Friday, March 29, 2013

Kontroversi | Projek jurutera & arkitek terbongkar !

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

 اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Sudah terang lagikan bersuluh !
Akhirnya terbongkar juga !

Apa cerita sebenarnya ni?


Ceritanya begini.

InsyaAllah aku cuba kaitkan apa yang berkaitan supaya semuanya berkait rapat antara satu sama lain.
Aku, atau kita semua, mesti pernah melalui situasi bila mana hendak menunaikan solat di salah sebuah premis yang terletak di tengah-tengah kawasan bandar yang jaraknya sangat jauh dengan masjid. 

Pada ketika itu, aku berada di Kota Kinabalu (KK). Mungkin banyak surau atau tempat solat berdekatan yang aku tidak tahu di mana tempatnya, kerana, boleh dikatakan aku pergi ke KK tidak lebih daripada 4 kali dalam setahun. Itu pun mungkin sekadar lalu sahaja tanpa menjejakkan kaki atau sekadar singgah beberapa minit untuk urusan yang perlu diselesaikan dengan segera.

Masjid yang ada di KK kalau aku tidak silap ada 2 masjid yang utama, Masjid Bandaraya Kota Kinabalu dan Masjid Negeri. 



Jaraknya agak jauh juga jika berjalan kaki daripada pusat bandar sekiranya kita berada di KK untuk tujuan membeli-belah, terutamanya di kawasan Centre Point. 

Namun begitu, ianya tidak menjadi masalah besar sekiranya kita ada kenderaan sendiri, tapi kesesakan lalu lintas pula yang mungkin menjadi masalah besar.

Baiklah.
Aku kembali kepada cerita aku tadi.


Aku dan keluarga singgah sebentar makan ABC di bawah jejantas KK Plaza & Pasar.
Aku lihat jam, sudah hampir 4.30 petang. Aku masih belum lagi solat Zuhur kerana perjalanan yang agak jauh dari rumah dan aku niatkan untuk menjamaknya dengan solat Asar bila tiba di KK. 

Habis semangkuk ABC, aku beritahu keluargaku untuk beredar sekejap untuk solat. Aku tanya mereka, di mana tempat solat yang terdekat di sini? Respon yang baik, kakakku memberitahu "di KK Plaza dan di Pasar ada tempat untuk solat, cari sendiri."

Aku ke KK Plaza, mencari-cari di mana tempat solat yang dimaksudkan.
Eskalator seakan bosan melihat aku.
Aku tanyakan kepada beberapa orang peniaga di situ, peniaga tasbih dan juga pegawai keselamatan.
Mereka berkata, "di sini surau sudah tiada, kalau mau sembahyang, pegi pasar sana, di situ ada surau kecil."



Aku ke pasar.
Aku tidak mahu membuang masa, aku terus bertanya kepada seorang makcik peniaga kain.
"Surau ada di hujung sana dik, sebelah belakang, jalan terus, masuk kiri."

Alhamdulillah, akhirnya jumpa juga!
 Sebuah ruang solat kecil yang sangat besar manfaatnya!


Allahu Akbar..

Sebuah ruangan kecil yang menempel di sebuah banguan besar yang berdiri megah di tengah kesibukan kota, menjadi ruang kepada manusia beribadah dan ingat kepada Allah, sedangkan dalam masa yang sama, berderet bangunan besar dan tinggi yang lain, namun sangat sukar dicari tempat yang seperti ini.

Mungkin aku perlu lebih rajin meronda KK selepas ini untuk mencari lebih banyak lagi tempat solat, supaya di lain masa nanti, tidaklah aku dan keluarga sukar untuk mencari tempat solat.

Itulah serba sedikit muqaddimah cerita yang akan aku kaitkan dengan jurutera dan arkitek.

Baik.

Dalam hal seperti inilah, perlunya kepada seorang Muslim yang professional yang sedia untuk menggunakan kepakaran yang dimiliki untuk dimanfaatkan kepada Islam dan mengajak manusia kepada mengingati Allah SWT dan mengamalkan segala tuntutan dan meninggalkan larangannya.

Dalam satu progam bersama persatuan mahasiswa Sabah di semenanjung yang dikenali sebagai Markaz Siswa Siswi Islam Sabah (MARSIS), aku tertarik dengan satu slot yang bertajuk kalau aku tidak silap, 'Sabah 10 tahun akan datang'. 

Seperti biasa, kaedah marker pen & mahjong paper digunakan, dan LDK itu meminta semua peserta melakarkan pelan pembangunan Sabah dalam masa 10 tahun ke depan.

Bermacam-macam jenis pembangunan dapat dilihat daripada beberapa kumpulan yang telah membuat pembentangan. Ada yang ingin memperkasakan pembangunan dari aspek pendidikan, pertahanan, ekonomi, infrastruktur dan juga pelancongan.

Tiba giliran kumpulan aku membentang hasil lakaran kami.
Seperti biasa, setiap dari kami akan menerangkan idea masing-masing yang disatukan dalam satu lakaran. Kemudian, tiba masa untuk aku membuat rumusan keseluruhan daripada hasil pembentangan kumpulan kami dan seterusnya memberikan respon kepada ahli kumpulan lain yang memberikan soalan atau provokasi.

Ada soalan daripada rakan peserta kepada kumpulan kami.

"bagaimana kamu akan memastikan semua pembangunan yang dirancang mengikut kepada syariat Islam?"

Soalannya lebih kurang macam tu, aku tidak membuat catatan pada ketika itu. Mungkin aku perlu lebih banyak makan kismis dan rajin membuat catatan supaya tidak lupa lagi.

Aku cuba menjawab dengan jawapan yang insyaAllah mudah difahami kandungannya dan menjawab persoalan yang diajukan.

" untuk memastikan semua pembangunan yang dirancang mengikut kepada syariat Islam, kalau kita semua sedar, pada hari ini, kita semua sudah pun melakukan langkah awal untuk melaksanakan perancangan yang kita semua buat pada hari ini. Iaitu dengan menjejaki ilmu yang pelbagai dari setiap bidang dan lapangan, kemudian kita tambahkan lagi dengan kefahaman tentang agama serta fikrah Islam. 

Saya yakin, rakan-rakan peserta semua tidak semua yang study pengkhususan agama, betul atau tidak? Mesti ada yang ambil pengkhususan engineering, sains, pertanian, keusahawanan, pendidikan macam saya..hehe dan macam-macam lagi.."

Maka dengan itu, kita dapat manfaatkan kepakaran yang kita ada dalam bidang masing-masing untuk menegakkan syiar Islam. Sebagai contoh, kalau kita ambil pengajian kejuruteraan atau arkitek, orang yang ada kefahaman tentang Islam dan mempunyai fikrah yang jelas tentang Islam yang buat plan sebuah bangunan, setiap bangunan yang kita buat, mesti ada sekurang-kurangnya sebuah tempat untuk solat serta syiar Islam itu sendiri dapat dilihat daripada reka bentuk bangunan yang akan dibangunkan.

Aku sempat singgah solat jamak di salah sebuah hentian bas. Aku tidak pasti sama ada pembinaan tempat itu mengikut perancangan ataupu  tangkap muat saja. Alhamdulillah, ada tempat solat disediakan. Tapi, dari segi layout surau itu nampak kurang sesuai, kerana tempat mengambil wudhu wanita berada di hadapan, manakala ruang tempat mengambil wudhu lelaki di bahagian belakang. 

Orang ramai yang keluar masuk tandas dan lalu lalang di kawasan itu boleh melihat wanita sedang mengambil wudhu dan bersiap untuk solat. 

Perkara ini nampak kecil, tapi tidak begitu elok jika berlaku.

Itu baru kita bincangkan tentang keperluan seorang Muslim yang professional dalam bidang kejuruteraan dan bidang yang sama dengannya dalam usaha menegakkan syiar Islam melalui bidang yang diceburi.

Belum lagi masuk dalam bidang yang lain. Masih banyak lagi bidang yang perlu diterokai oleh orang Islam dan diterajui oleh orang Islam.

Pendek kata, ingin membangunkan syiar Islam itu, tidak semestinya menjadi seorang imam masjid, ustaz, ustazah dan penceramah. Bila kita ada kesedaran untuk menegakkan agama Allah SWT, itu satu permulaan yang baik. 

Ramai personaliti yang kita kenali pada hari ini bukanlah seorang ustaz atau ustazah, tapi mereka berusaha membangun dan menegakkan Islam melalui wasilah dalam bidang yang mereka ceburi.

Dr. Danial Zainal Abidin, seorang doktor.


Oki Setiana Dewi, seorang selebriti, pelakon, penulis buku.


Amin Idris, seorang personaliti tv, pengacara, pakar motivasi.

Dan ramai lagi !

Jika kita tidak mampu untuk menjadi ustaz dan sebagainya, apa yang kita mampu buat untuk Islam, selagi tidak bercanggah dengan syariat agama, teruskan dan bangunkanlah Islam dari segenap aspek, agar kita dapat meletakkan segala yang sepatutnya kepada siapa yang sepatutnya dengan cara yang sepatutnya, insyaAllah.

Thursday, March 28, 2013

Bikin Panas Part 2 | Ikut sedap badan dia pula?

Assalamualaikum !

Lama kita tidak jumpa kan?
Kau apa khabar, sihat ?

Salam. Peluk. Tangan digosok-gosokkan di belakang sahabatnya.

Hakim kini berada di kampung rakannya, bercuti di sana, kerana ingin menghadiri majlis jamuan yang diadakan oleh rakannya, Zakuan.

Petang itu, Hakim bertemu ramai rakan-rakan lamanya yang sudah beberapa bulan mereka tidak berjumpa. Bersalaman, bertanya khabar dan berpelukan itu adalah perkara yang dilakukan berulang kali petang itu.

Setelah puas berbual, Hakim dan beberapa orang rakannya yang menaiki 2 buah kereta mula berangkat pulang ke rumah rakannya, Syamsul yang letaknya jauh dari rumah Zakuan, lebih kurang 40km.

Hari masih terang ketika mereka bertolak. Namun semakin gelap. 1/3 perjalanan mereka sudah dilalui. Mereka singgah menunaikan solat Maghrib combo dengan Isya' di salah sebuah masjid.

Selesai solat, Hakim menerima panggilan dari adiknya, Mila.

" assalamualaikum, abang. Mila ada kat rumah Zakuan sekarang. Tolong ambil Mila di sini. Mila nak follow abang balik nanti. "

Hakim pelik.

Kenapa lah budak Mila ni mau follow aku balik. Lagi senang dia balik dengan kawan-kawan dia, transport free, boleh berehat lama dalam bas. Ikut aku pula, kena bayar tiket bas mahal, tu pun kalau ada.

Hakim serba-salah. Dia tidak boleh berbuat apa-apa, kerana segala keputusan, dia perlu tanya dulu kepada yang empunya kereta, kerana Hakim hanya penumpang pada ketika itu. Syamsul, ketua rombongan mereka bersetuju dengan permintaan Hakim untuk mengambil Mila di rumah Zakuan. Hakim pergi ke rumah Zakuan menaiki kereta yang dipandu oleh Usman, manakala beberapa orang rakan yang lain menunggu di masjid tempat mereka singgah solat tadi bersama Syamsul.

Setelah tiba di rumah Zakuan, Hakim menelefon Mila.

"assalamualaikum dik, kami dah sampai, cepat lah keluar, dorang Syamsul tunggu di masjid. Dorang nak balik cepat katanya."

"ok..ok.."

5 Minit berlalu.

Mila belum juga keluar dari rumah Zakuan.

Man, tolong sms Mila, kredit aku habis.

...

Ok, aku dah sms adik kau.

20 saat kemudian.

Eh, lajunya dia balas.

"I'm busy right now, please send me a message later. Thank you"

Tu ayat template tu.

Sibuk betul dia.

Kita pula yang lama menunggu di sini Man...

7 minit kemudian, Mila keluar dari rumah Zakuan.

Usman dan Hakim sememangnya sentiasa memerhatikan tangga rumah Zakuan, menunggu kelibat Mila muncul.

" eh, mana beg dia?"

Kata Usman kehairanan.

Tiba di kereta Usman, Mila mengetuk cermin minta dibuka.



"tunggu 10 minit lagi boleh? kami belum habis lagi ni."

Hakim dan Usman sama-sama sudah kepanasan menunggu walaupun dalam kereta itu sudah dingin dengan air-cond.

"ambil barang kau cepat, dorang Syamsul sudah tunggu lama di sana."

Balas Hakim tegas.

"hadoi...dia yang minta ambil, sepatutnya dia yang tunggu kita. Ini kita pula yang terhegeh-hegeh tunggu dia, lepas dia demand lagi suruh kita tunggu dia. Banyak cantik?"

Hakim semakin panas.

"itu lah pasal. Tunggu tu satu hal. Dorang Syamsul tu pula lagi pening menunggu kita. Semua orang lambat gara-gara dia. Kalau sampai tadi terus naik, lepas tu balik terus rasanya tiada masalah. Sekarang satu tempat yang cadang nak pegi lepas solat  tadi terpaksa cancel. "

Luah Usman kepada abang Mila.

Mila dengan muka masam cuka getah mengheret beg besarnya menuju kereta Usman. Dia diam seribu bicara sepanjang perjalanan.

Setibanya di masjid, Syamsul dan rakan yang lain kelihatan terlena di dalam kereta. Mereka kelihatan sangat letih, sedangkan perjalanan masih berbaki 2/3 lagi.

Mila keluar dari kereta Usman, berpindah ke kereta Syamsul.

Mungkin dia tidak puas hati dengan tindakan Usman dan abangnya yang meminta dia cepat naik ke kereta ketika mengambilnya tadi.

Hakim berpesan kepada Usman, "Man, kalau kita berjanji atau berurusan dengan orang lain, pastikan kita tepati dan berusaha untuk cuba menepati janji kita. Kalau kita ni bawa bas express macam kat Puduraya tu, memang tinggal budak tu. Boleh pula dia yang minta dijemput, kita pula yang kena menunggu lagi."

Bikin Panas Part 1 | Kunci & Amanah

"Pehhh..!

Mana boleh tahan derr..

Bukan sekali dua perkara macam ni berlaku ! "

Kata seorang abang kepada adiknya.

Hakim, seorang abang kepada 8 orang adik-beradik.

Dia seringkali menasihati adiknya, Mila yang agak kurang teratur jadual hidupnya.

Mila, seorang yang baik, cuma, itulah masalahnya, semua benda, mesti ada yang serabut.

Mesti ada tension.

Mesti ada yang tidak kena.

Mesti ada yang lambat.

Hakim pun naik jenuh memberikan nasihat, teguran, sindiran dan macam-macam lagi cara untuk menegur adiknya si Mila tu. Qudwah hasanah pun sudah juga rasanya.

Hmm.. Hakim terus bersabar.

Satu hari, adik-beradik Hakim telahpun bersetuju untuk membuat hari keluarga di salah sebuah tempat jauh dari rumah mereka. Mereka telah menjemput seorang guru mereka pada hari itu.

Hakim membahagi-bahagikan tugas kepada adik-adiknya.

Semua telah menjalankan tugas masing-masing pada hari itu mengikut arahan Hakim dengan baik.



Aktiviti pada hari itu dirancang bermula pada jam 10 pagi. Tempat aktiviti mereka itu berkunci.
Hakim sengaja memberikan tugas kepada Mila untuk memegang kunci tempat itu. Tujuan Hakim berbuat demikian adalah untuk melihat sejauh mana Mila boleh sampai di tempat itu tepat atau lebih awal daripada waktu aktiviti bermula atau dia sekali lagi mengulangi kesilapannya. Lewat. Jika pun dia lewat, Hakim berharap dia akan segera memberitahu Hakim akan keterlewatannya itu.

Tapi sayang. Hakim cuba menghubungi Mila. Dia cuba menelefon Mila. Tidak dijawab. SMS sudah 3 dihantar. Tidak dibalas. Hakim dan adik-beradik yang lain sudah sampai di tempat hari keluarga mereka sebelum jam 10 pagi lagi. Guru yang dijemput juga sudah sampai. Mereka semua menunggu di hadapan pagar yang masih lagi berkunci.

Menunggu Mila seorang yang masih belum sampai dan memberikan sebiji tanda tanya yang besar gedabak. Mana Mila ????

Semua tetap sabar menunggu.

Jam 10.30pagi. Mila kelam-kabut menyeluk poketnya mengeluarkan kunci pagar.

Ditanya kenapa lambat, soalan itu sama seperti panggilan telefon dan sms yang dibuat.

TIDAK ADA RESPON.

"Kenapa perkara seperti ini seringkali berulang Mila ?

Kan abang dah pesan selalu, rancanglah apa-apa perkara dengan baik!

Kita dah plan event hari ni 2 minggu lepas kan, kenapa boleh lewat lagi ni?

Ada masalah bagitahu lah, kan abang dah sms, reply lah. Abang call, jawab lah."

Yang lain semua sudah lali dengan sikap dan perangai Mila itu.

Semua sudah malas ambil port tentang hal Mila.

Kerana mereka tahu, bila ada abang dan kakak yang menegur dan menasihatinya, dia akan balas balik.

"kalau hal Mila tu penting sangat, kenapa yang lain boleh sampai on time? ada yang lambat, dorang inform pada abang. Mila ni tidak. Mila ada amanah untuk semua orang tau hari ni. Jangan disebabkan Mila tak mahu korbankan sedikit kepentingan Mila untuk diri sendiri, habis semua orang kena tanggung berpanas di sini menunggu sebab Mila pentingkan sangat diri Mila sorang."

bersambung..



Sunday, March 17, 2013

Beberapa kesilapan wanita bertudung.

Pakai tudung pun salah ???



Opp..

Assalamualaikum, maaf kepada rakan-rakan pembaca wanita.
Post kali ni khas untuk anda.

Pakai tudung tidak salah. Bagus.
Cuma tudung tu cuma pakaian biasa.
Tutup aurat tidak semestinya tutup rambut guna tudung.
Karung guni/cadar/selimut/tuala pun boleh.

Cuma nanti orang pelik lah.

Alhamdulillah, tahniah kepada semua yang bertudung, kerana sedar ia adalah perintah Allah SWT yang perlu dipatuhi dalam perintah menutup aurat.

Tapi masih tidak cukup sempurna lagi.

Tahniah lagi kepada yang sudah mula bertudung.
Memang diakui susah sebenarnya untuk konsisten bertudung.
Tapi sangat besar ganjarannya daripada tidak ada usaha langsung untuk ikut perintah Allah SWT.

Beberapa kesilapan yang boleh mengurangkan pahala bertudung, malah boleh menghilangkan terus pahala bertudung. Wallahu a'lam, soal dosa pahala ni Allah SWT lebih mengetahui.

Di sini ada beberapa kesilapan yang biasa berlaku, tapi luar biasa impaknya kepada diri sendiri dan orang lain. Aku tidak mahu sertakan gambar, kerana nampak tidak senonoh & boleh dilihat di mana-mana !

1) Bertudung, tapi pakai tudung adik umur 5 tahun.

Maksudnya, pakai tudung kecil. Cukup sekadar bertudung.
Sedangkan dalam Al-Quran sebut, hendaklah melabuhkan tudung menutupi dada. Itu dalam Al-Quran, kalau ada yang kata mengarut, baik mengucap dua kalimah syahadah semula.

2) Bertudung, tapi pakai baju lengan pendek.

Tiada maksud tersirat. Semuanya tersurat. Actually, apa yang wanita boleh dedahkan cuma muka dan tangan, dari hujung jari tangan hingga ke pergelangan tangan. Dari pergelangan tangan ke siku sudah dikira sebagai mendedahkan aurat. Allah SWT suka atau tidak orang yang dedahkan aurat? Jawapannya, jawab sendiri.

3) Bertudung, tapi pakai baju adik.

Sama macam yang pertama tadi. Bertudung, tapi pakai baju kecil. Walaupun tidak mendedahkan lengan hingga ke siku, tapi melekat habis wa cakap lu ! Ini salah ! Rasulullah SAW bersabda, mafhumnya yang bermaksud, antara golongan yang masuk neraka ialah mereka yang berpakaian tapi telanjang. Maksudnya, pakai baju, tapi sama macam tidak pakai baju, dalam konteks menampakkan bentuk tubuh.

4) Bertudung, tapi pakai sut renang.

Sama macam di atas. Tapi ini bab seluar. Apa punya stail lah, mungkin terpengaruh dengan seluar Saloma dalam filem Ahmad Albab, dalam babak dia tidak mahu kahwin, tapi adik-adiknya terlompat-lompat bila mahu dikahwinkan. Namanya seluar legging. Ada satu lagi, jenis denim, jegging. Ada macam-macam gaya, ada corak harimau bintang, corak macam sarung bantal, corak kain langsir dan macam-macam lagi. Pemakaian begini salah ! Sama macam penegasan di atas, tidak boleh memakai pakaian yang menampakkan bentuk tubuh !

5) Bertudung, tapi nampak kaki.

Sama macam no.2 tadi. Kaki juga sebahagian daripada aurat yang perlu ditutup. Guna apa?
Pakai lah apa pun, yang penting orang lain tidak nampak. Boleh pakai selotep hitam, bungkus dengan plastik gelap, bungkus guna surat khabar atau paling susah sekali, pakai stokin! Susah kan pakai stokin, sebab tu tidak ramai yang pakai, walaupun benda ni sangat penting !

Cukup lah 5.
Yang lain boleh tambah sendiri.
Kenapa aku sengaja tulis macam ni.
Kita mahukan segala yang kita buat tu Allah SWT suka.
Bab menutup aurat masih belum sempurna selagi ada yang kita tinggalkan.
Dalam Islam, kesempurnaan sesuatu walaupun ianya kecil, apabila ditinggalkan akan menyebabkan keseluruhan perkara tidak akan sempurna.

Contohnya.
Kita solat, tapi tidak rukuk.
Rukuk saja pun.
Kita tahu ianya salah satu rukun yang wajib.
Tapi kita sengaja tinggalkan.
Sah atau tidak solat kita jika kita tidak buat satu perkara dengan sengaja?

Wudhu.
Kita tahu ada perkara yang sunat dan wajib.
Kita ambil yang wajib, kerana kita sudah tahu.
Muka, tangan-siku, kepala & kaki.
Tapi kita sengaja tidak mahu basuh kaki.
Maka wudhu yang kita buat tidak sah dan semupurna jika tinggal satu perkara yang wajib.

Menutup aurat.
Kita tahu mana yang boleh didedahkan.
Yang selebihnya tidak boleh.
Tapi kita suka ikut mood kita, bukan ikut apa yang agama minta.
Aku tidak suka pakai stokin. So aku tidak mahu pakai stokin.

Aku lelaki tidak mengapa, tapi yang perempuan perlu pakai stokin & baju lengan panjang.

Dalam berpakaian juga adalah ibadah kepada Allah SWT.
Bagaimana sesuatu itu boleh jadi ibadah?
Apabila segala yang kita buat tidak melepasi batas yang agama telah tetapkan.

Kenapa dalam solat, dalam masjid, dalam surau, kita rasa bersalah jika tidak tutup aurat?
Boleh nampak kalau ada majlis-majlis di masjid atau surau, kalau ada wanita yang biasanya tidak bertudung, bila masuk masjid, dia pakai tudung yang tidak berapa nampak macam tudung.

Tapi bila keluar masjid, buka balik tudung.

Allah SWT dan para malaikat ada di mana-mana. Bukannya ada di dalam masjid saja.
Di luar masjid pun ada.

Kenapa kita rasa bersalah bila tidak tutup apa yang patut ketika kita solat, tapi tidak rasa bersalah bila kita dedah apa yang tidak sepatutnya di luar daripada solat?

Muhasabah bersama ~

Tuesday, March 12, 2013

Trivia Sujud

Bismillah, sedikit perkongsian daripada kuliah mingguan di masjid.
Maaf jika terlalu banyak kekurangan, kerana tidak sempat untuk menulis dengan laju.
Harap dengan apa yang ada, kita boleh kaji lagi dan perluaskan bacaan dan pengajian agar ianya akan jadi lebih jelas dan mudah kita fahami dan amalkan, insyaAllah ~

Saya datang sedikit lewat beberapa minit pagi itu, kerana saya menunaikan solat subuh di tempat lain sebelum ke masjid itu. Kalau saya tidak silap, kitab yang dihuraikan ialah Safinatun Najah.



Pada pagi itu, khusus membincangkan tentang sujud. Saya pernah ikuti kuliah sebelum ini, hampir sejam setengah, hanya membincangkan tentang salam dalam solat. Tapi sayang pada ketika itu, saya tidak tahu ada pengajian dan saya tidak membawa buku & pen untuk membuat catatan.

Banyak dalil dan sanad yang saya tidak sempat tuliskan, diambil dari kitab mana, dikatakan oleh siapa dan dalam hadis yang mana, saya mohon maaf, kerana kelemahan saya adalah untuk menulis dengan baik dan cepat dalam keadaan masa yang singkat.

Adapun sujud ini adalah sebahagian daripada juzuk yang melengkapkan ibadah solat yang kita lakukan. Sekiranya tiada sujud, maka tidaklah sah solat kita.

Sujud tergolong dalam rukun fi'li, iaitu rukun perbuatan.

Makna sebenar sujud ialah tetap dan condong, atau dalam erti kata lain mengikut konteks solat, sujud bererti kita tunduk merendah diri dalam penuh kehinaan sebagai seorang hamba menyembah tuhan.

Selain itu, makna umum bagi sujud itu dalam konteks solat juga adalah menghantarkan sebahagian  dahinya ke tempat solat (tempat sujud).

Diulangkan perbuatan sujud itu tidak seperti perbuatan lain dalam setiap rakaat adalah kerana sujud itu lebih menyampaikan kita kepada tawadhu.

Orang yang menunaikan solat, apabila ia berdiri, kemudian sujud untuk kali pertama, bermakna ia telah melaksanakan penghujung khidmat, kemudian diizinkan untuk duduk antara dua sujud, kemudian sujud lagi untuk kali kedua.

Sujud yang pertama tadi disebutkan sebagai penghujung khidmat, iaitu menyempurnakan keseluruhan segala pergerakan untuk setiap rakaat, yang disudahi dengan sujud yang pertama, kemudian diikuti dengan duduk antara dua sujud, kemudian sujud yang kedua sebelum meneruskan kepada khidmat rakaat yang seterusnya adalah sujud sebagai tanda rasa syukur kepada Allah SWT.

Berdoa dalam sujud juga dibolehkan, doa yang baik dan dalam bahasa arab sebaiknya.

Adapun perbuatan sujud sebanyak dua kali ini adalah kerana kita mengikut cara dan perbuatan baginda Rasulullah SAW solat.

Sujud itu ada 7 syaratnya:

1) Sujud yang melibatkan 7 anggota sujud.

1) Dahi
2) Tapak tangan 1
3) Tapak tangan 2
4) Lutut 1
5) Lutut 2
6) Jari kaki 1
7) Jari kaki 2


2) Dahi wajib dalam keadaan terbuka.
Tidak ada sesuatu pun menghalang daripada kulit bahagian dahi mengenai tempat sujud. Biasanya, bagi lelaki, ada yang memakai serban/kopiah/songkok menutupi dahi dan menyebabkan mereka sujud di atas penutup kepala mereka, bukannya mempertemukan dahi pada tempat sujud. Naikkan sedikit penutup kepala yang disebutkan tadi untuk membuka ruang yang luas kepada kulit dahi kita agar ianya bersentuhan dengan tempat sujud.

3) Memberatkan kepala daripada anggota lain ketika sujud.
Ini bermaksud, ketika sujud, kepala diutamakan sebagai anggota yang menampung berat sekalian badan, walaupun pada hakikatnya 6 anggota yang lain juga mengenai tapak tempat solat. Namun, prioriti adalah kepala untuk menanggung berat.

Sebagai perumpamaan dalam hal ini, sujud kita itu dianggap sempurna dan memadai dengan andaian apabila kita sujud, dahi yang kita letakkan di tempat sujud itu mampu menjadikan segumpal kapas yang kecil penyek. Harus diingat, bukan segenggam, segumpal kecil.

Disebutkan oleh penceramah, seperti kapas yang digunakan untuk menyapu losyen kuning pada luka, yang saiznya seperti kita mempertemukan ibu jari dengan jari telunjuk kita (maka terbentuklah satu bulatan kan?)

4) Tidak ada perkara lain yang memalingkan niat untuk sujud.
Sujud adalah sebahagian daripada juzuk solat. Jika turun sujud bukan kerana solat, tetapi turun sujud dengan niat lain, seperti ada nyamuk sedang hinggap di kepala kita, kita mahu sujud untuk menghalau nyamuk itu dari kepala kita, turun sujud kerana ingin mengambil barang yang terjatuh. Pendek kata, turun sujud bukan dengan niat untuk menyempurnakan pergerakan solat.

5) Tidak sujud di atas sesuatu yang tertanggung yang bergerak dengan kita.
Makna kita di sini ialah tubuh badan kita yang bergerak. Penceramah memberikan beberapa contoh yang mudah, iaitu sujud yang tidak sah ialah apabila kita sujud di atas ekor serban yang panjang, kemudian ekor serban itu menghalang dahi kita daripada bertemu dengan tempat sujud. Selain itu, ketika kita sujud, sekeping kertas tiba-tiba melekat di atas dahi kita apabila kita sujud. Sah bagi sujud yang pertama, kerana ketika itu, kertas tersebut tidak bergerak bersama kita lagi. Apabila kertas itu melekat di dahi kita, maka tidak sah lagi untuk sujud yang kedua kerana kertas itu bergerak bersama kita dan ia menghalang daripada dahi kita menyentuh tempat sujud.

Adapun perkara yang dibolehkan pula yang disebutkan oleh penceramah ialah benda yang tidak bergerak bersama kita, tetapi ianya sebahagian dari kita. Contohnya orang perempuan yang tidak ada sejadah, kemudian, kain yang dipakainya panjang dan boleh dijadikan sejadah/lapik dibolehkan, kerana ia tidak bergerak bersamanya seperti kertas tadi. Kain itu dalam kedudukan tetap.

6) Mengangkat anggota yang rendah daripada anggota yang lain.
Dalam hal ini, beberapa anggota perlu diangkat daripada anggota sujud yang terlibat, seperti punggung, siku dan tumit.

7) Dilakukan dengan tertib.
Dalam setiap sujud yang dibuat, gerakan perlulah ada toma'ninah atau disebut jeda bagi setiap pergerakan, agar solat kita dilakukan dalam keadaan yang tenang dan tidak terburu-buru.

Harap dengan sedikit perkongsian ini, ada yang boleh diambil sebagai pengajaran dan juga diamalkan, serta dijadikan sebagai salah satu perkara yang perlu dipelajari bagi memahaminya dengan lebih baik lagi, kerana saya yakin, masih banyak perkara lagi yang perlu ditambah dalam perkongsian ini, juga memerlukan sebarang pembetulan sekiranya ada kesilapan.

Wallahu ta'ala a'lam ~

Saturday, March 9, 2013

MALAM CINTA RASUL MAC 2013

 اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
 





TARIKH : 23 MAC 2013 (SABTU) | 11 JAMADILAWAL 1434
MASA : 7.00PM-11.30PM
TEMPAT : DATARAN MERDEKA, KUALA LUMPUR
ANJURAN : YAYASAN PENDIDIKAN CHERAS, DENGAN KERJASAMA DBKL, JAWI, MAIWP & TV AL-HIJRAH

َللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ



اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ



اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ

  
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...