Tuesday, December 24, 2013

ADA LAGI YANG MAHU KENTUT ??



Kiyai Dahlan, seorang ilmuan agama yang selesai menuntut ilmu di Mekah, sekembalinya di tanah airnya, berhasrat untuk mengajar mata pelajaran agama Islam di sekolah umum milik Belanda.

Setelah berbincang dengan pihak pentadbiran, beliau diberi peluang untuk mengajar sebentar sebagai percubaan di hadapan pengetua sekolah berkenaan.

Beliau masuk ke dalam kelas, selepas memberi salam, tiada murid yang menjawab salamnya.

Beliau memberi salam untuk kali kedua.

Assalamualaikum warahmatullahi wabaroka...

(proooottt...)

Seorang murid terkentut.

Beliau mula panik. Tapi masih terkawal.

"Ada lagi yang mahu kentut? Saya ijinkan.

Kamu?

Atau kamu?

Bersyukurlah orang yang bisa kentut.

Karena, kalau kita tidak bisa kentut, maka perut kita akan membuncit.

Sebaiknya, sehabis kentut, kita mengucapkan ;

"Alhamdulillahi robbil 'alamin.."

Praise to Him, yang telah menciptakan lubang di tempat pembuangan tubuh kita.

Bayangkan, kalau Tuhan tidak menciptakan saluran pembuangan di tubuh kita, mahu dikemanakan angin di perut kita?

Diisi angin terus-menerus, tanpa adanya lubang.

Diisi terus..

Syhhhh4x.. (tangan seperti mengepam angin)

BOOM !!!

Wooooaa!!!

Semua isi perut kita keluar!

Darah, usus, hati, jantung, otak !

Semua keluar!

Karena kita tidak mempunyai saluran sisa makanan.

Tapi.

Tapi Tuhan sayang sama manusia.

Dia ciptakan saluran pembuangan, agar kita bisa makan sekenyang kita, minum sepuas kita.

Maka dari itu, kita harus berterima kasih kepada Tuhan, dengan mengucapkan ?

"Alhamdulillahi robbil 'alamin.."

Sedutan dari filem Sang Pencerah. (klik link untuk tonton)


Monday, December 23, 2013

Cabaran 'ansorullah' zaman moden

Bismillah..



Assalamualaikum dan selamat sejahtera rakan-rakan, sahabat-sahabat, saudara dan saudari para pembaca yang dikasihi sekalian.

Semoga anda berada dalam keadaan sihat, jiwa yang tenang dan tenteram pada ketika ini, insyaAllah.

Perkataan ansorullah ada dinyatakan di dalam Al-Quran, surah As-Soff, surah ke 61, ayat ke 14 dalam dua konteks yang berbeza, tetapi maksud yang membawa kepada kerangka makna yang sama.

Dalam konteks yang pertama, iaitu seruan Allah Subhanahu wa Ta'ala kepada semua orang yang beriman agar menjadi ansorullah.

Ansorullah, dalam tafsir Al-Quran dinyatakan sebagai penolong agama Allah, iaitu orang-orang yang berusaha untuk menegakkan syariat Allah di tempat yang paling tertinggi, agar Islam menjadi perkara paling utama dalam kehidupan. Adapun golongan seperti ini lebih mudah dikenali sebagai dai'e (pendakwah), 'amilin dan sebarang profesion yang menjurus kepada usaha untuk mencapai matlamat yang dinyatakan.

Kemudian, dalam memaknakan perkataan ansorullah pada ayat tersebut (61:14), Allah memberikan contoh agar mudah untuk difahami, ansorullah seperti apa yang dimaksudkan, apakah ciri-ciri mereka dan apa yang golongan ini lakukan sebagai ansorullah.

Contoh golongan ansorullah yang telah disebutkan ialah 12 orang pengikut setia Nabi Isa 'Alaihis Salam yang lebih dikenali sebagai kelompok Hawariyyin.

Ciri kelompok Hawariyyin yang 12 ini antaranya ialah setia. Pada peringkat awalnya, mereka ramai, namun apabila berlaku kesempitan dan tekanan demi tekanan, maka pengikut Nabi Isa 'Alaihis Salam yang benar-benar setia hanya tinggal 12 orang itu sahaja yang menyahut pertanyaan ketua mereka (Nabi Isa) yang berbunyi "man ansori ilallah?"

Kemudian para Hawariyyin yang 12 itu menjawab, "nahnu ansorullah!".

Mereka tetap teguh untuk menjadi ansorullah walau terpaksa menghadapi pelbagai jenis penindasan yang dikenakan terhadap mereka, termasuk dibelah jasad dengan gergaji.

Demikian serba sedikit penjelasan mengenai ansorullah.

Maka beberapa perkara penting telah kita perolehi, iaitu:

# adanya orang-orang yang meneruskan usaha untuk memperjuangkan Islam

# orang yang benar-benar berjuang, setia dengan perjuangannya baik dalam susah atau senang

# orang-orang yang berjuang tidak dapat lari daripada menghadapi tentangan dan cabaran


Habis bab introduksi :)

Baru masuk ke topik yang disebutkan dalam tajuk.

Pada masa kini, kelompok ansorullah pasti ada dalam sesebuah masyarakat untuk menjalankan amanahnya. Namun begitu, usaha murni mereka ini tidak pernah lekang daripada menerima cabaran yang lumayan getir untuk dihadapi.

Jika disingkap semula kisah para Hawariyyin tadi, ramai antara mereka yang lari, tidak mahu bersama untuk terus mengikuti Nabi Isa 'Alaihis Salam.

Maka tidak dinafikan juga, pada ketika ini, ada juga golongan yang tidak bersungguh-sungguh dalam usaha menegakkan agama, malah menjadi punca kepada kerapuhan usaha da'wah itu sendiri.

Contoh mudah (mungkin jauh, tapi maksud sama) yang boleh saya berikan ialah fenomena 'anak yatim/pelajar tahfiz mohon bantuan dana. Tidak dinafikan, ada yang memang benar-benar susah dan tidak menipu, namun disebabkan mereka yang diragui lebih ramai jumlahnya, maka yang benar-benar berada dalam kesempitan juga menerima persepsi yang sama dari orang ramai - semua tipu.

Minda dan pemikiran masyarakat sangat mudah dicandukan melalui apa yang mereka acapkali lihat, dengar dan baca.

Mekanisme lihat, dengar dan baca ini tidak lain dan tidak bukan ialah media yang pelbagai rupa bentuknya. Televisyen, akhbar, majalah, radio, internet dan sebagainya yang diringkaskan sebagai media.

Media hari ini banyak memotretkan 'religous human look' dengan satu impresi negatif yang bermacam-macam bergantung kepada situasi. Jika dalam drama atau filem, mereka digambarkan sebagai ekstrimis yang memang melampau-lampau galaknya, berjubah, serban, tudung besar, berjanggut dan yang seumpanya membawa atau menyertai kumpulan ajaran sesat dan tidak kurang juga yang membawa watak ultra munafik.

Jika 'dia' sebagai pemegang jawatan sebagai wakil rakyat, dipotretkan dengan pelbagai perkara yang dilihat untuk menjatuhkannya.

Itu yang media hidangkan sebagai sajian kepada pemikiran massa.

Akibatnya, orang yang benar-benar dan yang sebenar-benarnya memikul amanah suci untuk menegakkan agama terpalit dengan persepsi yang mereka lihat melalui media.

Sangat mendatangkan rasa prihatin dan simpati kepada orang yang benar-benar ikhlas menegakkan kesucian Islam dan memperkenalkan cara hidup Islam berlandaskan Al-Quran dan sunnah Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam, apabila berada di tempat masyarakat yang tidak begitu mesra dengan hidup bersyariat, apabila berhadapan dengan insan-insan seperti ini, tidak ragu untuk menolak atau melayan mereka (penda'wah) selayaknya seperti mana yang mereka lihat, dengar dan baca di ruang media.

Sebaiknya, para ansorullah zaman moden ini perlu menghadapi hakikat sebuah kejadian seperti ini tidak sekadar dengan sabar dan doa, tetapi mengambil langkah yang lebih proaktif. Membuat pendekatan yang lebih sesuai, belajar kemahiran-kemahiran yang pelbagai, khususnya perihal komunikasi, memanipulasikan media alternatif yang ada untuk cuba mengatasi kebijakan media sedia ada.

Jika benar-benar ikhlas, susah atau senang, tetap teguh dengan apa yang dibawa dengan cara yang benar, tidak melangkaui syariat dan berada di atas landasan yang betul.

GHURABA'!

Sunday, December 22, 2013

Wabak 'Label' semakin kronik !

 

Hai semua..
Ini saya, Encik Label.

Saya rasa saya dilabel sebab atas dahi saya ada sesuatu yang nampak macam label.

So, saya rasa saya sedang dilabel.

Oh, memang begitu, setiap diri akan merasa satu perasaan tentang diri sendiri apabila berhadapan orang lain.

Lebih-lebih lagi bila ada satu perubahan yang berlaku, boleh jadi perubahan tu dari orang lain terhadap saya, atau perubahan saya terhadap orang lain.

Saya rasa orang yang label saya.

Atau pun, mungkin cuma saya yang rasa orang yang melabel saya, sedangkan perkara itu tidak berlaku pun. Saya yang beria-ia merasakan yang saya dilabel.

Kenapa perlu saya rasa saya dilabel?

Kenapa saya sedang merasa yang saya sedang dilabel?

Adakah merasakan perasaan dilabel pada diri itu sesuatu yang penting?

Oh, itu hanya akan menyerabutkan kepala otak dan menambah beban untuk minda saya untuk memikirkan lebih banyak perkara yang lebih penting daripada runsing dengan masalah yang 'saya sedang dilabel oleh orang lain', sedangkan sebenarnya tiada siapa yang melabel diri saya. Cuma perasaan saya yang melabelkan diri saya sendiri rasanya.

Cuma saya yang banyak cakap tentang saya ini itu dan ini. Saya ini sedang masalah di sana dan di sini. Sedangkan orang lain tiada pun merasakan yang saya ini dengan apa yang saya sedang fikirkan.

Mungkin saya rasa saya perlu lakukan sesuatu.

Mungkin saya rasa saya perlu belajar menerima pendapat orang lain dengan cara yang lebih baik.

Saya sebenarnya hebat, kenapa tidak saya juga menunjukkan saya ini hebat untuk mematahkan label orang terhadap saya yang saya sedang rasakan itu tidak benar.

Dulu saya pernah bertindak secara tidak begitu matang. Saya kata saya hebat, tapi tindakan saya sangat tidak hebat menghadapi situasi tegang dan tidak hebat langsung pun!

Saya melihat suatu kesilapan pada rakan saya. Jika saya kata saya hebat, saya akan hadapinya secara sihat, dengan nasihat yang bermanfaat, kerana bukan keburukan yang ingin dianjurkan, tapi penyelesaian. Begitu sebenarnya tindakan orang yang mengatakan dia hebat.

Oh, kenapa saya tidak memberikan nasihat, sebaliknya menabur laknat.

Sungguh tidak hebat tindakan itu di mata orang lain. 

Lagi satu, sikap saya suka cakap belakang menjadikan saya rasa sentiasa gelisah, kerana masalah saya tidak terus diperkatakan kepada individu yang saya maksudkan, lalu macamana masalah boleh selesai dan saya boleh menenangkan diri?

Saya lebih suka update status sindirian dalam facebook saya dan kemudian saya terus dalam keadaan rasa dilabel. 

HAHAHAHAHAHAHAHA !!

Sedangkan saya saja yang merasakan perasaan sedemikian. Hakikatnya, tiada pun orang yang melabel saya sebenarnya...

HAHAHAHAHAHAHAHAHA LAGI SEKALI !

Kenapa berat sangat untuk katakan terus kepada individu yang dimaksudkan?

Saya rasa saya betul dan saya lebih hebat berbanding orang lain.
Saya ada lebih banyak pengalaman dari orang lain.

So, pendapat saya lebih betul berbanding orang lain. Saya susah untuk terima idea orang.
Saya lihat idea dan pendapat orang lain sebagai ruang untuk mereka tidak mahu kalah dengan saya, peluang untuk mereka tunjuk pandai dan melemahkan saya.

Ok lah kalau macam tu.

Teruskan rasa dilabel jika masih rasa gelisah, atau buang saja label yang mengganggu perasaan yang rasa dilabel itu, nanti menyukarkan perjalanan, sebab tidak nampak jalan di hadapan, kerana terus berjalan itu penting daripada terganggu dengan sesuatu yang merencatkan langkah.


------------------------------------------------------

"..kemuncup ada di mana-mana, ia boleh datang dan pergi. Menghadapi kemuncup hendaklah dibuang sambil berjalan. Kita tidak boleh kehilangan fokus. Destinasi adalah destinasi.."
-Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat-

Saturday, December 21, 2013

Aku membebel pasal TV

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada rakan-rakan pembaca yang saya hormati.


Beberapa perkara yang dilihat agak teorikal mutakhir ini sangat mengecewakan banyak pihak.
Banyak maksud saya melibatkan ramai individu dan beberapa koalisi manusia yang lain.

Saya terpaksa juga akhirnya menonton beberapa siaran televisyen yang saya tidak begitu minat untuk tonton sebelum ini, seperti berita semasa, siaran langsung sidang dewan rakyat dan yang seumpanya dengannya.

Bukan apa, untuk mengetahui perkara-perkara terkini di samping pembacaan daripada internet bagi membuat persediaan menjelang temuduga lantikan pekerjaan yang akan dihadapi.

Daripada penilaian saya sepanjang tempoh tersebut, saya teringat suatu kekecohan yang berlaku di ibu negara yang telah berlaku beberapa siri melibatkan puluhan ribu rakyat Malaysia, iaitu dalam himpunan Bersih yang dikatakan bagi menyatakan beberapa tuntutan, khususnya berkaitan dengan pilihanraya yang adil dan bersih.



Namun bukan isu pilihanraya yang ingin saya perkatakan, sebaliknya saya tertarik dengan salah satu tuntutan bagi himpunan tersebut ialah 'akses media yang adil'. Saya bertanya kepada rakan-rakan di laman sosial facebook yang tidak dikenali berkenaan akses media yang adil itu, apa yang diinginkan sebenarnya?

Maka di sini saya ingin menyatakan semula beberapa jawapan yang diterima dan yang saya nilai sendiri bagi mengukuhkan lagi kenyataan berkenaan dengan isu ini.

Kepada kita yang benar-benar istiqomah untuk menonton berita di televisyen, pasti ada berita politik yang akan disiarkan dari seluruh negara. Durasinya akan lebih lama sekiranya berita tersebut dianggap sangat dan terpenting. Berita akan hentam sungguh-sungguh sekiranya perlu. Lebih berkesan apabila ianya akan disiarkan setiap sejam sehari, untuk setiap hari dalam seminggu.

Seperti satu doktrinisasi kepada jutaan otak yang ada di seluruh negara apabila akses siaran tersebut disiarkan dan ditonton setiap hari.



Masih dalam kerangka berita politik seperti yang disebutkan. Dalam kancah politik di negara ini, format asas dan yang mudah difahami ialah wakil rakyat dalam peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen akan dipilih sendiri oleh rakyat dalam pilihanraya yang dilakukan dalam tempoh 5 tahun sekali. Wakil rakyat yang bertanding adalah dari beberapa parti politik, dan hanya satu sahaja yang akan ditentukan secara mutlak oleh rakyat sebagai wakil mereka. Bagi wakil rakyat yang menang, akan dilantik sebagai wakil kepada kawasan yang ditandingi untuk hadir ke sidang dewan rakyat dan parlimen bagi membincangkan isu-isu berbangkit serta masalah-masalah rakyat.

Di dalam persidangan tersebut, wakil-wakil rakyat adalah terdiri daripada mereka yang telah menang dalam pilihanraya, daripada latarbelakang parti politik yang berlainan. Walaupun begitu, mereka akan duduk sama bersidang bagi membincangkan isu rakyat.

Ini bermakna, masing-masing wakil rakyat yang telah dipilih secara sah dalam pilihanraya, apabila masuk dan duduk bersidang bersama semua wakil rakyat yang lain turut sama berpeluang untuk bangun (berdiri) dan memberikan perkongsian, idea, buah fikiran, cadangan dan penambahbaikan.

Ya, sebenarnya perkara tersebut memang berlaku. Sebagai contoh, seorang wakil rakyat mengusulkan sesuatu, kemudian wakil rakyat yang lain boleh memberikan soalan, cadangan penambahbaikan malah memberikan alternatif lain sekiranya usul tersebut dikira tidak begitu relevan.

Masalahnya ialah, akses media tentang sidang ini hanya menunjukkan wakil-wakil rakyat yang tertentu sahaja, seperti menidakkan kewujudan wakil rakyat lain yang turut sama bersidang. Jika ada pun, hanya satu dua perkataan sahaja, cepat-cepat hujah mereka dicantas oleh iklan dan ulasan pengacara televisyen.



Saya mengira, saya dan penonton yang lain selayaknya sebagai seorang rakyat Malaysia yang ingin cakna terhadap isu semasa mempunyai hak mutlak untuk mendapatkan akses kepada setiap hujah daripada kedua-dua jalur pemikiran dan idea walaupun para YB itu berbeza parti politik, namun di dalam persidangan seperti itu, mereka punya ruang untuk bercakap, dan penyiaran persidangan tersebut kepada umum di televisyen merupakan peluang untuk rakyat Malaysia menilai dan menimbang buah fikiran mereka, mana yang baik dan mana yang lebih baik.

Saya dan jutaan rakyat Malaysia yang lain meyakini bahawa, banyak penambahbaikan dalam sistem yang diamalkan di negara ini adalah hasil daripada perbincangan dalam sesi-sesi seperti yang dipersidangkan dan sudah pasti proses untuk mencapai satu keputusan itu menghadapi banyak kesukaran khususnya akan berlaku berbezaan pendapat pada awalnya, kemudian perbezaan tersebut dijernihkan dengan fakta, keperluan semasa, mengambil kira kebajikan dan kesejahteraan umum dan melihat kepada unjuran manfaat yang lebih bersifat jangka panjang serta relevansinya.



Idea-idea dan gagasan yang baik ini sudah tentu dinaikkan oleh para menteri kabinet khususnya, kemudian, dinilai oleh para sidang perwakilan yang ada, kemudia diperbahaskan bagi tujuan pemurnian sebelum dilaksanakan. Dalam perbahasan itulah akan bangun ahli sidang yang bertujuan untuk mengemukakan pandangan, bukan untuk membantah secara total, namun menyuarakan pendapat, cadangan penambahbaikan serta alternatif, dengan mengambil kira beberapa aspek yang telah saya nyatakan sebagai mekanisme penjernihan apabila berlaku perbezaan pendapat pada perenggan sebelum ini.

Perkara ini (ruang penjernihan) saya tonton di dalam youtube dan laman sosial yang lain sahaja, kerana perkara yang disiarkan di kaca televisyen secara langsung hanya pembentangan usul, sedikit soal jawab yang tidak terjawab dan kemudian ulasan pengacara televisyen yang dilihat seperti mencantas apabila bangun atau kedengaran hujah yang dilihat ingin memberi cadangan penambahbaikan. Oh, bukan sekali saya menontonnya di televisyen. 

Saya dan lebih ramai lagi yang turut menonton cukup yakin dan pasti, bahawa terdapat beberapa soalan tidak dapat dijawab dan dijelaskan dengan baik, selaras dengan soalan yang diajukan, sekadar menjawab soalan dengan kata, tetapi tidak menjawab soalan dengan fakta. Ada yang mengulang semula soalan, kemudian menyebut beberapa perkataan yang ada dalam soalan, dikaitkan dengan ayat yang hampir sama dengan soalan, selepas itu membuat sedikit pengulangan pada kenyataan peribadi dan juga perihal usul, kemudian menyudahkan jawapan dengan duduk semula di atas kerusi.

Saya juga hairan, saya menonton berita khususnya apabila berlaku kes-kes yang melibatkan individu-individu utama di dalam negara yang dikaitkan dengan isu-isu yang sensitif, bahkan mengelirukan orang lain sekiranya tidak diperjelaskan secara tertib dan melibatkan satu pihak sahaja. 

Sekiranya benar ingin memberikan akses yang adil dalam penyiaran media arus perdana, tiada salahnya jika ada kes atau isu yang melibatkan individu tertentu, beliau diberikan ruang untuk memberi penjelasan sendiri di kaca televisyen, sepertimana yang turut disiarkan di dalam berita dalam durasi yang agak lama, kemudian disambung lagi dengan wacana dan diskusi dalam rancangan yang lain, sedangkan individu berkenaan hanya disiarkan wajah dan percakapannya dalam tempoh masa yang paling minimum, kurang daripada seminit dan ada juga yang diperlihatkan cuma gambar sahaja dan diulas oleh pembaca berita yang hanya membaca teksnya.


Biasanya isu yang sering timbul melibatkan ahli-ahli politik, khususnya daripada pihak parti pembangkang dalam satu koalisi yang dinamakan sebagai Pakatan Rakyat, merangkumi tiga komponen parti utama, iaitu Parti KeAdilan Rakyat (PKR), Democratic Action Party (DAP) dan Parti Islam SeMalaysia (PAS).

Saya ambil satu isu berkenaan isu yang melibatkan bekas Menteri Besar Terengganu dari Disember 1999 hingga Mac 2004 yang juga merupakan ahli Parlimen Marang, Yang Berhormat Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi bin Awang yang dikaitkan dengan isu "Amanat Haji Hadi" sejak beberapa puluh tahun yang lalu, baru-baru ini ditimbulkan kembali. 



Tiada satu pun ruang untuk beliau memberi respon terhadap perkara ini sejak ia mula disiarkan di media arus perdana, malah tiada ucapan beliau yang berperanan untuk memberi respon ini walau sepuluh minit diberikan oleh pihak media arus perdana, sedangkan perkara yang disiarkan di dalam berita memaparkan isu ini dalam tempoh masa yang lama dengan ulasan dari batang tubuh orang lain, sedikit ulasan daripada pembaca berita dan ulasan pihak yang tidak bersetuju dengannya. 

Lalu bagaimana para penonton hendak menilai di mana kebenaran yang sebenarnya sekiranya hanya sebelah pihak sahaja yang berpeluang untuk menyampaikan buah fikiran?

Saya akhiri bebelan saya dengan dua soalan.

Adakah ini benar-benar dinamakan akses media yang adil ?
Kenapa hanya 'satu' pihak sahaja yang dibenarkan berada dalam media arus perdana ?

Wallahu a'lam..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...