Showing posts with label persatuan mahasiswa. Show all posts
Showing posts with label persatuan mahasiswa. Show all posts

Friday, September 20, 2013

1 Motor 1 Jantina | Pendapat si Pejalan Kaki

Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua pembaca yang budiman.



Pada petang ini, saya mengambil kesempatan dalam sedikit waktu yang ada untuk mengetengahkan isu yang sedang hangat diperkatakan di sekitar kampus, iaitu berkenaan dengan isu Kempen 1 Motorsikal 1 Jantina.

Saya membuat kesimpulan, terdapat 4 (mungkin lebih) kelompok manusia yang akan terlibat dalam kempen ini, iaitu :

1) Penganjur
2) Terasa
3) Menentang
4) Tidak peduli

JPP merupakan badan yang menganjurkan kempen ini. Ia bukanlah dianjurkan untuk mencari kesalahan dalam kalangan rakan-rakan sendiri, tetapi atas kesedaran kepada runtuhnya nilai moral yang dimiliki oleh guru pelatih yang akan menjadi pendidik suatu masa nanti yang ingin diperbaiki.

Mengikut statistik umum yang diperolehi daripada kajian seorang pensyarah JAPIM,  kes salah laku guru pelatih yang telah dibawa kepada kes disiplin atas laporan dan tindakan pihak yang berkenaan semakin meningkat dari tahun 2008 hingga 2012. Antara faktor yang dikenal pasti ialah kurangnya kesedaran dan penghayatan kepada ajaran agama dan nilai moral dalam diri individu.

Oleh yang demikian, kempen ini pertama kali diadakan dalam usaha untuk mencegah lebih banyak tindakan-tindakan yang menunjukkan rendahnya tahap kesedaran dan nilai moral yang baik terutama dalam kalangan bakal pendidik. 

Sebagai maklumat tambahan, kes percintaan antara suami/isteri orang dengan pasangan suami/isteri orang dalam kalangan guru juga merupakan kes yang serius pernah berlaku dalam realiti dunia guru. 

Oleh yang demikian, saya mengulang semula point yang pernah saya nyatakan sebelum ini, untuk membentuk guru yang benar-benar berakauntabiliti dan nilai intergriti yang tinggi, ianya perlu diamalkan dalam fasa pembentukan, iaitu ketika berada di dalam fasa kursus di IPG.

Jadi, secara peribadi, berdasarkan objektif kempen ini, saya bersetuju kerana ini merupakan satu langkah awal yang dilakukan, dan sekiranya terdapat sebarang kekurangan, ia perlu ditambah baik, kerana setiap perkara yang dilakukan pasti berlaku kekurangan pada awalnya untuk refleksi dan penambahbaikan pada peringkat yang akan datang.

Pada hemah saya, kelompok yang terasa adalah individu yang melakukan perkara yang sebaliknya dalam kempen ini. Hari pertama selepas penggantungan bunting di sekitar kampus, beberapa status dalam facebook sudah dikeluarkan yang menyatakan tentang kempen ini. Ada yang mengakhirinya dengan 'hahahaha' dan pelbagai cara, malah ada yang seakan bergurau dengan kempen tersebut. Itu pendapat masing-masing, dan tulisan saya ini juga adalah pendapat saya sendiri.

Bagi golongan yang terasa ini pula boleh saya pecahkan kepada dua bahagian pula, iaitu :
a) Terasa dan ambil tindakan
b) Terasa tapi tiada tindakan

Golongan yang terasa dan ambil tindakan bagi saya adalah terdiri daripada individu yang masih mempunyai kesedaran terhadap diri sendiri untuk mengubah tindakan yang lepas.
Masih sedar 'saya seorang bakal pendidik' dan perlu menjadi contoh teladan yang baik.
Faham dan jelas kepada falsafah pendidikan kebangsaan, untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi JERI, terlebih dahulu guru perlu mantap dengan JERI itu sendiri.
Masih mempunyai kesedaran akan batas-batas yang telah diajarkan oleh agama dan menyedari akan keperluan kepada kepada melakukan perintah dan menghindari larangan Tuhan.

Manakala golongan yang terasa, tapi tiada tindakan pula adalah yang sebaliknya dengan individu yang terasa, tetapi ambil tindakan.


Kelompok ini tidak setuju sama sekali dengan penganjuran kempen ini boleh dikatakan menentang, atas faktor-faktor tertentu. Boleh jadi individu yang terlibat ialah golongan yang terasa tapi tiada tindakan atau yang sememangnya merasakan kempen ini tidak perlu dianjurkan.

Saya tidak menafikan, di dalam kampus, ada staff, pensyarah dan guru pelatih yang sudah berkahwin dan berkeluarga, kemudian membonceng adik, kakak, ibu, isteri dan lain-lain individu yang dibolehkan untuk duduk bersama di atas sebuah motorsikal berdasarkan hukum syarak. 

Namun, kempen ini dikhususkan kepada yang belum berkahwin dan tidak mempunyai ikatan atau hubungan yang sah, kerana majoritinya kelompok ini adalah yang paling ramai, manakala kelompok yang muhrim adalah kelompok yang tidak begitu ramai.

Secara peribadi, saya ingin mengingatkan bahawa, sekiranya ada pihak yang ingin membuat sebarang kenyataan tentang individu yang terlibat dengan tindakan membonceng motorsikal lelaki dan perempuan kepada pihak yang berkenaan, harap dikaji selidik terlebih dahulu, atas faktor yang telah disebutkan, iaitu ada yang telah berkahwin dan berkeluarga.

Sekiranya ada dari kalangan rakan-rakan yang sudah berkahwin dan dipandang sinis oleh orang lain, implikasi daripada kempen ini, anda tidak melakukan apa-apa kesalahan, sekalipun dipandang sedemikian, kerana anda faham bahawa anda memang dibolehkan untuk melakukan hal yang seperti itu, ianya lebih baik daripada bersekedudukan, tetapi dalam kerangka larangan dan ingkar kepada Tuhan, dan itu lebih merisaukan. 


Sebilangan besar yang tidak ambil peduli sememangnya yang tidak mempunyai motorsikal, menaiki kereta dan hanya berjalan kaki sahaja.

Namun, bagi yang berjalan kaki, menaiki kereta/lori/bas/jentolak atau traktor sekalipun , saya ingin ingatkan bahawa, kalian perlu menjaga batas pergaulan juga. Berdua dengan kawan bukan sejantina mungkin boleh menimbulkan gosip negatif antara rakan-rakan yang lain. Ingat tu.

Apa pun, perlu diingatkan kepada yang sedang hangat bercinta, sedar diri anda siapa pada hari ini dan hari esok, dan esok bukan setakat 5-10 tahun, tetapi esok juga adalah hari perhitungan kepada setiap apa yang telah kita lakukan, yakni di hari pembalasan kelak.



Friday, October 5, 2012

Rahsia Kejayaan Organisasi




Organisasi berasal daripada perkataan bahasa Inggeris, iaitu Organisation, tetapi telah dibahasaMelayukan menjadi organisasi. Konsep bagi perkataan organisasi dalam bahasa Melayu tersangat luas dan mempunyai banyak perkataan yang mempunyai maksud yang sama dengan perkataan organisasi, seperti badan, persatuan, pertubuhan, gabungan, himpunan, jawatankuasa, majlis, sekretariat, komite, jemaah, kumpulan, kelompok dan sebagainya. 

Hal ini merujuk kepada segolongan manusia, yang merupakan ahli kepada segolongan besar kelompok. Sebagai contoh, dalam sekelompok besar masyarakat, ada sebahagian kelompok kecil sebagai nadi atau penggerak kepada sesuatu masyarakat tersebut. Kita ambil satu contoh, masyarakat sebuah perkampungan yang besar, memiliki sebuah jawatankuasa induk bagi menyelaras dan merupakan badan bertanggungjawab untuk segala permasalahan kebajikan dan sebagainya. Maksudnya di sini, organisasi yang terlibat dalam sesebuah masyarakat itu adalah terdiri daripada sebahagian kelompok kecil daripada sekelompok besar masyarakat yang ada.


Begitu juga halnya di sesebuah kampus atau institusi pendidikan. Jika di sekolah, kita boleh lihat, adanya banyak persatuan-persatuan kecil dan besar. Persatuan kecil itu adalah seperti kelab permainan, sukan dan sebagainya, manakala badan atau organisasi yang besar pula ialah seperti Badan Pengawas sekolah, pembimbing rakan sebaya serta pengawas perpustakaan. Itu yang biasa kita lihat.



Di kampus pula, masyarakat siswa-siswi diwakili oleh sebahagian kecil daripada kelompok besar mereka oleh sesebuah pertubuhan atau badan berkuasa yang terdiri dari kalangan mereka sendiri, contohnya Majlis Perwakilan Pelajar, Majlis Perwakilan Mahasiswa, Jawatankuasa Perwakilan Pelajar, Student Union dan sebagainya sebagai sebuah organisasi yang meliputi keseluruhan tanggungjawabnya kepada perihal kehidupan masyarakat mahasiswa di sesebuah institusi pendidikan.


Tidaklah ditubuhkan sesuatu organisasi itu tanpa adanya obejktif penubuhan, keperluan untuk mendirikan sesuatu organisasi, visi dan misi jangka panjang dan pendek, peraturan, perlembagaan, polisi, sumber kewangan dan sebagainya. 


Apalah gunanya ada sesebuah organisasi, tetapi segala perancangan, pelaksanaan, visi, misi dan objektif yang dinyatakan tidak tercapai dan tidak dapat disempurnakan dengan baik. Banyak faktor berlakunya fenomena keruntuhan dan kelesuan sebuah organisasi, khususnya dari aspek pengurusan, teknikal dan perkara-perkara yang boleh dilihat dan dinilai secara kualitatif dan kuantitatif.


Namun begitu, kita terlepas pandang akan perkara yang sangat sensitif dan mendatangkan kesan yang lebih buruk dalam sesebuah organisasi itu sendiri, kerana faktor ini sangat sulit untuk dinilai dan diperhatikan, apatah lagi untuk dibendung, waima memiliki pemimpin yang bertaraf tertingi sekalipun.


Kejayaan sesebuah organisasi itu tidak ditentukan sepenuhnya oleh betapa hebatnya kerjasama dan usaha yang dilakukan oleh setiap ahlinya, tetapi perkara yang paling utama dalam menentukan kejayaan organisasi ialah kebersihan dan kesucian hati setiap seorang dari ahlinya tanpa ada yang terkecuali.


Hal ini terbukti apabila dalam satu kisah disebutkan bagaimana Rasulullah s.a.w pernah terlupa bilangan rakaat dalam satu solat jemaah bersama para sahabat. Maka Baginda berkata bahawa barangkali dalam kalangan kalian( para sahabat) ada yang tidak sempurna wudhu'nya. Ketidaksempurnaan ahli bawahan memberi kesan kepada orang atasan tanpa sedar. 


Dalam organisasi ketenteraan contohnya, bagaimana para pemimpin angkatan perang sangat menjaga kesucian dan kebersihan hati para ahlinya agar mencapai kemenangan yang hakiki sangat diambil berat.


Antara kisah yang lain lagi ialah berkenaan dengan Solahuddin al-Ayubi yang berpura-pura sakit dan berpakat dengan doktornya untuk mengumumkan kepada para tentera bahawa sakitnya itu hanya dapat disembuhkan melalui air arak. Lalu, beliau membuat pemeriksaan di khemah tentera untuk mencari arak, namun tidak dijumpai. Jelaslah Solahuddin al-Ayubi bahawa tentera beliau suci daripada kemaksiatan.


Telah berkata Saad bin Abi Waqas kepada Salman al-Farisi setelah mengalahkan tentera Parsi bahawa "sekiranya di dalam pasukan ini tidak terdapat orang yang suka berbuat dosa, nescaya kebaikan pasti akan menang." 



Jika kita adalah salah seorang daripada ahli organisasi bagi apa-apa persatuan/pertubuhan/ badan dan lain-lain, hal seperti ini sangatlah dititikberatkan, kerana, kita tidak ingin matlamat, harapan dan objektif organisasi yang kita bawa tidak kesampaian hanya kerana masalah itu datangnya dari diri kita. Wajib bagi setiap seorang ahli dalam sesebuah organisasi menjaga soal kebersihan dan kesucian hati, kerana dari hati yang terpelihara sahajalah mampu menghindarkan seseorang daripada melakukan perkara-perkara keji dan membunuh seperti hasad dengki, dendam, khianat, maksiat, amarah, pentingkan diri sendiri, tikam kawan dari belakang, fitnah, sombong, ego dan sifat negatif yang lain.


Begitu hebat kesannya jika ada di antara ahli dalam sesebuah organisasi tidak menjaga kesucian dan kebersihan hatinya, lantas mengakibatkan kesan buruk kepada keseluruhan organisasi berkenaan.


Maka, jika visi dan misi sesebuah organisasi tidak dapat atau terlalu lama untuk dicapai, perlu banyakkan muhasabah dan refleksi semula sesama ahli oraganisasi, agar segalanya dapat berjalan dengan lancar..


insyaAllah..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...