Friday, November 1, 2013

INI KALI LAH ! | Apa yang anda perlu faham?

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca yang saya hormati sekalian.


Saya masih ingat, kalau tidak silap, tahun 2007 merupakan tahun terakhir saya mengikuti sukan tahunan sekolah semasa di sekolah menengah dulu, kerana pada tahun ini saya dalam tingkatan 5. Saya merupakan salah seorang ahli rumah sukan Perdana, yang memakai baju warna merah. Para senior dari tingkatan 6 atas pada ketika itu merupakan antara orang kuat dalam rumah sukan dan juga antara pengaruh-pengaruh terbesar antara rumah sukan yang lain.



Setiap rumah sukan mempunyai laungan yang tersendiri, sebagai laungan semangat apabila atlet dari rumah sukan masing-masing mengambil hadiah, mendapat kemenangan dan sebarang berita gembira yang lain. Pada ketika itulah, laungan "ini kali lah!" merupakan laungan keramat kepada rumah sukan saya, setiap kali mendapat kemenangan.

Jika dilihat dari sudut bahasa, dari aspek gramatisme frasa tersebut, agak tidak begitu sesuai, kerana ianya akan menjadi lebih gramatis sekiranya ayat tersebut berbunyi "kali ini lah". Namun, ianya merupakan salah satu antara dialog biasa dalam kalangan masyarakat tempatan pada ketika itu, dan mula diterima pakai oleh semua pihak dengan frasa "ini kali lah".

Dalam konteks laungan semangat untuk rumah sukan, ianya menggambarkan suatu kegembiraan apabila ianya dilaungkan apabila pasukan terbabit mendapat berita kemenangan. Maksudnya, kegemilangan yang dicapai adalah berlaku pada waktu dan ketika terjadinya dan tercapainya kejayaan tersebut. Maka frasa "ini kali lah" dalam konteks itu adalah sesuai dan kena pada waktu dan ketika berlakunya sesuatu peristiwa yang dianggap bermakna.

Boleh jadi, kejayaan itu berlaku pada tahun 2007, maka laungan "ini kali lah" itu adalah merujuk kepada tahun atau bulan berlakunya atau tercapainya kejayaan, atau situasi berlaku apabila kemenangan yang dicapai itu adalah merupakan kemenangan yang julung kali dikecapi dan ditunggu-tunggu, jika pada tahun/bulan yang lepas kalah, maka 'kali ini' kita telah menang. Sungguh, seingat saya, pada tahun tersebut adalah antara tahun kegemilangan rumah Perdana kerana sebelum ini kejayaan rumah sukan dirangkul oleh rumah sukan yang lain. Slogan tersebut banyak berkisar tentang suatu kejayaan manis yang berlaku pada waktu itu.

Fuhh, susahnya untuk menjelaskan frasa itu. Sungguh seni dan bermakna.

Dalam konteks yang lain, frasa itu juga merupakan salah suatu bentuk gesaan atau pasakan untuk tidak menangguhkan sesuatu perkara. Ianya mesti jadi. Apabila sesuatu perkara yang telah dilakukan berulang kali menerima kegagalan, suatu masa, ianya mesti dihadapi dengan berhati-hati, bersungguh-sungguh dan penuh dengan semangan yang tinggi agar kegagalan yang sama tidak berulang. Maka, untuk memastikan kesilapan lama tidak berulang, maka untuk percubaan yang seterusnya yang akan dihadapi, perlu lakukan dengan usaha di peringkat yang paling terbaik. Paling terbaik. Paling sangat terbaik.  Perkataan 'ini' merujuk kepada percubaan yang akan dilakukan, manakala perkataan 'kali' merujuk kepada bilangan/sesi/episod/siri percubaan itu dilakukan. Mungkinkah ianya untuk yang terakhir atau akan ada lagi percubaan seterusnya selepas itu.

Maka pasakan kepada slogan "ini kali lah" mengikat kedua-dua literatur yang disebutkan tadi iaitu untuk memastikan percubaan yang dilakukan pada sesi berkenaan menemui kejayaan dan seterusnya membuka suatu lembaran baharu selepas beberapa kali percubaan dan kegagalan sebelum ini yang seakan menghambat dan memberikan suatu pengalaman perit, namun apabila usaha pada percubaan untuk mengatasi kegagalan pada sesi berkenaan berjaya, maka perkara-perkara yang tidak digemari dek kegagalan lalu akan digantikan dengan suatu pengalaman yang lebih bermakna, hasil daripada kejayaan manis menafikan kegagalan lepas.

Saya ambil contoh mudah, iaitu yang telah saya berikan ialah kejayaan manis yang berlaku kepada rumah sukan saya. Pada tahun 2006, keputusan akhir kejohanan bukanlah suatu yang dinantikan, kerana ianya adalah saat kedukaan kepada ahli, guru dan atlet rumah sukan kerana kegembiraan adalah milik rumah sukan yang lain. Namun, apabila kesungguhan untuk melihat kejayaan rumah sukan itu berlaku pada tahun berikutnya hendak dicapai, maka tahun 2007 merupakan platform untuk memastikan impian dan harapan tersebut menjadi kenyataan. Tahun 2007 adalah penentu. Tahun 2007 adalah sejarah. Tahun 2007 ada pengubat duka yang lalu.

Maka apabila tahun 2007 datang, itulah saatnya. Itulah ketikanya. Itulah masanya untuk merealisasikan hasrat dan cita-cita untuk memadamkan kedukaan dulu. Fokusnya adalah pada pencapaian dan kejayaan, platformnya adalah kejohanan sukan pada tahun itu dan kuncinya adalah pada kesungguhan dari setiap ahli pasukan rumah sukan berkenaan. Inilah masanya !
 

Kemudian, pada penghujung 2012, saya mendengar semula laungan tersebut secara komersial diucapkan oleh beberapa pemimpin politik di Sabah. Saya menonton video-video yang terdapat di Youtube dan membaca dan meneliti artikel-artikel yang berkenaan yang telah menggunakan slogan "ini kali lah" secara meluas pada skala yang lebih besar saya kira, kerana ianya turut mempengaruhi sebilangan besar masyarakat bukan sahaja di Sabah, malah turut dirasai di semenanjung pada awal tahun 2013.

Di Sabah khususnya, "ini kali lah" dikomersialkan oleh para penyokong Pakatan Rakyat yang inginkan kemenangan pada pilihan raya umum (PRU) ke 13 dan seterusnya membawa suatu pembaharuan kepada rakyat Sabah dengan pertukaran kabinet kementerian Sabah seperti yang pernah berlaku pada beberapa kali sesi PRU yang lepas, tampuk kepimpinan tidak dikuasai secara mutlak oleh pemimpin Barisan Nasional kerana kekalahan dalam PRU.

Jadi, dalam konteks PRU13, tidak perlu saya hurai dengan lebih panjang lebar, kerana situasinya adalah lebih kurang sama dengan penggunaan frasa tersebut dalam kejohanan sukan tahunan itu tadi. Cuma, bezanya, Pakatan Rakyat khususnya di Sabah dan amnya di Malaysia masih belum mencapai kemenangan pada PRU13, rumah sukan saya menang :)




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...