Saturday, November 2, 2013

Buat, bukan cakap !



Bersabit dengan perkara ini, telah banyak disebut dalam Al-Quran, antaranya ialah dari surah As-Saff, surah ke 61, ayat 2 dan 3, iaitu perihal bagi golongan yang ditempelak kerana tidak bertindak seperti apa yang telah mereka perkatakan.

Dalam surah Al-Mulk, surah ke 67, ayat 2 yang menjelaskan bahawa hidup dan mati yang telah diciptakan adalah sebagai ujian kepada sekalian manusia, siapa yang lebih baik amalannya.Muhammad bin Ajlan dalam tafsir Ibnu Katsir mengatakan bahawa amalan itu sebaiknya yang lebih baik, dan Allah tidak mengatakan yang lebih banyak.

Syeikh Abdul Qader Al-Baihani ulama' Hadramawt dalam tausiyyahnya sangat memberi penekanan tentang praktik sesuatu ilmu dengan amal selepas menerima atau memperolehi ilmu. Siapa yang bertambah ilmunya, tetapi tidak beramal dengannya, semakin jauhlah orang itu dengan Allah katanya.

Kata Syeikh, Saidina Umar Al-Khattab menghafal surah Al-Baqarah selama setahun. Ini kerana, selepas menghafal 3 ayat, beliau memahami dan mengamalkan terlebih dahulu 3 ayat tersebut sebelum meneruskan hafalan kepada ayat-ayat yang seterusnya. Sekiranya kita hendak Allah beri manfaat kepada ilmu yang kita miliki, ianya memerlukan kepada amalan.


As-Syahid Imam Hassan Al-Banna pula meletakkan amal sebagai perkara yang ketiga dalam rukun baiah selepas faham dan ikhlas. Oleh kerana tugas yang sangat berat bagi para du'at memerlukan komitmen dan pelaksanaan yang yang maksima. Tidak cukup sekadar faham dan ikhlas sahaja, ianya perlu dimanifestasikan dengan amal (tindakan).

Apabila diteliti, amal itu sendiri merangkumi kesemua aspek dalam 10 rukun yang telah digariskan oleh As-Syahid Imam Hassan Al-Banna, kerana dalam sembilan rukun yang lain, setiap satunya adalah berkait dengan amal sebagai 'key performance indicator'nya.

Jika benar faham dan ikhlas, ianya boleh dimanifestasikan melalui amal, dan begitulah juga dengan rukun yang lain. Semuanya terkait dengan amal, baik sebagai input, proses mahupun output.

Sebagai contoh mudah, kita tahu bahawa manusia perlu makan buah-buahan, kerana dari makanan kita akan memperolehi zat dan keperluan nutrisi pada badan serta kesihatan. Maka, pada peringkat ini, kita telah menerima suatu ilmu dan kefahaman.

Namun, adakah cukup sekadar tahu dan faham itu, kita akan dapat manfaat daripada kefahaman tersebut kepada diri kita sendiri selagi belum ada tindakan? Sudah tentu tidak. Maka ianya perlu kepada tindakan.

Contoh lain, kita tahu, faham dan telah sampai kepada kita suatu maklumat tentang syarat sah, rukun, kaedah pelaksanaan, rukhsah dan sebagainya tentang sembahyang dan kita boleh jelaskan semula yang kita benar-benar faham kepada apa yang telah disampaikan.

Maka apa yang telah kita perolehi itu menuntut kita untuk melaksanakannya, dan tidak perlu saya hurai dengan lebih panjang.

Jika dibincangkan panjang lebar hal ini, perlukan rawatan yang akan mengambil masa yang lama dan kaedah yang mungkin boleh difikirkan bersama. Saya ambil contoh mudah untuk sama-sama kita lihat contoh apabila ilmu dan kefahaman yang tidak disusuli dengan amal dan implikasi selepasnya.



Saban tahun, kita akan mendengar berita gembira dan penuh bangga dengan peningkatan peratus pencapaian gred A dalam semua mata pelajaran bagi peperiksaan awam persekolahan. Ini bermaksud, mereka telahpun menerima ilmu dan kefahaman tentang banyak perkara termasuklah sahsiah dan moral yang baik serta kefarduan kepada ibadah-ibadah yang wajib dilaksanakan.

Namun, hanya berapa peratus daripada yang cemerlang itu benar-benar mengaplikasikan ilmu dan kefahaman mereka yang cemerlang itu?

Mungkin perbincangan kita sedikit tersasar, namun masih dalam kerangka yang betul saya kira.

Sebelum menamatkan perbincangan, ingin saya kongsikan suatu peringatan yang pertama sekali untuk diri saya sendiri. Ustaz Azahar Hashim Al-Hadrami telah mengingatkan, saya lupa sama ada ini adalah riwayat hadith atau sebahagian daripada tausiyyahnya, namun ianya berbunyi begini.



"Kita inginkan setiap perkara yang kita sayang, sentiasa dekat dan bersama dengan kita, susah senang dengan kita. Mungkin isteri atau suami kita, keluarga kita dan sebagainya. Jika ramai orang yang sayang pada kita semasa hidup, tunggu nanti ketika kita mati, sebahagian besar darinya akan datang ke rumah kita, mungkin sebahagian darinya akan ikut mengiring kita ke kubur, dan selepas itu, semua sekali akan pergi meninggalkan kita seorang diri di dalam kubur. Tiada siapa lagi yang menjadi teman kepada kita, sebagai penghibur, sebagai penyuluh dan penerang kepada kita di dalam kubur nanti, kecuali amalan soleh yang telah kita lakukan."

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...