Tuesday, September 17, 2013

Tolong lah, suburkan budaya intelek !

Bismillah..


Assalamualaikum dan selamat sejahtera, para pembaca yang dihormati sekalian..
Saya cukup menghormati anda semua kerana ANDA SEORANG PEMBACA.

DAN ANDA RAJIN MEMBACA.

Adapun tujuan post demi post ditaipkan adalah untuk menyuburkan budaya membaca dalam kalangan manusia, untuk menjadikan ianya suatu budaya intelek yang subur dan seterusnya satu langkah proaktif untuk membangun sebuah masyarakat yang PANDAI dengan suburnya budaya membaca.



Kenapa perlu membaca?

"iqro' bismi Robbikalladzi kholaq "..

IQRO'

READ

BACALAH

Demikan merupakan wahyu awal yang diturunkan pada fasa permulaan kerasulan Nabi Muhammad Sallallhu 'Alaihi Wasallam.

Kembali kepada budaya membaca.

Hari ini, tanpa kita sedari, budaya intelek semakin banyak tentangan dan rambu-rambu halangan dalam usaha penyuburannya.

Jadi, sedikit sebanyak post kali ini adalah untuk menyingkap dan cuba menghuraikan isu semasa yang berlaku berkaitan dengan budaya ini.


Tadi disebutkan tentang tentangan dan halangan kepada penyuburan budaya intelek. Selain membaca, ada banyak lagi aktiviti yang mampu menegakkan suasana intelek yang meriah dalam sesebuah komuniti. Hal ini semestinya tidak dapat dipisahkan dengan golongan akademik, seperti mahasiswa yang akan sentiasa berlegar-legar dalam lingkungan kawasan persekitaran yang merimbun dengan budaya keilmuan, menghadiri kuliah, mendengar syarahan, melakukan tugasan yang memerlukan banyak pembacaan, aktiviti praktikal di luar kawasan, penyelidikan dan inovasi, aplikasi ICT serta penyemarakan budaya intelek dalam kalangan mereka sendiri.

Namun begitu, golongan yang dipandang sebagai kelompok berpendidikan atau akademik ini nampak gayanya kian mengasingkan diri dengan penyemarakan budaya intelek. Penilaian tahap akademik dan berpendidikan mereka hanya terpampang di atas kertas slip peperiksaan dan helaian tugasan sahaja, entah ianya asli atau sebaliknya. Pembudayaan budaya intelek seakan dianggap suatu perkara yang hambar dan tidak begitu menarik untuk dibincangkan dengan lebih lanjut jika ianya tiada kaitan dengan tugasan yang belum dihantar atau disiapkan.

Semuanya tentang tugasan.

Apabila usaha untuk menyuburkan budaya intelek ini cuba didirikan, tanggapan pertama yang menyelinap masuk ke dalam pemikiran golongan yang kononnya dianggap berpelajaran oleh orang lain ini adalah perkara yang membosankan, siapa yang melibatkan diri adalah individu yang malang kerana perlu terlibat, siapa yang menunjukkan kesungguhan dianggap 'budak skema'. Sehingga ke tahap itu!


Aduhai..
Kenapa berlaku keadaan yang seperti ini?
Apa yang generasi Y lebih gemari pada hari ini jika kurang berminat untuk meluangkan masa dengan pembudayaan amalan intelek?

Jawapan kepada persoalan apa yang generasi Y lebih gemari pada hari ini ada kaitannya dengan salah satu penyakit atau isme yang kian membusung dan membarah dalam kotak pemikiran generasi Y pada hari ini.

HEDONISME.

Nama penyakit yang sangat mengerikan, tapi ianya tidak menyakitkan pesakitnya.

Apa sebenarnya HEDONISME yang dimaksudkan?

Ia merupakan salah satu dogma atau pola pemikiran yang cenderung ke arah keseronokan dan kegembiraan dalam hidup. Segala yang indah, seronok, menghiburkan adalah simptom-simptom penghidap penyakit hedonisme.

Pesakit yang masih boleh diubati mampu disembuhkan dengan cara yang lembut, hanya dengan kata-kata motivasi dan sedikit sentuhan hati sebagai rawatan pencegahan dan seterusnya diberikan rawatan susulan sehingga pesakit beransur sembuh sepenuhnya untuk memberi peluang kepada beliau untuk cuba sama-sama dengan para perawat untuk merawat pesakit yang lain, serta orang awam yang belum dijangkiti atau menghidap penyakit berkenaan supaya ianya tidak menjadi virus berjangkit yang membahayakan nyawa kepada pemikiran dan gaya hidup manusia sejagat.

Bagi pesakit yang berada di tahap kronik pula, jika diberi pilihan untuk memilih satu daripada dua pilihan, iaitu majalah Dewan Masyarakat dan majalah URTV, tanpa berfikir panjang pesakit akan memilih majalah URTV. Mungkin begitu contoh yang paling mudah untuk difahami.

Dalam erti kata yang lain pula, dalam konteks budaya kehidupan dan sosial kelompok mahasiswa pula, hiburan dan sesuatu yang dilihat tidak begitu menonjolkan nilai akademik lebih mendapat sambutan sekiranya sesuatu program dianjurkan. Oleh kerana itu, tidak hairanlah pada hari ini, setiap program yang diadakan, baik program ilmiah atau bukan ilmiah, perlu ada unsur hedonisme, setidaknya sedikit sebagai daya penarik untuk menjadikan sesebuah program itu dilangsungkan.

Selain itu, perubahan dapat dilihat dalam corak penyampaian sesuatu maklumat atau mesej yang ingin disampaikan, sehingga perlunya sesuatu mesej penting disampaikan dalam bentuk hiburan untuk memastikan ianya sampai. Persoalan sampai dan boleh diterima, difahami dan aplikasi itu belum tentu terjawab atau tidak. Sebagai contoh, hari ini terlalu banyak perkara perlu disampaikan melalui hiburan, terutama sekali nyanyian. Ingin membanteras rasuah, disampaikan melalui lagu, kempen membersihkan tandas juga dipromosikan dengan lagu. Malah banyak lagi perkara yang disampaikan melalui lagu, sehingga medium atau cara yang lain sudah tidak berkesan.

Itu perkara lain. Bagaimana pula dengan memupuk budaya intelek dalam kalangan mahasiswa?

Adakah budaya intelek ini juga perlu disampaikan melalui hiburan?
Adakah hiburan satu-satunya medium terbaik untuk memupuk budaya intelek?
Adakah budaya intelek itu bergantung kepada isi ilmu yang ingin disampaikan?

Jika benar ya, hanya hiburan medium terbaik untuk membudayakan budaya intelek pada hari ini kerana tidak ada lagi medium yang lain, lalu hiburan seperti apa pula yang sesuai?

Adakah hiburan itu sendiri mampu memberi kesan yang positif terhadap budaya intelek yang ingin diterap dan dibudayakan, sedangkan pada hakikatnya ianya adalah medium untuk menghibur.

Tidak lari daripada apa yang cuba saya terangkan sekiranya saya mengakui adanya unsur didik hibur dalam strategi pengajaran dan pembelajaran. Namun, pelaksanaannya adalah sesuai dengan konteks ianya hendak disampaikan kepada siapa dan apa kandungannya. Tambahan pula, peratus penggunaan didik hibur adalah sangat sedikit untuk dibandingkan dengan pelaksanaan kaedah lain dalam pengajaran dan pembelajaran, kerana penerapan nilai serta kefahaman lebih banyak disalurkan melalui praktis tradisional dan autentik seperti latihan pengukuhan, pengayaan, ujian, kuiz, peperiksaan dan yang seumpama dengannya. Ini bermaksud, elemen didik hibur yang digunakan bukanlah elemen atau kaedah utama dalam usaha untuk memupuk kefahaman atau penyampaian kepada sesuatu.


Justeru itu, saya melihat kurangnya kesedaran untuk memupuk budaya intelek dalam kalangan mahasiswa, malah lebih cenderung untuk menggunakan medium hiburan sebagai wadah untuk menerapkan dan menyampaikan sesuatu. Saya tampil menulis di sini bukan untuk mengaku cadangan dan ulasan yang diberikan ini benar belaka, perlu diikuti dan apa yang telah dilakukan sebelum ini salah sepenuhnya, tetapi saya ingin mengemukakan beberapa kaedah lain selain daripada hiburan.

Saya ambil contoh isu semasa dengan keperluan akademik mahasiswa. Bagi mahasiswa pendidikan contohnya, beberapa perkara yang boleh disampaikan dan dalam masa yang sama dapat memupuk budaya intelek ialah diskusi atau wacana hala tuju pendidikan negara untuk beberapa tempoh masa akan datang contohnya. Pandangan-pandangan bernas serta buah fikiran yang baik sudah pasti dapat dicungkil daripada penganjuran program seperti ini, berbanding program yang menggunakan hiburan sebagai medium penyampaian, contohnya kepelbagaian budaya, integrasi nasional, perpaduan kaum dan sebagainya disampaikan melalui persembahan-persembahan nyanyian, tarian dan seumpamanya.

Bukan niat saya untuk mengatakan medium ini tidak efektif untuk menyampaikan isu berkenaan, namun, seperti pendekatan didik hibur yang dinyatakan, persembahan atau hiburan bukanlah medium yang utama, tetapi sampingan atau selingan. Ruang-ruang diskusi, forum, kolokium dan pidato contohnya juga merupakan platform utama yang berkesan dalam menerapkan sesuatu mesej. Ianya bukan sahaja menyuburkan budaya intelek yang sihat, dalam masa yang sama, ia mampu menonjolkan bakat-bakap kepimpinan, kemahiran komunikasi, kemahiran sosial dan praktikal kepada aplikasi ilmu. Jelas ini menunjukkan lebih banyak implikasi yang positif jika pendekatan intelek digunakan sebagai medium utama, dalam usaha untuk membudayakan persekitaran atau amalan intelek, khususnya dalam kalangan mahasiswa generasi Y.

Kenapa perkara ini dilihat sangat serius sehingga saya perlu menuliskannya sebegini panjang?
Saya sangat risau melihat apa yang berlaku di hadapan mata saya, apa yang terdengar melalui telinga saya akan label-label dan 'mind-set' sempit terhadap program-program berbentuk intelek. Sangat kurang kesedaran dalam kalangan mahasiswa dan saya khususkan kepada mahasiswa yang berada di atas jalur pendidikan. Tidak saya nafikan, ada usaha yang dilakukan, tetapi sambutan yang diberikan sangat HAMBAR. Ditubuhkan kelab dan pertandingan debat, tapi yang melibatkan diri hanya kurang daripada 10 orang. Diadakan pertandingan menulis karya sastera seperti esei, entah ada penyertaan atau tidak. Dianjurkan forum-forum dan diskusi, yang hadir bilangannya dapat dikira.

Lalu ke mana hendak di bawa hala tuju pendidikan jika budaya seperti ini (saya merujuk kepada kurang kesedaran untuk menyuburkan budaya intelek) tidak begitu meriah dalam diri yang bakal mendidik suatu hari nanti?

InsyaAllah saya akan sambung lagi dengan kupasan isu yang sama, dalam konteks yang lain pada masa akan datang.

Saya menulis bukan untuk kepuasan diri, cuma ingin melihat pendidik yang mendidik boleh membudayakan budaya intelek dalam diri sendiri dan kemudian mampu memacu dan menentukan hala tuju pendidikan negara.

Saya sedia menerima komen dan cadangan daripada para pembaca semua, harap sama-sama dapat memberikan pendapat.
Sekian. Terima kasih kerana membaca sehingga ke akhir ayat ini.

Beribu-ribu taaaniaaaa...

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...