Saturday, December 21, 2013

Aku membebel pasal TV

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada rakan-rakan pembaca yang saya hormati.


Beberapa perkara yang dilihat agak teorikal mutakhir ini sangat mengecewakan banyak pihak.
Banyak maksud saya melibatkan ramai individu dan beberapa koalisi manusia yang lain.

Saya terpaksa juga akhirnya menonton beberapa siaran televisyen yang saya tidak begitu minat untuk tonton sebelum ini, seperti berita semasa, siaran langsung sidang dewan rakyat dan yang seumpanya dengannya.

Bukan apa, untuk mengetahui perkara-perkara terkini di samping pembacaan daripada internet bagi membuat persediaan menjelang temuduga lantikan pekerjaan yang akan dihadapi.

Daripada penilaian saya sepanjang tempoh tersebut, saya teringat suatu kekecohan yang berlaku di ibu negara yang telah berlaku beberapa siri melibatkan puluhan ribu rakyat Malaysia, iaitu dalam himpunan Bersih yang dikatakan bagi menyatakan beberapa tuntutan, khususnya berkaitan dengan pilihanraya yang adil dan bersih.



Namun bukan isu pilihanraya yang ingin saya perkatakan, sebaliknya saya tertarik dengan salah satu tuntutan bagi himpunan tersebut ialah 'akses media yang adil'. Saya bertanya kepada rakan-rakan di laman sosial facebook yang tidak dikenali berkenaan akses media yang adil itu, apa yang diinginkan sebenarnya?

Maka di sini saya ingin menyatakan semula beberapa jawapan yang diterima dan yang saya nilai sendiri bagi mengukuhkan lagi kenyataan berkenaan dengan isu ini.

Kepada kita yang benar-benar istiqomah untuk menonton berita di televisyen, pasti ada berita politik yang akan disiarkan dari seluruh negara. Durasinya akan lebih lama sekiranya berita tersebut dianggap sangat dan terpenting. Berita akan hentam sungguh-sungguh sekiranya perlu. Lebih berkesan apabila ianya akan disiarkan setiap sejam sehari, untuk setiap hari dalam seminggu.

Seperti satu doktrinisasi kepada jutaan otak yang ada di seluruh negara apabila akses siaran tersebut disiarkan dan ditonton setiap hari.



Masih dalam kerangka berita politik seperti yang disebutkan. Dalam kancah politik di negara ini, format asas dan yang mudah difahami ialah wakil rakyat dalam peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen akan dipilih sendiri oleh rakyat dalam pilihanraya yang dilakukan dalam tempoh 5 tahun sekali. Wakil rakyat yang bertanding adalah dari beberapa parti politik, dan hanya satu sahaja yang akan ditentukan secara mutlak oleh rakyat sebagai wakil mereka. Bagi wakil rakyat yang menang, akan dilantik sebagai wakil kepada kawasan yang ditandingi untuk hadir ke sidang dewan rakyat dan parlimen bagi membincangkan isu-isu berbangkit serta masalah-masalah rakyat.

Di dalam persidangan tersebut, wakil-wakil rakyat adalah terdiri daripada mereka yang telah menang dalam pilihanraya, daripada latarbelakang parti politik yang berlainan. Walaupun begitu, mereka akan duduk sama bersidang bagi membincangkan isu rakyat.

Ini bermakna, masing-masing wakil rakyat yang telah dipilih secara sah dalam pilihanraya, apabila masuk dan duduk bersidang bersama semua wakil rakyat yang lain turut sama berpeluang untuk bangun (berdiri) dan memberikan perkongsian, idea, buah fikiran, cadangan dan penambahbaikan.

Ya, sebenarnya perkara tersebut memang berlaku. Sebagai contoh, seorang wakil rakyat mengusulkan sesuatu, kemudian wakil rakyat yang lain boleh memberikan soalan, cadangan penambahbaikan malah memberikan alternatif lain sekiranya usul tersebut dikira tidak begitu relevan.

Masalahnya ialah, akses media tentang sidang ini hanya menunjukkan wakil-wakil rakyat yang tertentu sahaja, seperti menidakkan kewujudan wakil rakyat lain yang turut sama bersidang. Jika ada pun, hanya satu dua perkataan sahaja, cepat-cepat hujah mereka dicantas oleh iklan dan ulasan pengacara televisyen.



Saya mengira, saya dan penonton yang lain selayaknya sebagai seorang rakyat Malaysia yang ingin cakna terhadap isu semasa mempunyai hak mutlak untuk mendapatkan akses kepada setiap hujah daripada kedua-dua jalur pemikiran dan idea walaupun para YB itu berbeza parti politik, namun di dalam persidangan seperti itu, mereka punya ruang untuk bercakap, dan penyiaran persidangan tersebut kepada umum di televisyen merupakan peluang untuk rakyat Malaysia menilai dan menimbang buah fikiran mereka, mana yang baik dan mana yang lebih baik.

Saya dan jutaan rakyat Malaysia yang lain meyakini bahawa, banyak penambahbaikan dalam sistem yang diamalkan di negara ini adalah hasil daripada perbincangan dalam sesi-sesi seperti yang dipersidangkan dan sudah pasti proses untuk mencapai satu keputusan itu menghadapi banyak kesukaran khususnya akan berlaku berbezaan pendapat pada awalnya, kemudian perbezaan tersebut dijernihkan dengan fakta, keperluan semasa, mengambil kira kebajikan dan kesejahteraan umum dan melihat kepada unjuran manfaat yang lebih bersifat jangka panjang serta relevansinya.



Idea-idea dan gagasan yang baik ini sudah tentu dinaikkan oleh para menteri kabinet khususnya, kemudian, dinilai oleh para sidang perwakilan yang ada, kemudia diperbahaskan bagi tujuan pemurnian sebelum dilaksanakan. Dalam perbahasan itulah akan bangun ahli sidang yang bertujuan untuk mengemukakan pandangan, bukan untuk membantah secara total, namun menyuarakan pendapat, cadangan penambahbaikan serta alternatif, dengan mengambil kira beberapa aspek yang telah saya nyatakan sebagai mekanisme penjernihan apabila berlaku perbezaan pendapat pada perenggan sebelum ini.

Perkara ini (ruang penjernihan) saya tonton di dalam youtube dan laman sosial yang lain sahaja, kerana perkara yang disiarkan di kaca televisyen secara langsung hanya pembentangan usul, sedikit soal jawab yang tidak terjawab dan kemudian ulasan pengacara televisyen yang dilihat seperti mencantas apabila bangun atau kedengaran hujah yang dilihat ingin memberi cadangan penambahbaikan. Oh, bukan sekali saya menontonnya di televisyen. 

Saya dan lebih ramai lagi yang turut menonton cukup yakin dan pasti, bahawa terdapat beberapa soalan tidak dapat dijawab dan dijelaskan dengan baik, selaras dengan soalan yang diajukan, sekadar menjawab soalan dengan kata, tetapi tidak menjawab soalan dengan fakta. Ada yang mengulang semula soalan, kemudian menyebut beberapa perkataan yang ada dalam soalan, dikaitkan dengan ayat yang hampir sama dengan soalan, selepas itu membuat sedikit pengulangan pada kenyataan peribadi dan juga perihal usul, kemudian menyudahkan jawapan dengan duduk semula di atas kerusi.

Saya juga hairan, saya menonton berita khususnya apabila berlaku kes-kes yang melibatkan individu-individu utama di dalam negara yang dikaitkan dengan isu-isu yang sensitif, bahkan mengelirukan orang lain sekiranya tidak diperjelaskan secara tertib dan melibatkan satu pihak sahaja. 

Sekiranya benar ingin memberikan akses yang adil dalam penyiaran media arus perdana, tiada salahnya jika ada kes atau isu yang melibatkan individu tertentu, beliau diberikan ruang untuk memberi penjelasan sendiri di kaca televisyen, sepertimana yang turut disiarkan di dalam berita dalam durasi yang agak lama, kemudian disambung lagi dengan wacana dan diskusi dalam rancangan yang lain, sedangkan individu berkenaan hanya disiarkan wajah dan percakapannya dalam tempoh masa yang paling minimum, kurang daripada seminit dan ada juga yang diperlihatkan cuma gambar sahaja dan diulas oleh pembaca berita yang hanya membaca teksnya.


Biasanya isu yang sering timbul melibatkan ahli-ahli politik, khususnya daripada pihak parti pembangkang dalam satu koalisi yang dinamakan sebagai Pakatan Rakyat, merangkumi tiga komponen parti utama, iaitu Parti KeAdilan Rakyat (PKR), Democratic Action Party (DAP) dan Parti Islam SeMalaysia (PAS).

Saya ambil satu isu berkenaan isu yang melibatkan bekas Menteri Besar Terengganu dari Disember 1999 hingga Mac 2004 yang juga merupakan ahli Parlimen Marang, Yang Berhormat Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi bin Awang yang dikaitkan dengan isu "Amanat Haji Hadi" sejak beberapa puluh tahun yang lalu, baru-baru ini ditimbulkan kembali. 



Tiada satu pun ruang untuk beliau memberi respon terhadap perkara ini sejak ia mula disiarkan di media arus perdana, malah tiada ucapan beliau yang berperanan untuk memberi respon ini walau sepuluh minit diberikan oleh pihak media arus perdana, sedangkan perkara yang disiarkan di dalam berita memaparkan isu ini dalam tempoh masa yang lama dengan ulasan dari batang tubuh orang lain, sedikit ulasan daripada pembaca berita dan ulasan pihak yang tidak bersetuju dengannya. 

Lalu bagaimana para penonton hendak menilai di mana kebenaran yang sebenarnya sekiranya hanya sebelah pihak sahaja yang berpeluang untuk menyampaikan buah fikiran?

Saya akhiri bebelan saya dengan dua soalan.

Adakah ini benar-benar dinamakan akses media yang adil ?
Kenapa hanya 'satu' pihak sahaja yang dibenarkan berada dalam media arus perdana ?

Wallahu a'lam..

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...