Thursday, October 17, 2013

Persepsi buruk terhadap insan mulia bernama GURU



Pendahuluan.
Dalam perkembangan dunia yang pesat membangun pada ketika ini, pelbagai informasi terkini sangat mudah diperolehi, salah satunya ialah berita yang pelbagai. Ianya disalurkan melalui pelbagai medium elektronik seperti melalui internet, televisyen, radio, bahan bercetak seperti akhbar, risalah dan sebagainya. 

Tidak dinafikan berita-berita yang telah tersebar melalui media adalah datang dari pelbagai sumber dan sudut pendapat yang berbeza, namun begitu, pengaruhnya terhadap masyarakat dilihat sangat membimbangkan, khususnya dalam pendokumentasian isu yang melibatkan guru. 

Hal ini akan membawa seribu satu persoalan, persepsi dan pandangan dari pelbagai sudut, baik positif dan juga negatif,  terutamanya terhadap profesion perguruan khususnya dan kepada guru amnya.

Guru dan Profesion Perguruan.
Guru.
Adapun pendapat umum berkenaan definisi guru ialah seorang yang mengajarkan sesuatu ilmu kepada murid atau pelajar di setiap peringkat usia dan tingkat tahap pendidikan itu sendiri. Ragbir Kaur (2007), mendefinisikan guru adalah sebagai insan yang mendidik murid dalam pelbagai ilmu pengetahuan dan kemahiran daripada pelbagai disiplin dalam kurikulum sekolah, manakala Mok Soon Sang (2007) mena’rifkan guru adalah pendidik dan pengasuh kanak-kanak yang akan menjadi warisan kebudayaan dan ilmu pengetahuan untuk kemajuan Negara pada masa depan.

Profesion Perguruan.
Merujuk kepada Kamus Dewan (1989), perkataan ‘Perguruan’ yang diertikan dalam konteks pendidikan ialah ‘pengajaran’, contohnya perguruan kepada guru, murid dan sebagainya, manakala perkataan ‘keguruan’ pula diertikan sebagai ‘perkara yang berkaitan dengan guru’, seperti peranan, tugas, kelayakan, sifat dan lain-lain perkara sebagai guru, misalnya masyarakat memandang tinggi kepada nilai keguruan yang ada pada seorang guru, yang menjelaskan tentang ciri-ciri serta sahsiah yang dimiliki oleh guru pada perkataan keguruan yang dinyatakan.

Profesion memiliki maksud yang sangat luas khususnya dalam aspek pekerjaan. Ianya membawa dimensi dan penilaian yang berbeza antara suatu pekerjaan dengan pekerjaan yang lain dalam konteks standard dan impak terhadap individu yang terlibat dalam pekerjaan tersebut. 

Dalam menghuraikan sama ada sesuatu pekerjaan itu boleh diklasifikasikan sebagai profesion atau tidak, tokoh pendidikan Amerika Syarikat, Lieberman telah menggariskan beberapa ciri-ciri tertentu, seperti yang berikut:

-Pekerjaan itu merupakan perkhidmatan yang unik dan penting.
-Banyak menggunakan keupayaan intelek.
-Pakar dalam bidangnya dan mempunyai autonomi semasa menjalankan tugas.
-Mendapat latihan khusus.
-Mementingkan mutu perkhidmatan serta dedikasi terhadap kerja.
-Merupakan ahli kepada autonomi yang menentukan nilaitaranya.
-Mematuhi kod etika yang ditentukan oleh organisasi.
-Bertanggungjawab terhadap semua keputusan yang telah diambil.

Dalam menjelaskan makna sebenar konsep profesion perguruan, ada baiknya ia dinilai daripada dua sudut pandangan yang berbeza agar ianya dapat didefinisikan dengan lebih efektif dan mudah untuk difahami. Awang Had Salleh (1980) memperihalkan bahawa perguruan adalah lebih mirip kepada pekerjaan berbanding profesion. 

Mok Soon Sang (1996) telah meringkaskan konsep profesionalisme dalam kalangan guru sebagai suatu pekerjaan khusus dan dijalankan oleh orang yang mempunyai kelulusan dan latihan ikhtisas yang cukup bermutu, bersikap jujur, dedikasi, berakauntibiliti dan bermoral tinggi, mempunyai autonomi bertugas serta mematuhi kod etika yang ditentukan oleh organisasinya. 


Kedua-dua pendapat ini telah menggambarkan secara ringkas konsep profesion perguruan dan menjelaskan bagaimana perguruan itu sendiri dianggap sebagai suatu profesion yang mempunyai standard yang tersendiri.
Etika Keguruan.
Harold Koontz & Heinz Weihrich (1990) menjelaskan etika adalah sebagai satu cabang ilmu pengetahuan yang meliputi perkara yang baik dan tidak baik seiring dengan kewajiban dan tanggungjawab moral. 
Dalam erti kata yang lain,etika adalah panduan dan ketetapan yang telah digariskan terhadap setiap perlakuan untuk memastikan matlamat yang ingin dicapai dapat diperolehi seperti yang telah ditetapkan. Sebagai contoh, dalam konteks ingin membentuk sahsiah yang terpuji dalam diri seorang guru, adalah menjadi satu tenggungjawab bagi seorang guru untuk mempraktikkan etika keguruan dalam diri masing-masing bagi dalam usaha untuk mencapai hasrat untuk menjadi guru yang mempunyai sahsiah yang terpuji.

Isu Etika Keguruan.
Namun begitu, sejak kebelakangan ini, kita telah banyak menyaksikan pelbagai isu negatif yang telah menafikan akauntibiliti dan etika keguruan dalam kalangan guru pada masa kini.
Bukan sekali berita yang telah memaparkan kes tindakan salah laku guru disiarkan. Lebih membimbangkan lagi, peratus berlakunya isu yang melibatkan etika keguruan yang tidak menyenangkan tidak menunjukkan tanda-tanda penurunan, malah graf pada statistik kajian ke atas perkara ini memaparkan lonjakan angka yang menggambarkan betapa parahnya isu etika keguruan yang sedang berlaku. 
Sepanjang tempoh bermula dari bulan Januari hingga Mei dalam tahun 2007, lebih 200 aduan telah diterima oleh pihak Kementerian Pelajaran berkenaan kes salah laku yang melibatkan guru. Terdapat beberapa jenis kesalahan utama yang telah dikenalpasti dalam aduan-aduan yang telah dibuat, seperti rasuah, tidak hadir bertugas, gangguan seksual, pecah amanah, penyalahgunaan dadah dan sebagainya. Berikut merupakan analisis jumlah peratus kesalahan yang telah dilaporkan.



Rajah 1 : Peratus bilangan kesalahan pelbagai guru yang dilaporkan dalam bulan Januari hingga Mei 2007.

200 aduan yang diterima dalam tempoh 5 bulan bukanlah jumlah yang sedikit, kerana mungkin masih terdapat lebih banyak lagi kes yang melibatkan isu etika keguruan yang negatif  tidak diadukan kepada pihak yang berkenaan seperti pihak Kementerian Pelajaran dan juga Polis Diraja Malaysia. Besar kemungkinan peratus angka yang dicatatkan dalam Rajah 1 akan meningkat sekiranya tidak ada usaha untuk cuba mengatasi dan mengurangkan kadar berlakunya kes salah laku yang membabitkan etika keguruan yang tidak baik.

Dalam akhbar-akhbar harian tempatan, baik dalam bentuk akhbar bercetak dan juga akhbar yang diakses melalui internet, setiap terbitan yang terkini tidak pernah lekang dengan topik kebejatan etika keguruan. Berkesinambungan dengan analisis aduan yang terdapat di dalam Rajah 1. Berikut merupakan tajuk-tajuk utama berita, melibatkan etika keguruan yang terdapat di media massa dari tahun 2008 sehingga ke hari ini :



Implikasi Isu Terhadap Akauntabiliti Keguruan dan Integriti Guru.




Gambar 1 : Perbezaan antara dua zaman berkenaan tindakan guru dan ibu bapa murid
 
Contoh-contoh berita yang telah disiarkan dan juga berdasarkan pengalaman saya sendiri berada di sekolah adalah merpuakan bukti yang kukuh, bahawa isu etika keguruan yang semakin membarah dan berpotensi tinggi untuk menularkan kesan-kesan sampingan yang pelbagai kepada pelbagai pihak, khususnya terhadap akauntabiliti dan integriti keguruan, ekoran daripada tindakan guru yang menyalahi etika keguruan.

Komik yang dipaparkan dalam Gambar 1 menunjukkan dua situasi dan latar belakang masa yang berbeza, namun mempunyai tema yang sama, iaitu tindakan guru terhadap murid serta respon dari  ibu bapa murid terhadap tindakan guru. Apa pun tindakan yang dilakukan oleh seorang guru, ianya tidak boleh dipisahkan dengan akauntabiliti keguruan.

Menurut Kamus Pelajar Edisi Kedua, akauntabiliti bermaksud sifat bertanggungjawab terhadap seseorang atau sesuatu keputusan atau  tindakan manakala Kamus Dewan Edisi Keempat menerangkan maksud integriti, iaitu kejujuran, ketelusan dan menjaga sesuatu daripada perkara yang melibatkan penyelewengan. 

Dalam konteks akauntabiliti keguruan dan integriti guru pula, ianya merujuk kepada tanggungjawab dan komitmen yang tinggi terhadap profesion perguruan dalam beberapa komponen utama, iaitu akauntabiliti terhadap murid, ibu bapa, rakan sejawat, masyarakat dan negara serta profesion perguruan, serta pembudayaan nilai integriti keguruan dalam kalangan guru.

Walaupun begitu, isu-isu yang melibatkan etika keguruan yang sangat banyak berlaku pada hari ini telah menjejaskan akautabiliti guru. Secara amnya, isu yang membabitkan etika keguruan telah melunturkan akauntabiliti yang ada dalam diri guru yang tidak terlibat dengan sebarang kes salah laku tersebut atas persepsi umum yang dibuat oleh masyarakat.

Apabila persepsi negatif ditujukan kepada akauntabiliti keguruan, maka segala tindakan yang dilakukan oleh guru akan mendapat respon yang pelbagai khususnya daripada ibu bapa dan masyarakat amnya. 

Sebagai contoh, apabila seorang guru yang sangat mematuhi kod etika profesion perguruan dan melaksanakan akautabilitnya sebagai guru memberikan teguran dan nasihat dengan tegas kepada muridnya supaya menyiapkan latihan secara lisan. Apabila hal itu sampai kepada pengetahuan penjaga murid berkenaan, maka  guru tersebut telah didakwa atas kesalahan melakukan kekasaran terhadap anaknya, atas persepsinya yang tidak begitu baik terhadap akautabiliti keguruan yang ada pada guru secara amnya.

Di samping itu, lunturnya integriti yang ada pada seorang guru kesan daripada isu seperti hadir lewat ke sekolah. Ianya bukan sahaja akan mengakibatkan hilangnya kepercayaan dan rasa hormat terhadap rakan sejawat dan murid-murid, bahkan secara tidak langsung akan melambatkan aspek pengurusan dan pengelolaan. Pelan Integriti Nasional telah menggariskan 5 objektif khusus, salah satu darinya ialah menggalakkan semangat bertanggungjawab di kalangan anggota masyarakat serta mendorong perkembangan masyarakat sivil yang menjunjung prinsip integriti dan bergerak cergas menegakkan integriti. 

Selain itu, kualiti pembelajaran murid juga akan turut terkesan akibat daripada etika guru yang telah menjejaskan akauntabiliti keguruan itu sendiri. Sebagai contoh, murid yang menjadi mangsa kepada guru yang tidak mengamalkan kod etika keguruan serta menjalankan akauntabilitinya sebagai guru akan merasa mereka seolah-olah guru berkenaan garang dan susah untuk didekati. 

Maka, sekiranya murid berkenaan mengalami masalah, murid tersebut tidak berani untuk berjumpa dengan guru itu kerana takut kepada guru tersebut.

 Harus diingat bahawa, hal seperti ini adalah penyumbang utama kepada jatuhnya akauntibiliti profesion perguruan dalam kaca mata masyarakat pada hari ini, lebih-lebih lagi dengan tersiarnya berita-berita negatif berkenaan isu keguruan di segenap sumber media massa.


Gambar 2 : Kes salah laku guru berada di tempat tertinggi dalam Google Search Engine.
Marshall Mc Luhan (1983) yang menulis buku Media is the Message menjelaskan bahawa media lebih berkesan dalam menentukan isi kandungan maklumat, kerana media itu sendiri yang berperanan dalam menyampaikan maklumat. Sejauh mana maklumat itu dapat disebarkan, sejauh itulah luasnya masyarakat akan menerimanya dan bagaimana impaknya pada masyarakat itu, ditentukan oleh media itu sendiri. 

Maka dalam konteks ini, masyarakat yang menerima maklumat secara cepat dan meluas secara tidak langsung akan dipengaruhi oleh kandungan media itu sendiri. Melihat kepada jumlah kes jenayah dan salah laku berkenaan isu etika keguruan yang disiarkan di media massa, sedikit sebanyak ianya mampu mengubah persepsi masyarakat terhadap profesion perguruan, daripada persepsi yang baik, kepada yang sebaliknya.

Media massa lebih banyak dan kerap memaparkan kes-kes negatif yang melibatkan etika keguruan berbanding menyiarkan perkara-perkara yang positif. Hal ini perlu dipandang serius oleh pihak-pihak yang berkenaan, seperti pihak media, pihak kementerian dan organisasi di sekolah itu sendiri untuk cuba menggiatkan usaha untuk mengangkat dan meningkatkan semula martabat profesion perguruan yang kian terjejas dari hari ke hari. 


Cadangan Langkah-langkah Menangani Isu.
Memperkasakan konsultansi antara pihak sekolah & ibu bapa.
Apabila rasa tidak puas hati para ibu bapa terhadap tindakan guru, memfailkan saman adalah tindakan yang selalu diambil untuk menyelesaikan masalah.

Senario ini telah acap kali berlaku pada hari ini, sehingga ianya dibawa ke sidang parlimen. Bekas Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Hon Choon Kim  telah menyatakan bahawa guru mempunyai tanggungjawab yang amat berat dalam mendidik. Sekiranya mereka melakukan sesuatu yang telah menimbulkan perasaan tidak puas hati ibu bapa, perkara itu tidak perlu dibawa ke mahkamah, sebaliknya dibawa berbincang secara baik.

Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) adalah salah satu medium terbaik untuk menghubungkan antara ibu bapa dan juga guru. Perancangan untuk mewujudkan kesefahaman dan kerjasama antara dua pihak ini perlu diperkemaskan untuk memastikan tidak berlaku salah faham serta terjalinnya hubungan yang baik antara pihak sekolah, khususnya guru-guru dan ibu bapa.

Melibatkan guru-guru dengan kursus-kursus yang berkaitan.
Kursus atau seminar adalah antara mekanisme terbaik untuk mendapatkan ilmu serta meningkatkan kemahiran-kemahiran yang pelbagai. Ianya bukan sahaja boleh dilakukan di sekolah, malah penganjuran kursus ini turut dilakukan oleh pihak kementerian di setiap peringkat untuk disertai oleh guru-guru. 

Sebagai contoh, inisiatif yang baik telah diambil oleh kerajaan negeri Selangor dengan penganjuran Bengkel Sumbang Saran hala Tuju Pendidikan. 



Menggiatkan program yang berfokuskan kepada guru.
Guru adalah merupakan model terbaik untuk dicontohi oleh murid. Noriati A. Rashid (2010) berpendapat bahawa, guru-guru yang mempamerkan ciri-ciri penampilan yang sesuai dimodelkan supaya tidak bertentangan dengan etika guru. Justeru itu, mempergiatkan program yang mampu membentuk peribadi dan sahsiah yang baik perlu dilaksanakan di setiap peringkat. Antara contoh program yang boleh dilakukan ialah seperti Program Guru Penyayang, Anugerah Guru Contoh Mingguan, Program Anak Angkat dari kalangan murid, lawatan atau riadah bersama rakan sejawat.

Program-program seperti ini dapat memupuk para guru untuk memiliki nilai murni dalam kalangan guru, sekaligus mengurangkan sikap yang kurang baik. Myint (2005) menyatakan bahawa guru perlu mengurangkan emosi-emosi negative apabila berada dalam kalangan murid.

Sentiasa mengamalkan budaya cakna dalam kalangan guru.
Budaya cakna ini lebih sesuai sekiranya ia dapat dilaksanakan bertujuan untuk memberi ruang dan peluang kepada guru-guru untuk sentiasa memberi perhatian serta mengikuti segala garis panduan dan arahan yang telah diberikan untuk melaksanakan sesuatu tindakan. Sebagai contoh, untuk menyelesaikan masalah disiplin dalam kalangan murid, guru yang berkenaan perlu melakukannya berdasarkan garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak kementerian dengan merujuk terlebih dahulu kepada tatacara yang telah ditetapkan dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 7 Tahun 20133,Pelaksanaan Standard Operating Procedure (SOP) 1:3:7, Pelaporan dan Tindakan Menangani Isu Disiplin Murid.


Gambar 3 : Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 7 Tahun 2013

Selain itu, budaya cakna ini boleh dilakukan secara berperingkat dan diadakan samada secara berkala atau harian. Sebagai contoh, setiap kali perjumpaan atau mesyuarat, aka nada slot perkongsian untuk menjelaskan tentang kandungan pekeliling atau garis panduan yang tertentu.

Kesimpulan Penting.

Perlu difahami dengan jelas bahawa, kerjaya guru bukanlah suatu kerjaya yang sembarangan. Ia merupakan ibadah yang tinggi darjatnya di sisi Allah SWT dan sebahagian daripada modal yang paling kukuh untuk menjadi syarat melangkahkan kaki ke dalam syurga yang dijanjikan kepada hamba Allah yang benar-benar layak atas amalan yang telah dilakukan.

Pendidik, kontribusinya kepada umat tidak dapat dikira dengan angka, tidak dapat diukur dengan nilaian manusia, sekalipun adanya anugerah-anugerah khusus yang diberikan. Dari hidup sehingga matinya pun, pahala kepada amal kebaikannya terus dikira, apabila ilmu yang telah dicurahkan kepada murid-murid dan segala kebaikannya kepada masyarakat dan umat terus dimanfaatkan.

Jika anak Adam meninggal, maka amalnya terputus kecuali dari tiga perkara, sedekah jariyah , ilmu yang bermanfaat, dan anak soleh yang berdoa kepadanya.''
(HR Muslim).



Dalam riwayat Ibnu Majah, Rasulullah SAW menambahkan tiga amal di atas, Rasulullah SAW bersabda, 

"Sesungguhnya amal dan kebaikan yang terus mengiringi seseorang ketika meninggal dunia adalah ilmu yang bermanfaat, anak yang dididik agar menjadi orang shaleh, mewakafkan Alquran, membangun masjid, membangun tempat penginapan bagi para musafir, membuat irigasi, dan bersedekah". 
(HR Ibn Majah).
  

Oleh yang demikian, seharusnya, seorang guru itu, memiliki sifat yang sebenar-benarnya selayak seperti seorang pendidik, mempunyai nilai dan sahsiah yang tinggi.


Rujukan.
1) Awang Had Salleh (1980). Keguruan dan Perguruan di Malaysia : Keperihalan Kini dan Arah yang dituju. Johor Bahru, KONPEN V Publications.

2) Dr. Ragbir Kaur a/p Joginder Singh, (2007) Panduan Ulangkaji Pendidikan Untuk KPLI Sekolah Menengah dan Sekolah Rendah, Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd. 

3) Haliza Hamzah (2009), Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku, Shah Alam: Oxford Fajar Sdn Bhd.

4) Harold Koontz & Heinz Weihrich (1990), Pethinking The Professional of Teaching in Teacher Education Journal Vol XII, No.1.

5) Howard, G. R. (2007), ‘Dispositions for Good Teaching’, Journal of Educational Controversy, Ogos 2007.

6) Mok Soon Sang (2007), Pengantar Teras Pendidikan, Kuala Lumpur, Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.

7) Myint, S.K (2005), Classroom Management : Facilating and Learning, Singapura : Pretince Hall.

8) Noriati A. Rashid (2010) Asas Kepimpinan dan Perkembangan Profesional Guru, Shah Alam: Oxford Fajar Sdn Bhd.

9) Stewart, P. & Davis, S. (2005), ‘Developing Dispositions of Preservice Teachers Through Membership in Professional Organizations’, Journal of Authentic Learning, Vol.2 (1), September 2005.

10) Syed Ismail & Ahmad Subki (2013) Asas Kepimpinan & Perkembangan Profesional, Selangor, Penerbitan Multimedia Sdn Bhd.

11) Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 7 Tahun 2013,Pelaksanaan Standard Operating Procedure (SOP) 1:3:7, Pelaporan dan Tindakan Menangani Isu Disiplin Murid.

12)
http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2007/11/15/TERKINI/Mutakhir/Ibu_bapa_digesa_tidak_saman_guru&sec=mstar_berita

13)

14)

15)

16)

17)

18)
 




 

5 comments:

  1. Tuan jazakallah ... atas perkongsian ini, sangat berguna untuk saya yang tengah buat thesis tentang akauntabiliti guru, syukran sekali lagi dan mohon izin untuk berkongsi sebahagian daripada maklumat.

    ReplyDelete
  2. Alhamdulillah, semua hasil tulisan ini adalah dirujuk juga dari sumber yang lain. Semoga bermanfaat.

    ReplyDelete
  3. Assalam cikgu. Saya merupakan pelajar PhD yang sedang membuat kajian berkenaan guru. pertama sekali sy ingin mengucapkan tahniah kerana cikgu telah menghasilkan sebuah penulisan yang amat informatif dan berkesan sekali. Saya mohon untuk menggunakan maklumat Tuan ini didalam tesis saya. Saya juga memerlukan pertolongan cikgu disini..boleh tak cikgu emel kan kepada saya dari manakah sumber peratus kesalahan guru dan juga sumber senarai media yang melaporkan guru. Amat sukar bagi saya untuk mencari maklumat yang penting ini terutama nya peratusan terkini 2013. nurnazirah293@gmail.com

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikumussalam, saya cuma buat graf pada Rajah 1 berdasarkan maklumat kasar daripada ruangan ini :

      http://perkhidmatanawam.blogspot.com/2007/06/dewan-rakyat-200-aduan-salah-laku-guru.html

      Delete
    2. Link berita-berita laporan kes salah laku guru juga telah saya lampirkan di post ini,

      Delete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...