Bismillah..
Assalamualaikum, selamat sejahtera, salam perjuangan ~
Hari ini, suara golongan intelektual muda yang berkarisma dan bercita-cita tinggi seringkali menggugat dan menempiaskan gelombang kebangkitan massa dengan impak yang tinggi. Komuniti varsiti dan siswa siswi sejak dahulu lagi merupakan antara tonggak dan nadi pencetus kepada sesuatu perkara yang baharu khususnya di dalam negara, sesuai dengan hasrat untuk merealisasikan kata keramat ;
"generasi muda hari ini, pemimpin masa hadapan "
Cuma saya kurang dan masih belum berpuas hati dengan tahap pencapaian mahasiswa pendidik yang tidak keterlaluan jika saya kata sebagai anak angkat Kementerian Pelajaran Malaysia, iaitu guru pelatih Institut Pendidikan Guru.
Saya tidak menafikan kemerlangan serta hebatnya pencapaian guru pelatih yang juga merupakan mahasiswa pendidik ini dalam bidang akademik sangat baik, dikagumi oleh ramai pihak apabila bertugas di sekolah dan sebagainya. Namun begitu, standard yang ingin dicapai nampaknya pada hari ini masih banyak lagi yang perlu diperbaiki walaupun sudah banyak usaha penambahbaikan yang dilaksanakan.
Secara amnya, realiti guru pelatih ketika berada di kampus berada dalam zon yang sangat selesa, tanpa perlu memikirkan dari manakah sumber untuk mendapatkan wang untuk perbelanjaan asasi dan tambahan keperluan yang lain, fasiliti yang disediakan sangat kondusif dan serba baru dan sebagainya.
Tidak sesuai jika dibandingkan dengan kampus di institusi pengajian yang lain, hanya kerana populasi dan demografi kampus IPG adalah berskala lebih kecil berbanding dengan kampus yang lain. Namun begitu, hal ini sepatutnya tidak dijadikan sebagai modal atau faktor untuk mahasiswa pendidik di IPG merasa selamat berada di dalam komuniti kecil dan selesa, kerana di sebalik keselesaan inilah kemungkinan perkara-perkara yang boleh mengancam dalam hal-hal yang tidak disangka boleh berlaku.
Saya tidak menyangkal jika peraturan setiap kampus adalah tertakluk di bawah akta dan undang-undang negara, kerana jika dinilai dari sisi positif, banyak kebaikan yang diperolehi darinya. Adalah perlu disesuaikan dengan situasi dan keadaan setiap tempat, (dalam istilah Arab, lihat 'waqi'iyyah') kerana secara biasnya apa yang mahasiswa inginkan ialah kebebasan untuk bersuara yang tidak diberikan secara sebebasnya jika diperincikan dalam akta yang dikhususkan.
Dalam hal ini, saya mengambil pendekatan yang lain dalam usaha untuk mengalih tatacara atau tindakan mahasiswa pendidik di IPG untuk membawa suara yang ingin disampaikan kepada pihak yang perlu mendengar dan memberi perhatian, bukan dengan pendekatan kurang sesuai dengan etika keguruan yang dipandang tinggi oleh massa.
Dalam beberapa post yang lepas, saya ada menyatakan kisah seorang pensyarah yang memberikan peringatan kepada guru baru yang akan mula bertugas di sekolah nanti, supaya berani untuk menegur pihak atasan sekiranya berlaku sebarang masalah yang perlu diselesaikan, supaya ianya tidak meruncing jika tidak dipertemukan dengan solusi, secepatnya. Tetapi, respon yang diberikan oleh guru pelatih ialah, mereka (mewakili guru pelatih yang lain dengan kata ganti diri KAMI) tidak dibiasakan dengan kaedah seperti itu ketika berada dalam tempoh kursus (berada di IPG), mereka tidak dibenarkan sama-sekali untuk membuat sebarang komen samaada secara terbuka dan tidak berani untuk berbuat demikian walaupun secara peribadi, kerana perkara itu tidak biasa dilakukan di IPG, walhal, jika ianya perlu untuk kebaikan semua pihak, tidaklah menjadi masalah yang besar seandainya dipersetujui, sebagai contoh untuk penambahbaikan dan kebajikan warga kampus secara amnya, pihak guru pelatih meminta kepada pihak perwakilan pelajar untuk menyuarakan pendapat kepada pihak Hal Ehwal Pelajar dan pihak berkenaan yang lain untuk memohon didirikan sebuah gelanggang futsal atau tempat rekreasi yang boleh digunakan oleh semua, maka dalam situasi ini, telah berlaku satu proses di mana ada pencetus untuk memberikan maklumat, ada penerima, penyampai dan seterusnya penerima di pihak yang ketiga.
Hal ini biasanya berlaku kepada pihak kedua, iaitu perwakilan pelajar yang seupaya mungkin membawa suara bersama rakan-rakan yang telah mencapai kata sepakat untuk diambil tindakan oleh pihak atasan, namun dipersalahkan pula pihak yang kedua ini sekiranya belum ada tindakan dari pihak yang ketiga.
Untuk pengetahuan semua, setiap peringkat warga di dalam komuniti kampus ada ruang lingkupnya yang tersendiri, tidak boleh juga dipersalahkan pihak ketiga sekiranya masih tiada tindakan, kerana mereka pula perlu berurusan dengan beberapa pihak yang lain, tidak mustahi jika mereka berurusan sehingga ke peringkat yang keenam, ketujuh dan seterusnya serta ianya memang mengambil masa dan proses yang perlu dilakukan secara berperingkat dan terperinci.
Sekadar maklumat tambahan.
Antara faktor lain kelesuan dalam merealisasikan kata keramat yang saya sebutkan di atas, dalam ruang lingkup mahasiswa pendidik di IPG dalam konteks berada di dalam zon selesa ialah, konsep campus life tidak hidup, walaupun banyak usaha untuk menghidupkannya yang dilakukan oleh pihak perwakilan pelajar, persatuan pelajar dan pihak kampus sendiri.
Mahasiswa pendidik harus menerima dan mengambil cabaran dalam cuba membuktikan bahawa mahasiswa pendidik itu lebih baik daripada yang lain. Jika peluang dan ruang untuk membuktikan itu tiada di dalam kampus, kenapa tidak menyelongkarnya di luar kampus yang terbentang luas ?
Hal ini yang banyak dilakukan oleh mahasiswa lain yang berjaya membuka mata masyarakat, bukan sahaja dalam komuniti setempat, bahkan di peringkat nasional dan antarabangsa !
Apabila ada usaha untuk cuba membawa dan menaikkan nama IPG di peringkat yang lebih tinggi di luar kampus, itu adalah bonus dan modal yang terbaik kepada mahasiswa pendidik di IPG untuk dipersembahkan kepada pihak ketiga dan seterusnya untuk mempergiatkan lagi usaha yang boleh dipertimbangkan sekiranya ada perkara yang melibatkan kerjasama antara mereka dan pihak mahasiswa di IPG, hanya kerana mahasiswa pendidik IPG mampu membuktikan kredibiliti dan usaha dalam merealisasikan dan membenarkan penilaian massa yang memandang tinggi kepada profession perguruan adalah usaha yang bersungguh-sungguh dan tidak boleh dipandang rendah. Saya sendiri sangat terkilan apabila ditanya oleh masyarakat setempat di mana tempat saya belajar, ada yang belum pernah mendengar nama IPG, bahkan rakan-rakan yang sebaya dengan saya sendiri ada yang tidak tahu akan kewujudan IPG, walaupun pada hakikatnya, mereka tahu apabila disebutkan perkataan Maktab.
Mungkin ketika zaman 'Maktab' dulu penglibatan dan publisiti kepada massa sangat baik kan ?
Hari ini, cuba kita senaraikan sehingga peringkat apa penglibatan IPG di negara kita?
Adakah di peringkat IPG sahaja?
Adakah di peringkat zon sahaja?
Adakah di peringkat negeri sahaja?
Peringkat kebangsaan?
Peringkat antarabangsa?
Koir kemerdekaan belum cukup lagi bagi saya untuk dijadikan kayu ukur atau jawapan kepada soalan di atas. Perlu lebih banyak usaha dari peringkat dan kalangan mahasiswa pendidik IPG sendiri untuk mengorganisasi program sendiri yang lebih baik. KOGUM adalah contoh program yang baik dari segi penglibatan mahasiswa pendidik. Sekadar pandangan peribadi.
Pihak perwakilan pelajar harus lebih proaktif, banyak melakukan R&D dalam banyak perkara supaya setiap permasalahan mampu ditangani dengan efektif, walaupun tidak 100% berjaya diselesaikan, memadai dengan adanya perubahan dan rakan-rakan dapat merasa bahawa anda berperanan dalam menjalankan amanah. Pihak kepimpinan lama perlu memberi tunjuk ajar kepada kepimpinan baharu dan dalam masa yang sama, jangan abaikan dalam soal melatih dan menanam benih pemimpin yang akan dihasilkan untuk kepimpinan yang seterusnya.
Cuba usahakan untuk keluar dari kepompong dan berusahalah untuk jadi seperti rama-rama yang terbang cantik dan bebas apabila keluar dari kepompongnya. Tapi bukanlah bermaksud fokus untuk terus berada di luar kampus, cuma di peringkat kursus yakni peringkat pembinaan karakter guru di IPG, mahasiswa pendidik IPG sudah merasa panas dan dinginnya tanah di tempat lain.
Terima kasih kerana sudi membaca. Maaf jika isi kurang tersusun, mana-mana yang baik, ambil, yang sebaliknya, mohon diberikan pendapat dan cadangan penambahbaikan.
Assalamualaikum.
# Free Gaza, save Syria..
Showing posts with label mahasiswa. Show all posts
Showing posts with label mahasiswa. Show all posts
Sunday, December 9, 2012
Monday, October 1, 2012
Kenapa tidak tegur kesilapan pihak atasan ?
Aku menaip bukan kerana inginkan populariti.
Aku menaip bukan kerana inginkan perhatian umum.
Aku menaip bukan kerana aku sudah kehabisan kerja untuk dibuat.
AKU INGIN CUBA MENGUBAH FIKIRAN YANG MEMBACA !
Sudah, tiada apa yang perlu dirisaukan para pembaca semua.
Aku bukannya si penjahat yang sedang mengguna-guna pembaca.
Tidak.
Aku cuma si kerdil yang berkongsi cerita.
Aku seorang pelajar lagi.
Dan aku ada pensyarah.
Aku belajar dengan ramai lagi kawan yang lain.
Hari itu hanya ada satu sesi mess lecturer.
Pensyarah masuk, ambil kehadiran dan kemudian bersembang bersama kami.
" apa pengalaman kamu semasa berpraktikal selama 2 bulan ?"
ceritakan.
bla..bla..bla..
masalah tu..masalah ni..
Student seperti langau menjawab masalah-masalah yang berlaku di sekolah.
Setelah habis modal untuk menjawab, kami senyap.
"Ha, itulah peranan you all semua nanti untuk cuba perbetulkan kesilapan dan masalah yang berlaku."
Apa yang kami boleh buat puan ?
Tanya seorang student.
"Kamu perlu berani menegur dan memberi cadangan kepada pihak pentadbiran dan atasan. Mereka antara yang bertanggungjawab melaksanakan segala peraturan, sistem dan sebagainya. Kamu juga ada hak untuk memberi pandangan, kerana kamu salah seorang daripada rakan sekerja, cuma kedudukan kamu saja sedikit di bawah."
Boleh ke puan ?
"Kenapa pulak tak boleh, kamu juga ada hak untuk beri jalan penyelesaian kan."
Selepas seorang budak mentah ini bercakap, keadaan dewan kuliah itu sedikit tersentak.
" Tapi puan, pada pendapat saya, kami tidak akan biasa untuk berbuat demikian pada hari esok jika pada hari ini kami tidak dibenarkan untuk berbuat demikian. Manakan tidak, untuk beri pendapat saja kami sudah dituduh pemberontak, menentang arus sistem, melawan dan sebagainya, hanya kerana kami masih lagi berstatus sebagai seorang pelajar. Lalu bagaimana pula pada masa akan datang? Sudah pastinya kami akan terus dihantui perasaan dan sifat seorang yang PENAKUT kerana pada fasa pembentukan saja kami sudah dituangkan ke dalam acuan penakut, dilarang untuk bercakap hatta memberi cadangan sekalipun. Pembentukan kami hanya untuk perkara-perkara asas yang sungguh asas. Kami yang semakin mengeras di dalam acuan penakut ini, apabila sudah tiba masa untuk dikeluarkan nanti, maka produk yang akan terhasil ialah produk yang penakut !
Kalau kita buat kek guna bekas segi empat nanti, bila sudah masak nanti, tidak akan terhasil kek yang berbentuk bulat !"
Oleh kerana itu, pada fasa pembentukan inilah serba-serbi yang ingin diterapkan perlu dilakukan dengan benar dan sempurna, supaya apabila produk yang terhasil nanti akan jadi seperti apa yang kita inginkan.
Aku cuba tekankan di sini bahawa, semasa jadi student ni lah kita dibentuk untuk jadi apa yang kita impikan pada masa akan datang. Student lepasan sekolah tidak sama dengan murid sekolah beb!
Keluarlah dari kepompong pemikiran sempit yang tersepit dengan mind-set konyol seperti kita student buat cara student, student mesti belajar dan terus belajar 24jam hingga lulus cemerlang..
Itu hanya valid untuk title student sekolah menengah/rendah !
Title student pada hari ini, perlu mula menjiwai apa yang dia perlu jadi pada masa akan datang lebih awal, kerana nanti, dia tidak akan kekok apabila sudah tiba pada masanya.
Kembali kepada isu menegur orang yang lebih tinggi, aku cuba jelaskan bahawa tahap pemikiran matang dan simbahan darah muda yang penuh dengan kesedaran untuk menyatakan kebenaran tanpa rasa takut itu adalah wajar diambil perhatian, kerana pada usia 20-an, saya yakin, kita bukanlah seorang kanak-kanak lagi, kitaran usia matang itu sedikit demi sedikit sudah mula melewati putaran usia kita, melainkan jika kita berusia 20 tahun ke atas, tapi masih memegang prinsip seperti budak sekolah !
Sudahlah, aku tidak ingin ketika aku berada di dalam acuan pembentukan hidup aku pada saat ini, aku ditambahkan dengan ramuan-ramuan dan serbuk perisa yang tidak sesuai dan sepatutnya, kerana aku mahu menjadi produk yang baik nanti apabila selesai dibentuk pada ketika ini.
Aku tidak mahu jadi seorang penakut pada masa akan datang, biarlah jadi seorang yang berani dan gila pada hari ini, asalkan tidak termakan diri sendiri, jangan sampai beribu orang lain pada akan datang terus dibajai dengan rasa dan sifat penakut yang tinggi !
Labels:
AKTA 174,
AUKU,
berani bersuara,
hak pelajar,
HEP,
KeADILan,
kebebasan bersuara,
kebenaran,
mahasiswa,
speaker corner,
student power
Thursday, July 5, 2012
Aku bukan Ustaz/ah. Apa yang aku boleh buat untuk Islam?
Ada juga ruang untuk berkongsi.
Aku bukanlah seorang yang hebat di pentas ceramah.
Aku bukanlah seorang yang petah berbicara di kaca televisyen.
Aku juga bukanlah seorang yang ligat untuk menulis bahan bacaan yang baik.
Tapi aku cuba untuk berkongsi sesuatu.
InsyaAllah dengan sedikit perkara yang dikongsikan ini memberi manfaat kepada rakan-rakan pembaca dan seterusnya dijadikan wadah untuk membangunkan ummah..
Aku sangat tertarik dan berminat untuk cuba membangunkan dan menterjemahkan semangat para siswa/i muda yang ghairah untuk menjadi mubaligh yang menyemarakkan suasana dan ruh Islam di tempat pengajian masing-masing. Walhal, tidak semua di antara mereka merupakan mahasiswa/i pengkhususan agama Islam.
Maka dengan itu, masih ramai yang tercari-cari wasilah untuk mencuri sedikit ruang bagi menyalurkan usaha untuk menyampaikan mesej Islam, tapi tidak menemui jalan ke arah itu.
Oleh sebab itulah, dengan sedikit pengalaman yang ada, aku cuba untuk kongsikan kepada anda semua :)
(berapa kali ulang daaa..)
Ok, mula-mula sekali, tanya diri kita:
# apa aset peribadi yang kita ada ?
# apa kemahiran yang kita ada ?
# apa pengalaman yang kita ada sebelum ini ?
# apa perkara yang kita minati ?
mungkin cukup setakat itu.
aku ulang lagi sekali, ini sekadar perkongsian dari pengalaman ya, bukan teori ..
# apa aset peribadi yang kita ada ?
Student biasanya akan ada aset seperti ini :
- Laptop
- Printer
- DSLR/Digital Camera
- Motorsikal
- Kereta
- Smartphone
- External Hardisk
- Bahan bacaan (buku/akhbar/tabloid dll)
- Telefon bimbit biasa
- Handycam
ok, mungkin ini yang asas, tidak semua yang ada, tapi mungkin kita boleh saling melengkapi kan?
aku cuba simpulkan, gadjet elektronik yang boleh menyimpan data atau boleh dikongsikan dengan orang lain sangat memberi manfaat dan peluang untuk menyebarkan sesuatu.
Sangat mudah, dengan cara meminta untuk memberi, atau menawarkan untuk memberi.
Contoh situasi :
" Mat, aku nak copy movie dari kau boleh ? lepas tu aku bagi la kau aku punya .."
Ada kamera ?
Suka snap gambar ?
Itu satu hobi yang sihat dan dengan kamera itu kita secara tidak langsung boleh mencelah antara ramai-ramai geng kamera yang ada. Kalau tiada kamera, masakan boleh join sekali kan?
Dengan berbekalkan kamera yang ada, sedikit kesungguhan untuk cuba meluaskan jaringan, dan yang paling penting "aku bukan saja-saja main kamera, tapi aku cuba untuk mendekati orang ramai, menyesuaikan diri dengan orang lain dan cuba untuk memberikan manfaat dari kamera ini kepada orang lain. Bila sudah dapat memenangi hati dan disenangi oleh orang lain, dari situ benih untuk menyampaikan sedia untuk ditanam dan disuburkan. "
Otai kamera kita pernah menerima soalan berkaitan dengan fotografi :
KLIK ---> FOTOGRAFI & DA'WAH
Actually dengan aset yang kita ada ni lebih sesuai untuk dikatakan sebagai alat untuk mencuri hati orang lain terlebih dahulu sebelum mula menceburi proses yang seterusnya, iaitu menyampaikan mesej sebenar yang kita ingin sampaikan. Lebih kepada memberi manfaat dan kebajikan kepada orang lain. Contohnya membawa dan membantu orang lain dengan kenderaan milik kita.
# apa kemahiran yang kita ada ?
Ok, seterusnya ialah kesinambungan dari soalan pertama tadi. Mungkin ada yang mempunyai aset yang banyak, tapi tiada kemahiran, cukuplah sekadar membantu dari aset yang ada dan kemudian berusaha untuk memperluaskan dan belajar pula kemahiran yang perlu dikuasai.
satu bonus yang berlipat kali ganda sekiranya kita ada aset yang banyak, kemudian melalui aset itu kita dapat hasilkan sesuatu output yang bermanfaat. Apa kemahiran yang student ada biasanya ?
- Photoshop
- Edit video
- Berpidato
- Menulis
- Melukis
- Bersukan
- Bermain alat muzik/nyanyian
- Berbahasa Isyarat
Biasanya dengan kemahiran ni, student akan apply untuk menjayakan program persatuan/organisasi. Kalau tidak pun, untuk kepuasan sendiri dan memang tu hobi mereka..hehe..
Kalau persatuan buat program/aktiviti, pastinya memerlukan publisiti yang meluas untuk memberitahu akan sasaran tentang program berkenaan. Photoshop sangat berperanan dalam menghasilkan poster yang gempak dan montaj juga diperlukan untuk mempromosikan program berkenaan. Di situ kemahiran menggunakan software sangat diperlukan.
Bukankah dengan kemahiran saja boleh memberi sumbangan yang besar kepada Islam ?
Besar kelebihannya kan?
Untuk berucap di khalayak ramai, menyuntik kesedaran dan seterusnya membangkitkan motivasi rakan-rakan, pada ketika ini kemahiran berpidato sangat diperlukan.
Seperti yang aku nyatakan tadi, ada yang suka menggunakan kemahiran untuk kepuasan sendiri dan memang tu hobi mereka. Dengan berpandukan kefahaman yang jelas tentang keperluan untuk menyampaikan, kemahiran dan hobi itu dimanfaatkan sebaiknya untuk menyampaikan.
Siapa tidak kenal Mat Lutfi, walaupun videonya agak santai, tapi pengaruhnya dalam menyampaikan nilai moral dengan caranya sendiri nampak berkesan dengan cuba mengkritik dan mengulas semula kebejatan yang telah berlaku.
Siapa tidak pernah melihat hasil kerja Rusydee Artz, dengan medium lukisan sudah berjaya menambat hati ramai orang untuk mengongsikan kebaikan melalui lukisan yang dihasilkan olehnya.
Siapa pernah ke Masjid Sri Petaling ?
Aku tertarik dengan salah satu medium da'wah yang kurang diambil perhatian oleh sesetengah pihak, iaitu dengan bahasa isyarat. Ceramah/bayan utama yang disampaikan biasanya dalam bahasa urdu yang kemudiannya dialih bahasa oleh tuan translator ( kemahiran dalam bahasa kedua dan ketiga juga perlu dimanfaatkan khususnya dalam penterjemahan dan memperluaskan lagi mesej da'wah) , dan kemudian disampaikan kepada beberapa kelompok kecil lagi, antaranya kelompok jemaah Tamil, Cina, Pakistan dan juga jemaah OKU iaitu yang mempunyai masalah pendengaran dan pertuturan (bisu).
Kalau rajin menghadap laptop, suka menaip dan sebagainya, cuba luahkan dalam blog atau tulis artikel yang best giler, boleh dikongsikan dalam bentuk risalah dan juga blog macam yang aku buat ni..(poyo lah pulak kan..)
Bila pandai bermain ayat, orang suka hasil tulisan kita, teruskan menulis dan sebarkan. Gunakan aset yang kita ada seperti printer dan laptop. Cetaklah risalah atau poster yang mampu untuk menyampaikan sesuatu yang bermanfaat untuk umat.
# apa pengalaman yang kita ada sebelum ini ?
Oraitt..
untuk hal ni, aku cuma dapat kongsikan sedikit, sebab era bermulanya pengalaman aku tidaklah terlalu lama, mungkin rasanya tidak sesuai untuk dikongsikan, tapi walaupun sedikit, aku cuba untuk sampaikan apa yang ada, daripada tiada.. :)
Anda pernah terlibat dengan mana-mana organisasi atau persatuan sebelum ini ?
Di sekolah atau di luar.
Jika ada, itu bonus tambahan untuk anda, kerana bekerja dalam satu pasukan ini memerlukan pengalaman yang ada bagi mendepani kerenah dan masalah bersama orang lain. Kerana bagi yang belum berpengalaman, ianya janggal dan perlu masa yang lama untuk menyesuaikan diri, kerana kita akan dikritik dan dikomen oleh orang lain serta perlu bersedia untuk memahami tugas dan fungsi posisi kita dalam sesuatu organisasi. Jika belum bersedia untuk memahami dan belum ada pengalaman, berat rasanya untuk melaksanakan arahan dari ketua.
Pengalaman biasanya akan diperolehi sejak dari zaman persekolahan lagi.
Mungkin dulu ada yang pernah jadi pengawas sekolah, pengerusi kelab, unit beruniform, ajk asrama, wakil sekolah dan sebagainya. Murid yang aktif biasanya tidak kekok untuk melibatkan diri dalam persatuan apabila masuk ke dunia mahasiswa.
Ingin saya kongsikan, bukan saja pensyarah saya, tetapi juga pakar motivasi juga sering mengatakan bahawa pihak yang ingin mengambil staf/pekerja dalam setiap sektor akan mengambil kira pengalaman penglibatan calon yang meminta pekerjaan daripada mereka terlebih dahulu, berbanding pencapaian akademik. Ini kerana, tidak semua ahli akademik yang bijak pandai boleh bekerja sebagai satu pasukan dan boleh menjadikan mutu kerja kurang baik kerana tiada chemistry dan semangat berpasukan antara pekerja.
Kita boleh lihat, kalau ada kawan-kawan kita yang kaki study, ulat buku dan sangat cemerlang, banyak masanya digunakan untuk belajar, tapi sedikit masa yang diluangkan untuk menimba pengalaman.
Tapi cuba kita bandingkan dengan kawan kita yang study, study jugak, tapi terlibat dalam aktiviti dan program di kampus. Akademiknya tidak diabaikan, komunikasi sosialnya dengan orang ramai baik, bila membuat pembentangan, lebih hebat dari kawan yang kaki study.
Sebab, di samping memiliki ilmu, mereka yang suka melibatkan diri dalam program dan berorganisasi ini telahpun mengaplikasikan ilmu yang mereka ada. Itu sudah cukup untuk memantapkan diri dari setiap aspek dan para pengusaha syarikat dan sektor-sektor pekerjaan sentiasa menantikan pekerja yang seperti ini.
Berbalik semula pada soalan.
Jika dulu di sekolah kita pernah menjadi setiausaha persatuan/kelab, apa salahnya kita teruskan menjadi setiausaha dan dalam masa yang sama menimba sedikit ilmu dalam kemahiran dan pengalaman yang lain.
Lebih mudah untuk melaksanakan sesuatu apabila seseorang itu adalah ahli dalam bidangnya. Lebih mudah untuk difahami, sudah mempunyai pengalaman dalam bidang yang diceburi sebelum ini.
# apa perkara yang kita minati ?
Seterusnya, tidak semua antara kita suka akan perkara yang kita lakukan, tapi secara zahirnya, kita suka untuk lakukan apa yang kita minat.
Jika kita lebih cenderung dan dalam penghasilan/penerbitan sesuatu, gunakan kemahiran yang ada, kemudian berkolaborasilah dengan mereka yang ada alatan yang lengkap jika kita tidak memilikinya.
Jika kita lebih suka untuk bersosial dan tidak suka untuk duduk diam, maka turunlah ke lapangan rakan-rakan, pikat dan tambatlah hati mereka untuk bersedia menerima mesej yang kita atau orang lain akan sampaikan.
Jika kita lebih suka melayan hobi dan kepakaran kita dalam photography, photo/video editing, teruskanlah dengan membantu rakan-rakan yang lain yang memerlukan kepakaran kita. Ia sudah menjadi tanggungjawab dan amanah kepada mereka yang berkemahiran. Jangan jadi seorang yang berilmu, tetapi menyembunyikan ilmunya.
Jika kita kurang berminat untuk menunjukkan minat kepada mana-mana perkara, cukuplah sekadar menjadi pembantu yang menjadi tulang belakang kepada mereka yang telah berusaha menjadikan produk dan melengkapkan asas kepada sesuatu permulaan. Tinggal kita saja yang melengkapkannya.
Jika rakan kita yang hebat dalam membuat poster tadi sudah selesai menyiapkan posternya dan menguploadnya ke facebook contohnya, tugas kita untuk share, like dan tag rakan-rakan yang lain.
Paling tidak pun sentiasa menaikkan post yang berkenaan agar ianya terus kekal menjadi post yang teratas, kerana setiap post yang baru akan muncul, jadi post yang sedia ada akan turun ke bawah jika ianya dibiarkan tidak terusik, tidak dilike atau dikomen.
Kalau bukan di laman sosial, sukarela lah untuk menjadi petugas, menampal poster, menaikkan banner, membeli paku tekan dan sebagainya.
Ingatlah rakan-rakan pembaca semua,
Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!
Surah Az-Zalzalah, 99:7
Semoga sedikit perkongsian ini dapat memberi inspirasi kepada rakan-rakan pembaca semua dalam menyemarakkan kancah da'wah di kampus khususnya. Aku bukanlah seorang yang hebat dan sempurna untuk dicontohi, cuma sekadar berminat untuk berkongsi...
Subscribe to:
Posts (Atom)