Showing posts with label dakwah fardiyyah. Show all posts
Showing posts with label dakwah fardiyyah. Show all posts

Thursday, January 16, 2014

Buat USRAH jangan terus lajak gear 4 bos..

Bismillahirrahman nirrahim..



Assalamualaikum dan salam sejahtera diucapkan kepada semua pembaca yang masih lagi sudi untuk membaca entri yang tidak best ini. Menyesal baca. Hehehe..

Sebelum nasi menjadi nasi himpit atau keropok lekor, ada baiknya saya kongsikan sedikit simbahan pendapat daripada saya yang tidak begitu banyak ilmu ini dalam usaha untuk cuba mendepani pahit manis untuk menuju ke arah kegemilangan dan izzah Islam itu sendiri. Wah, tinggi nih!

Ok, kita rendahkan.

Seperti yang rakan-rakan sedia maklum, untuk membaca sahaja memerlukan beberapa tempoh yang lama untuk memastikan kita boleh membaca dengan lancar. Dari mengenal huruf satu-persatu, kemudian mengetahui bunyinya, selepas itu digabungkan beberapa huruf itu kepada suku kata ringkas, kemudian membatangkan suku kata itu menjadi satu perkataan yang lengkap dan pengakhirannya, kita boleh membaca perkataan demi perkataan baik dalam satu ayat pendek, satu perenggan yang terdiri daripada beberapa baris ayat dan kemudian mampu mengkhatamkan keseluruhan bahan bacaan yang mempunyai beratus helaian muka surat.

Kemudian dalam aspek perkembangan fizikal seorang manusia pula, tidak ada bayi yang dilahirkan boleh langsung membuat aksi back-flip atau berlari pecut seperti Usain Bolt. Sudah pasti dan konfem ia akan merengek sepuasnya, kemudian belajar mengimbang diri untuk duduk di atas punggunggnya sebelum boleh merangkak dan kemudian dibelikan pula oleh bapanya selepas gaji hujung bulan kerusi beroda untuknya belajar berjalan sehingga ia mampu mengejar kucing di dapur, ayam di sekitar halaman rumah dan memanjat peti ais untuk menunjukkan kehebatannya.

Ah.

Itu antara contoh yang dilihat mengarut kan. Tapi cukup kukuh untuk membuktikan setiap perkara itu melalui beberapa peringkat sebelum ianya benar-benar 'masak'.

Mustahil abang-abang naqib atau kakak-kakak naqibah tidak pernah dengar atau buat-buat lupa tentang maratibul 'amal dan untuk beranjak ke peringkat seterusnya, harus diselesaikan terlebih dahulu pelaksanaan untuk membentuk individu Muslim, iaitu melalui usrah yang dikatakan osem, mantop, meletop dan sebagainya.




Dan dalam pelaksanaan usrah itu juga hakikatnya harus melalui lebih banyak lagi peringkat untuk mencapai kualiti individu Muslim yang benar-benar boleh diklasifikasikan sebagai mumtaz atau excellent. Ada beberapa kualifikasi yang perlu beri perhatian bagi memastikan hasil daripada usrah yang dilaksanakan itu berkualiti dan sudah tentu ianya juga mempunyai peringkatnya masing-masing, seperti 11 marhalah Da'wah Fardiyyah,  3 marhalah Tarbiyyah iaitu Ta'rif, Takwin dan Tanfiz, 10 Rukun Perjanjian dan 20 Usul Faham daripada Rukun Perjanjian.

Pening aku baca banyak-banyak.

Oleh yang demikian, pada peringkat permulaan, sudah tentu masih banyak yang perlu dilakukan dan memerlukan usaha yang lebih serta pendekatan dan teknik yang sesuai bagi mengaplikasikan kemahiran sedia ada serta teori yang dimiliki oleh sang nuqaba' itu dapat dipraktikkan secara fleksibel berlandaskan beberapa terma yang mempunyai banyak peringkat seperti yang telah dinyatakan.

Jadi, ekspetasi nuqaba' terhadap mad'unya harus berpijak pada kenyataan dan realiti semasa, bukannya mengikut pena'kulan aqal sendiri. Maksud saya ialah, apabila mad'u itu tetap konsisten dalam usrahnya atau masih baru lagi berjinak-jinak dengan usrah, usah disetkan dalam benak fikiran kita yang mad'u itu akan terus menjadi seorang yang warak, tawadhu', solehah dan berjiwa mujahid.

Ini kerana, minta dijauhkan dari hati saya sendiri dan rakan-rakan nuqaba' sekalian untuk mengharapkan perubahan yang mendadak daripada sang mad'u. Perkara ini perlu difahami dengan jelas, kerana jika tidak, maka akan berlakulah fenomena usrah penyapu baru. Selepas seminggu dua buat usrah, minggu ketiga malas buat usrah.

Mad'u berkurang dan tidak ramai satu hal. Kecenderungan mad'u untuk berubah itu tidak kelihatan juga satu hal. Mungkin perkara seperti inilah yang menjadikan dunia usrah itu memerlukan juga post mortem dan audit semula pelaksanaannya. Apakah kekurangan dari aspek pelaksanaannya, pendekatan naqib/ah itu pula bagaimana, follow-up naqib/ah kepada mad'u pula bagaimana. Punca masalah tidak seharusnya dihempukkan secara total kepada kekurangan mad'u.

Dikaitkan dengan bebelan tentang peringkat-peringkat itu tadi, kita renung kembali ketika adik-adik kita atau sesiapa pun bayi yang pernah kita lihat kehidupannya di hadapan mata kita, dalam usahanya untuk berdiri dengan tegak, pasti akan terjatuh dan tersungkur apabila cuba untuk melangkah.

Kita belajar mengecam huruf juga pasti akan tersilap antara huruf 'b' dan juga huruf 'd'.

Tiada yang akan sempurnya dengan sekelip mata.

Maka begitu juga dengan individu yang masih berada di peringkat ta'rif, jangan dianggap dirinya sudah mula menjadi faqih dan soleh kerana telah menyertai usrah bersama kita beberapa kali. Audit semula usrah kita, kerana sudah tentu masih banyak kekurangan dan kelemahan dari diri nuqaba' itu sendiri yang menjadikan usrah itu suram atau kian layu.

Akhir kata daripada saya yang banyak membebel dan bajet banyak pengalaman ini, peringatan ini sebenarnya ditujukan untuk diri saya sendiri, semoga dengan peringatan ini saya akan berusaha untuk walk my talk dan bukan dari kalangan orang yang disebutkan sebagai orang yang menerima kebencian dari Allah hanya kerana mengatakan sesuatu yang tidak dilakukan.

Friday, September 20, 2013

DF ?? Gila Gempak !

Da'wah Fardiyyah (DF) merupakan salah satu pendekatan atau kaedah yang pelbagai dalam survival da'wah untuk kelangsungan terhadap da'wah Islamiyyah dan penerus kepada penggerak kepada usaha da'wah, iaitu da'ie. 

DF telah diterangkan dengan lebih terperinci oleh tokoh-tokoh ilmu da'wah yang terkenal, seperti Mustafa Masyhur. Dalam kaedah aplikasi DF yang telah beliau jelaskan, pelaksanaan praktikal DF perlu melalui beberapa peringkat pelaksanaan, antara 7 atau lebih peringkat pelaksanaan bergantung kepada keperluan antara dai'e (penda'wah) dan mad'u (yang dida'wah).

Tujuh peringkat tersebut termasuklah daripada proses berkenalan, membangunkan kesedaran tentang aqidah dan iman yang lemah, memantapkan amal Islami dan amal fardi,  pengenalan kepada da'wah, pengertian kepada kesyumulan Islam, penjelasan kepada keperluan Islam sebagai gaya hidup sehinggalah mad'u itu bersedia untuk sama-sama bergabung dengan da'ienya untuk menjadi da'ie dan meneruskan da'wah Islamiyyah.

Untuk memudahkan kita untuk memahami bagaimana kesan daripada pelaksanaan DF yang sistematik ini, suatu unjuran yang juga merupakan matlamat jangka pendek dan jangka panjang perlu dirangka bagi memastikan setiap usaha yang dilakukan boleh dikenalpasti keberkesanan dari aspek kualitatifnya serta dari aspek kuantitatifnya juga.

Mari kita tengok carta ala MLM ni, dengan membuat andaian, bahawa :



Seorang da’ie hanya mampu mendakwah 2 orang mad’u sehingga berjaya dalam masa setahun.

Tahun kedua, akan akan berlaku 3 orang daie mendakwah 6 orang mad’u. 

Tahun ketiga pula 9 orang daie mendakwah 18 orang mad’u. 

Tahun keempat pula 27 orang daie mendakwah 54 orang mad’u. 

Tahun kelima pula 81 orang daie mendakwah 162 orang mad’u. 

Tahun keenam pula 243 orang daie mendakwah 486 orang mad’u. 

Tahun ketujuh pula 729 orang daie mendakwah 1458 orang mad’u. 

Tahun kelapan pula 2187 orang daie mendakwah 4374 orang mad’u. 

Tahun kesembilan pula 6561 orang daie mendakwah 13122 orang mad’u. 

Tahun kesepuluh pula 19683 orang daie mendakwah 39366 orang mad’u. 

Begitulah seterusnya. 

Pada tahun kelima belas bilangan daie mencapai jumlah 4,782,969 orang dengan mad’u seramai
9,566,938 orang. 

Pada tahun ketujuh belas kita memiliki 43,046,721 orang daie. 

Ini bermakna seluruh penduduk Malaysia berada di peringkat daie dan tiada seorang pun yang menjadi mad’u.

Sekiranya kita mengandaikan seorang daie mampu mendakwah 3 orang mad’u sehaja dalam masa setahun sehingga berjaya, maka di tahun kelima kita mempunyai 256 orang daie dan 765 orang mad’u. 

Pada tahun kesepuluh pula bilangan daie meningkat kepada 262,144 dan mad’u pula seramai 786,432 orang. 

Pada tahun keempat belas kita memiliki 67,108,864 orang daie.

Bayangkanlah betapa berkesannya dakwah fardiah apabila ia dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan penuh keikhlasan. Ingatlah kita hanya disuruh beramal dan natijahnya terserah kepada Allah.


Adakah anda sedang didekati oleh seseorang pada ketika ini secara berterusan?

Adakah anda sedang mendekati seseorang pada ketika ini secara berterusan ?

Sudah berapa orang mad'u yang telah bersama dengan anda setakat ini ?

Adakah anda ada membuat perkiraan dan perancangan seperti unjuran yang dinyatakan di atas?

Jom DF sahabat-sahabat !


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...