Friday, May 31, 2013

MANIFESTO PENDIDKAN PRU 13 | ANTARA PRO/KONTRA TRANSFORMASI & KEBAJIKAN

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada para pembaca yang budiman sekalian.

Sehingga ke hari ini, bahang kehangatan Pilihanraya Umum ke-13 (PRU13) masih lagi dapat dirasai oleh semua pihak. Pasca PRU13 ini menyaksikan banyak respon baik positif atau negatif terhadap keputusan, pembaharuan yang dilakukan dan sebagainya.

Selain itu, antara perkara yang menarik perhatian kita sama ada sebelum atau selepas PRU ialah terhadap manifesto yang dikemukakan oleh calon-calon parti politik yang bertanding, semestinya menjanjikan pelbagai bentuk idea-idea baru atau penambahbaikan kepada perkara sedia ada.

Bagi pengundi pula, antara kesilapan yang dianggap remeh, namun sangat memberi impak yang sangat maksima ialah memandang rendah kepada manifesto dan ada juga yang mengundi berdasarkan calon dan parti.

Bagi saya, tidak salah menilai sesuatu manifesto melalui calon, kerana kredibiliti yang dimiliki juga adalah salah satu kebolehpercayaan kepada pengundi untuk memilih calon yang berkenaan. Tapi tidak mustahil juga, ada yang benar-benar memilih calon yang dirasakan boleh melaksanakan manifesto yang telah dibentangkan berdasarkan rasional-rasional tertentu. Ini patut diberi pujian, kerana tidak memilih pemimpin berdasarkan perkara yang akan dilakukan pasca PRU, bukan memilih berdasarkan siapa calon dan parti apa yang diwakilinya.





Berkisarkan tentang manifesto ini, saya membentangkan manifesto yang saya highlightkan dalam sektor pendidikan daripada dua parti politik yang bertanding, iaitu manifesto dari Barisan Nasional (BN) oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dan manifesto dari Parti Islam SeMalaysia (PAS) oleh Husam Musa.



 


Saya ambil 2 contoh yang terdekat memandangkan Tan Sri Muhyidin Yassin merupakan Menteri Pendidikan daripada kerajaan pusat yang mewakili BN, manakala Husam Musa pula merupakan calon di mana tempat beliau bertanding merupakan tempat paling ramai kakitangan kerajaan dan fokus utama beliau ialah pengundi dari kalangan kakitangan kerajaan dan sekaligus beliau mewakili PAS dan Pakatan Rakyat (PR) bertanding 1 lawan 1 bersama calon parlimen BN, Tengku Adnan Tengku Mansor yang telah menewaskan Husam Musa dengan majoriti 5,541 undi, 9,943 undi untuk BN, manakala 4,402 undi untuk PAS.

Baik, mari sama-sama kita teliti bersama manifesto daripada BN :



Manifesto BN Usaha Capai Kecemerlangan Pendidikan Negara

Manifesto Barisan Nasional untuk pilihan raya umum ke-13 (PRU13) ialah usaha untuk mencapai kecemerlangan pendidikan negara. Timbalan Perdana Menteri berkata aku janji pendidikan itu mensasarkan untuk membawa Malaysia ke tahap 'kategori tiga teratas' dalam sistem pendidikan terbaik dunia.

"Di bawah manifesto itu kita (Barisan Nasional) menjanjikan akan ada kerjaya yang lebih baik kepada 420,000 guru supaya mereka mendapat pembelaan yang secukupnya," katanya.

Bagi mengurangkan beban para guru, lebih ramai pembantu pentadbiran akan diambil agar guru tidak perlu lagi melakukan tugas-tugas pentadbiran di sekolah dan menumpukan pengajaran pelajar, kata Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran kepada pemberita selepas majlis perasmian bangunan baharu Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Lanodron di Panchor.

Beliau berkata kerajaan juga akan berusaha meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris dengan melatih guru yang mengajar subjek itu di samping mewajibkan pelajar lulus subjek itu dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula 2016.

Tan Sri Muhyiddin berkata peluang pelajar menyambung pelajaran dalam bidang vokasional daripada 10 peratus pada masa ini kepada 20 peratus, juga diberi penekanan supaya lebih ramai pelajar yang cenderung dalam bidang berkenaan mendapat peluang pendidikan.

Kerajaan juga akan memberikan peruntukan pembangunan tetap setiap tahun kepada sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil (SJKC/SJKT) bagi menambah baik keadaan sekolah.

Timbalan Perdana Menteri juga berkata kerajaan akan merangka kurikulum baharu mata pelajaran Bahasa Malaysia di SJKC dan SJKT yang lebih bersesuaian dengan standard penerimaan murid di sekolah berkenaan. Sumber : Berita RTM

Manifesto BN: Wujudkan sistem pendidikan terbaik dunia

KUALA LUMPUR 6 April - Barisan Nasional (BN) berjanji untuk membawa sistem pendidikan negara ke taraf antara terbaik di dunia dengan memperbaiki kualiti sekolah kebangsaan.

Manifesto BN bertajuk "Menepati Janji Membawa Harapan" yang dilancarkan Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak di sini malam ini, berjanji untuk :

- Membawa Malaysia ke "tahap kategori tiga teratas" dalam sistem pendidikan terbaik dunia.

- Menggariskan usaha dalam membina kecemerlangan pendidikan negara termasuk berjanji untuk memperkasakan Bahasa Inggeris dengan menjadikannya mata pelajaran wajib lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta memperbaiki penguasaan bahasa itu dan Bahasa Malaysia dari tahap prasekolah.

- Peningkatkan prestasi mata pelajaran Sains dan Matematik, selain membentuk kemahiran berfikir yang tinggi di kalangan pelajar, serta mengembangkan persekolahan satu sesi, dan menyediakan makmal ICT di sekolah-sekolah yang memerlukan.

- Menyediakan lebih banyak sekolah, meliputi semua jenis sekolah, di kawasan yang mempunyai permintaan tinggi, dan menyediakan insentif kewangan sebanyak RM100,000 setahun kepada sekolah yang menawarkan kelas pendidikan khas.

- Menyediakan lebih banyak biasiswa berdasarkan merit dengan peruntukan khas kepada komuniti yang kurang bernasib baik.

- Memperbaiki akses untuk pendidikan berkualiti di  komuniti kecil dan kawasan luar bandar terutama di Sabah dan Sarawak, dan memperluaskan pendidikan prasekolah meliputi semua jenis sekolah.

- Bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT), akan diperkenalkan sistem pembelajaran dan pengajaran yang mudah bagi Bahasa Malaysia di kedua-dua sekolah tersebut.

- Menukar status SJKT kepada sekolah bantuan penuh kerajaan jika sekolah berkenaan berhasrat berbuat demikian, menurut Manifesto BN.

- Meneruskan peruntukan khas kepada semua jenis sekolah termasuk SKJC, SJKT, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan, Maktab Rendah Sains MARA, Sekolah Berasrama Penuh dan sekolah mubaligh.

- Menyediakan laluan kerjaya baharu kepada 420,000 guru dengan membolehkan mereka dinaikkan pangkat segera berdasarkan prestasi masing-masing.

- Merombak institut-institut perguruan dan menaikkan syarat pengambilan guru pelatih.

- Mentransformasikan sekolah vokasional menjadi kolej dan menambah pelajar sebanyak 20 peratus, serta menyediakan jalur lebar WiFi secara percuma dan terjamin di semua kampus institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

- Memperkenalkan skim pemilikan laptop di sekolah-sekolah berasrama dengan kemudahan internet. Sumber : Utusan Online

Selain itu dalam ucapan Dato' Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Manifesto BN, Suatu Akur Janji di Stadium Bukit Jalil juga turut menggariskan beberapa perkara yang telahpun dilaksanakan oleh kerajaan dalam sektor pendidikan, seperti bantuan awal persekolahan sebanyak RM100 kepada murid sekolah rendah yang layak, bantuan Baucer Buku bernilai RM250 kepada mahasiswa dan sebagainya. Boleh tonton huraian penuh dalam video ini.



Berikut merupakan manifesto PAS dari Husam Musa.



Salam hormat untuk warga pendidik,

Kenaikan gaji dan elaun guru adalah kefahaman mudah menandakan kesungguhan bagi memartabatkan profesion perguruan. Namun bukanlah bermaksud ia adalah segala-galanya. Profesion perguruan perlu diletak lebih mulia dari itu.

Guru merupakan ibu bapa kepada murid-murid di sekolah. Oleh yang demikian, pada saya yang lebih perlu diutamakan untuk kepentingan anak didik adalah seperti berikut :



1) Konsep Pertukaran Guru-guru mesra suami isteri.

- Pasangan guru yang sudah berumah tangga, salah seorang dari mereka tidak akan ditukarkan jauh daripada pasangan masing-masing.

2) Kewujudan sistem sekolah satu sesi sepenuhnya untuk sekolah rendah dan menengah.

- Membolehkan sekolah merancang dan melaksana aktiviti kokurikulum dengan lebih efektif dan selesa serta membolehkan sekolah mengadakan sesi perbincangan guru tanpa perlu menggunakan waktu P&P. Dengan itu, amalan MEMPERTAHANKAN MASA INSTRUKSIONAL dapat dilaksanakan.

- Membolehkan guru membuat persiapan yang lebih baik bagi membolehkan murid mengikuti pengajaran dan pembelajaran dalam kelas dengan lebih efektif.

- Mengurangkan lebih banyak kesesakan bagi sekolah dua sesi semasa waktu pertukaran antara sesi pagi dan petang.

- Mengurangkan penggunaan dan perkongsian maksima untuk beberapa kemudahan seperti bilik darjah, bilik khas (bilik guru), kemudahan sukan dan aktiviti lain. Ini bagi mengurangkan kos penyelenggaraan.

- Pada bulan Ramadhan, murid sekolah dua sesi selalu kerugian masa belajar kerana waktu pengajaran terpaksa dikurangkan.

- Membolehkan murid dan guru meluangkan masa bersama keluarga sebelum waktu malam.

- Mengelakkan pelaksanaan aktiviti tambahan dari segi akademik dan kokurikulum yang sangat kerap pada hujung minggu.

3) Mengecilkan nisbah guru-murid dari 1.7 (kini) kepada 2.0 hinggan 2.5

- Menambahkan bilangan guru serta membolehkan guru memberikan lebih masa dan perhatian kepada semua murid yang diajar.

- Mengurangkan masa mengajar guru supaya dapat merancang dan melaksana program khas bagi murid yang memerlukan bantuan tambahan dalam menangani masalah pembelajaran murid di luar waktu persekolahan.

- Guru dapat melaksanakan tugas-tugas perkeranian berhubung pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang memerlukan masa yang banyak serta mengelak daripada melakukan kesilapan dalam kemasukan data prestasi murid.



4) Mewujudkan Jawatan Pembantu Guru.

Jawatan khas seperti pembantu Subjek Sains, Pembantu Makmal dan Juruteknik disediakan dengan lebih efektif, maka dengan itu, beberapa kelebihan yang akan diperolehi ialah:

- Peluang pekerjaan bertambah, sekaligus mengurangkan kadar pengangguran di negara ini.

- Menguruskan data berkaitan kehadiran murid dan memaklumkan kepada ibu bapa dengan segera.

- Pembantu guru sebagai warden bagi sekolah yang menyediakan asrama. Dengan yang demikian, guru dapat memberi tumpuan yang lebih baik untuk P&P dan urusan di sekolah.

- Kerja-kerja perkeranian guru yang banyak dapat dikurangkan.

5) Menyediakan Peruntukan Penyelenggaraan dan Baikpulih serta Naik taraf yang mencukupi dan Peruntukan Khas untuk Menambah Kemudahan.

- Peruntukan untuk kerja-kerja penyelenggaraan yang mencukupi adalah sangat diperlukan bagi membolehkan pihak sekolah mewujudkan iklim yang selesa dan kondusif untuk murid di sekolah.

- Mewujudkan suasana tempat bekerja guru dan staf yang lebih selesa, tidak sesak dan padat.

- Mewujudkan kemudahan beriadah, bersantai, bersukan dan lain-lain dengan lebih selesa dan lengkap untuk semua warga sekolah (Konsep Sekolahku Idamanku).

- Mewujudkan bilik-bilik khas sebagai tempat untuk melaksanakan pelbagai aktiviti kependidikan murid.

- Sistem 'CENTRAL CONTRACT' dalam membuat perolehan bagi semua urusan jual beli perlu dihapuskan agar pihak sekolah boleh mendapatkan harga barangan dan perkhidmatan dengan kos yang minima, tetapi mengekalkan mutu di pasaran terbuka. Ia dapat menjimatkan wang kerajaan. Melalui sistem ini, kos yang dikenakan adalah selalunya tinggi dan kadangkala tidak munasabah.

Sekian, terima kasih.
Sumber : Surat Untuk Warga Pendidik dari Husam Musa PRU13 P125 PUTRAJAYA,
"Cadangan Untuk kebajikan Warga Pendidik & Penambahbaikan Sistem Pendidikan Negara, khas kepada Warga Pendidik seramai 412, 720 orang".

Selain itu, beliau juga mengulas dan menambah beberapa lagi cadangan dalam sektor pendidikan khusus buat warga Putrajaya. Boleh tonton video ini.

1) Sesi sekolah pagi dan sesi sekolah petang (sekolah agama) dilakukan dalam premis yang sama atau berdekatan.

2) Penubuhan Ma'had Tahfiz Al-Quran peringkat antarabangsa

3) Kelas KAFA yang selesa

4) Sekolah-sekolah berasaskan Islam dibangunkan

5) Penambahan TASKA Islam untuk menampung jumlah murid yang ramai
 

Demikian serba sedikit manifesto antara BN dan PAS dalam PRU13 pada kali ini.

Kedua-dua parti yang bertanding menghuraikan manifesto dan cadangan masing-masing, dalam bentuk perjanjian, penambahbaikan untuk sistem sedia ada serta membuat pembaharuan dalam sistem pendidikan di Malaysia amnya.

Tidak dinafikan, kedua-dua manifesto dan cadangan ini dibentangkan berdasarkan rasional dan keperluan rakyat serta kemampuan dari aspek pelaksanaan dari pihak yang akan melaksanakannya nanti, sudah tentu bagi kabinet dan kepimpinan yang akan menerajui negara pasca pemilihan.

Bagi BN khususnya telah mensasarkan target yang lebih bersifat dominan dan kuantitatif dengan angka dan fakta yang telah dinyatakan, atas kapasiti kerajaan yang diterajui oleh barisan kepimpinan dari BN pada sebelum ini nampak lebih yakin dapat melaksanakan apa yang telah dibentangkan, dan ianya seakan tidak menjadi masalah bagi mereka untuk merealisasikan apa yang telah dijanjikan.

Secara amnya, cadangan yang diberikan oleh wakil PAS, Husam Musa dalam sektor pendidikan negara lebih banyak menjurus kepada kebajikan yang akan diperolehi oleh rakyat, khususnya para guru, murid dan juga penjawat awam, memandangkan beliau bertanding di kawasan yang majoritinya adalah penjawat awam dan kakitangan kerajaan. Selain itu, tawaran yang diberikan lebih bersifat mesra pengguna dan menitikberatkan aspek keselesaan, efektiviti dan seterusnya mewujudkan situasi menang-menang antara ibu bapa-guru-murid.

Namun begitu, isu pendidikan perlu dilihat dalam skop yang lebih luas, tidak cukup sekadar membangunkan fasiliti yang serba canggih, selesa dan kondusif serta berkembang dan dominan di peringkat antarabangsa sahaja.

Luaskan perspektif kita terhadap pendidikan, ianya tidak tertakluk kepada sekolah, universiti, guru dan murid, mahasiswa dan tenaga pengajar sahaja. Pendidikan yang sebenar ialah sejauh mana hasil daripada apa yang diperolehi oleh klien (murid/pelajar/mahasiswa) memberi impak kepada mereka dalam aspek kehidupan seharian, dari segi sosial, akademik, sahsiah dan sebagainya.

Kita ambil contoh mudah, hari ini, kita semudahnya mengukurkan efektiviti pendidikan terhadap klien berdasarkan pencapaian akademik dan penilaian bertulis daripada pihak sekolah, namun sebaliknya berlaku, ada klien yang cemerlang dan baik di sekolah, tetapi bersikap dan bersifat sebaliknya di luar sekolah. Ini tidak membuktikan keberkesanan terhadap pendidikan itu sendiri.

Maka oleh sebab itulah, sektor pendidikan perlu memainkan peranan yang penting dalam pembangunan modal insan yang tinggi kepada klien, kerana telah disebutkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) bahawa ;

"Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha yang berterusan ke arah memperkembang lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara"

Oleh yang demikian, persaingan antara parti-parti politik yang bertanding sangat memberi kesan, baik kesan positif dan kesan negatif kepada pendidikan di negara kita khususnya, kerana ada pihak yang ingin menampilkan kejayaan membangunkan sektor pendidikan melalui aspek keperluan fasiliti dan pembiayaan, ada juga pihak yang membangunkan sektor pendidikan melalui pembangunan modal insan dan sahsiah yang baik.

Hal ini menimbulkan satu persaingan yang baik sekiranya kedua-duanya dapat dilaksanakan dengan baik dan berstruktur, kerana ianya akan memberi kesan yang baik kepada klien pendidikan, ekoran daripada kerjasama dan persaingan yang positif antara kedua belah pihak atau parti politik yang berkenaan.



Saya mengambil contoh di negeri Terengganu, negeri di mana kerajaan BN berjaya mengekalkan kemenangan saling melengkapi antara satu sama lain dengan PAS. Kerjasama baik yang ditunjukkan oleh kedua-dua parti ini menjadikan sebuah masyarakat yang utuh dari aspek pendidikannya. Di Manir, persaingan yang cukup sengit apabila dilihat dari jumlah undi bagi kedua-dua parti, kerana jumlah majoriti parti yang menang tidak begitu tinggi, iaitu sebanyak 588 undi. PAS dengan calonnya, Ustaz Hilmi Harun, anak kepada Ustaz Harun Taib sekali lagi diberi mandat untuk menerajui kepimpinan di kawasan berkenaan setelah mendapat 6873 undi berbanding pencabarnya, Yusof Awang Hitam yang memperoleh 6285 undi.

Beliau (Ustaz Hilmi) berpendapat bahawa, kemenangan yang berjaya dikekalkan itu bukanlah sesuatu yang dijangka, kerana jentera pilihanraya PAS kawasan berkenaan berdepan dengan jentera pilihanraya BN dari peringkat pusat, dengan program-program mega yang dilaksanakan dan para pemimpin utama negara kerap kali datang ke Manir. Sungguhpun begitu, beliau memberitahu akan kunci kejayaan kemenangan kawasan Manir adalah rentetan daripada usaha dan kejayaan ayahnya (Ustaz Harun Taib) membangunkan pendidikan dan modal insan di sana.

Rakyat sangat berterima kasih kepada kerajaan pusat atas pembangunan infrastruktur yang telah dibangunkan, program-program kemasyarakatan yang telah dianjurkan serta bantuan-bantuan yang telah disalurkan kepada rakyat. Tidak lupa juga kepada pihak kepimpinan dan wakil rakyat daripada PAS yang telah membangunkan modal insan dan pendidikan seawal daripada Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) untuk kanak-kanak, Sekolah Rendah/Menengah Agama sehingga ke peringkat siswazah, iaitu Kolej Universiti Darul Quran Islamiyyah (KUDQI).

Saya tidak bertujuan untuk mengangkat PAS sebagai parti yang menang, kerana kontribiusi yang besar juga sewajarnya diberikan kepada kerajaan pusat yang telah banyak memberikan kemudahan kepada rakyat tanpa mengira latar belakang politik di walaupun di tempat yang tidak dimenangi oleh BN. Perkara utama yang ingin disampaikan ialah bagaimana pendidikan di setiap peringkat yang berkesan mampu mempengaruhi suasana persekitaran sesebuah komuniti serta keseimbangan aspek pembangunan yang telah dilaksanakan oleh kedua belah pihak.

Sebarang komen/cadangan atau saranan, boleh terus komen di sini untuk tujuan penambahbaikan dan pembetulan maklumat.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...