Gambar hiasan
Di sini saya ingin berkongsi dua pengalaman yang temanya hampir sama, tapi situasi berlainan.
Mungkin sedikit sebanyak memberi kesan positif kepada saya sendiri dan juga kesan positif terhadap insan-insan pemurah yang ada di sekeliling kita yang perlu kita contohi sifat tersebut.
Kisah pertama.
Tajuk : RM2.00
Malam itu aku membeli makanan secukupnya untuk dimakan ketika membuat kerja yang biasanya hingga lewat malam, seperti biskut dan juga minuman paket. Duit yang ada juga secukupnya untuk perbelanjaan pada ketika itu. Maka, aku balik dengan dompet yang kosong.
Keesokan harinya, aku baru teringat untuk pergi ke suatu majlis makan tengahari dan berjumpa dengan penulis buku. Aku pun berfikir, majlis sudah bermula, aku masih belum ambil duit dan perlu tiba di sana dalam waktu yang cepat.
Aku ambil keputusan untuk meminjam motorsikal kawan.
Ok, aku sudah ke sana.
Sebelum bertolak pulang, aku rancang dulu perjalanan.
Lepas ni, mau ambil duit dan isi minyak motor kawan.
Aku on motor dan lihat meter minyak.
Jarum meter melepasi bawah huruf E.
Gawat !
Boleh lagi ni sikit.
Aku teruskan perjalanan dan masuk ke sebuah stesen minyak, kerana pada firasat aku, stesen minyak mesti ada ATM, boleh isi minyak dan ambil duit. Malangnya stesen minyak itu tidak ada ATM.
Aku cuba cari di kawasan sekitarnya. juga tidak ada kelibat ATM yang terdekat.
Aku berhenti di sebuah kedai runcit KK.
Aku tanya di mana ATM paling hampir.
Jurujual itu pun menjawab, yang paling hampir, kena jalan sedikit, masuk simpang kiri. Depan tu, ada bangunan baru, tingkat bawah sekali.
Aduh, aku beritahu masalahku. Minyak motor sudah kering dan takut tidak sampai ke sana.
"kalau akak percaya dengan saya, boleh saya pinjam RM2 untuk isi minyak, lepas tu saya ambil duit di ATM, saya bayar semula."
"akak pun baru semalam kena tipu dengan budak (sebut nama sebuah negeri) RM30, konon nak baiki tayar pancit, siap bagi nombor telefon, tapi call tak jawab pun."
Aku tidak juga menunjukkan riak wajah merayu, cuma sedikit simpati melihat nasibnya dan juga mengenangkan nasibku yang tersangkut di situ.
"KK ni tiada ATM?"
Aku bergurau untuk redakan kesedihan antara kami.
"sini penyangak banyak dik, lain lah macam 7E, ada auto-lock, sini kedai buka 24 jam tak ada lock pun. Tak apa lah, ambil ni dulu (RM10), akak tak ada duit kecik."
"banyak sangat ni kak, duit seringgit-seringgit tiada?"
"ambillah dik, ni saja yang akak boleh tolong"
Nanti baki bagi dengan abang ni, akak dah nak balik ni, tadi akak kerja malam, nak balik tidur, mengantuk.
Dengan cepat aku pergi semula ke stesen minyak untuk mengisi minyak motor kawan itu dengan harga RM2.
Baki RM8 aku sempat pulangkan kepada kakak itu kerana dia masih lagi berada di kedai tersebut. Mungkin menunggu aku.
Aku masih berhutang lagi dengannya RM2.
Dengan cepat aku pergi mencari ATM untuk mengambil sejumlah wang untuk perbelanjaan hari yang akan datang.
Alhamdulillah, ada Public Bank. Boleh juga digunakan walaupun aku menggunakan kad BSN.
Aku kembali ke kedai KK itu dan membeli topup RM10 dan air tin.
Kakak itu masih ada di situ.
Mungkin masih menunggu aku.
Aku berlalu dengan meninggalkan sejumlah wang baki kepada kakak itu, melangsaikan baki hutang yang ada tadi, iaitu RM2. Aku sengaja beri sedikit lebih, kerana aku tidak dapat menyangka bahawa akan datang pertolongan ketika aku sedang dalam kesusahan seperti itu. Aku tahu tidak terbalas sebenarnya walaupun aku bayar lebih dari aku berikan dengan aturan yang ditetapkan Allah pada hari itu.
Kakak itu memanggil aku untuk berikan semula wang baki, tapi aku terus meninggalkannya. Aku tidak mahu ambil baki itu, kerana mungkin itu cara terbaik aku untuk berterima kasih kepadanya dan bersyukur kepadaNya dengan memberi sedikit lebih daripada jumlah yang aku pinjam darinya.
Selesai.
Kisah II.
Tajuk: RM1.
Kali ini, aku ada duit.
Aku merancang untuk balik menggunakan LRT dan kemudian disambung dengan menaiki bas Rapid.
Bas Rapid hanya menerima bayaran tepat. Tidak menerima wang RM10 kecuali jika memang jumlah harga tiket RM10, iaitu dengan 10 orang dan memerlukan 10 tiket, sedangkan aku cuma perlu membeli tiket yang berharga RM1.
Aku ada duit syiling yang mencukupi untuk menaiki LRT. Dalam hati aku, di hujung stesen ini nanti ada 7/11, aku akan beli minuman di situ untuk pecahkan duit RM10 ni.
Bila tiba di penghujung stesen, 7/11 tutup.
Jam pula menunjukkan pukul 11.10pm.
Semua kedai juga tutup.
Oh, ada sebuah warung di situ, juga sudah tutup, tapi pekerjanya masih galak menonton drama.
"assalamualaikum kak, ada tukar RM10?" RM5 atau RM1 pun boleh."
"tak ada lah dik, duit akak ni ada RM2 saja, yang lain sudah kira (duit jualan harian agaknya)."
Ha, di sana ada kios minuman tin dan pembayaran parking kereta.
Aku pergi ke sana untuk beli minuman, sekaligus untuk pecahkan duit RM10 itu.
Aku masukkan duit itu ke mesin tersebut.
Ia keluar semula. Mungkin ia cuma menerima wang kertas RM1 dan syiling sahaja.
Kebetulan ada seorang kakak juga sedang membayar parking di kios sebelahnya.
Aku tunggu dia selesai membayar.
"boleh tukar RM10? RM5x2 atau RM1x10"
"untuk apa dik?"
"tambang bas.."
"kedai depan tu tutup ea.."
"ya tutup kak.."
"berapa ringgit tambang tu?"
"seringgit saja kak. Bas Rapid ni payah sikit, kena bayar tepat, susah dapat baki"
"nah, ambik la seringgit, malam-malam macam ni susah sikit.."
"terima kasih kak.."
Selesai.
Pengajaran dari pengalaman ini, perlu bijak membina kepercayaan walaupun tidak perlu meyakinkan dengan percakapan. Saya cuma cakap apa masalah saya dan apa yang saya perlukan.
Mungkin, apa yang meyakinkan mereka ialah dari aspek 1st impression terhadap imej saya.
Saya tidak memakai jeans atau seluar yang kelihatan selekeh, kecil di bawah atau koyak.
Baju saya tidak menunjukkan unsur yang negatif.
Rambut sikat belah tepi yang kelihatan sedikit poyo dan skema.
Kedua, ialah cara percakapan yang bersifat persuasif dengan perkataan tolong.
Agak susah sebenarnya untuk dapatkan walau 50sen daripada orang yang tidak dikenali, tetapi, jika kena caranya, kita boleh dapat lebih banyak daripada harga seketul ayam goreng berempah.
Atau memang sebenarnya mereka adalah jenis yang tidak kisah untuk menolong orang.
Atau, ini adalah suatu kenyataan atas kesaksian kepada hari ini kamu tolong orang, esok orang tolong kamu..
Oh, jika itu benar, aku perlu lebih banyak menolong orang selepas ini!
No comments:
Post a Comment