTANG MOTIVASI..HEHEHE..JANGAN MARAH..

Salah satu fakta tentang motivasi yang ada dalam post ni ialah tentang definisi motivasi yang dirujuk daripada persuratan Melayu, Kamus Dewan Edisi ke-4  

1) Keinginan yang keras atau semangat yang kuat pada diri seseorang yang mendorongnya untuk berusaha atau melakukan sesuatu dengan tujuan untuk mencapai kejayaan 

2) Sesuatu yang membuat atau mendorong seseorang berusaha atau melakukan sesuatu dengan penuh minat.

3) Sesuatu dorongan, galakan, semangat dan sebagainya untuk melakukan sesuatu.

So, dari 3 point utama ni, kita boleh rungkaikan sedikit, motivasi itu berada pada diri sesorang, bukan pada diri orang lain, tapi dalam diri sendiri. Bukannya sesuatu yang boleh dilihat seperti aspek fizikal.

Motivasi itu ialah satu mekanisme yang menjadi pendorong  kepada seseorang untuk melakukan sesuatu. Sebagai contoh mudah, motivasi dalam bentuk ganjaran, 

" adik, tolong ibu kejap, belikan tepung 1kg di kedai rakyat 1 Malaysia, balik nanti ibu bagi upah ok" 

Motivasi yang diberikan oleh si ibu tadi diberikan dalam bentuk insentif wang, supaya si adik tadi rasa seronok dan terdorong untuk pergi ke kedai membeli tepung. 

Dalam situasi lain, contoh yang mudah juga, ialah atlit negara dalam arena sukan. Motivasi yang merka miliki boleh jadi lahir dari kesedaran diri sendiri dan juga dari orang lain, dari penonton yang bersorak memberikan sokongan, dari jurulatihnya yang memberikan kata-kata semangat, dari pihak yang berkenaan yang menjanjikan imbalan seperti wang insentif, kemudahan keperluan hidup, gelaran Dato', Datin dan sebagainya dan sebagainya. 



Jika kita boleh lihat Lee Chong Wei, secara logiknya jika kita berada di pihaknya, motivasi yang paling tinggi mungkin semangat untuk mengharumkan nama negara serta tidak menghampakan harapan rakyat Malaysia. Itu sudah tentu merupakan suntikan yang paling berkesan untuk beliau bermain bersungguh-sungguh dalam setiap perlawanannya.

Lain pula ceritanya dengan ahli politik, kata-kata motivasinya dilontarkan terus kepada orang ramai untuk memastika sokongan yang tidak berbelah bagi terhadapnya serta dapat memberikan penjelasan, kefaham dan juga merungkaikan persoalan yang timbul demi mencapai dan merealisasikan hasrat dan juga matlamat perjuangan yang dibawa olehnya. Segala isi ceramah, pidato dan kata-kata yang mereka hujahkan adalah untuk meraih dorongan dari para penyokong dan seterusnya dapat menjadi galakan dan mempermudahkan 
misi untuk mencapai kemenangan. 





Semangat dan motivasi yang diberikan oleh golongan politikus ini jugaklah yang menyemarakkan semangat dan sokongan yang tinggi, kerana motivasi yang diberikan oleh pemimpin itu mungkin dalam bentuk kefahaman ilmu terhadap sesuatu situasi, cagaran atau menjanjikan untuk memberikan sesuatu sebagai balasan atas sokongan, meluahkan fakta-fakta bernas akan kebenaran dan juga membangkitkan kesedaran, kemarahan serta rasa solidariti antara para penyokong.



Hal ini juga berlaku seperti Adolf Hitler, yang pada mulanya, beliau bukanlah seorang pemimpin yang tertinggi, permulaan beliau dalam ketenteraan tidak lain hanyalah sebagai tentera biasa. Namun, atas kesedaran dan semangat yang tinggi untuk membangkitkan kesedaran rakyat Jerman untuk terus bersatu, beliau terus memotivasikan orang ramai dengan pidatonya yang menggegargoncangkan semangat rakyat Jerman!



Dalam peperangan pula, motivasi adalah pelengkap kepada kekuatan ketenteraan. 
Dalam konteks motivasi merupakan pelengkap kepada kekuatan ketenteraan telah disebutkan dalam ayat Al-Quran, Surah Al-Anfal, surah ke 8 ayat 65-66.

"Wahai Nabi, kobarkanlah semangat orang-orang yang beriman itu untuk berperang. Jika ada di antara kamu 20 yang sabar, nescaya mereka dapat menewaskan 200 orang (dari pihak musuh yang kafir itu); dan jika ada di antara kamu 100 orang, nescaya mereka dapat menewaskan 1000 orang dari golongan yang kafir, disebabkan mereka (yang kafir itu) orang-orang yang tidak mengerti." - 8:65 -

"Sekarang Allah telah meringankan daripada kamu (apa yang telah diwajibkan dahulu) kerana Ia mengetahui bahawa pada kamu ada kelemahan; oleh itu jika ada di antara kamu seratus orang yang sabar, nescaya mereka akan dapat menewaskan dua ratus orang; dan jika ada di antara kamu seribu orang, nescaya mereka dapat menewaskan dua ribu orang dengan izin Allah. Dan (ingatlah) Allah beserta orang-orang yang sabar." - 8:66 -

Dalam suatu riwayat oleh Ishaq bin Rawahih dalam musnadnya dari Ibnu Abbas, dikemukakan bahawa ayat ke-65 itu adalah diturunkan untuk mewajibkan seorang tenteran melawan 10 orang tentera, memandangkan bilangan tentera Islam pada ketika itu sedikit berbanding jumlah tentera lawan. 

Oleh kerana dengan faktor jumlah bilangan tentera yang sedikit itulah tentera-tentera ini merasa lemah dan keberatan untuk melawan musuh yang ramai. Oleh kerana itu semangat mereka perlu ditingkatkan dengan memberikan keyakinan bahawa mereka mampu menewaskan sejumlah tentera musuh yang ramai sekalipun hanya dengan bersabar serta meyakini akan janji Allah, kerana Allah akan sentiasa di sisi orang-orang yang sabar.

Dengan berbekalkan keyakinan, kesabaran dan ketaqwaan yang tinggi kepada Allah, tentera Islam yang sedikit bilangannya mampu mengalahkan tentera musuh yang jumlahnya jauh lebih ramai daripada mereka.

Begitu hebatnya kesan motivasi !


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...