Showing posts with label sirah rasulullah. Show all posts
Showing posts with label sirah rasulullah. Show all posts

Monday, April 22, 2013

Tausiyah Syeikh Abdul Qader Al-Baihani

اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

 Syeikh Abdul Qader Al-Baihani


Selepas selesai sesi ta'lim bersama Habib Ali Zainal Abidin, beliau membuka ruang kepada Syeikh Abdul Qader Al-Baihani dari Hadramawt untuk memberikan tausiyah kepada semua yang hadir pada malam itu.

Syeikh sangat memberi penekanan tentang praktik sesuatu ilmu dengan amal selepas menerima atau memperolehi ilmu. Siapa yang bertambah ilmunya, tetapi tidak beramal dengannya, semakin jauhlah orang itu dengan Allah.
Ilmu menuntut kepada amalan dan praktik.
Kata Syeikh, Saidina Umar Al-Khattab menghafal surah Al-Baqarah selama setahun. Ini kerana, selepas menghafal 3 ayat, beliau memahami dan mengamalkan terlebih dahulu 3 ayat tersebut sebelum meneruskan hafalan kepada ayat-ayat yang seterusnya.
Sekiranya kita hendak Allah beri manfaat kepada ilmu yang kita miliki, ianya memerlukan kepada amalan.
Ruang mendapatkan ilmu bermula dari rumah.
Adakah rumah kita sama dengan suasana rumah Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam?
Tarbiyyah seharusnya bermula dari rumah.
Aganknya apa yang sedang berlaku di rumah kita sekarang?
 Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam ketika berada di rumah, seperti orang biasa.
Melakukan aktiviti rutin juga, membersihkan rumah, menyapu, membantu ahli keluarga yang lain, menjahit pakaian yang koyak dan sebagainya, tapi, apabila mendengar azan, respon Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam sangat cepat, baginda meninggalkan pekerjaannya dan terus menyahut panggilan azan itu menuju ke masjid.

Baginda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam tidak solat di rumah, melainkan 3 hari sebelum hari kewafatan baginda kerana tidak boleh bangun dari tempat tidurnya.

Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam hidup serba sederhana.
Baginda tidak tidur di atas tilam yang empuk, sebaliknya tidur di atas lantai beralaskan tikar nipis.

Aisyah sangat simpati kepada baginda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam, lalu melipat sedikit tikar alas itu agar ianya menjadi lebih tebal sedikit untuk keselesaan baginda tidur. Namun begitu, Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam melarang Aisyah berbuat demikian kerana baginda tidak mahu dengan keselesaan itu akan menyebabkannya terlalai untuk melaksanakan ibadah solat.

Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam makan tidak lebih daripada 2 kali sehari. Jika siangnya makan, malamnya tidak. Pernah berlaku baginda hanya makan kurma dan air sahaja selama 3 bulan.

Dalam kehidupan berkeluarga, Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam sangat menjaga kehormatan dan maruahnya serta ahli keluarganya. Antaranya ialah memerintahkan ahli keluarganya untuk menutup aurat, sepertimana yang telah disebutkan di dalam Al-Quran.

Satu kisah, apabila Zainab, isteri baginda datang untuk menemani baginda yang berada di masjid. Kemudian, baginda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam menghantar Zainab balik ke rumah, walaupun rumah mereka tidak jauh dari masjid, kerana risau kepada Zainab sekiranya ada apa-apa yang buruk berlaku sepanjang Zainab dalam perjalanan balik ke rumah.
Ketika itu, ada sahabat yang melihat Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam berjalan dengan Zainab. Setelah itu, baginda berjumpa dengan sahabat yang terlihat itu untuk memaklumkan bahawa wanita yang bersamanya tadi ialah isterinya bagi mengelakkan berlakunya fitnah.

Selain itu, di dalam Al-Quran juga ada perintah untuk memerintahkan ahli keluarga menunaikan solat.

Seorang yang alim telah ditangkap oleh penguasa yang zalim. Selepas dibicarakan, kemudian beliau dibebaskan. Setelah itu, ada orang yang bertindak memaki pihak penguasa itu atas tindakan yang mereka lakukan. Lalu orang alim itu pun berkata, jangan kamu maki mereka, sesungguhnya ini sudah bahagian saya. Saya pernah melakukan kesalahan yang setimpal dengan balasan yang saya terima ini. Saya lupa untuk mengingatkan ahli keluarga saya sudah menunaikan solat atau belum..

Wallahu a'lam ~

Friday, October 5, 2012

Rahsia Kejayaan Organisasi




Organisasi berasal daripada perkataan bahasa Inggeris, iaitu Organisation, tetapi telah dibahasaMelayukan menjadi organisasi. Konsep bagi perkataan organisasi dalam bahasa Melayu tersangat luas dan mempunyai banyak perkataan yang mempunyai maksud yang sama dengan perkataan organisasi, seperti badan, persatuan, pertubuhan, gabungan, himpunan, jawatankuasa, majlis, sekretariat, komite, jemaah, kumpulan, kelompok dan sebagainya. 

Hal ini merujuk kepada segolongan manusia, yang merupakan ahli kepada segolongan besar kelompok. Sebagai contoh, dalam sekelompok besar masyarakat, ada sebahagian kelompok kecil sebagai nadi atau penggerak kepada sesuatu masyarakat tersebut. Kita ambil satu contoh, masyarakat sebuah perkampungan yang besar, memiliki sebuah jawatankuasa induk bagi menyelaras dan merupakan badan bertanggungjawab untuk segala permasalahan kebajikan dan sebagainya. Maksudnya di sini, organisasi yang terlibat dalam sesebuah masyarakat itu adalah terdiri daripada sebahagian kelompok kecil daripada sekelompok besar masyarakat yang ada.


Begitu juga halnya di sesebuah kampus atau institusi pendidikan. Jika di sekolah, kita boleh lihat, adanya banyak persatuan-persatuan kecil dan besar. Persatuan kecil itu adalah seperti kelab permainan, sukan dan sebagainya, manakala badan atau organisasi yang besar pula ialah seperti Badan Pengawas sekolah, pembimbing rakan sebaya serta pengawas perpustakaan. Itu yang biasa kita lihat.



Di kampus pula, masyarakat siswa-siswi diwakili oleh sebahagian kecil daripada kelompok besar mereka oleh sesebuah pertubuhan atau badan berkuasa yang terdiri dari kalangan mereka sendiri, contohnya Majlis Perwakilan Pelajar, Majlis Perwakilan Mahasiswa, Jawatankuasa Perwakilan Pelajar, Student Union dan sebagainya sebagai sebuah organisasi yang meliputi keseluruhan tanggungjawabnya kepada perihal kehidupan masyarakat mahasiswa di sesebuah institusi pendidikan.


Tidaklah ditubuhkan sesuatu organisasi itu tanpa adanya obejktif penubuhan, keperluan untuk mendirikan sesuatu organisasi, visi dan misi jangka panjang dan pendek, peraturan, perlembagaan, polisi, sumber kewangan dan sebagainya. 


Apalah gunanya ada sesebuah organisasi, tetapi segala perancangan, pelaksanaan, visi, misi dan objektif yang dinyatakan tidak tercapai dan tidak dapat disempurnakan dengan baik. Banyak faktor berlakunya fenomena keruntuhan dan kelesuan sebuah organisasi, khususnya dari aspek pengurusan, teknikal dan perkara-perkara yang boleh dilihat dan dinilai secara kualitatif dan kuantitatif.


Namun begitu, kita terlepas pandang akan perkara yang sangat sensitif dan mendatangkan kesan yang lebih buruk dalam sesebuah organisasi itu sendiri, kerana faktor ini sangat sulit untuk dinilai dan diperhatikan, apatah lagi untuk dibendung, waima memiliki pemimpin yang bertaraf tertingi sekalipun.


Kejayaan sesebuah organisasi itu tidak ditentukan sepenuhnya oleh betapa hebatnya kerjasama dan usaha yang dilakukan oleh setiap ahlinya, tetapi perkara yang paling utama dalam menentukan kejayaan organisasi ialah kebersihan dan kesucian hati setiap seorang dari ahlinya tanpa ada yang terkecuali.


Hal ini terbukti apabila dalam satu kisah disebutkan bagaimana Rasulullah s.a.w pernah terlupa bilangan rakaat dalam satu solat jemaah bersama para sahabat. Maka Baginda berkata bahawa barangkali dalam kalangan kalian( para sahabat) ada yang tidak sempurna wudhu'nya. Ketidaksempurnaan ahli bawahan memberi kesan kepada orang atasan tanpa sedar. 


Dalam organisasi ketenteraan contohnya, bagaimana para pemimpin angkatan perang sangat menjaga kesucian dan kebersihan hati para ahlinya agar mencapai kemenangan yang hakiki sangat diambil berat.


Antara kisah yang lain lagi ialah berkenaan dengan Solahuddin al-Ayubi yang berpura-pura sakit dan berpakat dengan doktornya untuk mengumumkan kepada para tentera bahawa sakitnya itu hanya dapat disembuhkan melalui air arak. Lalu, beliau membuat pemeriksaan di khemah tentera untuk mencari arak, namun tidak dijumpai. Jelaslah Solahuddin al-Ayubi bahawa tentera beliau suci daripada kemaksiatan.


Telah berkata Saad bin Abi Waqas kepada Salman al-Farisi setelah mengalahkan tentera Parsi bahawa "sekiranya di dalam pasukan ini tidak terdapat orang yang suka berbuat dosa, nescaya kebaikan pasti akan menang." 



Jika kita adalah salah seorang daripada ahli organisasi bagi apa-apa persatuan/pertubuhan/ badan dan lain-lain, hal seperti ini sangatlah dititikberatkan, kerana, kita tidak ingin matlamat, harapan dan objektif organisasi yang kita bawa tidak kesampaian hanya kerana masalah itu datangnya dari diri kita. Wajib bagi setiap seorang ahli dalam sesebuah organisasi menjaga soal kebersihan dan kesucian hati, kerana dari hati yang terpelihara sahajalah mampu menghindarkan seseorang daripada melakukan perkara-perkara keji dan membunuh seperti hasad dengki, dendam, khianat, maksiat, amarah, pentingkan diri sendiri, tikam kawan dari belakang, fitnah, sombong, ego dan sifat negatif yang lain.


Begitu hebat kesannya jika ada di antara ahli dalam sesebuah organisasi tidak menjaga kesucian dan kebersihan hatinya, lantas mengakibatkan kesan buruk kepada keseluruhan organisasi berkenaan.


Maka, jika visi dan misi sesebuah organisasi tidak dapat atau terlalu lama untuk dicapai, perlu banyakkan muhasabah dan refleksi semula sesama ahli oraganisasi, agar segalanya dapat berjalan dengan lancar..


insyaAllah..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...