Pendahuluan.
Dalam
perkembangan dunia yang pesat membangun pada ketika ini, pelbagai informasi
terkini sangat mudah diperolehi, salah satunya ialah berita yang pelbagai.
Ianya disalurkan melalui pelbagai medium elektronik seperti melalui internet, televisyen,
radio, bahan bercetak seperti akhbar, risalah dan sebagainya.
Tidak dinafikan
berita-berita yang telah tersebar melalui media adalah datang dari pelbagai
sumber dan sudut pendapat yang berbeza, namun begitu, pengaruhnya terhadap
masyarakat dilihat sangat membimbangkan, khususnya dalam pendokumentasian isu
yang melibatkan guru.
Hal ini akan membawa seribu satu persoalan, persepsi dan
pandangan dari pelbagai sudut, baik positif dan juga negatif, terutamanya terhadap profesion perguruan
khususnya dan kepada guru amnya.
Guru
dan Profesion Perguruan.
Guru.
Adapun
pendapat umum berkenaan definisi guru ialah seorang yang mengajarkan sesuatu
ilmu kepada murid atau pelajar di setiap peringkat usia dan tingkat tahap
pendidikan itu sendiri. Ragbir Kaur (2007), mendefinisikan guru adalah sebagai
insan yang mendidik murid dalam pelbagai ilmu pengetahuan dan kemahiran
daripada pelbagai disiplin dalam kurikulum sekolah, manakala Mok Soon Sang
(2007) mena’rifkan guru adalah pendidik dan pengasuh kanak-kanak yang akan
menjadi warisan kebudayaan dan ilmu pengetahuan untuk kemajuan Negara pada masa
depan.
Profesion
Perguruan.
Merujuk
kepada Kamus Dewan (1989), perkataan ‘Perguruan’ yang diertikan dalam konteks
pendidikan ialah ‘pengajaran’, contohnya perguruan kepada guru, murid dan
sebagainya, manakala perkataan ‘keguruan’ pula diertikan sebagai ‘perkara yang
berkaitan dengan guru’, seperti peranan, tugas, kelayakan, sifat dan lain-lain
perkara sebagai guru, misalnya masyarakat memandang tinggi kepada nilai
keguruan yang ada pada seorang guru, yang menjelaskan tentang ciri-ciri serta
sahsiah yang dimiliki oleh guru pada perkataan keguruan yang dinyatakan.
Profesion
memiliki maksud yang sangat luas khususnya dalam aspek pekerjaan. Ianya membawa
dimensi dan penilaian yang berbeza antara suatu pekerjaan dengan pekerjaan yang
lain dalam konteks standard dan impak terhadap individu yang terlibat dalam
pekerjaan tersebut.
Dalam
menghuraikan sama ada sesuatu pekerjaan itu boleh diklasifikasikan sebagai
profesion atau tidak, tokoh pendidikan Amerika Syarikat, Lieberman telah
menggariskan beberapa ciri-ciri tertentu, seperti yang berikut:
-Pekerjaan itu merupakan perkhidmatan yang unik dan
penting.
-Banyak menggunakan keupayaan intelek.
-Pakar dalam bidangnya dan mempunyai autonomi semasa
menjalankan tugas.
-Mendapat latihan khusus.
-Mementingkan mutu perkhidmatan serta dedikasi terhadap
kerja.
-Merupakan ahli kepada autonomi yang menentukan
nilaitaranya.
-Mematuhi kod etika yang ditentukan oleh organisasi.
-Bertanggungjawab terhadap semua keputusan yang telah
diambil.
Dalam
menjelaskan makna sebenar konsep profesion perguruan, ada baiknya ia dinilai
daripada dua sudut pandangan yang berbeza agar ianya dapat didefinisikan dengan
lebih efektif dan mudah untuk difahami. Awang Had Salleh (1980) memperihalkan
bahawa perguruan adalah lebih mirip kepada pekerjaan berbanding profesion.
Mok
Soon Sang (1996) telah meringkaskan konsep profesionalisme dalam kalangan guru
sebagai suatu pekerjaan khusus dan dijalankan oleh orang yang mempunyai
kelulusan dan latihan ikhtisas yang cukup bermutu, bersikap jujur, dedikasi,
berakauntibiliti dan bermoral tinggi, mempunyai autonomi bertugas serta
mematuhi kod etika yang ditentukan oleh organisasinya.
Kedua-dua pendapat ini
telah menggambarkan secara ringkas konsep profesion perguruan dan menjelaskan
bagaimana perguruan itu sendiri dianggap sebagai suatu profesion yang mempunyai
standard yang tersendiri.
Etika
Keguruan.
Harold
Koontz & Heinz Weihrich (1990) menjelaskan etika adalah sebagai satu cabang
ilmu pengetahuan yang meliputi perkara yang baik dan tidak baik seiring dengan
kewajiban dan tanggungjawab moral.
Dalam
erti kata yang lain,etika adalah panduan dan ketetapan yang telah digariskan
terhadap setiap perlakuan untuk memastikan matlamat yang ingin dicapai dapat
diperolehi seperti yang telah ditetapkan. Sebagai contoh, dalam konteks ingin
membentuk sahsiah yang terpuji dalam diri seorang guru, adalah menjadi satu
tenggungjawab bagi seorang guru untuk mempraktikkan etika keguruan dalam diri
masing-masing bagi dalam usaha untuk mencapai hasrat untuk menjadi guru yang
mempunyai sahsiah yang terpuji.
Isu
Etika Keguruan.
Namun
begitu, sejak kebelakangan ini, kita telah banyak menyaksikan pelbagai isu
negatif yang telah menafikan akauntibiliti dan etika keguruan dalam kalangan
guru pada masa kini.
Bukan
sekali berita yang telah memaparkan kes tindakan salah laku guru disiarkan.
Lebih membimbangkan lagi, peratus berlakunya isu yang melibatkan etika keguruan
yang tidak menyenangkan tidak menunjukkan tanda-tanda penurunan, malah graf
pada statistik kajian ke atas perkara ini memaparkan lonjakan angka yang
menggambarkan betapa parahnya isu etika keguruan yang sedang berlaku.
Sepanjang tempoh bermula dari bulan Januari hingga Mei dalam tahun
2007, lebih 200 aduan telah diterima oleh pihak Kementerian Pelajaran berkenaan
kes salah laku yang melibatkan guru. Terdapat beberapa jenis kesalahan utama
yang telah dikenalpasti dalam aduan-aduan yang telah dibuat, seperti rasuah,
tidak hadir bertugas, gangguan seksual, pecah amanah, penyalahgunaan dadah dan
sebagainya. Berikut merupakan analisis jumlah peratus kesalahan yang telah
dilaporkan.
Rajah 1 : Peratus bilangan kesalahan pelbagai guru
yang dilaporkan dalam bulan Januari hingga Mei 2007.
200
aduan yang diterima dalam tempoh 5 bulan bukanlah jumlah yang sedikit, kerana
mungkin masih terdapat lebih banyak lagi kes yang melibatkan isu etika keguruan
yang negatif tidak diadukan kepada pihak
yang berkenaan seperti pihak Kementerian Pelajaran dan juga Polis Diraja
Malaysia. Besar kemungkinan peratus angka yang dicatatkan dalam Rajah 1 akan
meningkat sekiranya tidak ada usaha untuk cuba mengatasi dan mengurangkan kadar
berlakunya kes salah laku yang membabitkan etika keguruan yang tidak baik.
Dalam
akhbar-akhbar harian tempatan, baik dalam bentuk akhbar bercetak dan juga akhbar
yang diakses melalui internet, setiap terbitan yang terkini tidak pernah lekang
dengan topik kebejatan etika keguruan. Berkesinambungan dengan analisis aduan
yang terdapat di dalam Rajah 1. Berikut merupakan tajuk-tajuk utama berita, melibatkan
etika keguruan yang terdapat di media massa dari tahun 2008 sehingga ke hari
ini :
Implikasi Isu
Terhadap Akauntabiliti Keguruan dan Integriti Guru.
Gambar 1 : Perbezaan antara dua zaman berkenaan
tindakan guru dan ibu bapa murid
Contoh-contoh
berita yang telah disiarkan dan juga berdasarkan pengalaman saya sendiri berada
di sekolah adalah merpuakan bukti yang kukuh, bahawa isu etika keguruan yang
semakin membarah dan berpotensi tinggi untuk menularkan kesan-kesan sampingan
yang pelbagai kepada pelbagai pihak, khususnya terhadap akauntabiliti dan
integriti keguruan, ekoran daripada tindakan guru yang menyalahi etika
keguruan.
Komik
yang dipaparkan dalam Gambar 1 menunjukkan dua situasi dan latar belakang masa
yang berbeza, namun mempunyai tema yang sama, iaitu tindakan guru terhadap
murid serta respon dari ibu bapa murid
terhadap tindakan guru. Apa pun tindakan yang dilakukan oleh seorang guru,
ianya tidak boleh dipisahkan dengan akauntabiliti keguruan.
Menurut
Kamus Pelajar Edisi Kedua, akauntabiliti bermaksud sifat bertanggungjawab terhadap
seseorang atau sesuatu keputusan atau
tindakan manakala Kamus Dewan Edisi Keempat menerangkan maksud
integriti, iaitu kejujuran, ketelusan dan menjaga sesuatu daripada perkara yang
melibatkan penyelewengan.
Dalam konteks akauntabiliti keguruan dan
integriti guru pula, ianya merujuk kepada tanggungjawab dan komitmen yang
tinggi terhadap profesion perguruan dalam beberapa komponen utama, iaitu
akauntabiliti terhadap murid, ibu bapa, rakan sejawat, masyarakat dan negara
serta profesion perguruan, serta pembudayaan nilai integriti keguruan dalam
kalangan guru.
Walaupun begitu, isu-isu yang
melibatkan etika keguruan yang sangat banyak berlaku pada hari ini telah
menjejaskan akautabiliti guru. Secara amnya, isu yang membabitkan etika
keguruan telah melunturkan akauntabiliti yang ada dalam diri guru yang tidak
terlibat dengan sebarang kes salah laku tersebut atas persepsi umum yang dibuat
oleh masyarakat.
Apabila persepsi negatif ditujukan
kepada akauntabiliti keguruan, maka segala tindakan yang dilakukan oleh guru
akan mendapat respon yang pelbagai khususnya daripada ibu bapa dan masyarakat
amnya.
Sebagai contoh, apabila seorang guru
yang sangat mematuhi kod etika profesion perguruan dan melaksanakan
akautabilitnya sebagai guru memberikan teguran dan nasihat dengan tegas kepada
muridnya supaya menyiapkan latihan secara lisan. Apabila hal itu sampai kepada
pengetahuan penjaga murid berkenaan, maka
guru tersebut telah didakwa atas kesalahan melakukan kekasaran terhadap
anaknya, atas persepsinya yang tidak begitu baik terhadap akautabiliti keguruan
yang ada pada guru secara amnya.
Di samping itu, lunturnya integriti
yang ada pada seorang guru kesan daripada isu seperti hadir lewat ke sekolah.
Ianya bukan sahaja akan mengakibatkan hilangnya kepercayaan dan rasa hormat
terhadap rakan sejawat dan murid-murid, bahkan secara tidak langsung akan
melambatkan aspek pengurusan dan pengelolaan. Pelan Integriti Nasional telah
menggariskan 5 objektif khusus, salah satu darinya ialah menggalakkan semangat
bertanggungjawab di kalangan anggota masyarakat serta mendorong perkembangan
masyarakat sivil yang menjunjung prinsip integriti dan bergerak cergas
menegakkan integriti.
Selain
itu, kualiti pembelajaran murid juga akan turut terkesan akibat daripada etika
guru yang telah menjejaskan akauntabiliti keguruan itu sendiri. Sebagai contoh, murid yang
menjadi mangsa kepada guru yang tidak mengamalkan kod etika keguruan serta
menjalankan akauntabilitinya sebagai guru akan merasa mereka seolah-olah guru
berkenaan garang dan susah untuk didekati.
Maka,
sekiranya murid berkenaan mengalami masalah, murid tersebut tidak berani untuk
berjumpa dengan guru itu kerana takut kepada guru tersebut.
Harus diingat bahawa, hal seperti ini adalah
penyumbang utama kepada jatuhnya akauntibiliti profesion perguruan dalam kaca
mata masyarakat pada hari ini, lebih-lebih lagi dengan tersiarnya berita-berita
negatif berkenaan isu keguruan di segenap sumber media massa.
Gambar 2 : Kes salah laku guru berada di tempat
tertinggi dalam Google Search Engine.
Marshall Mc Luhan (1983) yang menulis
buku Media is the Message menjelaskan bahawa media lebih berkesan dalam
menentukan isi kandungan maklumat, kerana media itu sendiri yang berperanan
dalam menyampaikan maklumat. Sejauh mana maklumat itu dapat disebarkan, sejauh
itulah luasnya masyarakat akan menerimanya dan bagaimana impaknya pada
masyarakat itu, ditentukan oleh media itu sendiri.
Maka dalam konteks ini, masyarakat
yang menerima maklumat secara cepat dan meluas secara tidak langsung akan
dipengaruhi oleh kandungan media itu sendiri. Melihat kepada jumlah kes jenayah
dan salah laku berkenaan isu etika keguruan yang disiarkan di media massa,
sedikit sebanyak ianya mampu mengubah persepsi masyarakat terhadap profesion
perguruan, daripada persepsi yang baik, kepada yang sebaliknya.
Media massa lebih banyak dan kerap
memaparkan kes-kes negatif yang melibatkan etika keguruan berbanding menyiarkan
perkara-perkara yang positif. Hal ini perlu dipandang serius oleh pihak-pihak
yang berkenaan, seperti pihak media, pihak kementerian dan organisasi di
sekolah itu sendiri untuk cuba menggiatkan usaha untuk mengangkat dan
meningkatkan semula martabat profesion perguruan yang kian terjejas dari hari
ke hari.
Cadangan
Langkah-langkah Menangani Isu.
Memperkasakan
konsultansi antara pihak sekolah & ibu bapa.
Apabila rasa tidak puas hati para ibu
bapa terhadap tindakan guru, memfailkan saman adalah tindakan yang selalu
diambil untuk menyelesaikan masalah.
Senario ini telah acap kali berlaku
pada hari ini, sehingga ianya dibawa ke sidang parlimen. Bekas Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Hon Choon Kim telah menyatakan bahawa guru mempunyai
tanggungjawab yang amat berat dalam mendidik. Sekiranya mereka melakukan
sesuatu yang telah menimbulkan perasaan tidak puas hati ibu bapa, perkara itu
tidak perlu dibawa ke mahkamah, sebaliknya dibawa berbincang secara baik.
Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) adalah salah satu medium terbaik
untuk menghubungkan antara ibu bapa dan juga guru. Perancangan untuk mewujudkan
kesefahaman dan kerjasama antara dua pihak ini perlu diperkemaskan untuk
memastikan tidak berlaku salah faham serta terjalinnya hubungan yang baik antara
pihak sekolah, khususnya guru-guru dan ibu bapa.
Melibatkan guru-guru dengan kursus-kursus yang berkaitan.
Kursus atau seminar adalah antara mekanisme terbaik untuk
mendapatkan ilmu serta meningkatkan kemahiran-kemahiran yang pelbagai. Ianya
bukan sahaja boleh dilakukan di sekolah, malah penganjuran kursus ini turut
dilakukan oleh pihak kementerian di setiap peringkat untuk disertai oleh
guru-guru.
Sebagai contoh, inisiatif yang baik telah diambil oleh kerajaan
negeri Selangor dengan penganjuran Bengkel Sumbang Saran hala Tuju Pendidikan.
Menggiatkan program yang berfokuskan kepada guru.
Guru adalah merupakan model terbaik untuk dicontohi oleh murid. Noriati
A. Rashid (2010) berpendapat bahawa, guru-guru yang mempamerkan ciri-ciri penampilan
yang sesuai dimodelkan supaya tidak bertentangan dengan etika guru. Justeru itu, mempergiatkan program yang mampu membentuk peribadi
dan sahsiah yang baik perlu dilaksanakan di setiap peringkat. Antara contoh
program yang boleh dilakukan ialah seperti Program Guru Penyayang, Anugerah
Guru Contoh Mingguan, Program Anak Angkat dari kalangan murid, lawatan atau
riadah bersama rakan sejawat.
Program-program seperti ini dapat memupuk para guru untuk memiliki
nilai murni dalam kalangan guru, sekaligus mengurangkan sikap yang kurang baik.
Myint (2005) menyatakan bahawa guru perlu mengurangkan emosi-emosi negative
apabila berada dalam kalangan murid.
Sentiasa mengamalkan budaya cakna dalam kalangan guru.
Budaya cakna ini lebih sesuai sekiranya ia dapat dilaksanakan
bertujuan untuk memberi ruang dan peluang kepada guru-guru untuk sentiasa
memberi perhatian serta mengikuti segala garis panduan dan arahan yang telah
diberikan untuk melaksanakan sesuatu tindakan. Sebagai contoh, untuk
menyelesaikan masalah disiplin dalam kalangan murid, guru yang berkenaan perlu
melakukannya berdasarkan garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak
kementerian dengan merujuk terlebih dahulu kepada tatacara yang telah
ditetapkan dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 7
Tahun 20133,Pelaksanaan Standard Operating Procedure (SOP) 1:3:7,
Pelaporan dan Tindakan Menangani Isu Disiplin Murid.
Gambar 3 : Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 7
Tahun 2013
Selain itu, budaya cakna ini boleh
dilakukan secara berperingkat dan diadakan samada secara berkala atau harian.
Sebagai contoh, setiap kali perjumpaan atau mesyuarat, aka nada slot
perkongsian untuk menjelaskan tentang kandungan pekeliling atau garis panduan
yang tertentu.
Kesimpulan Penting.
Perlu difahami dengan jelas bahawa, kerjaya guru bukanlah suatu kerjaya yang sembarangan. Ia merupakan ibadah yang tinggi darjatnya di sisi Allah SWT dan sebahagian daripada modal yang paling kukuh untuk menjadi syarat melangkahkan kaki ke dalam syurga yang dijanjikan kepada hamba Allah yang benar-benar layak atas amalan yang telah dilakukan.
Pendidik, kontribusinya kepada umat tidak dapat dikira dengan angka, tidak dapat diukur dengan nilaian manusia, sekalipun adanya anugerah-anugerah khusus yang diberikan. Dari hidup sehingga matinya pun, pahala kepada amal kebaikannya terus dikira, apabila ilmu yang telah dicurahkan kepada murid-murid dan segala kebaikannya kepada masyarakat dan umat terus dimanfaatkan.
Jika anak Adam meninggal, maka amalnya
terputus kecuali dari tiga perkara, sedekah jariyah , ilmu yang bermanfaat, dan
anak soleh yang berdoa kepadanya.''
(HR Muslim).
Dalam riwayat Ibnu Majah, Rasulullah SAW
menambahkan tiga amal di atas, Rasulullah SAW bersabda,
"Sesungguhnya amal dan kebaikan yang
terus mengiringi seseorang ketika meninggal dunia adalah ilmu yang bermanfaat,
anak yang dididik agar menjadi orang shaleh, mewakafkan Alquran, membangun
masjid, membangun tempat penginapan bagi para musafir, membuat irigasi, dan
bersedekah".
(HR Ibn Majah).
Oleh yang demikian, seharusnya, seorang guru itu, memiliki sifat yang sebenar-benarnya selayak seperti seorang pendidik, mempunyai nilai dan sahsiah yang tinggi.
Rujukan.
1) Awang Had
Salleh (1980). Keguruan dan Perguruan di Malaysia : Keperihalan Kini dan
Arah yang dituju. Johor Bahru, KONPEN V Publications.
2) Dr.
Ragbir Kaur a/p Joginder Singh, (2007) Panduan Ulangkaji Pendidikan Untuk
KPLI Sekolah Menengah dan Sekolah Rendah, Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman
Sdn. Bhd.
3) Haliza Hamzah
(2009), Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku, Shah Alam: Oxford
Fajar Sdn Bhd.
4) Harold Koontz
& Heinz Weihrich (1990), Pethinking The Professional of Teaching in
Teacher Education Journal Vol XII, No.1.
5) Howard, G. R.
(2007), ‘Dispositions for Good Teaching’, Journal of Educational
Controversy, Ogos 2007.
6) Mok
Soon Sang (2007), Pengantar Teras Pendidikan, Kuala Lumpur, Kumpulan
Budiman Sdn. Bhd.
7) Myint,
S.K (2005), Classroom Management : Facilating and Learning, Singapura :
Pretince Hall.
8) Noriati A.
Rashid (2010) Asas Kepimpinan dan Perkembangan Profesional Guru, Shah
Alam: Oxford Fajar Sdn Bhd.
9) Stewart, P.
& Davis, S. (2005), ‘Developing Dispositions of Preservice Teachers
Through Membership in Professional Organizations’, Journal of Authentic
Learning, Vol.2 (1), September 2005.
10) Syed Ismail
& Ahmad Subki (2013) Asas Kepimpinan & Perkembangan Profesional, Selangor,
Penerbitan Multimedia Sdn Bhd.
11) Surat
Pekeliling Ikhtisas Bilangan 7 Tahun 2013,Pelaksanaan Standard Operating
Procedure (SOP) 1:3:7, Pelaporan dan Tindakan Menangani Isu Disiplin Murid.
12)
http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2007/11/15/TERKINI/Mutakhir/Ibu_bapa_digesa_tidak_saman_guru&sec=mstar_berita
13)
14)
15)
16)
17)
18)