Organisasi berasal daripada perkataan bahasa Inggeris, iaitu Organisation, tetapi telah dibahasaMelayukan menjadi organisasi. Konsep bagi perkataan organisasi dalam bahasa Melayu tersangat luas dan mempunyai banyak perkataan yang mempunyai maksud yang sama dengan perkataan organisasi, seperti badan, persatuan, pertubuhan, gabungan, himpunan, jawatankuasa, majlis, sekretariat, komite, jemaah, kumpulan, kelompok dan sebagainya.
Hal ini merujuk kepada segolongan manusia, yang merupakan ahli kepada segolongan besar kelompok. Sebagai contoh, dalam sekelompok besar masyarakat, ada sebahagian kelompok kecil sebagai nadi atau penggerak kepada sesuatu masyarakat tersebut. Kita ambil satu contoh, masyarakat sebuah perkampungan yang besar, memiliki sebuah jawatankuasa induk bagi menyelaras dan merupakan badan bertanggungjawab untuk segala permasalahan kebajikan dan sebagainya. Maksudnya di sini, organisasi yang terlibat dalam sesebuah masyarakat itu adalah terdiri daripada sebahagian kelompok kecil daripada sekelompok besar masyarakat yang ada.
Begitu juga halnya di sesebuah kampus atau institusi pendidikan. Jika di sekolah, kita boleh lihat, adanya banyak persatuan-persatuan kecil dan besar. Persatuan kecil itu adalah seperti kelab permainan, sukan dan sebagainya, manakala badan atau organisasi yang besar pula ialah seperti Badan Pengawas sekolah, pembimbing rakan sebaya serta pengawas perpustakaan. Itu yang biasa kita lihat.
Di kampus pula, masyarakat siswa-siswi diwakili oleh sebahagian kecil daripada kelompok besar mereka oleh sesebuah pertubuhan atau badan berkuasa yang terdiri dari kalangan mereka sendiri, contohnya Majlis Perwakilan Pelajar, Majlis Perwakilan Mahasiswa, Jawatankuasa Perwakilan Pelajar, Student Union dan sebagainya sebagai sebuah organisasi yang meliputi keseluruhan tanggungjawabnya kepada perihal kehidupan masyarakat mahasiswa di sesebuah institusi pendidikan.
Tidaklah ditubuhkan sesuatu organisasi itu tanpa adanya obejktif penubuhan, keperluan untuk mendirikan sesuatu organisasi, visi dan misi jangka panjang dan pendek, peraturan, perlembagaan, polisi, sumber kewangan dan sebagainya.
Apalah gunanya ada sesebuah organisasi, tetapi segala perancangan, pelaksanaan, visi, misi dan objektif yang dinyatakan tidak tercapai dan tidak dapat disempurnakan dengan baik. Banyak faktor berlakunya fenomena keruntuhan dan kelesuan sebuah organisasi, khususnya dari aspek pengurusan, teknikal dan perkara-perkara yang boleh dilihat dan dinilai secara kualitatif dan kuantitatif.
Namun begitu, kita terlepas pandang akan perkara yang sangat sensitif dan mendatangkan kesan yang lebih buruk dalam sesebuah organisasi itu sendiri, kerana faktor ini sangat sulit untuk dinilai dan diperhatikan, apatah lagi untuk dibendung, waima memiliki pemimpin yang bertaraf tertingi sekalipun.
Kejayaan sesebuah organisasi itu tidak ditentukan sepenuhnya oleh betapa hebatnya kerjasama dan usaha yang dilakukan oleh setiap ahlinya, tetapi perkara yang paling utama dalam menentukan kejayaan organisasi ialah kebersihan dan kesucian hati setiap seorang dari ahlinya tanpa ada yang terkecuali.
Hal ini terbukti apabila dalam satu kisah disebutkan bagaimana Rasulullah s.a.w pernah terlupa bilangan rakaat dalam satu solat jemaah bersama para sahabat. Maka Baginda berkata bahawa barangkali dalam kalangan kalian( para sahabat) ada yang tidak sempurna wudhu'nya. Ketidaksempurnaan ahli bawahan memberi kesan kepada orang atasan tanpa sedar.
Dalam organisasi ketenteraan contohnya, bagaimana para pemimpin angkatan perang sangat menjaga kesucian dan kebersihan hati para ahlinya agar mencapai kemenangan yang hakiki sangat diambil berat.
Antara kisah yang lain lagi ialah berkenaan dengan Solahuddin al-Ayubi yang berpura-pura sakit dan berpakat dengan doktornya untuk mengumumkan kepada para tentera bahawa sakitnya itu hanya dapat disembuhkan melalui air arak. Lalu, beliau membuat pemeriksaan di khemah tentera untuk mencari arak, namun tidak dijumpai. Jelaslah Solahuddin al-Ayubi bahawa tentera beliau suci daripada kemaksiatan.
Telah berkata Saad bin Abi Waqas kepada Salman al-Farisi setelah mengalahkan tentera Parsi bahawa "sekiranya di dalam pasukan ini tidak terdapat orang yang suka berbuat dosa, nescaya kebaikan pasti akan menang."
Jika kita adalah salah seorang daripada ahli organisasi bagi apa-apa persatuan/pertubuhan/ badan dan lain-lain, hal seperti ini sangatlah dititikberatkan, kerana, kita tidak ingin matlamat, harapan dan objektif organisasi yang kita bawa tidak kesampaian hanya kerana masalah itu datangnya dari diri kita. Wajib bagi setiap seorang ahli dalam sesebuah organisasi menjaga soal kebersihan dan kesucian hati, kerana dari hati yang terpelihara sahajalah mampu menghindarkan seseorang daripada melakukan perkara-perkara keji dan membunuh seperti hasad dengki, dendam, khianat, maksiat, amarah, pentingkan diri sendiri, tikam kawan dari belakang, fitnah, sombong, ego dan sifat negatif yang lain.
Begitu hebat kesannya jika ada di antara ahli dalam sesebuah organisasi tidak menjaga kesucian dan kebersihan hatinya, lantas mengakibatkan kesan buruk kepada keseluruhan organisasi berkenaan.
Maka, jika visi dan misi sesebuah organisasi tidak dapat atau terlalu lama untuk dicapai, perlu banyakkan muhasabah dan refleksi semula sesama ahli oraganisasi, agar segalanya dapat berjalan dengan lancar..
insyaAllah..
No comments:
Post a Comment