Tuesday, September 24, 2013

v(",) Aku dan Cina (-.-)v

Assalamualaikum dan selamat sejahtera..

Salam ceria untuk para pembaca semua :)



Saya ingin berkongsi cerita dengan anda semua tentang beberapa kisah yang menarik berdasarkan pengalaman peribadi saya.

Pengalaman mempunyai kawan berbangsa Cina bermula pada zaman sekolah menengah.

Pada peringkat menengah rendah, saya ada kenalan Cina, tapi berkawan tu belum ada lagi, cuma kenalan, kerana komuniti rakan sekelas semua Islam dan tidak ada rakan sekelas yang berbangsa Cina sehinggalah naik ke tingkatan empat, kelas telah bercampur dari kelas menengah rendah dulu.

Apa pandangan saya terhadap rakan Cina yang saya kenal dan rapat?

Seperti yang saya tonton dalam filem Gadoh, memang rakan-rakan Cina saya latarbelakang keluarganya adalah keluarga yang berniaga serta rajin belajar dan pandai, terutamanya dalam Matematik dan Sains.

Salah seorang dari kawan Cina saya tidak kisah untuk berkongsi masa dan kegembiraan dengan saya. Di waktu petang selepas waktu persekolahan, dia mesti menghubungi saya untuk keluar online di cyber cafe bersama. "aku belanja" katanya. Dia juga tidak lokek untuk memberi tunjuk ajar kepada aku dalam subjek yang aku agak jahil, seperti Matematik dan Matematik Tambahan. Untuk melengkapi banyak pemberiannya, aku turut mengajarnya subjek Bahasa Melayu.

Habis sekolah, sekali lagi aku berpeluang untuk berkenalan dengan lebih ramai kawan berbangsa Cina dalam siri Program Latihan Khidmat Negara. Sebahagian besarnya saya masih ingat lagi namanya, baik lelaki dan perempuan. Maksud saya, amoi..hehe..

Kawan sebilik saya, ketika cuti seminggu, dia balik ke KL. Bila pulang semula ke kem, setiap dari kami dibelikannya cenderahati dan banyak makanan ringan untuk dimakan ketika waktu lapang di bilik. Selain itu, dia juga tidak kisah untuk meminjamkan saya telefon miliknya ketika saya berkeperluan untuk menelefon. "awak guna sahaja, tidak perlu risau, bilnya parent saya yang bayar pun". Sahabat di dorm sebelah saya, dia membelikan untuk kawan-kawan cenderahati tidak mengira harga. Saya lihat harganya mahal-mahal, namun harga bukanlah ukuran bagi sebuah persahabatan katanya.

Paling seronok, mereka tidak kekok untuk berkenalan dengan budak-budak kampung seperti kami, rasa ingin tahu tentang masing-masing yang sangat tinggi lebih mengeratkan hubungan kami. Rakan sebilik saya itu, badannya besar berbanding kami, budak-budak luar bandar yang bertubuh kecil. Dia selalu jadi 'bantal peluk' ketika kami sedang berehat dan bergurau senda.

Masuk ke alam kampus, saya turut berpeluang untuk mengenali lebih ramai kenalan dan kawan berbangsa Cina, baik lelaki dan perempuan.

Bukan niat saya untuk membandingkan bangsa siapa lebih baik, cuma saya ingin berkongsi cerita, bahawa saya tidak merasakan sebarang ancaman atau situasi yang tidak selamat apabila bersama dengan rakan yang berbangsa Cina. Jika bertembung atau berselisih dengan mereka, dari jauh lagi mereka sudah melontar senyum, melambai tangan dan menghulur tangan (lelaki) apabila bertemu, bertanya khabar dan sangat ramah menyantuni saya.

Dalam berkongsi isu semasa juga, saya ada mengenali rakan di luar kampus, beliau sangat fasih berbahasa Melayu dan katanya, "saya antara pelajar Cina yang dapat A dalam SPM untuk mata pelajaran Bahasa Melayu". Saya juga turut mengikuti hasil tulisannya di akhbar dan internet yang ditulis dalam Bahasa Melayu, serta buku salah seorang penulis berbangsa Cina yang ditulis dalam Bahasa Melayu, apabila saya bertemu dengan penulisnya, beliau berkata orang yang menyunting bukunya itu adalah rakan saya yang memperolehi A dalam SPM itu. Saya juga berpeluan untuk berbual panjang dengannya dalam satu perjalanan, dia menumpangkan saya menaiki keretanya tanpa meminta bayaran pun, malah berkongsi banyak pengalamannya sepanjang perjalanan itu.

Selain itu, saya juga pernah menghadiri suatu sesi diskusi yang dilaksanakan sepenuhnya dalam bahasa Cina, kerana saya ingin bertemu dengan penulis Cina yang menulis buku dalam Bahasa Melayu yang saya telah sebutkan tadi. Saya seorang yang bukan berbangsa Cina dalam kelompok bangsa Cina yang sangat ramai ketika itu. Namun, saya rasa senang berada di sana, lebih-lebih lagi saya berpeluang berjumpa dengan rakan saya dalam program tersebut.

Saya tidak begitu pasti, kenapa banyak di media arus perdana ketika ini seperti tidak mesra dengan kepelbagaian kaum di Malaysia, sedangkan gagasan perpaduan dan 1 Malaysia sangat megah dicanangkan. Saya sangat tidak begitu faham, kenapa masih banyak kempen seperti boikot barangan  Cina, ada wacana yang berlatarbelakangkan pendidikan, kemudian dibawa kepada memperkasakan Melayu dan menghapuskan sekolah jenis kebangsaan. Kenapa masih ada lagi laungan "kita lah tuan" dan sebagainya.

Kenapa perlu semua ini berlaku, sedangkan kita boleh hidup mesra sebumbung langit yang sama, selantai bumi yang dikongsi bersama. Jangan perbezaan jadi modal sengketa.


Firman Allah dalam surah Al-Hujurat, ayat ke 13 yang bermaksud :

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)


Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, dalam bukunya Tafsir Surah Al-Hujurat menjelaskan konteks mendepani hidup dalam kepelbagaian kaum dengan menyatakan bahawa penyelesaian yang baik adalah secara berukhuwah dan akan menyebabkan manusia terus hidup dalam rahmat Allah SWT serta berada dalam kesejahteraan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...