Showing posts with label jpp. Show all posts
Showing posts with label jpp. Show all posts

Sunday, December 9, 2012

Mahasiswa Pendidik IPG kurang menyerlah ?

Bismillah..

Assalamualaikum, selamat sejahtera, salam perjuangan ~


Hari ini, suara golongan intelektual muda yang berkarisma dan bercita-cita tinggi seringkali menggugat dan menempiaskan gelombang kebangkitan massa dengan impak yang tinggi. Komuniti varsiti dan siswa siswi sejak dahulu lagi merupakan antara tonggak dan nadi pencetus kepada sesuatu perkara yang baharu khususnya di dalam negara, sesuai dengan hasrat untuk merealisasikan kata keramat ;

"generasi muda hari ini, pemimpin masa hadapan "

Cuma saya kurang dan masih belum berpuas hati dengan tahap pencapaian mahasiswa pendidik yang tidak keterlaluan jika saya kata sebagai anak angkat Kementerian Pelajaran Malaysia, iaitu guru pelatih Institut Pendidikan Guru.

Saya tidak menafikan kemerlangan serta hebatnya pencapaian guru pelatih yang juga merupakan mahasiswa pendidik ini dalam bidang akademik sangat baik, dikagumi oleh ramai pihak apabila bertugas di sekolah dan sebagainya. Namun begitu, standard yang ingin dicapai nampaknya pada hari ini masih banyak lagi yang perlu diperbaiki walaupun sudah banyak usaha penambahbaikan yang dilaksanakan.

Secara amnya, realiti guru pelatih ketika berada di kampus berada dalam zon yang sangat selesa, tanpa perlu memikirkan dari manakah sumber untuk mendapatkan wang untuk perbelanjaan asasi dan tambahan keperluan yang lain, fasiliti yang disediakan sangat kondusif dan serba baru dan sebagainya.

Tidak sesuai jika dibandingkan dengan kampus di institusi pengajian yang lain, hanya kerana populasi dan demografi kampus IPG adalah berskala lebih kecil berbanding dengan kampus yang lain. Namun begitu, hal ini sepatutnya tidak dijadikan sebagai modal atau faktor untuk mahasiswa pendidik di IPG merasa selamat berada di dalam komuniti kecil dan selesa, kerana di sebalik keselesaan inilah kemungkinan perkara-perkara yang boleh mengancam dalam hal-hal yang tidak disangka boleh berlaku.

Saya tidak menyangkal jika peraturan setiap kampus adalah tertakluk di bawah akta dan undang-undang negara, kerana jika dinilai dari sisi positif, banyak kebaikan yang diperolehi darinya. Adalah perlu disesuaikan dengan situasi dan keadaan setiap tempat, (dalam istilah Arab, lihat 'waqi'iyyah') kerana secara biasnya apa yang mahasiswa inginkan ialah kebebasan untuk bersuara yang tidak diberikan secara sebebasnya jika diperincikan dalam akta yang dikhususkan.

Dalam hal ini, saya mengambil pendekatan yang lain dalam usaha untuk mengalih tatacara atau tindakan mahasiswa pendidik di IPG untuk membawa suara yang ingin disampaikan kepada pihak yang perlu mendengar dan memberi perhatian, bukan dengan pendekatan kurang sesuai dengan etika keguruan yang dipandang tinggi oleh massa.

Dalam beberapa post yang lepas, saya ada menyatakan kisah seorang pensyarah yang memberikan peringatan kepada guru baru yang akan mula bertugas di sekolah nanti, supaya berani untuk menegur pihak atasan sekiranya berlaku sebarang masalah yang perlu diselesaikan, supaya ianya tidak meruncing jika tidak dipertemukan dengan solusi, secepatnya. Tetapi, respon yang diberikan oleh guru pelatih ialah, mereka (mewakili guru pelatih yang lain dengan kata ganti diri KAMI) tidak dibiasakan dengan kaedah seperti itu ketika berada dalam tempoh kursus (berada di IPG), mereka tidak dibenarkan sama-sekali untuk membuat sebarang komen samaada secara terbuka dan tidak berani untuk berbuat demikian walaupun secara peribadi, kerana perkara itu tidak biasa dilakukan di IPG, walhal, jika ianya perlu untuk kebaikan semua pihak, tidaklah menjadi masalah yang besar seandainya dipersetujui, sebagai contoh untuk penambahbaikan dan kebajikan warga kampus secara amnya, pihak guru pelatih meminta kepada pihak perwakilan pelajar untuk menyuarakan pendapat kepada pihak Hal Ehwal Pelajar dan pihak berkenaan yang lain untuk memohon didirikan sebuah gelanggang futsal atau tempat rekreasi yang boleh digunakan oleh semua, maka dalam situasi ini, telah berlaku satu proses di mana ada pencetus untuk memberikan maklumat, ada penerima, penyampai dan seterusnya penerima di pihak yang ketiga.

Hal ini biasanya berlaku kepada pihak kedua, iaitu perwakilan pelajar yang seupaya mungkin membawa suara bersama rakan-rakan yang telah mencapai kata sepakat untuk diambil tindakan oleh pihak atasan, namun dipersalahkan pula pihak yang kedua ini sekiranya belum ada tindakan dari pihak yang ketiga.
Untuk pengetahuan semua, setiap peringkat warga di dalam komuniti kampus ada ruang lingkupnya yang tersendiri, tidak boleh juga dipersalahkan pihak ketiga sekiranya masih tiada tindakan, kerana mereka pula perlu berurusan dengan beberapa pihak yang lain, tidak mustahi jika mereka berurusan sehingga ke peringkat yang keenam, ketujuh dan seterusnya serta ianya memang mengambil masa dan proses yang perlu dilakukan secara berperingkat dan terperinci.
Sekadar maklumat tambahan.

Antara faktor lain kelesuan dalam merealisasikan kata keramat yang saya sebutkan di atas, dalam ruang lingkup mahasiswa pendidik di IPG dalam konteks berada di dalam zon selesa ialah, konsep campus life tidak hidup, walaupun banyak usaha untuk menghidupkannya yang dilakukan oleh pihak perwakilan pelajar, persatuan pelajar dan pihak kampus sendiri.

Mahasiswa pendidik harus menerima dan mengambil cabaran dalam cuba membuktikan bahawa mahasiswa pendidik itu lebih baik daripada yang lain. Jika peluang dan ruang untuk membuktikan itu tiada di dalam kampus, kenapa tidak menyelongkarnya di luar kampus yang terbentang luas ?

Hal ini yang banyak dilakukan oleh mahasiswa lain yang berjaya membuka mata masyarakat, bukan sahaja dalam komuniti setempat, bahkan di peringkat nasional dan antarabangsa !

Apabila ada usaha untuk cuba membawa dan menaikkan nama IPG di peringkat yang lebih tinggi di luar kampus, itu adalah bonus dan modal yang terbaik kepada mahasiswa pendidik di IPG untuk dipersembahkan kepada pihak ketiga dan seterusnya untuk mempergiatkan lagi usaha yang boleh dipertimbangkan sekiranya ada perkara yang melibatkan kerjasama antara mereka dan pihak mahasiswa di IPG, hanya kerana mahasiswa pendidik IPG mampu membuktikan kredibiliti dan usaha dalam merealisasikan dan membenarkan penilaian massa yang memandang tinggi kepada profession perguruan adalah usaha yang bersungguh-sungguh dan tidak boleh dipandang rendah. Saya sendiri sangat terkilan apabila ditanya oleh masyarakat setempat di mana tempat saya belajar, ada yang belum pernah mendengar nama IPG, bahkan rakan-rakan yang sebaya dengan saya sendiri ada yang tidak tahu akan kewujudan IPG, walaupun pada hakikatnya, mereka tahu apabila disebutkan perkataan Maktab.

Mungkin ketika zaman 'Maktab' dulu penglibatan dan publisiti kepada massa sangat baik kan ?

Hari ini, cuba kita senaraikan sehingga peringkat apa penglibatan IPG di negara kita?
Adakah di peringkat IPG sahaja?
Adakah di peringkat zon sahaja?
Adakah di peringkat negeri sahaja?
Peringkat kebangsaan?
Peringkat antarabangsa?

Koir kemerdekaan belum cukup lagi bagi saya untuk dijadikan kayu ukur atau jawapan kepada soalan di atas. Perlu lebih banyak usaha dari peringkat dan kalangan mahasiswa pendidik IPG sendiri untuk mengorganisasi program sendiri yang lebih baik. KOGUM adalah contoh program yang baik dari segi penglibatan mahasiswa pendidik. Sekadar pandangan peribadi.

Pihak perwakilan pelajar harus lebih proaktif, banyak melakukan R&D dalam banyak perkara supaya setiap permasalahan mampu ditangani dengan efektif, walaupun tidak 100% berjaya diselesaikan, memadai dengan adanya perubahan dan rakan-rakan dapat merasa bahawa anda berperanan dalam menjalankan amanah. Pihak kepimpinan lama perlu memberi tunjuk ajar kepada kepimpinan baharu dan dalam masa yang sama, jangan abaikan dalam soal melatih dan menanam benih pemimpin yang akan dihasilkan untuk kepimpinan yang seterusnya.

Cuba usahakan untuk keluar dari kepompong dan berusahalah untuk jadi seperti rama-rama yang terbang cantik dan bebas apabila keluar dari kepompongnya. Tapi bukanlah bermaksud fokus untuk terus berada di luar kampus, cuma di peringkat kursus yakni peringkat pembinaan karakter guru di IPG, mahasiswa pendidik IPG sudah merasa panas dan dinginnya tanah di tempat lain.

Terima kasih kerana sudi membaca. Maaf jika isi kurang tersusun, mana-mana yang baik, ambil, yang sebaliknya, mohon diberikan pendapat dan cadangan penambahbaikan.

Assalamualaikum.

# Free Gaza, save Syria..

Tuesday, October 16, 2012

Tips Publisiti Program Kampus | Facebook

Bismillah..



Lanjutan daripada post yang pertama iaitu publisiti melalui POSTER, kali ini saya cuba kongsikan sedikit tips bagaimana cara untuk memastikan promosi sesuatu program kita menjadi efektif dan dapat mengiklankan program kita dengan baik, seterusnya menjayakan program yang dianjurkan !

Mengikut kajian, remaja khususnya para siswa pada masa kini meluangkan masa berjam-jam dengan facebook, kerana ada juga yang sentiasa berdamping dengannya dengan kemudahan alat telekomunikasi mudah alih yang boleh dibawa ke mana-mana sahaja, selain daripada mereka yang cuma boleh online menggunakan laptop dan pc sahaja.

Oleh kerana itu, tidak mustahil, facebook merupakan medium utama dan mempunyai jaringan yang terbesar dalam pengiklanan percuma yang mempunyai audien yang sangat ramai !

Walaupun begitu, tidak mustahil juga ketidakberkesanan publisiti melalui facebook akan berlaku jika tidak mematuhi segala petua-petua yang sepatutnya dielakkan dan tidak melakukan tips yang boleh menjadikan publisiti 100% melalui facebook sahaja pun boleh menarik ribuan malah jutaan orang untuk menjayakan program anda anjurkan !

Tidak percaya facebook boleh lakukan semua itu ?

Facebook and Twitter were the primary means of organizing the revolution in Egypt:  “Activists from Egypt’s Kifaya (Enough) movement – a coalition of government opponents – and the 6th of April Youth Movement organized the protests on the Facebook and Twitter . . . .” (Voice of America)
Gambar Hiasan


Apa yang saya cuba sampaikan ialah, revolusi yang berlaku di Mesir suatu ketika dahulu yang berjaya menghimpunkan jutaan manusia, secara majoritinya adalah melalui publisiti di laman sosial.

Jadi, tidak mustahil kita boleh mengiklankan kepada lebih ramai orang melalui facebook sahaja, berbanding dengan poster, yang hanya dilihat oleh orang yang lalu-lalang sahaja yang tidak sampai 5 saat, melainkan poster itu menarik dan orang yang lalu-lalang itu singgah sebentar untuk melihat poster tersebut dengan lebih teliti.

Baik, sekarang saya ingin kongsikan apa yang boleh dan tidak boleh, apa yang perlu dan apa yang tidak perlu dalam pengiklanan atau publisiti program melalui facebook :

1) Share ramai-ramai.
Dalam sesebuah organisasi, mesti ada lebih kurang dalam 30 atau lebih ahli. Jadi, jika seorang share sekali poster yang diupload di facebook, maka sudah ada 30 kali share. Itu tidak termasuk orang lain yang menyokong program tersebut. So, menjadi tanggungjawab masing-masing, setiap ahli organisasi itu sendiri dahulu yang mula "membanyakkan" post berkenaan supaya ianya nampak "eh, apa benda yang ramai orang post/share ni..?"

2) Jadikan ianya sebagai gambar profil anda. 
Senang faham, dp lah kan. Anda semua mesti masih ingat lagi ketika ramai orang menggunakan dp yang sama seperti gambar di bawah ini kan ? 


Sedikit sebanyak, ia dapat melahirkan rasa kebersamaan dan solidariti yang tinggi, bukan sahaja antara organisasi atau pihak penganjur, malah turut sama memupuk rasa kebersamaan rakan-rakan sekampus untuk turut sama menjayakan program yang ingin diadakan. Secara tidak langsung, ianya menarik perhatian umum apabila ramai yang menggunakan dp yang sama dan menjadi tanda tanya, "untuk apa dorang guna dp ni? atau "ada apa sebenarnya ni?".  Itu sudah cukup untuk menjadikan tanda tanya itu sebagai satu ruang untuk orang ramai ingin tahu dan akan tahu akan penganjuran program anda.

3) Jangan biarkan post/sharing anda tenggelam dek post yang terbaru !

Hal ini sering berlaku apabila hanya AJK Publisiti seorang sahaja yang melakukan tugasnya, yang lain berkata, "ini bukan tugas aku". Itu bukanlah menjadi masalah besar hanya dengan membantu ajk yang lain menjalankan tugasnya, bukankah penganjuran program adalah hasil usaha bersama? 

Antara tips yang paling penting dalam memastikan post anda sentiasa berada di atas ( di atas merujuk kepada post yang ada di dalam sesebuah group misalnya) , setiap ahli organisasi atau rakan-rakan yang menyokong program tersebut perlu memberi komen pada post berkenaan, walaupun komen yang tiada kaitan dengan post, tapi sebaiknya komen yang cuba menerangkan tentang program berkenaan.

Jika post tersebut dibiarkan tanpa sebarang like atau komen yang terbaru, maka post-post yang baru akan naik dan post berkenaan dengan program anda akan turun ke bawah sehinggakan tenggelam terus dari news feed sesebuah group atau pada home facebook anda dan iklan anda hilang dari pengetahuan umum!

Hal ini perlu dijelaskan lebih awal kepada mereka yang berkenaan, terutama setiap ahli organisasi supaya tidak terlalu berkira akan apa tugas yang diamanahkan dan membantu ajk yang lain juga.

4) Jangan share sekadar share, share tu biar bersungguh dan nampak kesungguhan !
Jika kita tekan butang share, itu sudah menjadi salah satu sumbangan yang terbesar dalam mempromosikan program anda, namun begitu, peratus orang yang akan mengambil perhatian akan perkara yang anda share itu mungkin sedikit, kerana anda cuma sekadar melakukan share dan anda tidak bersungguh-sungguh dalam melakukan share tersebut.

Bagaimana ini boleh berlaku?

Baik, share boleh berlaku dan terbit dalam 2 bentuk :
a) Share pada Wall anda sendiri.

Ia akan menjadi satu sharing yang separa lengkap, kerana imej yang akan keluar pada wall anda ialah imej pada saiz yang sebenar. 

b) Share pada wall lain seperti : Group/ Page

Ia akan menjadi satu sharing yang memerlukan kesungguhan yang bersungguh-sungguh, kerana, sharing sesuatu di dalam group, imej yang akan keluar ialah imej pada saiz yang kecil dan memerlukan orang untuk menekan imej itu terlebih dahulu untuk mengetahui lebih lanjut.


Kesilapan yang kedua ialah, apabila kita share sekadar share tanpa menulis sesuatu tentang apa perihal program atau sesuatu kapsyen yang memungkinkan orang lain untuk menekan imej itu untuk paparan pada saiz sebenar. Apa yang berlaku ialah, apabila kita share sekadar share tanpa menulis sesuatu kapsyen pada ruangan yang disediakan, apa yang keluar pada post kita itu ialah link yang sama untuk post/gambar yang kita share itu. 

Sudahlah imej perkara yang kita share itu kecil dan tidak jelas, kita tidak pula menulis sesuatu tentang apa yang kita share itu, peratus orang untuk ambil tahu tentang post yang kita share itu sangat sedikit, boleh jadi hanya kerana melihat tiada kesungguhan kita untuk mengajak, tiada kesungguhan kita untuk buat kerja dan orang tidak tahu, apa benda yang budak ni share, melainkan kita ada menulis sesuatu yang menarik perhatian atau menerangkan sesuatu tentang imej atau sharing berkenaan yang memungkinkan orang akan buka/klik imej/post tersebut.



5) Pastikan apa yang kita iklankan itu tidak terlalu lewat.
Sebaiknya lebih awal dan berterusan. Jika kita lewat untuk membuat liputan atau hebahan, maka jumlah bilangan audiens yang akan melihat iklan yang kita promosikan itu sangat terhad dengan kekangan masa.

Berbeza dengan hebahab yang awal dan berterusan, jika ianya dilakukan lebih awal, salah satu faktor penyebab keberkesanan publisiti ialah dari segi bilangan audiens boleh dikumpulkan lebih ramai dengan jumlah masa yang masih panjang, sebaiknya sebulan atau lebih sebelum program ( bergantung kepada skala program).

6) Create Event.
Hal ini boleh memastikan orang ramai akan sedia maklum sekiranya event berkenaan sentiasa diupdate dari masa ke semasa, selain daripada ianya akan memberikan reminder kepada orang yang dijemput untuk hadir, sama ada akan hadir atau mungkin hadir akan menerima reminder tersebut yang ada pada home masing-masing. Dalam masa yang sama, kita boleh melihat anggaran orang yang akan hadir, tapi tidak boleh mempercayai 100% akan angka itu, kerana akan ada yang akan hadir, tetapi pada hakikatnya tidak hadir sama sekali.

7) Tag orang lain dalam post atau gambar poster yang diupload. 
Perkara ini membolehkan orang yang ditag itu akan sentiasa menerima notifikasi dan setiap notifikasi itu akan keluar pada news feed orang lain walaupun tidak ditag pada gambar berkenaan. Kita boleh tag seberapa ramai orang yang kita mahu selagi masih boleh diterima oleh facebook sendiri, serta carilah orang yang mempunyai jumlah friends yang ramai serta pengaruhnya luas, kerana itu salah satu kelebihan untuk memperluaskan publisiti dengan percuma dan lebih mudah.

8) Pelbagaikan perkongsian yang sama.
Facebook, memiliki segala yang ada dan boleh dikongsikan, seperti pautan dari youtube, blog, twitter dan sebagainya. Gunakan kelebihan itu untuk menyalurkan segala sumber maklumat yang ada terus ke dalam facebook, kerana tidak ramai dan tidak semua orang memiliki dan membuka laman sosial yang lain selain dari facebook sahaja.

Sekadar itu yang saya boleh kongsikan, pastinya ada kekurangan dan sedikit rasa hampeh dengan perkongsian ini ( sebab mesti yang lain sudah ramai tahu tips ni sebenarnya kan..) dan saya minta maaf, kerana sedikit perkongsian ini adalah berdasarkan pengalaman sendiri yang ingin diperbaiki. Semoga mendapat manfaat bersama hendaknya.

to be continue..







Tuesday, October 9, 2012

Tips Publisiti Program di Kampus | Poster

Bismillah..

Assalamualaikum semua..

Sekadar sedikit perkongsian untuk meluangkan waktu yang terluang ini.
Semoga bermanfaat dan memberi manfaat insyaAllah.

Di kampus khususnya, para siswa sememangnya sibuk menganjurkan pelbagai jenis program.
Salah satu faktor kejayaan dan keberhasilan sesuatu program itu adalah melalui publisiti/iklan yang efektif.

Antara mekanisme yang biasa diaplikasikan dalam publisiti ialah :

- Poster
- Banner
- Sms
- Laman sosial

Tapi, walaupun nampak biasa, jika diperincikan tatacara penggunaannya dengan semaksima mungkin, insyaAllah hasilnya akan jadi luar biasa !

Poster.



- Apa yang menarik tentang poster ialah sudah disediakan tempat untuk menampalkannya. Tapi harus diingat, jangan sesekali menampalkannya di tempat yang dilarang.

- Kalau boleh, buat penyelidikan akan berapa jumlah board yang ada di sekitar kampus serta tempat-tempat tumpuan yang lain untuk menampalkan poster tersebut untuk mengelakkan pembaziran ketika mencetak dan menjimatkan penggunaan kertas dan kos.

- Designer sangat penting peranannya dalam menghasilkan poster yang chantek, menarik & tertarek. Pastikan poster yang dihasilkan menepati aspek C.A.S.P.E.R. Tidak rugi belajar kan? Contrast, Alignment, Simplicity, Emphasis & Repetation.

- Apa yang paling penting, ikhlas dan tunjukkan kesungguhan walaupun tugas kita sebagai tukang tampal poster saja. Jangan tunjuk kerja kita sambil lewa dan asal tampal !

- Aku sangat tidak suka melihat poster yang asal siap & asal tampal. Ada poster yang tampaknya menarik, tapi sayang, si penampalnya mengamalkan slogan "asalkan tampal sudahhh".

- Perlunya menyediakan paku tekan/jarum/pita pelekat sendiri tanpa mengharapkan ada paku tekan/jarum disediakan di setiap tempat yang kita ingin tampal.

- Jika sikap "asal tampal" selalu diamalkan, menunjukkan tiada kesungguhan dalam bekerja, maka akan adalah poster yang melambai-lambai ditiup angin. Cuba kita bayangkan, sehelai kertas ada 4 penjuru dan biasanya kita menampalkan poster pada setiap hujung penjuru perkenaan. Tapi, jika poster tersebut ditampal hanya dengan satu bahagian sahaja, iaitu di tengah kertas pada bahagian atas poster, maka, bahagian kanan dan kiri kertas di bahagian atas itu akan tunduk menutup sebahagian besar kandungan poster itu.

- Jangan lupa juga tentang adab dalam menampal poster, jangan sesekali menindih poster lain yang belum tamat tempohnya dengan poster kita. Itu perlakuan yang sangat kurang sopan.

- Selain itu, jangan lupa pada kebergantungan kepada Allah, ini adalah sebahagian daripada usaha, kesempurnaan sesuatu perkara itu terpulang kepada ketentuan Allah. Jika program kurang berjaya, sedangkan poster sudah memenuhi segenap ruang kampus, jangan sesekali menyalahkan sang penentu segalanya, kerana memberikan hidayah itu bukannya poster kita, itu cuma usaha, tapi Allah saja yang menggerakkan hati sekalian manusia.

to be continue..







Friday, October 5, 2012

Rahsia Kejayaan Organisasi




Organisasi berasal daripada perkataan bahasa Inggeris, iaitu Organisation, tetapi telah dibahasaMelayukan menjadi organisasi. Konsep bagi perkataan organisasi dalam bahasa Melayu tersangat luas dan mempunyai banyak perkataan yang mempunyai maksud yang sama dengan perkataan organisasi, seperti badan, persatuan, pertubuhan, gabungan, himpunan, jawatankuasa, majlis, sekretariat, komite, jemaah, kumpulan, kelompok dan sebagainya. 

Hal ini merujuk kepada segolongan manusia, yang merupakan ahli kepada segolongan besar kelompok. Sebagai contoh, dalam sekelompok besar masyarakat, ada sebahagian kelompok kecil sebagai nadi atau penggerak kepada sesuatu masyarakat tersebut. Kita ambil satu contoh, masyarakat sebuah perkampungan yang besar, memiliki sebuah jawatankuasa induk bagi menyelaras dan merupakan badan bertanggungjawab untuk segala permasalahan kebajikan dan sebagainya. Maksudnya di sini, organisasi yang terlibat dalam sesebuah masyarakat itu adalah terdiri daripada sebahagian kelompok kecil daripada sekelompok besar masyarakat yang ada.


Begitu juga halnya di sesebuah kampus atau institusi pendidikan. Jika di sekolah, kita boleh lihat, adanya banyak persatuan-persatuan kecil dan besar. Persatuan kecil itu adalah seperti kelab permainan, sukan dan sebagainya, manakala badan atau organisasi yang besar pula ialah seperti Badan Pengawas sekolah, pembimbing rakan sebaya serta pengawas perpustakaan. Itu yang biasa kita lihat.



Di kampus pula, masyarakat siswa-siswi diwakili oleh sebahagian kecil daripada kelompok besar mereka oleh sesebuah pertubuhan atau badan berkuasa yang terdiri dari kalangan mereka sendiri, contohnya Majlis Perwakilan Pelajar, Majlis Perwakilan Mahasiswa, Jawatankuasa Perwakilan Pelajar, Student Union dan sebagainya sebagai sebuah organisasi yang meliputi keseluruhan tanggungjawabnya kepada perihal kehidupan masyarakat mahasiswa di sesebuah institusi pendidikan.


Tidaklah ditubuhkan sesuatu organisasi itu tanpa adanya obejktif penubuhan, keperluan untuk mendirikan sesuatu organisasi, visi dan misi jangka panjang dan pendek, peraturan, perlembagaan, polisi, sumber kewangan dan sebagainya. 


Apalah gunanya ada sesebuah organisasi, tetapi segala perancangan, pelaksanaan, visi, misi dan objektif yang dinyatakan tidak tercapai dan tidak dapat disempurnakan dengan baik. Banyak faktor berlakunya fenomena keruntuhan dan kelesuan sebuah organisasi, khususnya dari aspek pengurusan, teknikal dan perkara-perkara yang boleh dilihat dan dinilai secara kualitatif dan kuantitatif.


Namun begitu, kita terlepas pandang akan perkara yang sangat sensitif dan mendatangkan kesan yang lebih buruk dalam sesebuah organisasi itu sendiri, kerana faktor ini sangat sulit untuk dinilai dan diperhatikan, apatah lagi untuk dibendung, waima memiliki pemimpin yang bertaraf tertingi sekalipun.


Kejayaan sesebuah organisasi itu tidak ditentukan sepenuhnya oleh betapa hebatnya kerjasama dan usaha yang dilakukan oleh setiap ahlinya, tetapi perkara yang paling utama dalam menentukan kejayaan organisasi ialah kebersihan dan kesucian hati setiap seorang dari ahlinya tanpa ada yang terkecuali.


Hal ini terbukti apabila dalam satu kisah disebutkan bagaimana Rasulullah s.a.w pernah terlupa bilangan rakaat dalam satu solat jemaah bersama para sahabat. Maka Baginda berkata bahawa barangkali dalam kalangan kalian( para sahabat) ada yang tidak sempurna wudhu'nya. Ketidaksempurnaan ahli bawahan memberi kesan kepada orang atasan tanpa sedar. 


Dalam organisasi ketenteraan contohnya, bagaimana para pemimpin angkatan perang sangat menjaga kesucian dan kebersihan hati para ahlinya agar mencapai kemenangan yang hakiki sangat diambil berat.


Antara kisah yang lain lagi ialah berkenaan dengan Solahuddin al-Ayubi yang berpura-pura sakit dan berpakat dengan doktornya untuk mengumumkan kepada para tentera bahawa sakitnya itu hanya dapat disembuhkan melalui air arak. Lalu, beliau membuat pemeriksaan di khemah tentera untuk mencari arak, namun tidak dijumpai. Jelaslah Solahuddin al-Ayubi bahawa tentera beliau suci daripada kemaksiatan.


Telah berkata Saad bin Abi Waqas kepada Salman al-Farisi setelah mengalahkan tentera Parsi bahawa "sekiranya di dalam pasukan ini tidak terdapat orang yang suka berbuat dosa, nescaya kebaikan pasti akan menang." 



Jika kita adalah salah seorang daripada ahli organisasi bagi apa-apa persatuan/pertubuhan/ badan dan lain-lain, hal seperti ini sangatlah dititikberatkan, kerana, kita tidak ingin matlamat, harapan dan objektif organisasi yang kita bawa tidak kesampaian hanya kerana masalah itu datangnya dari diri kita. Wajib bagi setiap seorang ahli dalam sesebuah organisasi menjaga soal kebersihan dan kesucian hati, kerana dari hati yang terpelihara sahajalah mampu menghindarkan seseorang daripada melakukan perkara-perkara keji dan membunuh seperti hasad dengki, dendam, khianat, maksiat, amarah, pentingkan diri sendiri, tikam kawan dari belakang, fitnah, sombong, ego dan sifat negatif yang lain.


Begitu hebat kesannya jika ada di antara ahli dalam sesebuah organisasi tidak menjaga kesucian dan kebersihan hatinya, lantas mengakibatkan kesan buruk kepada keseluruhan organisasi berkenaan.


Maka, jika visi dan misi sesebuah organisasi tidak dapat atau terlalu lama untuk dicapai, perlu banyakkan muhasabah dan refleksi semula sesama ahli oraganisasi, agar segalanya dapat berjalan dengan lancar..


insyaAllah..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...