Showing posts with label amal soleh. Show all posts
Showing posts with label amal soleh. Show all posts

Monday, January 6, 2014

Amal Bukti Iman. Apa kaitan dengan anjing?

Bismillah..

Assalamualaikum dan selamat sejahtera, khusus untuk rakan-rakan pembaca yang sudi bertandang ke ruangan blog yang tidak menarik dan agak bosan ini, dengan satu tujuan dan hobi yang baik dan mulia, iaitu membaca.

Maka tergerak hujung jari hamba yang Allah beri pinjam ini untuk menaipkan beberapa perkara yang seronok untuk dikongsikan untuk dibaca, diamati, difahami dan seterusnya mengubah cara kita berfikir dan sekaligus membawa kita ke satu dimensi cara hidup yang baru, semestinya secara berperingkat-peringkat, insyaAllah.

Saya teringat sesuatu, ketika saya berada di tingkatan 4 kalau tidak silap dalam mata pelajaran Sains yang diajar dalam Bahasa Inggeris, namun disampaikan juga dalam Bahasa Melayu secara 70/30% mengikut kadar pertuturan yang saya perhatikan secara umum ketika cikgu saya mengajar.

Saya kurang ingat topik pelajaran di bawah tajuk apa dan bab apa, kerana ianya tertulis di dalam buku teks dan buku nota. Cuma saya ingat beberapa contoh situasi yang menyebabkan saya dapat memahami topik pelajaran pada hari tersebut.



"bayangkan kamu sedang berjalan di satu lorong, kemudian dalam jarak 10 meter kamu nampak seekor anjing yang besar, bulunya hitam, giginya tajam, di lehernya ada rantai yang berseretan, mungkin dia baru terlepas dari rumahnya, sedang memerhatikan kamu sambil menyalak dengan kuat ke arah kamu.

Mata kamu yang melihat sebenarnya telah menerima maklumat yang kemudiannya dihantar ke otak untuk memberitahu bahawa di hadapan itu ialah seekor anjing yang sifatnya seperti yang disebutkan tadi.

Kemudian maklumat yang diterima itu diproses di dalam otak, dan hasilnya ialah, otak merumuskan anjing itu berkemungkinan akan menyerang kamu.

Apa yang kamu perlu buat ialah menyelamatkan diri dengan cara yang sesuai dengan keadaan pada waktu itu. Mungkin melarikan diri dengan berpatah balik adalah cara yang sesuai.

Kemudian, otak menghantar maklumat tersebut kepada saraf otot untuk menggerakkan otot dan anggota yang terlibat sebagai respon penerimaan maklumat yang diterima daripada otot, iaitu lari menyelamatkan diri.

Apabila saraf otot menerima maklumat yang dihantar daripada otak, maka otot-otot yang terlibat akan menggerakkan anggota badan yang berkenaan sebagai respon penerimaan maklumat."

LARI !!!!!


Daripada sebuah penceritaan yang agak memeningkan itu, beberapa kesimpulan ringkas yang telah diperolehi, iaitu:



1) Mata sebagai salah satu deria reseptor penerima maklumat (terima)
2) Otak memproses maklumat yang diterima (faham)
3) Maklumat yang telah diproses dihantar kepada efektor iaitu saraf otot (respon)

Oleh kerana itulah, telah menjadi fitrah sebenarnya kepada tubuh badan kita, akan bergerak dan bertindak sebagai gerak balas kepada sebarang perkara yang kita terima dan fahami.

Apabila betis kita tersentuh ekzos motorsikal, otak terima maklumat dari deria sentuh iaitu kulit, kemudian proses maklumat, rasa panas dan sakit. Kemudian hantar maklumat yang telah diproses pula kepada saraf-saraf yang berkenaan (sebut nama nanti tambah pening pula) iaitu efektor, maka akan berlakulah gerak balas dari beberapa anggota badan kita, contohnya kaki kita cepat-cepat dialihkan dari ekzos tersebut, mulut kita akan cakap "aduh, panasnya!" atau sebaliknya, jika deria kita tidak berfungsi dengan baik, boleh jadi proses penerimaan dan gerak balas itu menjadi lambat.


Apa yang menarik perhatian saya ialah apabila saya mendengar kuliah tafsir berkenaan surah yang dibaca setiap kali sebelum balik dari sekolah agama dulu, iaitu surah Al-Asr. Untuk mendengar, [KLIK DI SINI]

Sekali lagi saya menghembuskan nafas panjang kerana merasakan kebesaran al-Quran, yang merupakan mukjizat dan juga ayat-ayat suci yang diturunkan oleh Allah.

Selepas saya mendengar penjelasan yang cukup terperinci pada ayat ketiga, automatik saya teringat teori sains yang saya ceritakan di atas.



Secara ringkasnya, dalam permulaan ayat, Allah Subhanahu Wata'ala bersumpah dengan masa, kerana masa itu merupakan suatu perkara yang mempunyai banyak kelebihan dan kepentingan. Panjang huraiannya tentang mengapa Allah bersumpah dengan masa.

Sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian. Perkataan 'inna', iaitu sesungguhnya merupakan suatu perkataan yang merujuk kepada penegasan terhadap sesuatu perkara, dalam ayat ini, iaitu manusia berada dalam kerugian. Manusia, tiada pengkhususan kepada golongan, bangsa, agama atau jantina. Semua manusia berada dalam kerugian. Kerugian membawa maksud suatu perkara negatif yang setiap manusia tidak begitu senang dengannya, diberi satu contoh yang mudah, budak kecil saja tahu rugi, bila biskut terjatuh, dia akan ambil semula. Maksudnya rugi itu perkara yang tidak digemari.

Namun begitu, Allah jelaskan garis pemisah antara orang yang rugi atau tidak dengan perkataan 'illa', iaitu melainkan mereka yang BERIMAN dan BERAMAL SOLEH.

Melalui teknik penceritaan secara analogikal yang dekat dengan masyarakat, situasi yang melibatkan seorang manusia, kemudian ada seekor ular dan juga kawasan semak.



Bila kita nampak ular masuk ke dalam semak, kita pun yakin dalam semak tu ada ular. Mata kita melihat dan telinga kita dengar ada bunyi dalam semak. Melalui keyakinan bahawa dalam semak tu ada ular, maka kaki kita pun bergerak.

Ada satu lagi, iaitu berkenaan dengan sebuah baldi yang digunakan untuk membancuh racun.
Berkenaan dengan keyakinan dan tindakan juga kisahnya.

Bila kita basuh baldi tu, kita hidu semula. Bila kita rasa ada bau lagi, maksudnya kita yakin bahawa racun tu masih ada. Tindakan kita ialah kita pun basuh lagi semula, hidu lagi, kemudian basuh dan begitu lah seterusnya.

Keyakinan terhadap sesuatu mendorong kita untuk melakukan sesuatu perkara atas keyakinan tersebut.

Maka oleh kerana itu, Allah susun ayat ketiga itu yang menjelaskan golongan yang terkecuali daripada orang yang rugi dengan didahului oleh orang yang sifatnya beriman dan iman itu bukan setakan beriman, tetapi disusuli dengan sifat seterusnya, iaitu orang yang beramal dengan amal yang soleh.

Amal itu lebih menarik dan sesuai digunakan sebagai aktiviti, kerana setiap perlakuan yang dikerjakan boleh jadi sebagai ibadah jika dilakukan kerana Allah dan itulah yang dikatakan sebagai amal soleh, iaitu perlakuan yang baik.

Oleh yang demikian, perkaitan antara teori sains dan juga "amanu wa 'amilus solihat'' merupakan suatu dimensi pemikiran yang mengubah cara saya melihat situasi semasa yang berlaku pada ketika ini.

Ini kerana, dengan pelbagai medium yang memungkinkan kita untuk menerima seruan dan juga peringatan untuk hidup dalam keadaan bersyariat secara optimum, kerana hampir setiap deria kita boleh menerima peringatan dan seruan untuk menjalani hidup mengikut ketetapan Allah dan mencontohi Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam.

Telinga boleh mendengar laungan azan yang menyeru kita untuk pergi ke masjid atau surau. Kita juga mungkin terdengar kuliah atau ceramah yang didengar oleh orang lain, atau lagu-lagu nasyid yang banyak memberi pengajaran kepada kita.

Mata kita apatah lagi, apabila menonton televisyen, tidak mustahil tidak pernah kita menonton televisyen tidak berkumandang azan, paling tidak pun dimaklumkan secara bertulis "telah masuk waktu solat..", iklan bagi rancangan lain juga ada menyiarkan pengajaran, serta pasti ada kandungan dalam jalan cerita drama atau filem yang kita tonton itu mempunyai pengajaran yang baik.

Adakah kita mempunyai masalah tertentu pada sistem saraf kita sehingga kadangkala atau mungkin selalu atau setiap hari atau setiap waktu kita menerima suatu seruan atau peringatan, kita terima dalam 10 hingga 15 saat sahaja, kemudian teruskan hidup seperti biasa tanpa ada sebarang respon daripada tubuh badan kita untuk menyahut seruan tersebut dan melakukan apa yang telah kita diperingatkan.

Maka di mana keyakinan kita kepada yang kita boleh sebut dan nyatakan satu persatu tentang rukun iman?

Mulut kita kata kita beriman, kenapa anggota badan kita yang lain seperti tidak ada tindak balas?

Ada orang ingatkan kita, tapi kita abaikan.

Mana tindakan dari anggota badan kita?

Itukah kualiti iman yang kita bawa ke sana ke mari dengan mengakui bahawa kita adalah seorang yang beragama Islam?

Kenapa rasa berat untuk 'bertindak' ?

Kerana setiap tindakan dan perlakuan kita adalah satu bentuk penyaksian dan keyakinan terhadap perkara yang kita benar-benar yakini.



Lalu bagaimana pula bukti penyaksian dan keyakinan kita terhadap keimanan kita kepada apa yang telah Allah turunkan kepada kita melalui al-Quran?


" tidakkah mereka  mengambil pengajaran daripada Al-Quran? "
Surah An-Nisa:82







Saturday, November 2, 2013

Buat, bukan cakap !



Bersabit dengan perkara ini, telah banyak disebut dalam Al-Quran, antaranya ialah dari surah As-Saff, surah ke 61, ayat 2 dan 3, iaitu perihal bagi golongan yang ditempelak kerana tidak bertindak seperti apa yang telah mereka perkatakan.

Dalam surah Al-Mulk, surah ke 67, ayat 2 yang menjelaskan bahawa hidup dan mati yang telah diciptakan adalah sebagai ujian kepada sekalian manusia, siapa yang lebih baik amalannya.Muhammad bin Ajlan dalam tafsir Ibnu Katsir mengatakan bahawa amalan itu sebaiknya yang lebih baik, dan Allah tidak mengatakan yang lebih banyak.

Syeikh Abdul Qader Al-Baihani ulama' Hadramawt dalam tausiyyahnya sangat memberi penekanan tentang praktik sesuatu ilmu dengan amal selepas menerima atau memperolehi ilmu. Siapa yang bertambah ilmunya, tetapi tidak beramal dengannya, semakin jauhlah orang itu dengan Allah katanya.

Kata Syeikh, Saidina Umar Al-Khattab menghafal surah Al-Baqarah selama setahun. Ini kerana, selepas menghafal 3 ayat, beliau memahami dan mengamalkan terlebih dahulu 3 ayat tersebut sebelum meneruskan hafalan kepada ayat-ayat yang seterusnya. Sekiranya kita hendak Allah beri manfaat kepada ilmu yang kita miliki, ianya memerlukan kepada amalan.


As-Syahid Imam Hassan Al-Banna pula meletakkan amal sebagai perkara yang ketiga dalam rukun baiah selepas faham dan ikhlas. Oleh kerana tugas yang sangat berat bagi para du'at memerlukan komitmen dan pelaksanaan yang yang maksima. Tidak cukup sekadar faham dan ikhlas sahaja, ianya perlu dimanifestasikan dengan amal (tindakan).

Apabila diteliti, amal itu sendiri merangkumi kesemua aspek dalam 10 rukun yang telah digariskan oleh As-Syahid Imam Hassan Al-Banna, kerana dalam sembilan rukun yang lain, setiap satunya adalah berkait dengan amal sebagai 'key performance indicator'nya.

Jika benar faham dan ikhlas, ianya boleh dimanifestasikan melalui amal, dan begitulah juga dengan rukun yang lain. Semuanya terkait dengan amal, baik sebagai input, proses mahupun output.

Sebagai contoh mudah, kita tahu bahawa manusia perlu makan buah-buahan, kerana dari makanan kita akan memperolehi zat dan keperluan nutrisi pada badan serta kesihatan. Maka, pada peringkat ini, kita telah menerima suatu ilmu dan kefahaman.

Namun, adakah cukup sekadar tahu dan faham itu, kita akan dapat manfaat daripada kefahaman tersebut kepada diri kita sendiri selagi belum ada tindakan? Sudah tentu tidak. Maka ianya perlu kepada tindakan.

Contoh lain, kita tahu, faham dan telah sampai kepada kita suatu maklumat tentang syarat sah, rukun, kaedah pelaksanaan, rukhsah dan sebagainya tentang sembahyang dan kita boleh jelaskan semula yang kita benar-benar faham kepada apa yang telah disampaikan.

Maka apa yang telah kita perolehi itu menuntut kita untuk melaksanakannya, dan tidak perlu saya hurai dengan lebih panjang.

Jika dibincangkan panjang lebar hal ini, perlukan rawatan yang akan mengambil masa yang lama dan kaedah yang mungkin boleh difikirkan bersama. Saya ambil contoh mudah untuk sama-sama kita lihat contoh apabila ilmu dan kefahaman yang tidak disusuli dengan amal dan implikasi selepasnya.



Saban tahun, kita akan mendengar berita gembira dan penuh bangga dengan peningkatan peratus pencapaian gred A dalam semua mata pelajaran bagi peperiksaan awam persekolahan. Ini bermaksud, mereka telahpun menerima ilmu dan kefahaman tentang banyak perkara termasuklah sahsiah dan moral yang baik serta kefarduan kepada ibadah-ibadah yang wajib dilaksanakan.

Namun, hanya berapa peratus daripada yang cemerlang itu benar-benar mengaplikasikan ilmu dan kefahaman mereka yang cemerlang itu?

Mungkin perbincangan kita sedikit tersasar, namun masih dalam kerangka yang betul saya kira.

Sebelum menamatkan perbincangan, ingin saya kongsikan suatu peringatan yang pertama sekali untuk diri saya sendiri. Ustaz Azahar Hashim Al-Hadrami telah mengingatkan, saya lupa sama ada ini adalah riwayat hadith atau sebahagian daripada tausiyyahnya, namun ianya berbunyi begini.



"Kita inginkan setiap perkara yang kita sayang, sentiasa dekat dan bersama dengan kita, susah senang dengan kita. Mungkin isteri atau suami kita, keluarga kita dan sebagainya. Jika ramai orang yang sayang pada kita semasa hidup, tunggu nanti ketika kita mati, sebahagian besar darinya akan datang ke rumah kita, mungkin sebahagian darinya akan ikut mengiring kita ke kubur, dan selepas itu, semua sekali akan pergi meninggalkan kita seorang diri di dalam kubur. Tiada siapa lagi yang menjadi teman kepada kita, sebagai penghibur, sebagai penyuluh dan penerang kepada kita di dalam kubur nanti, kecuali amalan soleh yang telah kita lakukan."
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...