Monday, June 24, 2013

Berhati-hati dengan 'Si Gagal'



Bismillah..
Assalamualaikum dan selamat sejahtera rakan pembaca yang saya hormati.

Terus kepada tajuk tanpa banyak bicara panjang.

Si Gagal pada tajuk terus saya maksudkan ialah sesiapa saja yang pernah melakukan kesilapan dan kesalahan dalam kerja buat sepanjang kehidupan dan bidang tugas masing-masing.

Setiap dari kita pasti akan mengalami kegagalan dan kesilapan.

Siapa pun tidak akan terkecuali.

Cuma masa berlakunya Allah takdirkan tidak sama.

Kenapa saya katakan perlu berhati-hati?

Begini.

Setiap kegagalan yang berlaku tidak lari daripada :

1) Kesilapan
2) Kecuaian
3) Kebiasaan sikap yang terbawa-bawa dengan keadaan semasa
4) Cara yang tidak sesuai/betul

Mungkin boleh berlaku atas berjuta faktor lagi.

Oleh yang demikian, si gagal akan melakukan salah satu daripada pelbagai faktor kegagalan, baik hebat mana pun kemahiran, perancangan dan strateginya. Pasti berlaku.

Pasca kegagalan, si gagal akan meneruskan kehidupan dengan1 daripada 3 keadaan :

1) Tekad untuk berubah dari kegagalan kepada kejayaan yang gemilang
2) Terus berundur dengan terputusnya asa dek kegagalan yang menimpa
3) Terus melakukan kegagalan yang sama, tidak berubah

Saya katakan perlu berhati-hati dalam tajuk post ini adalah kerana si gagal yang dimaksudkan adalah termasuk dalam keadaan pasca kegagalan yang pertama, iaitu bertekad untuk berubah dan merangkul kejayaan yang gemilang.

Untuk memudahkan anda semua faham maksud saya, saya ambil satu kisah cerita dongeng kanak-kanak yang terkenal dari dulu sehingga kini, iaitu kisah perlumbaan sang Arnab dan Kura-kura.



Kesudahan kisah ini adalah sang Kura-kura beroleh kejayaan apabila berjaya mengalahkan sang Arnab yang tertidur.

Saya tambah sedikit kisah ini untuk menjadikan ianya selari dengan topik yang dibincangkan.
Sang Arnab tidak berpuas hati, lalu menganjurkan perlumbaan untuk kali yang kedua untuk menebus semula kekalahannya di tangan sang Kura-kura.

Pada kali ini, sang Arnab bertekad untuk menang!
Dia berlatih bersungguh-sungguh dan berusaha sebaik mungkin untuk menang, manakala sang Kura-kura pula dengan penuh yakin, kemenangan miliknya akan terus jadi miliknya kerana dia beranggapan sang Arnab akan tertidur lagi.

Pada hari perlumbaan, sang Kura-kura seperti yang telah dijangkakan olehnya, dia akan menang, sang Arnab akan tertidur. Namun begitu, sang Arnab telah memasang tekad yang tinggi untuk menang dan berusaha bersungguh-sungguh mengatasi kesilapan besar yang dilakukan olehnya pada perlumbaan sebelum ini.

Dengan itu, sang Arnab berjaya menewaskan sang Kura-kura dengan kemenangan yang bergaya.

Bagi kita yang sukakan kepada persaingan dalam setiap perkara, tidak menjadi masalah selagi mana kita tetap terus berusaha tanpa memandang rendah akan keupayaan rendah yang dimiliki oleh orang lain. Biar kita tetap terus meningkatkan usaha kendiri kita. Jangan pula terus selesa dengan keupayaan yang bukan semutlaknya milik kita.

Si gagal telah melalui saat kegagalannya.
Si gagal telah mengenalpasti di mana kekurangannya.
Si gagal telah merangka strategi dan penambahbaikan terhadap kesilapannya.
Si gagal telah termotivasi dengan kata keramat jatuh sekali bukan untuk meratap kesakitan.
Si gagal telah menolak peritnya sakit untuk bangun meneruskan langkah!

Sedangkan yang masih belum pernah gagal, waktu anda belum tiba!
Jangan terus lena dibuai rasa hebat.
Hidup akan terus berputar.
Ingat teman, gelapnya, ada terangnya siang.

Menunggu saat ketentuan untuk beberapa tempoh lagi.
Jika bukan ini kali kita gagal, lain kali mungkin kejayaan yang gemilang di tangan kita, sekiranya hari ini, kita terus tetap berusaha!

AYUH KITA LAKUKAN!




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...