Terus saja kepada tajuk. Pasca kampus.
Tajuk yang kita semua pasti sudah ada gambaran awal sejak sebelum masuk ke kampus lagi.
Bila aku bermula.
Malah bagi yang memang sudah menetapkan cita-cita yang sangat berfokus dengan perancangan sejak dari sekolah rendah/menengah lagi.
Aku mula menanam minat untuk mendidik sejak aku mula mengagumi beberapa orang guru yang secara peribadinya aku hormati dan segani pada usia tingkatan 4.
Namun, niat untuk menjadi perajurit masih ada. (ketawa kecil)
Selesai SPM, aku mula menjenguk portal. Mencari ruang dan peluang untuk mencapai hasrat.
Beli nombor pin.
Kemudian harus menunggu berjam-jam untuk membeli nombor itu.
Malah terlepas nombor giliran pula.
Mujur dapat memotong barisan atas budi bicara pegawai bank.
Aku kira itu sebagai petanda aku akan dapat jadi pendidik, dengan kesabaran yang tinggi untuk menunggu giliran hampir separuh dari hari itu.
Temuduga.
Semasa PLKN.
Hari itu hari untuk semua pelatih ditemuduga.
Sayang, semua berpakaian formal, hanya dari kem aku berpakaian kelas pelatih.
Sebelum bertolak menaiki van JLKN, kawan-kawan sekompeni sudah mengucapkan "good luck cikgu!"
Berhenti sekolah.
Selesai PLKN, aku masuk 6 rendah sedikit lambat.
Ke sekolah cuma seminggu, dua minggu selebihnya, aku malas ke kelas.
Hanya berbual di kelas dan pada saya itu tidak lebih dari sekadar perlu untuk ke kantin, mengambil kehadiran dan memakai baju yang perlu dicuci lagi. Balik ke asrama selepas tanda kehadiran aku kira sudah memadai untuk keperluan pada ketika itu yang tiada interaksi dengan guru dan buku.
Untuk sub-tajuk ini, aku paling tidak boleh lupakan, pada suatu malam itu, aku ke urusetia asrama dengan membawa surat mohon keluar asrama beserta surat tawaran melanjutkan pelajaran di Institut Perguruan untuk diserahkan kepada ketua warden, sekaligus meminta nasihat darinya.
Berlepas ke Kuala Lumpur.
Kalau setakat balik asrama, boleh pulang hujung minggu.
Rumah pula hanya 20 minit perjalanan.
Ini Kuala Lumpur.
Kali ini jabat dan pelukku kepada keluarga disertai dengan air mata.
Gambar sebelum masuk ke balai berlepas. Dari telefon bimbit Nokia 'sabun'
Selepas 30 minit berada di ruang udara, aku mula tenang.
5 tahun setengah pengajian.
Belajar 3 semester kursus persediaan dan 8 semester kursus Ijazah, dengan naik turun pointer yang turunnya mendadak, naiknya boleh dikira berapa kali.
Bab ini aku rasa boleh diperincikan untuk perbincangan dalam entri yang lain.
Bersambung..