Tuesday, March 12, 2013

Trivia Sujud

Bismillah, sedikit perkongsian daripada kuliah mingguan di masjid.
Maaf jika terlalu banyak kekurangan, kerana tidak sempat untuk menulis dengan laju.
Harap dengan apa yang ada, kita boleh kaji lagi dan perluaskan bacaan dan pengajian agar ianya akan jadi lebih jelas dan mudah kita fahami dan amalkan, insyaAllah ~

Saya datang sedikit lewat beberapa minit pagi itu, kerana saya menunaikan solat subuh di tempat lain sebelum ke masjid itu. Kalau saya tidak silap, kitab yang dihuraikan ialah Safinatun Najah.



Pada pagi itu, khusus membincangkan tentang sujud. Saya pernah ikuti kuliah sebelum ini, hampir sejam setengah, hanya membincangkan tentang salam dalam solat. Tapi sayang pada ketika itu, saya tidak tahu ada pengajian dan saya tidak membawa buku & pen untuk membuat catatan.

Banyak dalil dan sanad yang saya tidak sempat tuliskan, diambil dari kitab mana, dikatakan oleh siapa dan dalam hadis yang mana, saya mohon maaf, kerana kelemahan saya adalah untuk menulis dengan baik dan cepat dalam keadaan masa yang singkat.

Adapun sujud ini adalah sebahagian daripada juzuk yang melengkapkan ibadah solat yang kita lakukan. Sekiranya tiada sujud, maka tidaklah sah solat kita.

Sujud tergolong dalam rukun fi'li, iaitu rukun perbuatan.

Makna sebenar sujud ialah tetap dan condong, atau dalam erti kata lain mengikut konteks solat, sujud bererti kita tunduk merendah diri dalam penuh kehinaan sebagai seorang hamba menyembah tuhan.

Selain itu, makna umum bagi sujud itu dalam konteks solat juga adalah menghantarkan sebahagian  dahinya ke tempat solat (tempat sujud).

Diulangkan perbuatan sujud itu tidak seperti perbuatan lain dalam setiap rakaat adalah kerana sujud itu lebih menyampaikan kita kepada tawadhu.

Orang yang menunaikan solat, apabila ia berdiri, kemudian sujud untuk kali pertama, bermakna ia telah melaksanakan penghujung khidmat, kemudian diizinkan untuk duduk antara dua sujud, kemudian sujud lagi untuk kali kedua.

Sujud yang pertama tadi disebutkan sebagai penghujung khidmat, iaitu menyempurnakan keseluruhan segala pergerakan untuk setiap rakaat, yang disudahi dengan sujud yang pertama, kemudian diikuti dengan duduk antara dua sujud, kemudian sujud yang kedua sebelum meneruskan kepada khidmat rakaat yang seterusnya adalah sujud sebagai tanda rasa syukur kepada Allah SWT.

Berdoa dalam sujud juga dibolehkan, doa yang baik dan dalam bahasa arab sebaiknya.

Adapun perbuatan sujud sebanyak dua kali ini adalah kerana kita mengikut cara dan perbuatan baginda Rasulullah SAW solat.

Sujud itu ada 7 syaratnya:

1) Sujud yang melibatkan 7 anggota sujud.

1) Dahi
2) Tapak tangan 1
3) Tapak tangan 2
4) Lutut 1
5) Lutut 2
6) Jari kaki 1
7) Jari kaki 2


2) Dahi wajib dalam keadaan terbuka.
Tidak ada sesuatu pun menghalang daripada kulit bahagian dahi mengenai tempat sujud. Biasanya, bagi lelaki, ada yang memakai serban/kopiah/songkok menutupi dahi dan menyebabkan mereka sujud di atas penutup kepala mereka, bukannya mempertemukan dahi pada tempat sujud. Naikkan sedikit penutup kepala yang disebutkan tadi untuk membuka ruang yang luas kepada kulit dahi kita agar ianya bersentuhan dengan tempat sujud.

3) Memberatkan kepala daripada anggota lain ketika sujud.
Ini bermaksud, ketika sujud, kepala diutamakan sebagai anggota yang menampung berat sekalian badan, walaupun pada hakikatnya 6 anggota yang lain juga mengenai tapak tempat solat. Namun, prioriti adalah kepala untuk menanggung berat.

Sebagai perumpamaan dalam hal ini, sujud kita itu dianggap sempurna dan memadai dengan andaian apabila kita sujud, dahi yang kita letakkan di tempat sujud itu mampu menjadikan segumpal kapas yang kecil penyek. Harus diingat, bukan segenggam, segumpal kecil.

Disebutkan oleh penceramah, seperti kapas yang digunakan untuk menyapu losyen kuning pada luka, yang saiznya seperti kita mempertemukan ibu jari dengan jari telunjuk kita (maka terbentuklah satu bulatan kan?)

4) Tidak ada perkara lain yang memalingkan niat untuk sujud.
Sujud adalah sebahagian daripada juzuk solat. Jika turun sujud bukan kerana solat, tetapi turun sujud dengan niat lain, seperti ada nyamuk sedang hinggap di kepala kita, kita mahu sujud untuk menghalau nyamuk itu dari kepala kita, turun sujud kerana ingin mengambil barang yang terjatuh. Pendek kata, turun sujud bukan dengan niat untuk menyempurnakan pergerakan solat.

5) Tidak sujud di atas sesuatu yang tertanggung yang bergerak dengan kita.
Makna kita di sini ialah tubuh badan kita yang bergerak. Penceramah memberikan beberapa contoh yang mudah, iaitu sujud yang tidak sah ialah apabila kita sujud di atas ekor serban yang panjang, kemudian ekor serban itu menghalang dahi kita daripada bertemu dengan tempat sujud. Selain itu, ketika kita sujud, sekeping kertas tiba-tiba melekat di atas dahi kita apabila kita sujud. Sah bagi sujud yang pertama, kerana ketika itu, kertas tersebut tidak bergerak bersama kita lagi. Apabila kertas itu melekat di dahi kita, maka tidak sah lagi untuk sujud yang kedua kerana kertas itu bergerak bersama kita dan ia menghalang daripada dahi kita menyentuh tempat sujud.

Adapun perkara yang dibolehkan pula yang disebutkan oleh penceramah ialah benda yang tidak bergerak bersama kita, tetapi ianya sebahagian dari kita. Contohnya orang perempuan yang tidak ada sejadah, kemudian, kain yang dipakainya panjang dan boleh dijadikan sejadah/lapik dibolehkan, kerana ia tidak bergerak bersamanya seperti kertas tadi. Kain itu dalam kedudukan tetap.

6) Mengangkat anggota yang rendah daripada anggota yang lain.
Dalam hal ini, beberapa anggota perlu diangkat daripada anggota sujud yang terlibat, seperti punggung, siku dan tumit.

7) Dilakukan dengan tertib.
Dalam setiap sujud yang dibuat, gerakan perlulah ada toma'ninah atau disebut jeda bagi setiap pergerakan, agar solat kita dilakukan dalam keadaan yang tenang dan tidak terburu-buru.

Harap dengan sedikit perkongsian ini, ada yang boleh diambil sebagai pengajaran dan juga diamalkan, serta dijadikan sebagai salah satu perkara yang perlu dipelajari bagi memahaminya dengan lebih baik lagi, kerana saya yakin, masih banyak perkara lagi yang perlu ditambah dalam perkongsian ini, juga memerlukan sebarang pembetulan sekiranya ada kesilapan.

Wallahu ta'ala a'lam ~

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...