Friday, January 18, 2013

MAHU JADI BAIK | Abaikan apa orang kata !

Bismillah, walhamdulillah..

Allahuma solli 'ala sayyidina Muhammad..

Assalamualaikum dan salam sejahtera rakan-rakan pembaca yang budiman.

Saya sangat gembira dapat bertemu dengan anda di ruangan ini..

Alhamdulillah syukur walau kita tidak bersemuka.



Antara perkara yang paling ditakuti oleh kita untuk cuba berjinak-jinak dengan sesuatu yang lebih baik ialah akan menerima respon orang lain. Banyak contoh situasi yang biasa berlaku.

1) "Eleh, baru pegi usrah sekali takkan terus jadi ustaz kot..."
2) "Assalamualaikum ustazah baru..sejak bila tukar profession ni..?"
3) "eh, boleh ke ko pegi sini, ko kan dah berubah..."
4) "yelah..orang tu kan dah berhijrah..tak layak berkawan dengan kita yang banyak dosa ni.."

dan macam-macam lagi lah..

Kemudian, kita yang baru mula untuk menuju ke arah kebaikan pula terasa seakan-akan perubahan itu menjadi satu benda yang forbidden, berat, menyusahkan, tidak layak dan sebagainya.

Saya tulis post ni sebenarnya untuk berkongsi sedikit pengalaman rakan-rakan yang telah berkongsi dengan saya dulu.

Seorang adik lepasan SPM pernah cakap.
"bermujahadah itu pahit, sebab ganjaran syurga itu sangat manis!"

Antara pelengkap kepada mujahadah itu ialah pasti adanya halangan yang memerlukan pertahanan dan penentangan, barulah boleh dikatakan mujahadah!

Hijrah dari sesuatu yang baik kepada yang lebih baik pasti memerlukan mujahadah yang sangat tinggi.

Jika hijrah kita diserang dengan pelbagai respon seperti yang dinyatakan tadi, itu adalah sebahagian kecil daripada halangan yang memerlukan pertahan dan penentangan.

Apa yang perlu dipertahankan ialah ketabahan hati dan semangat untuk terus kepada matlamat asal perubahan, ialah untuk mendekatkan diri kepada Allah dengan patut dan taat dalam menjalankan ketaatan meninggalkan larangan dan melaksanakan perintah dan suruhan.

Apa yang perlu ditentang pula ialah sikap negatif dalam diri sendiri yang jadi halangan utama kepada sampainya kita ke arah penghijrahan yang sudah ditetapkan matlamatnya, iaitu hidup untuk mencari ridho Allah dan ber'amal dengan syariat agama, disempurnakan dengan praktik sunnah Rasulullah SAW.

Kekuatan dan kelemahan yang sebenar ada dalam diri kita. Itulah kekuatan yang dinamakan kekuatan rohani atau spiritual. Kerana itulah Rasulullah SAW menyatakan bahawa jihad yang paling besar bukanlah peperangan, tetapi yang lebih besar daripada itu ialah jihad melawan hawa nafsu yang letaknya di dalam diri kita.

Tetaplah bersabar dengan segala spekulasi dangkal bagi mereka yang gemar kepada diskriminasi muhajirin. Doakan mereka supaya dikurniakan hidayah. 

Dan bersyukurlah kepada Allah SWT, kerana dikurniakan taufiq dan hidayah untuk terus cekal dan kuat untuk berdiri di atas kebenaran dan cara hidup yang disukai oleh Allah. 

Sesungguhnya, antara tanda Allah SWT sayang kepada hambaNya ialah dengan mempermudahkan kepada hambaNya untuk berada dalam kebaikan.

Allah sayangkan kamu yang sedia untuk menempuh apa saja yang datang hanya kerana ingin menggapai ridho Allah SWT.

Sirah terdahulu telah banyak mengisahkan kepada kita akan kisah orang-orang yang mati dibunuh dan hidup tersiksa hanya kerana mempertahankan aqidah mereka untuk mengesakan Allah SWT daripada mati dalam kekufuran.

Bilal bin Rabah, terus menyebut keesaan Allah SWT walau dihambat dengan cemeti, diletakkan batu yang berat di atas perutnya dan dibaringkan di tengah padang pasir dalam keadaan panas terik.

Sumaiyah, dibelenggu segala anggota kerana beriman kepada Allah SWT. Dia dipaksa untuk meninggalkan Islam oleh Abu Jahal. Namun dia enggan. Matinya Sumaiyah dalam keadaan dirinya tetap mengesakan Allah SWT.




Zainab Al-Ghazali, seorang tokoh muslimah pada zaman kegemilangan Islam di Mesir bersama gerakan Ikhwanul Muslimin. Dia dipenjara dan diseksa hanya kerana penglibatannya bersama-sama dengan Ikhwan.


Syeikh Ahmad Yassin, tokoh ulama' yang memimpin gerakan pembebasan Palestin, HAMAS syahid dibedil dengan peluru berpandu hingga pecah tengkorak kepalanya dan terkeluar otaknya. Israel yang tergugat dengannya bertindak untuk membunuhnya sebelum terbit fajar.

As-Syahid Imam Hassan Al-Banna, tokoh pengasas gerakan Ikhwanul Muslimin yang berjaya melaksanakan gerakan da'wah dengan bersungguh-sungguh hingga ceramahnya mampu menghimpunkan ratusan ribu manusia untuk mendengarnya. Beliau syahid dibunuh dengan perancangan yang sangat rapi, kerana ada pihak yang tergugat dengannya dan juga usaha da'wah yang dilakukannya sangat mempengaruhi orang ramai.


Sir Malcom X, tokoh Islam di Amerika Syarikat yang berkulit gelap dipenjarakan atas pelbagai tuduhan, hanya kerana mempertahankan kebenaran Islam dan Al-Quran. Diberikan dengan pelbagai gelaran yang tidak baik. Kesungguhannya menyebarkan Islam dalam komuniti masyarakatnya. Beberapa cubaan membunuh beliau dilakukan, antaranya dibaling dengan bom. Kematiannya berlaku kerana tembakan yang dikenakan ke atasnya ketika sedang berceramah.

Lihat sendiri bagaimana kehidupan orang yang memperjuangkan Islam itu sendiri sangat memerlukan mujahadah yang tinggi. Bukan mudah untuk mendapatkan ganjaran syurga dan keridhoan Allah SWT, kerana ia memerlukan kesungguhan untuk mendapatkannya, memeliharanya dan mempertahankannya.

Jika kita mula mendekatkan diri kepada Allah, kita dicemuh, diejek, diperlekehkan, itu hanyalah ujian yang sangat sedikit untuk dibandingkan dengan mereka yang diseksa dan menemui ajal hanya kerana ingin mempertahankan dan memperjuangkan aqidah dan Islam itu sendiri.

Asah senjata kita untuk melawan kelemahan yang ada pada diri kita dengan menyucikan hati, tajamkan sepenuh penyerahan diri dan hidup kepada Allah SWT dan insyaAllah dengan kekuatan rohani yang dimiliki itu mampu untuk dijadikan sebagai bekal untuk menghadapi rintangan dan halangan untuk kita terus melangkah dan menyempurnakan hijrah yang kita telah tetapkan matlamatnya itu untuk tercapai.

Berusahalah !


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...