Friday, April 12, 2013

Tausiyah Habib Salim bin Umar bin Muhammad Benhafidz




Habib Ali Zainal Abidin,
Pembimbing Majlis Ta'lim Darul Murtadza


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ

Majlis Ta'lim Darul Murtadza (MTDM) yang diadakan pada setiap hari Jumaat selepas solat isya', bertempat di Masjid Muadz bin Jabbal, Setiawangsa adalah salah satu sesi pengajian/kuliah mingguan yang dipimpin oleh Habib Ali Zainal Abidin yang membincangkan tentang tafsir surah Al-Quran, Kitab Riyadhus Solihin, Kitab Peringatan Tentang Umur Insan dan Bidayatul Hidayah.

Pengajian 12 April 2013 turut dihadiri oleh beberapa orang habaib dari Hadramaut, Yaman dan salah seorang dari habaib memberikan tausiyah selepas pengajian dari Habib Ali Zainal Abidin selesai.

Habib Salim bin Umar bin Muhammad Benhafidz, merupakan anak kepada Habib Umar Bin Hafidz, banyak memberi penekanan tentang kelebihan berada di dalam majlis ilmu dan majlis zikir serta bercerita tentang perihal Muadz bin Jabbal.

Majlis ini adalah perkara yang diwariskan oleh Rasulullah SAW, baginda tidak mewariskan kepada umatnya harta yang banyak atau perkara materi yang lain. Maka barangsiapa yang hadir dalam majlis seperti ini, dia telah mengambil sebahagian daripada apa yang telah diwariskan oleh Rasulullah SAW.

Setiap zaman/tempat akan diadakan perhimpunan-perhimpunan untuk perkara yang tertentu, sama ada diadakan di padang-padang yang terbentang luas, di atas jalanraya, di dalam bilik dan sebagainya. Namun kita berhimpun dalam majlis ini untuk mendapatkan apa yang telah diwariskan oleh baginda Rasulullah SAW yang telah dianjurkan oleh Allah SWT, di tempat yang mulia, di rumah Allah SWT.

Agungnya pertemuan ini, di tempat yang dimuliakan oleh Allah SWT dan kita mengambil apa yang telah diwariskan oleh Rasulullah SAW serta didatangi oleh para malaikat.

Kalau dibuka hijab untuk kita, akan kelihatan malaikat duduk bertingkat-tingkat setinggi langit dan jika kita tahu akan perkara ini, kita tidak akan beredar dari majlis ini kerana sedapnya berada di dalamnya.

Dalam majlis ini, jika kita berdoa, malaikan akan mengaminkan doa kita dan menjadi syafaat kepada kita di hadapan Allah SWT kelak.

Selepas kita bersurai dari majlis ini, akan dihadiahkan kepada kita akan keampunan daripada dosa dan kemudian akan digantikan dengan kebaikan.

Wallahu a'lam..

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...