Thursday, October 20, 2011

Jalan itu luas dan banyak, pilihlah ..

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم

السلام عليكم

Terpanggil untuk menaip akan post yang tidak seberapa ini tatkala mengenangkan para sahabat seperjuangan yang bersama melangkah masih lagi tercari-cari maksud dan hala tuju destinasi dan mencari apa yang sebenarnya kami perjuangkan.

ISLAM.

Itukah yang kita ingin juangkan ?

Apa yang mendorong kamu untuk mengatakan ya dengan penuh yaqin ?

" dengan semangat untuk berjuang dan berjihad di jalan Allah, aku begitu yaqin untuk mengatakan aku memperjuangkan Islam "

Ahh.. mana buktinya ?

Aku selalu post hadis & terjemahan Quran dalam FB..

Aku selalu ajak orang pegi surau..

Aku pakai tudung labuh..

Aku ada blog Islamik..

Aku jadi ajk surau..

Aku pakai kopiah selalu..

Aku jaga pandangan..

dan macam-macam yang telah kita lakukan, sebagai bukti yang bersifat lahiriah..

Maaf, bukannya kata aku yang menulis ni hebat sangat, kita serupa, cuma ini sedikit cadangan dan seruan..

Tidak salah untuk menzahirkan Islam seperti itu, itu lebih baik, kerana itu salah satu bukti kekuatan dan ketabahan, bagaimana kita menghadapi cemuhan dan persepsi serong orang lain yang menuding jari kepada penzahiran seperti itu, juga bukti kesabaran dan keyaqinan kita untuk tidak takabbur dan bersifat riak.

Baiklah..

Bila kita sebut tentang mujahidin, perkara yang pertama sekali terlintas dalam benak fikiran sempit kita ialah tentera-tentera Hamas yang berjuang di medan peperangan menentang tentera Israel laknatullah..

Bagaimana pula dengan seorang pengusaha restoran ?
Bolehkah beliau dilabel sebagai mujahidin juga ?

Entah...bolehkah ?

hahaha..

Tauke restoran mujahid ?

jangan buat lawak la penulis blog yang jahil, pegi baca buku banyak-banyak !

Ok2...

Aku jahil, masih banyak lagi yang aku perlu belajar..

Sesungguhnya, Allah subhanahu wata'ala telah berfirman ;



Maksudnya :
"wahai orang-orang yang beriman ! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan carilah wasilah
( jalan ) untuk mendekatkan diri kepadaNya dan berjihadlah ( berjuanglah ) di jalanNya, agar kamu beroleh kemenangan"
Surah Al-Ma'idah, 5:35.

Sungguh jelas apa yang telah difirmankan oleh Allah dalam surah di atas.

Seruan kepada semua mu'minin untuk bertaqwa kepada Allah, kerana muttaqin itulah setinggi-tinggi dan sebaik-baik gelaran kepada hambaNya yang paling Dia sayangi.

Orang yang bertaqwa itulah yang akan mendapat ni'mat dan ganjaran jannah yang telah dijanjikan oleh Allah. Maka dengan itu, kita hamba Allah seringkali diingatkan, supaya bertaqwalah kepada Allah, setiap hari jumaat untuk memulakan khutbah, tapi kita hamba yang sombong lagi hina ini hanya mendengar seruan khatib itu sebagai satu seruan yang biasa, dan tiada makna, malah tidur ketika khatib sedang lantang melontarkan firman serta pujian kepada Allah dan berselawat kepada nabi Muhammad Sollollohu 'Alaihi Wasallam.

Kemudian, para muttaqin itu diseru pula untuk mencari wasilah.

Apa yang dimaksudkan dengan wasilah ?

Wasilah itulah jalan yang perlu dilalui untuk sampai kepada Allah, berbekalkan taqwa itu tadi. Jika kita lihat pada hari ini, wasilah untuk jalan menuju Allah itu telah disempitkan dan dihadkan kepada beberapa jenis dan ruang yang sangat terbatas untuk para muttaqin melangkah menuju Allah.

Jalan untuk menuju Allah hanya untuk para ustaz, ustazah, alim ulama',haji, hajah, tok guru, tok imam dan segalanya yang berkaitan dengan individu yang mempunyai tampak Islamis, seperti kopiah, serban, janggut, jubah, tudung labuh dan purdah.

Itulah pandangan yang telah disempitkan berkenaan dengan wasilah atau jalan menuju Allah.

Sebenarnya, wasilah untuk menuju Allah itu terbentang luas, jalannya ada pelbagai, kita tinggal pilih saja yang mana satu sesuai dengan kita, yang mana satu baik untuk kita dan orang lain, yang mana satu tidak bercanggah dengan syari'at agama, yang mana satu memberikan manfaat di dunia dan juga memberikan syafaat di akhirat kelak.

Sebagai contoh yang telah ana berikan tadi, pengusaha restoran.
Berniaga itu dijadikan wasilah untuk menegakkan syari'at Islam.
Siapa kata tidak boleh ?
Sebagai seorang pengusaha restoran yang berniat dan berhajat untuk menuju dan mendapatkan keredhaan Allah dengan melalui wasilah perusahaan restoran itu sangaat mudah untuk menegakkan syariat Islam.


:SUMBER:


Apa yang dia boleh buat dengan melalui wasilah perusahaan restoran ?

- Menjalankan urusniaga berlandaskan syariat, dengan akad jual beli dan sebagainya
- Menyediakan makanan yang halal dan bermutu, di samping berkhasiat dan lazat
- Mengutamakan kebersihan, sesuai dengan anjuran agama yang mengutamakan kebersihan
- Menunaikan zakat dengan hasil perniagaan
- Menjalinkan hubungan baik dengan pelanggan dengan senyuman, ucapan salam dan sapaan
- Mengerjakan kewajipan agama ( solat ) bila tiba waktunya
- Memberikan sedekah kepada orang yang memerlukan

itu baru sedikit contoh yang boleh diberikan. Mungin antum boleh bagi lebih dari 100 contoh, apa yang kita boleh buat sebagai seorang pengusaha restoran untuk menegakkan syari'at Islam.

Nah, selesai bab wasilah. Rasanya boleh faham kan apa maksudnya.
Kemudian, apabila kita sudah jumpa wasilah atau jalan yang boleh membawa kepada keredhaan Allah, maka, berjihadlah ketika melangkah di atas jalan itu sehingga sampai ke destinasi yang kita hajatkan. Kenapa perlu berjihad pula ? bukankah wasilah yang telah diterangkan tadi sudah cukup baik untuk sampai ke tempat yang kita ingin pergi ?

Jalan itu memang jalan yang terbaik, tapi bekalan yang kita bawa sepanjang perjalanan itu ( taqwa ) sangat berharga dan ada pihak yang akan cuba merampasnya dan kemudian tidak akan mengembalikannya kepada kita, melainkan kita mencari semula taqwa itu. Itulah dia syaitan yang durjana, datang dalam pelbagai bentuk untuk mengganggu kita sepanjang melangkah di atas wasilah untuk menuju kepada keredhaan Allah.

Baiklah, kita tetap kepada contoh restoran tadi.

Pengusaha restoran itu memang sudah berjaya dan perniagaannya semakin hari semakin baik. Syaitan telah bersumpah untuk sentiasa menyesatkan manusia. Manusia yang hatinya sentiasa dekat dengan Allah, walaupun dalam susah atau senang, sentiasa meyaqini bahawa apa yang telah terjadi itu berlaku atas kehendak Allah, untung dan rugi dalam perniagaan itu adalah ujian dari Allah, untuk menguji sejauh mana manusia bersyukur dan bersabar atas ujian yang telah diturunkan oleh Allah kepadanya.

Tapi ingat !
Sekejap saja kita lupa pada Allah, syaitan tidak akan membuang masanya untuk menyelinap masuk dalam keterlupaan kita kepada Allah itu untuk meracuni fikiran kita.

Sebagai contoh, pengusaha restoran yang semakin hari semakin mendapat keuntungan itu semakin hari sedikit demi sedikit terlupa untuk bersyukur, sedekah semakin berkurangan dan cinta terhadap keuntungan dan wang ringgit semakin tinggi, maka dengan itu, si iblis yang dilaknat mula masuk ke dalam fikirannya..

Kau semakin kaya, apa salahnya kau simpan saja duit tu, x perlu sedekah sangat.

Kau semakin kaya, apa salahnya kau beli kereta Ferrari 3 buah, barulah orang lain suka.

Perniagaan kau semakin baik, jangan tinggalkan kedai walaupun sekejap, nanti rugi..

Maka dengan itu, musuh yang ada di dalam hati dengan membisikkan seruan-seruan memalingkan diri dari Allah itu perlu dihentikan.

Bagaimana ?

Bermujahadahlah.

Bagaimana ?

Berjuanglah.

Bagaimana ?

Bekalanmu sepanjang perjalanan tadi mungkin sudah dicuri oleh si pencuri yang jahat dan dilaknat itu. Maka bekalan itulah yang perlu kita cari untuk mengelakkan diri dari si pencuri itu, serta membolehkan kita mematahkan seruan-seruan jahat si pencuri yang terlaknat itu daripada terus mengganggu.

Dengan bekalan itulah kita akan jadi kuat.

Dengan bekalan itulah yang membantu kita dalam berjuang dan berjihad ketika melangkah di atas wasilah yang telah kita pilih untuk menuju kepada redha Allah.

Jadi, pandai-pandailah memilih wasilah untuk menegakkan syari'at serta memperbetulkan apa yang selama ini telah menjadi kebiasaan orang.

Terjunlah ke lautan ummat dan berbaktilah dengan mereka dengan 'ilmu yang telah kita miliki. Islam itu syumul, lengkap dari setiap sudut kehidupan, jadi wasilahmu untuk berjuang dan berjihad itu juga ada dari setiap aspek kehidupan. Tinggal kau pilih saja yang mana satu.


:SUMBER:

Kalau kau punya 'ilmu, ajarkanlah 'ilmu yang membawa muridmu mengenal tuhanmu.


:SUMBER:

Kalau kau punya bakat, tunjukkanlah bakatmu untuk membawa manusia mengagumi tuhanmu.


:SUMBER:

Kalau kau punya kepakaran, gunakanlah ia untuk membantu manusia ke arah kebaikan.


Kita yang sedang membaca, apa wasilah yang kita pilih dalam berda'wah dan melangkah untuk mencapai keredhaan Allah ?

Carilah, pilih yang sesuai dengan kita, pilih yang mudah untuk kita terjun ke dalam lautan ummat dan yang paling penting sekali, pilih wasilah yang tidak bercanggah dengan syar'at, tapi pilihlah wasilah yang mampu menegakkan syari'at dan memperbetulkan kebiasaan yang tidak sesuai dengan syari'at..

Segalanya bermula dari diri sendiri.

Ingat, jalangan main jalan saja bro, bekal kena ada ok.. :)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...