Sunday, December 9, 2012

Mahasiswa Pendidik IPG kurang menyerlah ?

Bismillah..

Assalamualaikum, selamat sejahtera, salam perjuangan ~


Hari ini, suara golongan intelektual muda yang berkarisma dan bercita-cita tinggi seringkali menggugat dan menempiaskan gelombang kebangkitan massa dengan impak yang tinggi. Komuniti varsiti dan siswa siswi sejak dahulu lagi merupakan antara tonggak dan nadi pencetus kepada sesuatu perkara yang baharu khususnya di dalam negara, sesuai dengan hasrat untuk merealisasikan kata keramat ;

"generasi muda hari ini, pemimpin masa hadapan "

Cuma saya kurang dan masih belum berpuas hati dengan tahap pencapaian mahasiswa pendidik yang tidak keterlaluan jika saya kata sebagai anak angkat Kementerian Pelajaran Malaysia, iaitu guru pelatih Institut Pendidikan Guru.

Saya tidak menafikan kemerlangan serta hebatnya pencapaian guru pelatih yang juga merupakan mahasiswa pendidik ini dalam bidang akademik sangat baik, dikagumi oleh ramai pihak apabila bertugas di sekolah dan sebagainya. Namun begitu, standard yang ingin dicapai nampaknya pada hari ini masih banyak lagi yang perlu diperbaiki walaupun sudah banyak usaha penambahbaikan yang dilaksanakan.

Secara amnya, realiti guru pelatih ketika berada di kampus berada dalam zon yang sangat selesa, tanpa perlu memikirkan dari manakah sumber untuk mendapatkan wang untuk perbelanjaan asasi dan tambahan keperluan yang lain, fasiliti yang disediakan sangat kondusif dan serba baru dan sebagainya.

Tidak sesuai jika dibandingkan dengan kampus di institusi pengajian yang lain, hanya kerana populasi dan demografi kampus IPG adalah berskala lebih kecil berbanding dengan kampus yang lain. Namun begitu, hal ini sepatutnya tidak dijadikan sebagai modal atau faktor untuk mahasiswa pendidik di IPG merasa selamat berada di dalam komuniti kecil dan selesa, kerana di sebalik keselesaan inilah kemungkinan perkara-perkara yang boleh mengancam dalam hal-hal yang tidak disangka boleh berlaku.

Saya tidak menyangkal jika peraturan setiap kampus adalah tertakluk di bawah akta dan undang-undang negara, kerana jika dinilai dari sisi positif, banyak kebaikan yang diperolehi darinya. Adalah perlu disesuaikan dengan situasi dan keadaan setiap tempat, (dalam istilah Arab, lihat 'waqi'iyyah') kerana secara biasnya apa yang mahasiswa inginkan ialah kebebasan untuk bersuara yang tidak diberikan secara sebebasnya jika diperincikan dalam akta yang dikhususkan.

Dalam hal ini, saya mengambil pendekatan yang lain dalam usaha untuk mengalih tatacara atau tindakan mahasiswa pendidik di IPG untuk membawa suara yang ingin disampaikan kepada pihak yang perlu mendengar dan memberi perhatian, bukan dengan pendekatan kurang sesuai dengan etika keguruan yang dipandang tinggi oleh massa.

Dalam beberapa post yang lepas, saya ada menyatakan kisah seorang pensyarah yang memberikan peringatan kepada guru baru yang akan mula bertugas di sekolah nanti, supaya berani untuk menegur pihak atasan sekiranya berlaku sebarang masalah yang perlu diselesaikan, supaya ianya tidak meruncing jika tidak dipertemukan dengan solusi, secepatnya. Tetapi, respon yang diberikan oleh guru pelatih ialah, mereka (mewakili guru pelatih yang lain dengan kata ganti diri KAMI) tidak dibiasakan dengan kaedah seperti itu ketika berada dalam tempoh kursus (berada di IPG), mereka tidak dibenarkan sama-sekali untuk membuat sebarang komen samaada secara terbuka dan tidak berani untuk berbuat demikian walaupun secara peribadi, kerana perkara itu tidak biasa dilakukan di IPG, walhal, jika ianya perlu untuk kebaikan semua pihak, tidaklah menjadi masalah yang besar seandainya dipersetujui, sebagai contoh untuk penambahbaikan dan kebajikan warga kampus secara amnya, pihak guru pelatih meminta kepada pihak perwakilan pelajar untuk menyuarakan pendapat kepada pihak Hal Ehwal Pelajar dan pihak berkenaan yang lain untuk memohon didirikan sebuah gelanggang futsal atau tempat rekreasi yang boleh digunakan oleh semua, maka dalam situasi ini, telah berlaku satu proses di mana ada pencetus untuk memberikan maklumat, ada penerima, penyampai dan seterusnya penerima di pihak yang ketiga.

Hal ini biasanya berlaku kepada pihak kedua, iaitu perwakilan pelajar yang seupaya mungkin membawa suara bersama rakan-rakan yang telah mencapai kata sepakat untuk diambil tindakan oleh pihak atasan, namun dipersalahkan pula pihak yang kedua ini sekiranya belum ada tindakan dari pihak yang ketiga.
Untuk pengetahuan semua, setiap peringkat warga di dalam komuniti kampus ada ruang lingkupnya yang tersendiri, tidak boleh juga dipersalahkan pihak ketiga sekiranya masih tiada tindakan, kerana mereka pula perlu berurusan dengan beberapa pihak yang lain, tidak mustahi jika mereka berurusan sehingga ke peringkat yang keenam, ketujuh dan seterusnya serta ianya memang mengambil masa dan proses yang perlu dilakukan secara berperingkat dan terperinci.
Sekadar maklumat tambahan.

Antara faktor lain kelesuan dalam merealisasikan kata keramat yang saya sebutkan di atas, dalam ruang lingkup mahasiswa pendidik di IPG dalam konteks berada di dalam zon selesa ialah, konsep campus life tidak hidup, walaupun banyak usaha untuk menghidupkannya yang dilakukan oleh pihak perwakilan pelajar, persatuan pelajar dan pihak kampus sendiri.

Mahasiswa pendidik harus menerima dan mengambil cabaran dalam cuba membuktikan bahawa mahasiswa pendidik itu lebih baik daripada yang lain. Jika peluang dan ruang untuk membuktikan itu tiada di dalam kampus, kenapa tidak menyelongkarnya di luar kampus yang terbentang luas ?

Hal ini yang banyak dilakukan oleh mahasiswa lain yang berjaya membuka mata masyarakat, bukan sahaja dalam komuniti setempat, bahkan di peringkat nasional dan antarabangsa !

Apabila ada usaha untuk cuba membawa dan menaikkan nama IPG di peringkat yang lebih tinggi di luar kampus, itu adalah bonus dan modal yang terbaik kepada mahasiswa pendidik di IPG untuk dipersembahkan kepada pihak ketiga dan seterusnya untuk mempergiatkan lagi usaha yang boleh dipertimbangkan sekiranya ada perkara yang melibatkan kerjasama antara mereka dan pihak mahasiswa di IPG, hanya kerana mahasiswa pendidik IPG mampu membuktikan kredibiliti dan usaha dalam merealisasikan dan membenarkan penilaian massa yang memandang tinggi kepada profession perguruan adalah usaha yang bersungguh-sungguh dan tidak boleh dipandang rendah. Saya sendiri sangat terkilan apabila ditanya oleh masyarakat setempat di mana tempat saya belajar, ada yang belum pernah mendengar nama IPG, bahkan rakan-rakan yang sebaya dengan saya sendiri ada yang tidak tahu akan kewujudan IPG, walaupun pada hakikatnya, mereka tahu apabila disebutkan perkataan Maktab.

Mungkin ketika zaman 'Maktab' dulu penglibatan dan publisiti kepada massa sangat baik kan ?

Hari ini, cuba kita senaraikan sehingga peringkat apa penglibatan IPG di negara kita?
Adakah di peringkat IPG sahaja?
Adakah di peringkat zon sahaja?
Adakah di peringkat negeri sahaja?
Peringkat kebangsaan?
Peringkat antarabangsa?

Koir kemerdekaan belum cukup lagi bagi saya untuk dijadikan kayu ukur atau jawapan kepada soalan di atas. Perlu lebih banyak usaha dari peringkat dan kalangan mahasiswa pendidik IPG sendiri untuk mengorganisasi program sendiri yang lebih baik. KOGUM adalah contoh program yang baik dari segi penglibatan mahasiswa pendidik. Sekadar pandangan peribadi.

Pihak perwakilan pelajar harus lebih proaktif, banyak melakukan R&D dalam banyak perkara supaya setiap permasalahan mampu ditangani dengan efektif, walaupun tidak 100% berjaya diselesaikan, memadai dengan adanya perubahan dan rakan-rakan dapat merasa bahawa anda berperanan dalam menjalankan amanah. Pihak kepimpinan lama perlu memberi tunjuk ajar kepada kepimpinan baharu dan dalam masa yang sama, jangan abaikan dalam soal melatih dan menanam benih pemimpin yang akan dihasilkan untuk kepimpinan yang seterusnya.

Cuba usahakan untuk keluar dari kepompong dan berusahalah untuk jadi seperti rama-rama yang terbang cantik dan bebas apabila keluar dari kepompongnya. Tapi bukanlah bermaksud fokus untuk terus berada di luar kampus, cuma di peringkat kursus yakni peringkat pembinaan karakter guru di IPG, mahasiswa pendidik IPG sudah merasa panas dan dinginnya tanah di tempat lain.

Terima kasih kerana sudi membaca. Maaf jika isi kurang tersusun, mana-mana yang baik, ambil, yang sebaliknya, mohon diberikan pendapat dan cadangan penambahbaikan.

Assalamualaikum.

# Free Gaza, save Syria..

2 comments:

  1. ada benar juga kata anda. tp ruang lingkup seperti penglibatan IPG di peringkat lebih tinggi terhad/terbatas. berapa banyak IPG yg dijemput utk bersama2 IPTA/IPTS lain dlm menjayakan sesuatu program? pernah satu ketika dimana sorg shbt pernah menghntr kertas kerja IPT mereka kepada KPM utk bekerjasama dgn IPG,ditolak mentah2. entah knp,entah alasan apa. skrg ini ada program mereka yg akan dijlnkan. hanya penglibatan individu IPG sahaja,tidak dpt mencakupi keseluruhannya. xperlu pergi jauh,apabila satu prog IPG yg dijemput ialah dari golongan berhijrah,smpikn ke pihak terats permohonan ditolak saat akhir. knp? saya percaya Mahasiswa Pendidik masa kini ingin terkehadapan dan menyebarkan terma IPG itu sendiri,tp kerana ada tangan2 yg cuba menghalang dan menghentikannya ianya setakat itu sahaja. sekarang byk IPG berusaha dlm membawa masuk orang2 awam ke dalam IPG apabila melakukan program2. yakinlah sekarang mahasiswa pendidik ingin duduk sama rendah,diri lebih tinggi dengan IPT. cuma secebis kata dari MP yg melihat dari sudut sedikit berbeza dengan anda. jzkk. :)

    ReplyDelete
  2. kami bersyukur dgn apa yang ada.. kami x sama dgn IPTA/IPTS.. setiap IPG n IPT ada kelebihan masing2... kami lebih fokus dalam bidang pendidikan.. perjuangan kita x sama..

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...