Showing posts with label dakwah. Show all posts
Showing posts with label dakwah. Show all posts

Thursday, January 16, 2014

Buat USRAH jangan terus lajak gear 4 bos..

Bismillahirrahman nirrahim..



Assalamualaikum dan salam sejahtera diucapkan kepada semua pembaca yang masih lagi sudi untuk membaca entri yang tidak best ini. Menyesal baca. Hehehe..

Sebelum nasi menjadi nasi himpit atau keropok lekor, ada baiknya saya kongsikan sedikit simbahan pendapat daripada saya yang tidak begitu banyak ilmu ini dalam usaha untuk cuba mendepani pahit manis untuk menuju ke arah kegemilangan dan izzah Islam itu sendiri. Wah, tinggi nih!

Ok, kita rendahkan.

Seperti yang rakan-rakan sedia maklum, untuk membaca sahaja memerlukan beberapa tempoh yang lama untuk memastikan kita boleh membaca dengan lancar. Dari mengenal huruf satu-persatu, kemudian mengetahui bunyinya, selepas itu digabungkan beberapa huruf itu kepada suku kata ringkas, kemudian membatangkan suku kata itu menjadi satu perkataan yang lengkap dan pengakhirannya, kita boleh membaca perkataan demi perkataan baik dalam satu ayat pendek, satu perenggan yang terdiri daripada beberapa baris ayat dan kemudian mampu mengkhatamkan keseluruhan bahan bacaan yang mempunyai beratus helaian muka surat.

Kemudian dalam aspek perkembangan fizikal seorang manusia pula, tidak ada bayi yang dilahirkan boleh langsung membuat aksi back-flip atau berlari pecut seperti Usain Bolt. Sudah pasti dan konfem ia akan merengek sepuasnya, kemudian belajar mengimbang diri untuk duduk di atas punggunggnya sebelum boleh merangkak dan kemudian dibelikan pula oleh bapanya selepas gaji hujung bulan kerusi beroda untuknya belajar berjalan sehingga ia mampu mengejar kucing di dapur, ayam di sekitar halaman rumah dan memanjat peti ais untuk menunjukkan kehebatannya.

Ah.

Itu antara contoh yang dilihat mengarut kan. Tapi cukup kukuh untuk membuktikan setiap perkara itu melalui beberapa peringkat sebelum ianya benar-benar 'masak'.

Mustahil abang-abang naqib atau kakak-kakak naqibah tidak pernah dengar atau buat-buat lupa tentang maratibul 'amal dan untuk beranjak ke peringkat seterusnya, harus diselesaikan terlebih dahulu pelaksanaan untuk membentuk individu Muslim, iaitu melalui usrah yang dikatakan osem, mantop, meletop dan sebagainya.




Dan dalam pelaksanaan usrah itu juga hakikatnya harus melalui lebih banyak lagi peringkat untuk mencapai kualiti individu Muslim yang benar-benar boleh diklasifikasikan sebagai mumtaz atau excellent. Ada beberapa kualifikasi yang perlu beri perhatian bagi memastikan hasil daripada usrah yang dilaksanakan itu berkualiti dan sudah tentu ianya juga mempunyai peringkatnya masing-masing, seperti 11 marhalah Da'wah Fardiyyah,  3 marhalah Tarbiyyah iaitu Ta'rif, Takwin dan Tanfiz, 10 Rukun Perjanjian dan 20 Usul Faham daripada Rukun Perjanjian.

Pening aku baca banyak-banyak.

Oleh yang demikian, pada peringkat permulaan, sudah tentu masih banyak yang perlu dilakukan dan memerlukan usaha yang lebih serta pendekatan dan teknik yang sesuai bagi mengaplikasikan kemahiran sedia ada serta teori yang dimiliki oleh sang nuqaba' itu dapat dipraktikkan secara fleksibel berlandaskan beberapa terma yang mempunyai banyak peringkat seperti yang telah dinyatakan.

Jadi, ekspetasi nuqaba' terhadap mad'unya harus berpijak pada kenyataan dan realiti semasa, bukannya mengikut pena'kulan aqal sendiri. Maksud saya ialah, apabila mad'u itu tetap konsisten dalam usrahnya atau masih baru lagi berjinak-jinak dengan usrah, usah disetkan dalam benak fikiran kita yang mad'u itu akan terus menjadi seorang yang warak, tawadhu', solehah dan berjiwa mujahid.

Ini kerana, minta dijauhkan dari hati saya sendiri dan rakan-rakan nuqaba' sekalian untuk mengharapkan perubahan yang mendadak daripada sang mad'u. Perkara ini perlu difahami dengan jelas, kerana jika tidak, maka akan berlakulah fenomena usrah penyapu baru. Selepas seminggu dua buat usrah, minggu ketiga malas buat usrah.

Mad'u berkurang dan tidak ramai satu hal. Kecenderungan mad'u untuk berubah itu tidak kelihatan juga satu hal. Mungkin perkara seperti inilah yang menjadikan dunia usrah itu memerlukan juga post mortem dan audit semula pelaksanaannya. Apakah kekurangan dari aspek pelaksanaannya, pendekatan naqib/ah itu pula bagaimana, follow-up naqib/ah kepada mad'u pula bagaimana. Punca masalah tidak seharusnya dihempukkan secara total kepada kekurangan mad'u.

Dikaitkan dengan bebelan tentang peringkat-peringkat itu tadi, kita renung kembali ketika adik-adik kita atau sesiapa pun bayi yang pernah kita lihat kehidupannya di hadapan mata kita, dalam usahanya untuk berdiri dengan tegak, pasti akan terjatuh dan tersungkur apabila cuba untuk melangkah.

Kita belajar mengecam huruf juga pasti akan tersilap antara huruf 'b' dan juga huruf 'd'.

Tiada yang akan sempurnya dengan sekelip mata.

Maka begitu juga dengan individu yang masih berada di peringkat ta'rif, jangan dianggap dirinya sudah mula menjadi faqih dan soleh kerana telah menyertai usrah bersama kita beberapa kali. Audit semula usrah kita, kerana sudah tentu masih banyak kekurangan dan kelemahan dari diri nuqaba' itu sendiri yang menjadikan usrah itu suram atau kian layu.

Akhir kata daripada saya yang banyak membebel dan bajet banyak pengalaman ini, peringatan ini sebenarnya ditujukan untuk diri saya sendiri, semoga dengan peringatan ini saya akan berusaha untuk walk my talk dan bukan dari kalangan orang yang disebutkan sebagai orang yang menerima kebencian dari Allah hanya kerana mengatakan sesuatu yang tidak dilakukan.

Monday, December 23, 2013

Cabaran 'ansorullah' zaman moden

Bismillah..



Assalamualaikum dan selamat sejahtera rakan-rakan, sahabat-sahabat, saudara dan saudari para pembaca yang dikasihi sekalian.

Semoga anda berada dalam keadaan sihat, jiwa yang tenang dan tenteram pada ketika ini, insyaAllah.

Perkataan ansorullah ada dinyatakan di dalam Al-Quran, surah As-Soff, surah ke 61, ayat ke 14 dalam dua konteks yang berbeza, tetapi maksud yang membawa kepada kerangka makna yang sama.

Dalam konteks yang pertama, iaitu seruan Allah Subhanahu wa Ta'ala kepada semua orang yang beriman agar menjadi ansorullah.

Ansorullah, dalam tafsir Al-Quran dinyatakan sebagai penolong agama Allah, iaitu orang-orang yang berusaha untuk menegakkan syariat Allah di tempat yang paling tertinggi, agar Islam menjadi perkara paling utama dalam kehidupan. Adapun golongan seperti ini lebih mudah dikenali sebagai dai'e (pendakwah), 'amilin dan sebarang profesion yang menjurus kepada usaha untuk mencapai matlamat yang dinyatakan.

Kemudian, dalam memaknakan perkataan ansorullah pada ayat tersebut (61:14), Allah memberikan contoh agar mudah untuk difahami, ansorullah seperti apa yang dimaksudkan, apakah ciri-ciri mereka dan apa yang golongan ini lakukan sebagai ansorullah.

Contoh golongan ansorullah yang telah disebutkan ialah 12 orang pengikut setia Nabi Isa 'Alaihis Salam yang lebih dikenali sebagai kelompok Hawariyyin.

Ciri kelompok Hawariyyin yang 12 ini antaranya ialah setia. Pada peringkat awalnya, mereka ramai, namun apabila berlaku kesempitan dan tekanan demi tekanan, maka pengikut Nabi Isa 'Alaihis Salam yang benar-benar setia hanya tinggal 12 orang itu sahaja yang menyahut pertanyaan ketua mereka (Nabi Isa) yang berbunyi "man ansori ilallah?"

Kemudian para Hawariyyin yang 12 itu menjawab, "nahnu ansorullah!".

Mereka tetap teguh untuk menjadi ansorullah walau terpaksa menghadapi pelbagai jenis penindasan yang dikenakan terhadap mereka, termasuk dibelah jasad dengan gergaji.

Demikian serba sedikit penjelasan mengenai ansorullah.

Maka beberapa perkara penting telah kita perolehi, iaitu:

# adanya orang-orang yang meneruskan usaha untuk memperjuangkan Islam

# orang yang benar-benar berjuang, setia dengan perjuangannya baik dalam susah atau senang

# orang-orang yang berjuang tidak dapat lari daripada menghadapi tentangan dan cabaran


Habis bab introduksi :)

Baru masuk ke topik yang disebutkan dalam tajuk.

Pada masa kini, kelompok ansorullah pasti ada dalam sesebuah masyarakat untuk menjalankan amanahnya. Namun begitu, usaha murni mereka ini tidak pernah lekang daripada menerima cabaran yang lumayan getir untuk dihadapi.

Jika disingkap semula kisah para Hawariyyin tadi, ramai antara mereka yang lari, tidak mahu bersama untuk terus mengikuti Nabi Isa 'Alaihis Salam.

Maka tidak dinafikan juga, pada ketika ini, ada juga golongan yang tidak bersungguh-sungguh dalam usaha menegakkan agama, malah menjadi punca kepada kerapuhan usaha da'wah itu sendiri.

Contoh mudah (mungkin jauh, tapi maksud sama) yang boleh saya berikan ialah fenomena 'anak yatim/pelajar tahfiz mohon bantuan dana. Tidak dinafikan, ada yang memang benar-benar susah dan tidak menipu, namun disebabkan mereka yang diragui lebih ramai jumlahnya, maka yang benar-benar berada dalam kesempitan juga menerima persepsi yang sama dari orang ramai - semua tipu.

Minda dan pemikiran masyarakat sangat mudah dicandukan melalui apa yang mereka acapkali lihat, dengar dan baca.

Mekanisme lihat, dengar dan baca ini tidak lain dan tidak bukan ialah media yang pelbagai rupa bentuknya. Televisyen, akhbar, majalah, radio, internet dan sebagainya yang diringkaskan sebagai media.

Media hari ini banyak memotretkan 'religous human look' dengan satu impresi negatif yang bermacam-macam bergantung kepada situasi. Jika dalam drama atau filem, mereka digambarkan sebagai ekstrimis yang memang melampau-lampau galaknya, berjubah, serban, tudung besar, berjanggut dan yang seumpanya membawa atau menyertai kumpulan ajaran sesat dan tidak kurang juga yang membawa watak ultra munafik.

Jika 'dia' sebagai pemegang jawatan sebagai wakil rakyat, dipotretkan dengan pelbagai perkara yang dilihat untuk menjatuhkannya.

Itu yang media hidangkan sebagai sajian kepada pemikiran massa.

Akibatnya, orang yang benar-benar dan yang sebenar-benarnya memikul amanah suci untuk menegakkan agama terpalit dengan persepsi yang mereka lihat melalui media.

Sangat mendatangkan rasa prihatin dan simpati kepada orang yang benar-benar ikhlas menegakkan kesucian Islam dan memperkenalkan cara hidup Islam berlandaskan Al-Quran dan sunnah Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam, apabila berada di tempat masyarakat yang tidak begitu mesra dengan hidup bersyariat, apabila berhadapan dengan insan-insan seperti ini, tidak ragu untuk menolak atau melayan mereka (penda'wah) selayaknya seperti mana yang mereka lihat, dengar dan baca di ruang media.

Sebaiknya, para ansorullah zaman moden ini perlu menghadapi hakikat sebuah kejadian seperti ini tidak sekadar dengan sabar dan doa, tetapi mengambil langkah yang lebih proaktif. Membuat pendekatan yang lebih sesuai, belajar kemahiran-kemahiran yang pelbagai, khususnya perihal komunikasi, memanipulasikan media alternatif yang ada untuk cuba mengatasi kebijakan media sedia ada.

Jika benar-benar ikhlas, susah atau senang, tetap teguh dengan apa yang dibawa dengan cara yang benar, tidak melangkaui syariat dan berada di atas landasan yang betul.

GHURABA'!

Wednesday, February 13, 2013

KONTROVERSI | Valentine yang dinanti ??

Bismillah..

Assalamualaikum..
Alhamdulillahi Robbil 'alamin~
Allohuma solli 'ala Sayyidina Muhammad ~


Hari Valentine. Hari yang dinanti-nantikan. Mungkin oleh sesetengah orang. Mungkin oleh sebilangan orang. Mungkin oleh sekelompok orang. Mungkin.

Mungkin juga ada yang menanti bukan untuk menyambut atau mengiktraf akan adanya sambutan ini dan sebagainya.

Kenapa aku kata dalam tajuk di atas, 'yang dinanti'?

Banyak benda lah kenapa dinanti.

Dari aspek pro dan kontranya.

Baik,

Mari kita lihat dari pelbagai sisi yang mungkin tidak atau selalu sangat sampai korang pun boring tengok dibicarakan atau diketengahkan.

Dalam entri ini, aku tidak akan membincangkan soal maksud perkataan Valentine, siapa makhluk yang bernama Valentine dan ada apa dengan sambutan hari berkenaan pada zaman dahulu. 

Selain itu, aku juga enggan membahaskan sambutan yang jatuh pada tarikh 14 Februari ini macam seorang ustaz. Rilek-rilek sudah. 

Dalam facebook sebelum ini, ramai rakan-rakan share dan post tentang HARAMnya sambutan Hari Valentine (HV) ini. Dalam masa yang sama, rakan yang belum mendapat hidayah untuk memeluk Islam pula pelik dan ada juga yang terdetik untuk kata yang lebih kurang macam ni, " jangan kaitkan HV dengan agama dan sebagainya, terpulang kepada individu untuk sambut, duk sebut haram apa hal".

It's ok, tiada masalah. Terpulang kepada mereka untuk berkata begitu.

Dalam sudut lain pula, ada juga yang sependapat dengan frasa tadi, terpulang kepada individu untuk olah benda tu (HV) samada dengan positif atau sebaliknya, yang duk sibuk kata haram apa hal, keluar minum teh tarik dengan awek pun haram. Mau jadi ustaz ka apa lu ??"

Rilek. 

Kita scroll sikit lagi, terjumpa pula dengan mesej-mesej para penda'wah dengan kata-kata dan ayat-ayat power untuk menegah akan kebejatan yang berlaku daripada HV, ada pula para penghukum yang mendakwa dirinya seorang penda'wah dengan mengutuk dan mencerca golongan-golongan yang sedang hangat bercinta, "apakah bodoh sangat lah korang ni, da tau couple tu haram, buat jugak, nak masuk neraka ke?".

Oh ya, tadi aku kata kenapa aku guna perkataan dinanti kan?

Ok. 

Bagi aku, hari ini dinantikan sebab ini peluang baik untuk memperjelaskan konsep perhubungan antara lelaki dan perempuan mengikut tatacara yang elok dan tertib berlandaskan tuntutan agama yang sememangnya menanjurkan akan kebaikan dalam setiap aspek dan perkara yang dilakukan.

Syabas dan tahniah kepada mana-mana individu, badan, pertubuhan dan sebagainya yang menjayakan kempen 2,3,4,5,6,7 dan sebanyak mungkin dalam 1 perkara, iaitu mendepani isu sambutan HV ini.

Aku cuba rungkaikan kenapa aku kata dinantikan dalam tajuk post ini (berapa kali ulang daa) kepada beberapa skop kecil yang mungkin kita boleh kata, "hmm..betul juga" atau "boring juga.."..

1) Peluang.
Kenapa aku kata HV ini adalah satu peluang?
Banyak perkara yang boleh kita buat yang sebelum ini mungkin tiada ruang atau menunggu saat yang baik untuk melaksanakannya. Contohnya, untuk memohon ampun dan maaf yang sebenarnya dianjurkan untuk kita melakukannya sekerap yang mungkin, tapi kita cuma tunggu peluang yang baik untuk melakukannya, iaitu tunggu hari raya. 

Begitu juga dengan isu HV.

Aku katakan ia sebagai satu peluang yang baik untuk kita cuba masuk menyelinap ke tengah-tengah masyarakat untuk memberi penerangan yang jelas, kenapa keluar fatwa HARAM bagi umat Islam menyambutnya, supaya kita ada modal untuk memberi penerangan kenapa kata haram, kita tampilkan dengan hujah yang jelas, mudah difahami dan diterima mengikut aras kefahaman si penerima, supaya kita tidak mengatakan sesuatu itu haram dengan cakap kosong, tanpa memberitahu kenapa ianya haram, apa sebab-sebabnya, apa kesannya kepada masyarakat dan sebagainya, sudah pasti dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran komunikasi yang baik.

Selain itu, ia juga satu peluang yang baik dalam merungkaikan salah faham konsep percintaan fitrah yang kian disalah ertikan oleh mereka yang sedang hangat berabang dan bersayang walaupun pada hakikatnya mereka tiada ikatan yang sah dari segi syari'e. Kenapa ia boleh jadi satu peluang yang sangat baik, bagi mereka yang menunggu peluang untuk mengatakan bahawa couple itu HARAM, inilah masanya atau punch line yang sangat baik !

Antara soalan yang ditunggu ialah, "kenapa kau kata benda ni HARAM?"
Nah, apa lagi, mereka sudah menunjukkan minat untuk mengetahui satu kebenaran yang akan membawa mereka kepada satu dimensi yang baru. Kasi dia cukup-cukup. 

Lagi satu, ini adalah salah satu peluang dan ruang da'wah yang sangat baik dalam menjelaskan akan cara bagaimana agama Islam tampil dalam setiap aspek kehidupan yang tiada terkecuali untuk menyelesaikan masalah kepada rakan-rakan yang bukan beragama Islam.


Kita boleh lihat dengan situasi apabila rakan-rakan kita terlihat atau terbaca akan perkara tentang HARAMnya HV ini di ruangan laman sosial kita. Mereka akan tanya, "kenapa kamu kata itu haram,", "kenapa itu tidak boleh?", "tolong jelaskan, saya kurang faham", dan macam-macam lagi respon dari mereka yang membuka ruang yang seluasnya bagi kita menyampaikan aturan yang telah digariskan oleh Islam.

Lagi satu aku mahu tambah sikit pasal HARAM, ini satu peluang untuk huraikan semula maksud perkataan HARAM tu. Boleh ambil contoh mudah yang kita biasa tengok dalam fesbuk, antara haram pegang babi dan haram pegang orang bukan mahram. Hehehee.. Maknanya, bila sudah diberitahu haram, maka jauhilah.


2) Aplikasi.
Tadi, kita lihat sedikit tentang peluang yang kita boleh manfaatkan. Kali ini kita lihat dari aspek aplikasi. Skop ini lebih menjurus kepada rakan-rakan yang sebelum ini cuma tahu akan kewajipan untuk berda'wah, rukun-rukun dan sebagainya.


Kini tiba masanya untuk aplikasikan segala teori yang telah dimiliki. 
-Bagaimana untuk menyampaikan maklumat mengikut aras kefahaman orang yang menerima maklumat yang disampaikan, 
-Laras bahasa yang digunakan perlu disesuaikan dengan persekitaran, 
-Kemahiran dari aspek membina 'jambatan' untuk memulakan perbualan, kemudian masuk ke dalam topik utama yang ingin disampaikan dengan flow yang cukup cantik, 
-Kata ganti diri yang digunakan, sesuai atau tidak ber 'ana/enta/i' dengan rakan-rakan yang lepak di shopping complex?(haha)
- dan sebagainya..

3) Bina kesedaran untuk 10 tahun akan datang.
Actually, skop kecil yang ketiga ni boleh kata masuk dalam sub tajuk Peluang, tapi oleh kerana aku anggap perkara ni besar, aku masukkan sebagai perkara ketiga yang perlu diperbesarkan. Serius ni.

Adalah menjadi satu kesilapan besar, sekiranya kita berusaha untuk mencegah berlakunya perkara yang tidak diingini daripada berlaku pada tarikh 14 Februari saja. 

TAPI.

Sebelum tu, aku pula yang terlupa untuk cakap kenapa benda ni difatwakan HARAM dan bla3..

Aku ulang semula, aku tidak ulas HV ni dari aspek maksud perkataan Valentine, siapa makhluk yang bernama Valentine dan ada apa dengan sambutan hari berkenaan pada zaman dahulu. 

Ia adalah salah satu punca utama berlakunya masalah sosial yang kian parah dalam kalangan rakan-rakan kita pada haritu, hari ni dan hari esok, dan esok, dan esok......

Seperti yang kita sedia maklum, ia adalah hari kekasih.....grrr..

Mestilah disambut oleh orang yang bercinta. 

Cuma yang geramnya, orang yang bercinta ni menyusahkan diri sendiri dan orang lain!


Malas cerita panjang, bosan tengok berita dalam tv, surat khabar dan internet tentang statistik buang bayi yang semakin meningkat, anak luar nikah semakin ramai, perpecahan/perbalahan antara masyarakat berlaku di sana-sini dan pelbagai kes yang telah berlaku adalah berpunca daripada perkara kecil, iaitu kerana tidak menguruskan perasaan cinta yang menjadi fitrah kepada setiap manusia itu dengan cara yang betul, itu saja!


Oleh itu, ini antara peluang untuk memberi kesedaran akan perlunya kepada menguruskan 'itu' mengikut landasan yang telah digariskan oleh agama, kerana, kesilapan yang berlaku adalah berpunca daripada manusia tidak lagi berpegang kepada aturan yang telah ditetapkan oleh agama. 

Dalam Islam, segala panduan hidup tidak lain dan tidak bukan adalah berlandaskan apa yang telah ditunjukkan di dalam Al-Quran, melakukan semula apa yang telah dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW, kerana, orang barat sendiri yang bukan beragama Islam mengiktiraf, Nabi Muhammad SAW adalah seorang individu yang memiliki pekerti dan akhlak yang terbaik dan teratas daripada ratusan tokoh hebat yang lain, serta pendapat yang telah disepakati oleh ulama'.

Inilah kesedaran yang perlu dipupuk dalam kalangan masyarakat, bukan hanya untuk menghindari daripada berlakunya maksiat pada HV, tapi untuk mencegah daripada berlakunya perkara terkutuk itu pada masa akan datang. 

Sanggupkah kita melihat masa akan datang, orang-orang yang menerajui segenap perkara sebagai pemimpin adalah dari generasi yang merisaukan pada hari ini kerana kita gagal menyampaikan atau lupa untuk memberi peringatan?


Apakah kita dapat menikmati hidup dalam sebuah negara yang diimpikan, iaitu sebuah Baldatun Toyyiban wa Robbun Ghofur, sebuah negara yang pesat membangun, tapi ada padanya masyarakat yang bergelumang dengan maksiat. Apakah negara itu bakal diredhai oleh Allah SWT kelak jika tiada usaha untuk cuba membendungnya?

Maaf atas segala isi yang mungkin tidak mencapai objektif sebenar isu yang cuba disampaikan. Aku akui memang boring juga apa yang aku tulis ni, tapi perkara boring inilah yang perlu sentiasa dibiasakan, jangan kerana boring, ia tidak disampaikan lalu menjadikan barah semakin bernanah dan parah.

Komentar dan saranan aku sedia terima, jika ada kesilapan fakta, harap diperbetulkan.

Allahumma solli 'ala Sayyidina Muhammad, wa 'ala alihi wasoh bihi wabarik 'ala Sayyidina Muhammad, walhamdulillahi Robbil 'alamin ~
 


Tuesday, November 6, 2012

Mereka Bagai Isi & Kuku

Bismillah..
Allahumma solli 'ala Muhammad.

Assalamualaikum rakan pembaca semua,



Para guru dan ulama', mohon tunjuk ajar diri yang jahil ini,
Rakan-rakan, aku perlukan sokongan dan dokongan kalian,
Para sahabat-sahabat hawariyyun, teman-teman dai'e,
Kombinasi qiadah perjuangan dan seluruh jundi yang menjadi tonggak dan nadi perjuangan habibina Rasulullah, Muhammad Sallallahu 'alaihi wasallam..

InsyaAllah, Alhamdulillah, semoga tulisanku pada hari ini sama-sama menjadi peringatan dan renungan kepada diri saya khususnya yang pertama sekali membaca dan menulisnya sendiri, sungguh peringatan ini sememangnya ku tujukan  khas buat diri yang sering pelupa dan alpa, seterusnya buat teman-teman, semoga kalian mengingatkan aku semula, kerana sifatku sebagai manusia sering lalai dan leka, kerana itu aku abadikan peringatan ini di sini, dengan harapan aku dapat memberi peringatan, dan teman-teman semua dapat mengingatkan aku.

Teman,
Jangankan lelah bila melangkah, insyaAllah segala yang kita buat kerana Allah adalah ibadah.

Teman,
Jangankan bosan bila seruanmu tiada balasan dan sambutan, kerana itu saja takat yang kita kerjakan, soal hidayah dan petunjuk itu Allah azza wajalla empunya urusan, buatlah yang terbaik olehmu teman.

Teman,
Jangankan dihitung segala apa yang kau keluarkan, kerana itulah tanda taqwa dan iman, orang yang memiliki kepunyaan diinfaqkan di atas jalan yang diredhoi Tuhan, insyaAllah balasannya kelak tidak sembarangan.

Teman,
Jangankan merasa payah dan mengah jika hidupnya tiada yang indah, kerana ganjaranmu kelak pastinya syurga yang nian indah hasil dari jerih lelah engkau bersusah payah.

Teman,
Jangankan hatimu dibiarkan bertitik noda hitam nan bertambah dan membiak, anggap saja bila mana setiap apa yang kita kerjakan bertemu kegagalan, antara sebabnya mungkin kerana dari diri kita seorang yang berhati kotor dan tiada takutnya pada Tuhan.

Teman,
Jangnkan pernah berifikir untuk berhenti melangkah di atas jalan ini, bila mana engkau temukan kebuntuan dan tribulasi sepanjang berjalan, kerana ia adalah sebahagian dari pelengkap kepada juzuk dan rukun sepanjang kaki engkau langkahkan di atas landasan perjuangan, kerana tanpanya maka gugurlah salah satu pelengkap dalam perjuangan, apalah makna perjuangan ini tanpa ujian dari Tuhan, kerana itulah perlunya jihad dan pengorbanan, kepentingan jiwa dan badan diketepikan, segala kepunyaan didahulukan, kerana tiadalah hasil diperolehi tanpa berlelah-lelahan.

Teman, begitulah segalanya yang kau rasa tiada kesenangan dan kemanisan di atas dunia yang hanya sebagai medan ujian dan kehidupan sampingan, padahal Allah sedia memberikan balasan yang tiada bandingan di masa hadapan yang waktunya kekal tiada batasan.

   
Siiru 'ala barokatillah..






Thursday, July 5, 2012

Aku bukan Ustaz/ah. Apa yang aku boleh buat untuk Islam?



 بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
 السلام عليكم ورحمة الله وبركاته



Alhamdulillah..

Ada juga ruang untuk berkongsi.
Aku bukanlah seorang yang hebat di pentas ceramah.
Aku bukanlah seorang yang petah berbicara di kaca televisyen.
Aku juga bukanlah seorang yang ligat untuk menulis bahan bacaan yang baik.

Tapi aku cuba untuk berkongsi sesuatu.

InsyaAllah dengan sedikit perkara yang dikongsikan ini memberi manfaat kepada rakan-rakan pembaca dan seterusnya dijadikan wadah untuk membangunkan ummah..

Aku sangat tertarik dan berminat untuk cuba membangunkan dan menterjemahkan semangat para siswa/i muda yang ghairah untuk menjadi mubaligh yang menyemarakkan suasana dan ruh Islam di tempat pengajian masing-masing. Walhal, tidak semua di antara mereka merupakan mahasiswa/i pengkhususan agama Islam. 

Maka dengan itu, masih ramai yang tercari-cari wasilah untuk mencuri sedikit ruang bagi menyalurkan usaha untuk menyampaikan mesej Islam, tapi tidak menemui jalan ke arah itu.

Oleh sebab itulah, dengan sedikit pengalaman yang ada, aku cuba untuk kongsikan kepada anda semua :) 

(berapa kali ulang daaa..)

Ok, mula-mula sekali, tanya diri kita: 

# apa aset peribadi yang kita ada ?
# apa kemahiran yang kita ada ?
# apa pengalaman yang kita ada sebelum ini ?
# apa perkara yang kita minati ?

mungkin cukup setakat itu.

aku ulang lagi sekali, ini sekadar perkongsian dari pengalaman ya, bukan teori ..

# apa aset peribadi yang kita ada ?

Student biasanya akan ada aset seperti ini :
- Laptop
- Printer
- DSLR/Digital Camera
- Motorsikal
- Kereta
- Smartphone
- External Hardisk
- Bahan bacaan (buku/akhbar/tabloid dll)
- Telefon bimbit biasa
- Handycam

ok, mungkin ini yang asas, tidak semua yang ada, tapi mungkin kita boleh saling melengkapi kan?

aku cuba simpulkan, gadjet elektronik yang boleh menyimpan data atau boleh dikongsikan dengan orang lain sangat memberi manfaat dan peluang untuk menyebarkan sesuatu. 
Sangat mudah, dengan cara meminta untuk memberi, atau menawarkan untuk memberi.
Contoh situasi :

" Mat, aku nak copy movie dari kau boleh ? lepas tu aku bagi la kau aku punya .."

Ada kamera ?
Suka snap gambar ?
Itu satu hobi yang sihat dan dengan kamera itu kita secara tidak langsung boleh mencelah antara ramai-ramai geng kamera yang ada. Kalau tiada kamera, masakan boleh join sekali kan?

Dengan berbekalkan kamera yang ada, sedikit kesungguhan untuk cuba meluaskan jaringan, dan yang paling penting "aku bukan saja-saja main kamera, tapi aku cuba untuk mendekati orang ramai, menyesuaikan diri dengan orang lain dan cuba untuk memberikan manfaat dari kamera ini kepada orang lain. Bila sudah dapat memenangi hati dan disenangi oleh orang lain, dari situ benih untuk menyampaikan sedia untuk ditanam dan disuburkan. "

Otai kamera kita pernah menerima soalan berkaitan dengan fotografi :


Actually dengan aset yang kita ada ni lebih sesuai untuk dikatakan sebagai alat untuk mencuri hati orang lain terlebih dahulu sebelum mula menceburi proses yang seterusnya, iaitu menyampaikan mesej sebenar yang kita ingin sampaikan. Lebih kepada memberi manfaat dan kebajikan kepada orang lain. Contohnya membawa dan membantu orang lain dengan kenderaan milik kita.

 # apa kemahiran yang kita ada ?

Ok, seterusnya ialah kesinambungan dari soalan pertama tadi. Mungkin ada yang mempunyai aset yang banyak, tapi tiada kemahiran, cukuplah sekadar membantu dari aset yang ada dan kemudian berusaha untuk memperluaskan dan belajar pula kemahiran yang perlu dikuasai.

satu bonus yang berlipat kali ganda sekiranya kita ada aset yang banyak, kemudian melalui aset itu kita dapat hasilkan sesuatu output yang bermanfaat. Apa kemahiran yang student ada biasanya ?

- Photoshop
- Edit video
- Berpidato
- Menulis
- Melukis
- Bersukan
- Bermain alat muzik/nyanyian
- Berbahasa Isyarat


Biasanya dengan kemahiran ni, student akan apply untuk menjayakan program persatuan/organisasi. Kalau tidak pun, untuk kepuasan sendiri dan memang tu hobi mereka..hehe..

Kalau persatuan buat program/aktiviti, pastinya memerlukan publisiti yang meluas untuk memberitahu akan sasaran tentang program berkenaan. Photoshop sangat berperanan dalam menghasilkan poster yang gempak dan montaj juga diperlukan untuk mempromosikan program berkenaan. Di situ kemahiran menggunakan software sangat diperlukan. 

Bukankah dengan kemahiran saja boleh memberi sumbangan yang besar kepada Islam ?
Besar kelebihannya kan?

Untuk berucap di khalayak ramai, menyuntik kesedaran dan seterusnya membangkitkan motivasi rakan-rakan, pada ketika ini kemahiran berpidato sangat diperlukan.


Seperti yang aku nyatakan tadi, ada yang suka menggunakan kemahiran untuk kepuasan sendiri dan memang tu hobi mereka. Dengan berpandukan kefahaman yang jelas tentang keperluan untuk menyampaikan, kemahiran dan hobi itu dimanfaatkan sebaiknya untuk menyampaikan. 


Siapa tidak kenal Mat Lutfi, walaupun videonya agak santai, tapi pengaruhnya dalam menyampaikan nilai moral dengan caranya sendiri nampak berkesan dengan cuba mengkritik dan mengulas semula kebejatan yang telah berlaku. 


Siapa tidak pernah melihat hasil kerja Rusydee Artz, dengan medium lukisan sudah berjaya menambat hati ramai orang untuk mengongsikan kebaikan melalui lukisan yang dihasilkan olehnya.


Siapa pernah ke Masjid Sri Petaling ?


Aku tertarik dengan salah satu medium da'wah yang kurang diambil perhatian oleh sesetengah pihak, iaitu dengan bahasa isyarat. Ceramah/bayan utama yang disampaikan biasanya dalam bahasa urdu yang kemudiannya dialih bahasa oleh tuan translator ( kemahiran dalam bahasa kedua dan ketiga juga perlu dimanfaatkan khususnya dalam penterjemahan dan memperluaskan lagi mesej da'wah) , dan kemudian disampaikan kepada beberapa kelompok kecil lagi, antaranya kelompok jemaah Tamil, Cina, Pakistan dan juga jemaah OKU iaitu yang mempunyai masalah pendengaran dan pertuturan (bisu).


Kalau rajin menghadap laptop, suka menaip dan sebagainya, cuba luahkan dalam blog atau tulis artikel yang best giler, boleh dikongsikan dalam bentuk risalah dan juga blog macam yang aku buat ni..(poyo lah pulak kan..) 


Bila pandai bermain ayat, orang suka hasil tulisan kita, teruskan menulis dan sebarkan. Gunakan aset yang kita ada seperti printer dan laptop. Cetaklah risalah atau poster yang mampu untuk menyampaikan sesuatu yang bermanfaat untuk umat.

# apa pengalaman yang kita ada sebelum ini ?

Oraitt..
untuk hal ni, aku cuma dapat kongsikan sedikit, sebab era bermulanya pengalaman aku tidaklah terlalu lama, mungkin rasanya tidak sesuai untuk dikongsikan, tapi walaupun sedikit, aku cuba untuk sampaikan apa yang ada, daripada tiada.. :)

Anda pernah terlibat dengan mana-mana organisasi atau persatuan sebelum ini ?
Di sekolah atau di luar.

Jika ada, itu bonus tambahan untuk anda, kerana bekerja dalam satu pasukan ini memerlukan pengalaman yang ada bagi mendepani kerenah dan masalah bersama orang lain. Kerana bagi yang belum berpengalaman, ianya janggal dan perlu masa yang lama untuk menyesuaikan diri, kerana kita akan dikritik dan dikomen oleh orang lain serta perlu bersedia untuk memahami tugas dan fungsi posisi kita dalam sesuatu organisasi. Jika belum bersedia untuk memahami dan belum ada pengalaman, berat rasanya untuk melaksanakan arahan dari ketua. 

Pengalaman biasanya akan diperolehi sejak dari zaman persekolahan lagi.
Mungkin dulu ada yang pernah jadi pengawas sekolah, pengerusi kelab, unit beruniform, ajk asrama, wakil sekolah dan sebagainya. Murid yang aktif biasanya tidak kekok untuk melibatkan diri dalam persatuan apabila masuk ke dunia mahasiswa.

Ingin saya kongsikan, bukan saja pensyarah saya, tetapi juga pakar motivasi juga sering mengatakan bahawa pihak yang ingin mengambil staf/pekerja dalam setiap sektor akan mengambil kira pengalaman penglibatan calon yang meminta pekerjaan daripada mereka terlebih dahulu, berbanding pencapaian akademik. Ini kerana, tidak semua ahli akademik yang bijak pandai boleh bekerja sebagai satu pasukan dan boleh menjadikan mutu kerja kurang baik kerana tiada chemistry dan semangat berpasukan antara pekerja. 

Kita boleh lihat, kalau ada kawan-kawan kita yang kaki study, ulat buku dan sangat cemerlang, banyak masanya digunakan untuk belajar, tapi sedikit masa yang diluangkan untuk menimba pengalaman.

Tapi cuba kita bandingkan dengan kawan kita yang study, study jugak, tapi terlibat dalam aktiviti dan program di kampus. Akademiknya tidak diabaikan, komunikasi sosialnya dengan orang ramai baik, bila membuat pembentangan, lebih hebat dari kawan yang kaki study. 

Sebab, di samping memiliki ilmu, mereka yang suka melibatkan diri dalam program dan berorganisasi ini  telahpun mengaplikasikan ilmu yang mereka ada. Itu sudah cukup untuk memantapkan diri dari setiap aspek dan para pengusaha syarikat dan sektor-sektor pekerjaan sentiasa menantikan pekerja yang seperti ini.

Berbalik semula pada soalan.

Jika dulu di sekolah kita pernah menjadi setiausaha persatuan/kelab, apa salahnya kita teruskan menjadi setiausaha dan dalam masa yang sama menimba sedikit ilmu dalam kemahiran dan pengalaman yang lain.

Lebih mudah untuk melaksanakan sesuatu apabila seseorang itu adalah ahli dalam bidangnya. Lebih mudah untuk difahami, sudah mempunyai pengalaman dalam bidang yang diceburi sebelum ini.

# apa perkara yang kita minati ?

Seterusnya, tidak semua antara kita suka akan perkara yang kita lakukan, tapi secara zahirnya, kita suka untuk lakukan apa yang kita minat. 

Jika kita lebih cenderung dan dalam penghasilan/penerbitan sesuatu, gunakan kemahiran yang ada, kemudian berkolaborasilah dengan mereka yang ada alatan yang lengkap jika kita tidak memilikinya.

Jika kita lebih suka untuk bersosial dan tidak suka untuk duduk diam, maka turunlah ke lapangan rakan-rakan, pikat dan tambatlah hati mereka untuk bersedia menerima mesej yang kita atau orang lain akan sampaikan.

Jika kita lebih suka melayan hobi dan kepakaran kita dalam photography, photo/video editing, teruskanlah dengan membantu rakan-rakan yang lain yang memerlukan kepakaran kita. Ia sudah menjadi tanggungjawab dan amanah kepada mereka yang berkemahiran. Jangan jadi seorang yang berilmu, tetapi menyembunyikan ilmunya.

Jika kita kurang berminat untuk menunjukkan minat kepada mana-mana perkara, cukuplah sekadar menjadi pembantu yang menjadi tulang belakang kepada mereka yang telah berusaha menjadikan produk dan melengkapkan asas kepada sesuatu permulaan. Tinggal kita saja yang melengkapkannya.  

Jika rakan kita yang hebat dalam membuat poster tadi sudah selesai menyiapkan posternya dan menguploadnya ke facebook contohnya, tugas kita untuk share, like dan tag rakan-rakan yang lain. 
Paling tidak pun sentiasa menaikkan post yang berkenaan agar ianya terus kekal menjadi post yang teratas, kerana setiap post yang baru akan muncul, jadi post yang sedia ada akan turun ke bawah jika ianya dibiarkan tidak terusik, tidak dilike atau dikomen. 

Kalau bukan di laman sosial, sukarela lah untuk menjadi petugas, menampal poster, menaikkan banner, membeli paku tekan dan sebagainya. 

Ingatlah rakan-rakan pembaca semua,


Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!
Surah Az-Zalzalah, 99:7

Semoga sedikit perkongsian ini dapat memberi inspirasi kepada rakan-rakan pembaca semua dalam menyemarakkan kancah da'wah di kampus khususnya. Aku bukanlah seorang yang hebat dan sempurna untuk dicontohi, cuma sekadar berminat untuk berkongsi...


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...