Tuesday, December 20, 2016

Zaman Maktab Perguruan sudah berlalu, sekarang zaman IPG



Saya tidak pernah sebut saya belajar di maktab, tapi IPG atau kampus.

Maktab ialah satu kata nama am, yang merujuk kepada pusat latihan, tempat belajar dan seumpanyanya.

Ini jelas ia tidak mewakili secara mutlak bahawa perkataan maktab itu adalah membawa maksud untuk institusi perguruan sahaja, kerana ia juga turut digunakan oleh institusi lain, seperti Maktab Rendah Sains Mara, Maktab Mahmud, Maktab Tentera Diraja, Maktab Adabi Gaya Pos atau institusi lain yang seumpama dengannya.




Beberapa peringkat penaiktarafan bermula dengan Teacher Training College, yang pada ketika itu institusi ini lebih dikenali dengan Maktab Perguruan, kemudian diikuti dengan Institut Perguruan, selepas itu bertukar kepada Institut Pendidikan Guru dan yang terkini Institut Pendidikan Guru Malaysia, sesuai dan selaras dengan begitu banyak perubahan dari pelbagai aspek, seperti kepelbagai kursus, kemudahan fasiliti dan perkembangan teknologi serta bidang-bidang baru yang memerlukan kemahiran guru yang terlatih.

Saya faham, orang lama masih lagi sinonim dengan nama maktab sebagai mewakili institusi perguruan pada zaman semasa ia digunakan dan turut terbawa-bawa hingga ke hari ini, tapi bagi saya, saya lebih selesa menggunakan terma semasa.

Saya menuntut di institusi ini dalam masa 3 nama yang berbeza digunakan, Institut Perguruan, Institut Pendidikan Guru dan Institut Pendidikan Guru Malaysia, kerana seingat saya ada 3 kali lirik lagu kampus kami diubah liriknya, dari " IPIK, institut berbudi", kemudian "IPG Kampus Ilmu Khas" dan seterusnya yang masih kekal saya rasa ke hari ini, " IPGM, Kampus Ilmu Khas".





Saya masih ingat beberapa kali sewaktu saya menaiki teksi untuk pulang ke kampus, saya akan beritahu pemandu bahawa destinasi saya ialah ke IPG Ilmu Khas.

Biasanya pemandu akan rasa pelik dengan nama IPG, satu nama tempat yang baru pernah disebut kepadanya.

Saya tiada masalah dengan situasi sebegitu, sebab orang lama, lebih selesa dan sinonim dengan nama maktab perguruan.

Maka saya terangkan semula, "dulu maktab, sekarang sudah dinaiktaraf jadi IPG, Institut Pendidikan Guru".

Atau berlaku juga pada situasi lain, saya akan sebut kampus, atau asrama sahaja. Misalnya jika ada bertanya hendak ke mana atau dari mana, saya akan jawab samada dari/hendak ke kampus/asrama/kuliah/kelas. 

Kerana zaman maktab sudah berlalu dan berakhir, tiada lagi digunakan istilah maktab perguruan pada saat ini, ianya sudah berlalu.

Pada hari ini, tiada kedengaran baik dari orang lama sendiri menyebut akan nama bandaraya Kota Kinabalu sebagai Api-Api, Jesselton atau Singgah Mata pada hari ini, sungguhpun pada zaman mereka nama Kota Kinabalu masih belum digunapakai. Hari ini, tiada pun kedengaran disebut nama Jesselton yang bermaksud untuk mengatakan ianya ialah Kota Kinabalu, walaupun nama-nama lama itu masih ada digunakan untuk sub-lokasi di dalam Kota Kinabalu seperti Jesselton Point, Api-Api Centre dan Lorong Singgah Mata.

Nama-nama lama ini tidak lagi digunakan oleh orang lama walaupun pada zaman mereka, tempat ini (Kota Kinabalu) ada beberapa nama lain sebelumnya pada hari ini.


Oleh kerana itulah, dengan tujuan supaya penjenamaan semula nama institut perguruan ini perlu dikenali mengikut nama semasanya, saya tuliskan perkara ini, kerana perubahan pada nama itu adalah salah satu penanda aras kepada peningkatan dalam pelbagai aspek.

Generasi IPG yang baharu juga masih selesa menggunakan terma maktab walaupun zaman penggunaannya sudah lebih 10 tahun berlalu. Masih lagi kedengaran/kelihatan, "tidak sabar nak balik maktab..", "jumpa kat maktab nanti" dan macam-macam lagi lah.


Adapun perubahan yang sangat jelas pada terma nama ini adalah hakikat perubahan yang menggambarkan bahawa insititusi perguruan ini telah beranjak ke peringkat yang lebih tinggi, maka harus dibuktikan kualiti semasa dan yang terkini produk keluaran IPG adalah sebagus dan setaraf dengan namanya, bukan hanya berbangga dengan nama institut, tetapi kualiti pada zaman nama maktab digunakan adalah jauh lebih baik.

Akan bersambung..

Saturday, November 28, 2015

Terus bersabar menongkah fitnah.



Assalamualaikum dan salam sejahtera semua rakan-rakan yang mampir membaca post saya pada kali ini.

Terima kasih kerana terus membaca hasil penulisan saya yang tidak seberapa.

Dicetuskan kemahuan untuk menaip sedikit malam ini, dijentik oleh satu kenangan hidup masa lalu yang begitu mengesankan.

Keluarga aku bukan berada, apa lagi berharta.

Tapi ada juga yang tidak putus-putus menuliskan coretan-coretan duka dalam buku catatan hidup keluarga aku yang berlima. Mama, bapa dan dua orang kakak aku.

Banyak sekali hal-hal yang tidak benar tentang kami, dicanang sebar entah atas tujuan apa.

Pedihnya sudah tentu dirasai oleh kami. Seronok agaknya, bila berlaku salah faham dan pertelagahan atas perkara yang tidak benar.

Silaturahmi yang dahulunya erat dan harmoni, kini tidak lagi sebaik dulu. Dan itulah kegembiraan buat mereka. Mungkin.

Aku begitu sangat terkesan pada apa yang berlaku betul-betul dibidik kepada aku.

Adu domba dan fitnah jadi peluru, mulut dan lidah jadi picu dan kelongsongnya.

Semasa aku masih belajar dulu, aku sudah mula bercadang dan merancang untuk memulakan rancangan untuk mendirikan rumah tangga. Perkara yang aku sudah ajukan kepada keluarga aku dan wanita yang telah aku pilih itu.

Tidak semena-mena cerita memburuk dan membusukkan saya dijaja oleh hati dan mulut yang busuk. Pelanggan sasarannya ialah keluarga wanita tersebut. Sanggup mereka hadir ke rumah keluarga wanita itu.

Sudahnya perancangan yang sudah dirangka aku telan bulat-bulat rasa pahit kegagalannya, walaupun ia baru sahaja mahu memperkemaskan kaki untuk memulakan langkah pertama.

Aku ditolak mentah dengan pakej merubah persepsi dan kepercayaan terhadap aku. Tembakan fitnah dan adu domba si hati busuk yang diacukan kepada aku tepat mengenai aku.

Aku dipandang buruk olehnya dan keluarganya. Aku hina dan tiada nilai di sisi mereka.

Oleh kerana baru sebentar tadi aku melihat wanita itu sedang makan bersama suaminya, aku teringat peristiwa yang tidak menyamankan aku.

Fitnah mereka kini masih diteruskan, tapi kali ini aku dan keluarga lebih berhati-hati.

Salam kasih sayang untuk semua.
Ampunkan dosaku, ibu bapa dan keluargaku ya Robbi..

2142
28 Nov 2015,
Kota Kinabalu.

Sunday, August 23, 2015

Teringat kawan lama.

Assalamualaikum..














Aku teringat kawan lama..

Tiba-tiba teringat..

Walaupun memang selalu ingat, tapi aku ingat sebab ada yang membuatkan aku lebih mengingatnya.





Jasa baiknya.


Sebelum ni aku berselindung.

Sekarang aku akan sebut satu-persatu.

Ya, boleh.

Awal-awal berkenalan dengannya, aku teringat pasal kawan ini bercerita soal keutamaan kepada salah satu daripada ini :

Melayu dan Islam.

Itu zaman Yahoo Messenger dulu.

Kawan ini juga tolong bayarkan yuran aku supaya jadi peserta Training Da'wah.

RM150.

Kawan ini juga selalu tolong/bagi lebih daripada apa yang aku perlu/minta.

Semasa menaip, aku pakai baju yang kawan ini belikan.
Baju Hijau ke Putrajaya. Itu yang tiba-tiba aku menaip.

Semoga engkau terus berada dalam perlindungan dan kasih sayang Penciptamu.



Wednesday, June 24, 2015

Lirik Qasidah Qod Kafani





قد كفاني


قَدْ كَفَانِي عِلْمُ رَبِّي
Cukup bagiku pengetahuan Tuhanku

مِنْ سُؤَالِي وَاخْتِيَارِي
Daripada permintaan dan usahaku

فَدُعَـائِي وابْتِهـَالِي
Doa serta permohonanku

شَـاهِدٌ لِي بِافْتِقَارِي
Sebagai bukti pada kefakiranku

فَلِهَذَا السِّرِّ أَدْعُـو
Oleh kerana rahsia itu aku berdoa

فِي يَسَارِيْ وَعَسَارِي
Pada saat aku senang dan susah

أَنَا عَبْدٌ صَارَ فَخْرِي
Aku adalah hamba, menjadi kebanggaanku
  
ضِمْنَ فَقْرِي وَاضْطِرَارِي
Dalam kefakiran dan keperluanku

يَا إِلَـهِي وَمَلِيْـكِي
Wahai tuhanku yang memiliki aku

أنْتَ تَعْلَمُ كَيْفَ حَالِي
Kau Maha tahu akan keadaanku

وَبِمَا قَدْ حَـلَّ قَلْبِـي
Dan apa yang berada dalam hatiku

مِنْ هُمُوْمٍ وَاشْتِغَالِـي
Dari kesedihan dan kesibukanku

فَتَـدَارَكْنِي بِلُطْفٍ
Maka tolonglah aku dengan kelembutan

مِنْكَ يَا مَوْلَى الْمَوَالِي
Dari-Mu Wahai Tuhan seluruh hamba

يَا كَرِيْمَ الْوًَجْهِ غِثْنِي
Wahai yang Maha Pemurah tolonglah hamba

قَبْلَ أنْ يَفْنَى اصْطِبَارِي
Sebelum lenyap kesabaran hamba

يَا سَرِيْعَ الْغَوْثِ غَوْثًا
Wahai pemberi pertolongan dengan segera

مِنْكَ يُدْرِكْنَا سَرِيْعًا
Berilah kami dengan segera pertolongan-Mu

يَهْزِمُ الْعُسْرَ وَيَأْتِي
Yang dapat menghilangkan kesulitan dan dapat mendatangkan

بِالَّذِي نَرْجُو جَمِيْـعًا
Dengan apa-apa yang kami harapkan semua

يا قَرِيْـبًا يا مُجِيْـبًا
Wahai yang Maha dekat, dan menjawab

يا عَلِيْمًا يا سَمِيْـعًا
Wahai yang Maha mengetahui dan mendengar

قَدْ تَحَقَّقْتُ بِعَجْزِي
Aku mengaku akan kelemahanku

وخُضُوْعِي وانْكِسَارِي
Dan ketaatan serta kesedihanku

لَمْ أَزَلْ بِالْبَابِ وَاقِفْ
Aku sentiasa menunggu di hadapan pintu rahmat-Mu

فَارْحَمَنْ ربِّي وُقُوْفِي
Wahai Tuhanku berikanlah rahmat padaku

وبِوَادِي الْفَضْلِ عَاكِفْ
Pada lembah kurnia-Mu aku berada

فَأَدِمْ ربِّي عُكُـوْفِي
Wahai Tuhanku tetapkanlah keberadaanku disana

ولِحُسْنِ الظَّنِّ لاَزِم
Aku sentiasa mempunyai prasangka baik

فَهُوَ خِلِّي وحَلِيْفِي
Ia (prasangka baik) adalah teman dan kawanku

وأَنِيْسِي وجَلِيْسِي
Juga penyenang bagiku dan yang setia bersamaku

طُوْلَ لَيْلِي ونَهَارِي
Sepanjang malam dan siangku

حَاجَةً فِي النَّفْسِ يَا ربّ
Wahai Tuhanku, dalam jiwa ini terdapat hajat

فَاقْضِهَا يا خَيْرَ قَاضِي
Tunaikanlah Wahai yang Maha Menunaikan

وأَرِحْ سِرِّي وقَلْبِي
Tenteramkanlah rahsia dan hatiku

مِنْ لَظاَهَا والشُّوَاظِ
Dari kebimbangan dan pergolakannya

فَالْهَنَا والْبَسْطُ حَالِي
 Sungguh aku akan berada dalam ketenteraman dan ketenangan

وشِعَارِي ودِثَارِي
Dan juga (ketenteraman dan ketenangan) menjadi pakaianku

Wednesday, January 28, 2015

Antara individu yang turut memberi makna hidup aku.

Assalamualaikum dan selamat membaca.
Dalam hidup kita semua, selain keluarga, masih ada orang lain yang turut sama memberi makna dan cerita yang tertentu dalam catatan harian hidup setiap dari kita.

Mungkin kawan sekelas, jiran, tauke kedai makan, mekanik motorsikal, orang tua tepi jalan, cikgu sekolah, pemandu teksi atau wanita tua penjual sayuran di pasar.

Pada aku, untuk entri kali ini aku pilih seorang kawan.

Rapat, tapi tidak dekat.

Entah macamana kami mula kenal aku sudah lupa.

Mungkin dari komen-komen di dalam blog dan friendster atau aktiviti berpersatuan.

Boleh jadi kerana ketiga-tiga faktor di atas atau salah satunya.

Dia selalu provok aku.

Dalam masa yang sama, dia mendidik aku.

Sayang aku cuma sempat minum dalam 2-3 teguk air kacang soya kotak besar yang dia bagi bersama biskut dan makanan ringan yang lain.

Petangnya air kacang soya kotak tu basi sebab aku minum tanpa gelas. Rasa bersalah sebab terpaksa buang.

Dia tidak berkira dengan aku, baik masanya dan wang ringgitnya.

Mungkin dia mampu.

Dibayarkannya untuk aku beberapa perkara yang ada darinya aku cuba untuk bayar balik apa yang mampu. Yang lain tidak, sebab mencecah ratus ringgit. Tidak banyak sebenarnya, dalam RM150 saja.

Mungkin aku memandang budi itu pada nilaian ringgit, kerana tidak ramai yang mahu berkongsi di saat ramai yang sama-sama memerlukannya.

Memang aku sangat terhutang budi padanya.

Kalau meminjamkan duit kepada aku, dengan segera dia menghulur, tapi bila aku tanya bila mahu bayar semula, seolah-olah berat untuknya memberikan jawapan.

Aku tahu dia ikhlas. Aku dapat rasa.

Aku senang untuk berkongsi masalah dengannya.

Dengan segera dia memberikan kata-kata semangat.

Aku tidak pernah lupa sms-sms darinya akan peringatan tentang banyakkan istighfar dan menabahkan hati.

Aku kongsikan juga kegembiraan-kegembiraan dan perkara-perkara penting dalam hidup aku yang aku kira tidak aku kongsikan dengan orang lain.

Aku ujian ambil lesen, dia bagi dorongan.

Tempat aku posting, dia yang pertama aku beritahu, sebab parents aku masuk dalam pejabat PPD sewaktu aku lapor diri.

Aku ada whatsapp dan beli telefon baru, aku poke dia dulu untuk testing whatsapp.

Dia tidak kurang untuk memberikan ucapan semoga berjaya dan motivasi.

Hingga ke hari ini.

Bila aku balik kampung, aku tidak akan lupa untuk bawa makanan/buah tangan untuk aku beri padanya. Aku kira ini sebahagian daripada cara aku untuk membalas budi baiknya.

Dia sungguh-sungguh membantu aku.

Dan aku tahu, bukan kepada aku saja dia begitu.

Dia memang kawan yang baik.

Kawan yang baik.

Baik hati dan budinya.

Semoga kawanku itu sentiasa di bawah rahmat dan jagaan kasih sayang dari Allah SWT dan makhluk-makhluk ciptaanNya yang dilimpahi rahman dan rahimNya.

naBi

Wednesday, December 24, 2014

Pasca Kampus Siri 1

Assalamualaikum dan salam sejahtera, salam kasih sayang dan cinta kepada para pembaca yang saya kasihi semua.

Terus saja kepada tajuk. Pasca kampus.

Tajuk yang kita semua pasti sudah ada gambaran awal sejak sebelum  masuk ke kampus lagi.

Bila aku bermula.

Malah bagi yang memang sudah menetapkan cita-cita yang sangat berfokus dengan perancangan sejak dari sekolah rendah/menengah lagi.

Aku mula menanam minat untuk mendidik sejak aku mula mengagumi beberapa orang guru yang secara peribadinya aku hormati dan segani pada usia tingkatan 4.

Namun, niat untuk menjadi perajurit masih ada. (ketawa kecil)

Selesai SPM, aku mula menjenguk portal. Mencari ruang dan peluang untuk mencapai hasrat.

Beli nombor pin. 

Kemudian harus menunggu berjam-jam untuk membeli nombor itu.

Malah terlepas nombor giliran pula.

Mujur dapat memotong barisan atas budi bicara pegawai bank.

Aku kira itu sebagai petanda aku akan dapat jadi pendidik, dengan kesabaran yang tinggi untuk menunggu giliran hampir separuh dari hari itu.

Temuduga.

Semasa PLKN.
Hari itu hari untuk semua pelatih ditemuduga.
Sayang, semua berpakaian formal, hanya dari kem aku berpakaian kelas pelatih.

Sebelum bertolak menaiki van JLKN, kawan-kawan sekompeni sudah mengucapkan "good luck cikgu!"

Berhenti sekolah.

Selesai PLKN, aku masuk 6 rendah sedikit lambat.

Ke sekolah cuma seminggu, dua minggu selebihnya, aku malas ke kelas.
Hanya berbual di kelas dan pada saya itu tidak lebih dari sekadar perlu untuk ke kantin, mengambil kehadiran dan memakai baju yang perlu dicuci lagi. Balik ke asrama selepas tanda kehadiran aku kira sudah memadai untuk keperluan pada ketika itu yang tiada interaksi dengan guru dan buku.

Untuk sub-tajuk ini, aku paling tidak boleh lupakan, pada suatu malam itu, aku ke urusetia asrama dengan membawa surat mohon keluar asrama beserta surat tawaran melanjutkan pelajaran di Institut Perguruan untuk diserahkan kepada ketua warden, sekaligus meminta nasihat darinya.

Berlepas ke Kuala Lumpur.

Kalau setakat balik asrama, boleh pulang hujung minggu.
Rumah pula hanya 20 minit perjalanan.

Ini Kuala Lumpur.

Kali ini jabat dan pelukku kepada keluarga disertai dengan air mata.

 Gambar sebelum masuk ke balai berlepas. Dari telefon bimbit Nokia 'sabun'

Selepas 30 minit berada di ruang udara, aku mula tenang.

5 tahun setengah pengajian.

Belajar 3 semester kursus persediaan dan 8 semester kursus Ijazah, dengan naik turun pointer yang turunnya mendadak, naiknya boleh dikira berapa kali.

Bab ini aku rasa boleh diperincikan untuk perbincangan dalam entri yang lain.

Bersambung..

Thursday, April 24, 2014

Biodata Tuan Guru Dr. Haron Din


Pendidikan

• Madrasah al-Islahiyah al-Wataniah, Bohor Mali

• Madrasah al-‘Alawiyah al-Diniah dan al-Kuliah al-Islamiah, Kelang Selangor

• Sijil Tertinggi Kolej – Kolej Islam Malaya (1962-1965)

• Ijazah Sarjana (M.A.) Syariah – Universiti Al-Azhar (1966-1968)

• Diploma Pendidikan – ‘Ain Shams, Universiti Cairo (1966-1968)

• PhD Syariah – Universiti Darul Ulum, Kaherah (1972-1974)
Pengenalan

Tuan Guru Dato’ Dr. Haron bin Din dilahirkan pada hari Ahad, 18 Ogos 1940 bersamaan 14 Rejab 1359 (Tarikh Hijriyah ini mengikut kiraan komputer) di Bohor Mali, Kangar, Perlis.  Beliau merupakan anak ke tiga daripada 10 orang adik beradik yang terdiri daripada seorang abang dan kakak serta seorang adik lelaki juga enam adik perempuan. Dua orang saudara lelaki beliau juga merupakan tokoh agama yang disegani di Malaysia iaitu abang beliau Ustaz Ishak bin Din dan adik beliau Ustaz Abu Hassan bin Din.



Beliau dibesarkan dalam suasana keluarga yang berpegang teguh dengan ajaran agama Islam. Oleh yang demikian, kehidupan beliau telah terdidik sejak kecil lagi dalam keadaan baik dan ilmiah. Ibu bapa beliau berkhidmat sebagai guru al-Quran kepada masyarakat setempat pada ketika itu. Ia suatu peluang baik kepada beliau serta adik beradiknya yang lain untuk lebih mendalami bidang al-Quran.

Oleh kerana kealiman dan keilmuan ayahanda Tuan Guru Dato’ Dr. Haron bin Din, dia dikenali sebagai Lebai Din. Semasa zaman remaja Lebai Din  telah merantau mencari ilmu dari Phatani sehingga sampai ke Perlis dan menetap di Kampong Bohor Mali kerana di situ adalah tempat pengajian ilmu. Beliau telah menetap dan berumahtangga di situ. Lebai Din dikenali umum sebagai seorang perawat yang mengamalkan rawatan pengubatan secara Islam. Selain daripada itu, Lebai Din juga seorang guru silat yang mengamalkan Silat Gayung Petani.

Namun, ilmu persilatan ini tidak diperturunkan kepada anak-anaknya. Akan tetapi, ilmu pengubatan Islam ini tidak terhenti setakatnya sahaja. Ilmu ini telah diperturunkan secara pengijazahan dengan menyerahkan buku catatan pengubatannya kepada Ustaz Haron Din. Memandang minat dan kecenderungan terhadap ilmu pengubatan Islam, Ustaz Haron Din sahaja terpilih untuk mewarisi ilmu pengubatan Islam daripada ayahandanya.


Kehidupan berumahtangga

Tuan Guru Dato’ Dr. Haron bin Din telah mengakhiri zaman bujangnya ketika berusia 25 tahun  dengan seorang wanita pilihannya Datin Khadijah binti Haji Salleh.  Hasil perkongsian hidup tersebut, mereka telah dikurniakan lima orang cahayamata, iaitu dua lelaki dan tiga perempuan . Anak-anak  mereka  ialah Huda, Hamdi, Salwa, Najmi dan Hana .
Pendidikan Awal

Tuan Guru Dato’ dan adik beradiknya yang lain diwajibkan mempelajari ilmu agama terutama pengajian al-Quran. Oleh kerana itu, beliau menerima pendidikan awal daripada ayah dan ibunya sendiri. Sikap keprihatinan ayah beliau dalam memberi didikan agama kepada anak-anak, sehinggakan tidak membenarkan anak-anaknya mendapat pendidikan selain daripada pendidikan agama di pondok. Tidak seorang pun anak-anaknya yang mengikuti persekolahan secara formal pada  ketika itu. Setelah menamatkan pengajian di peringkat pondok, rumah pula menjadi tempat bagi beliau mendalami bidang al-Quran dipimpin oleh ayahnya. Beliau bukan sahaja diajar kaedah bacaan al-Quran dengan betul, malah dilatih dan diberi kepercayaan sebagai pembantu ayahandanya mengajar al-Quran kepada anak-anak qaryah. Beliau juga telah dilatih menjadi imam solat dan tenaga pengajar fardu ain kepada umum.

Ayahanda beliau seorang yang sangat tegas dalam mendidik anak-anak. Tidak pernah lekang di tangannya rotan untuk menghukum anak-anaknya apabila melakukan kesalahan. Manakala bondanya pula, seorang ibu yang memiliki sifat keibuan sempurna. Dengan perwatakan baik sebagai seorang ibu, dengan sifat lemah lembutnya, dia berjaya mendidik dan membentuk anak-anak secara berhikmah dan berbeza dengan cara suaminya. Dengan kombinasi kedua-dua bentuk didikan ini, maka terbentuklah keperibadian baik kepada  tokoh ini. Ia menjadikan Tuan Guru Dato’ seorang yang amat tegas pendiriannya dalam membela, mempertahan dan memperjuangkan agama di tanahair. Tambahan, sifat lemah lembut ibunya juga telah diwarisi oleh beliau. Beliau amat berlemah lembut dalam tutur katanya serta mesra dengan mad’unya tanpa mengira batasan usia, pangkat dan kedudukan.


Pendidikan Sekolah Rendah (Ibtidaii)

Setelah menjangkau usia Tujuh tahun, ayahandanya telah menghantar beliau belajar di sebuah sekolah aliran pondok di Madrasah al-Islahiah al-Wataniah Bohor Mali yang terletak hanya lebih kurang 100 meter dari rumahnya. Walaupun jarak antara pondok dan rumahnya amat dekat, namun beliau mengambil keputusan menetap di pondok supaya dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada pengajian dan dalam pada itu dapat mendidik diri hidup secara berdikari.

Suatu ketika, Tuan Guru Dato’ telah dihadiahkan seutas jam tangan berjenama Holok oleh bapa saudara kepada Almarhum Haji Zakaria. Hadiah tersebut diberikan kepada beliau sebagai satu anugerah kerana telah mendapat tempat pertama dalam kelas dua. Pemberian yang amat bernilai itu membuatkan beliau sangat gembira dan bersyukur kerana memilikinya.

Kecenderungan Tuan Guru Dato’ terhadap bahasa Arab mula berputik semenjak hari pertama beliau menjejakkan kaki ke sekolah tersebut. Pendekatan pengajian bahasa Arab secara berinovasi dan menyoronokkan daripada guru beliau, ustaz Shafie Omar, sedikit sebanyak telah memberi rangsangan kepada beliau untuk terus mendalami matapelajaran bahasa Arab ini.

Berbekalkan keazaman dan kesungguhan serta minat yang mendalam dalam diri, menjadikan bahasa Arab sebagai alat untuk beliau menimba ilmu-ilmu wahyu dengan lebih jauh. Berteraskan kemahiran bahasa Arab inilah, beliau dapat menggali khazanah ilmu dari sumber-sumber muktabar dalam bahasa Arab dalam pelbagai bidang ilmu termasuk aqidah, fekah, muamalat Islam, siasah Islam, perubatan Islam, kekeluargaan dan sebagainya.

Satu pengajaran yang dapat kita ambil di sini mengenai kepentingan pendidikan bahasa Arab kepada generasi muda supaya mereka dapat menyelami dan mendalami pusaka khazanah ilmu peninggalan ulama-ulama Islam terbilang. Amatlah wajar dielakkan tanggapan sesetengah orang yang beranggapan bahawa bahasa Arab ini bahasa yang sukar dipelajari dan difahami sehinggakan wujudnya golongan yang anti atau fobia dengan bahasa al-Quran juga bahasa syurga. Sesungguhnya Allah telah permudahkan bagi kita untuk mempelajari bahasa al-Quran.


Pendidikan Sekolah Menengah Rendah (I’dadiah)

Setelah beliau menamatkan pengajiannya di sekolah pondok Madrasah Islahiyah al-Diniah beliau telah menyambung pengajian ke Madrasah al-‘Alawiyah al-Diniah. Perpindahan beliau ke sekolah menengah memberi maksud penerusan perjuangan beliau yang lebih mencabar dalam mendalami ilmu pengetahuan agama. Tambahan pula, pada ketika itu jarak antara sekolah dan rumah beliau adalah lebih kurang 12 batu (20km). Kayuhan basikal sejauh 40km sehari, sedikitpun tidak mematahkan semangat beliau dalam menuntut ilmu Allah S.W.T.

Bermula dari sinilah, terserlahnya kecemerlangan beliau dalam bidang akademik dan sifat kepimpinan. Di mana beliau telah mendapat tempat pertama (imtiaz) sepanjang tahun pengajian di situ. Sifat kepimpinan mula menyinar di mana beliau telah lantik menjadi ketua pelajar di sekolah. Keperibadian beliau yang cemerlang telah diakui oleh kedua-dua gurunya. Semasa belajar di sini, beliau dikenali sebagai seorang murid yang baik, cerdik, tekun dan fokus dalam pelajaran sehingga sentiasa berada dalam senarai pelajar  terbaik ketika itu.

Tuan Guru Dato’ hanya sempat menghabiskan pengajian pada tahap tiga thanawi sahaja. Kemudian beliau terpaksa meninggalkan sekolah tersebut kerana terlibat dalam satu gerakan pelajar untuk membantah campur tangan pihak luar yang cuba campur tangan pihak pengurusan dan pentadbiran sekolah. Ia berikutan kerana, pada ketika itu ada pihak tertentu yang berhasrat menggantikan pentadbir baru yang bukan dari aliran atau lulusan agama. Akibat peristiwa ini, beliau telah di tahan lokap polis selama dua malam dan akhirnya beliau beserta seramai 60 orang rakannya telah dibuang dari sekolah sehingga mengakibatkan sekolah tersebut ditutup terus selama setahun.

Peristiwa ini membuktikan kepada kita semangat juang  dan ketokohannya sebagai pemimpin yang berkarisma dan bermagnetisma yang menjadikan pelajar-pelajar di bawah pimpinannya sanggup mendengar arahan dan sebulat suara menyokong dan mendokong hak yang diperjuangannya.

Di sini juga kita dapat lihat ketokohannya sebagai seorang yang mempunyai prinsip yang tinggi dalam kamus perjuangannya. Di ketika itu beliau sanggup mempertahankan prinsip dan kebenaran sehingga sanggup membayar satu harga yang cukup tinggi dalam hidupnya, iaitu penyingkiran daripada persekolahan.

Semasa penggantungan itu, beliau bersama seorang rakan karibnya Almarhum Ustaz Dahlan Mat Zin telah memulakan kembara berbasikal dari Arau ke Kuala Lumpur. Satu jarak yang agak jauh, dengan keadan fizikal jalan pada ketika itu.

Ini dapat membuktikan kepada kita kecekalan dan ketabahan beliau untuk mengharungi cabaran untuk melihat dunia luar. Apa yang dapat kita lihat sekarang, apabila beliau telah menjadi seorang ulama yang telah mengembara ke seluruh pelusuk dunia untuk menyampaikan dakwah dan kerja-kerja kebajikan. Sudah tentulah hari ini sudah tidak dengan basikal tua lagi tapi dengan kenderaan yang moden.


Pendidikan Sekolah Menengah Tinggi

Dalam tempoh penggantungan beliau itu, orang-orang kampung telah memberi nasihat dan galakan supaya beliau menyambung pengajiannya yang tergendala itu. Mereka sanggup mengumpul dana bagi membantu beliau untuk meneruskan pengajiannya. Beliau menyedari yang dirinya belum menamatkan persekolahan sehingga lima thanawi ketika itu, sedangkan syarat utama penerimaan masuk kolej islam wajib dengan lima thanawi.

Beliau merasa dirinya seperti angan-angan mat jenin untuk merealisaikan hasrat masyarakat. Beliau merasa dirinya amat kerdil ketika itu. Semua orang yang mohon berbekalkan sijil lima thanawi sedangkan dirinya hanya sempat belajar dua thanawi. Beliau dipujuk untuk memohon menulis surat dalam bahasa Arab kepada pihak Kolej Islam Malaya ketika itu. Akhirnya beliau memberanikan diri menulis surat permohonan tersebut dalam bahasa Arab bertulisan tangan. Berasaskan nilaian terhadap kandungan surat tersebut beliau telah dipanggil untuk ditemuduga. Sesi temudgua dijalankan  dalam bahasa Arab sepenuhnya. Beliau dapat mejawab soalan temuduga yang dikemukakan dengan baik. Akhirnya beliau diterima pada hari itu juga, sedangkan murid-murid lain pulang ke kampunng masing-masing menunggu surat jawapan temuduga.

Semasa beliau mengikuti pengajian di Kolej Islam Malaya ini, cabaran besar kepadanya ialah sistem pengajian di Kolej Islam itu disampaikan dalam bahasa Arab sepenuhnya sedangkan kemampuan beliau hanya di tahap thanawi dua thanawi. Apa yang banyak membantunya untuk menyaingi pelajar lain dalam berbahasa Arab ialah sistem pengajian Madrasah ‘Alawiyyah yang juga menggunakan bahasa Arab sepenunhya semasa pengajian.

Menyedari dirinya tidak mempunyai kelulusan yang setanding dengan pelajar-pelajar lain yang menyambung belajar di kolej itu, beliau telah menggembelingkan tenaga dan usaha dengan belajar  bersungguh-sungguh. Masanya banyak dimanfaatkan di perpustakaan. Ini menjadikan beliau kurang aktiviti luar dan kesukanan seperti pelajar-pelajar lain.
Cerita menarik Tuan Guru Dato’ ketika di Kolej Islam Malaya

Semasa menuntut di Kolej ini, pada suatu hari dua orang pelawat Arab dari Palestin telah datang melawat Kolej Islam. Pelawat tersebut telah diundang untuk menyampaikan ucapan kepada guru-guru dan pelajar-pelajar kolej. Setelah selesai ceramah, beliau meminta Pengetua Kolej ketika itu Almarhum Dato’ Prof Abdul Raof Shalabi untuk mendengar ulasan dan komentar  dari seorang pelajar tentang Palestin. Pengetua menanyakan pelajar-pelajar siapa yang boleh memberi ucapan. Maka ketika itu Ustaz Mahyuddin yang mengenali Tuan Guru Dato’ telah mencadangkan beliau. Pengetua bersetuju dengan pilihan tersebut dan dia telah mengingatkan kembali ketika mana Tuan Guru Dato’ yang dapat menjawab soalan temuduga dengan cemerlang dan diterima pada hari itu juga belajar di kolej. Akhirnya beliau dipilih  untuk menyampaikan ucapan dalam bahasa Arab di majlis tersebut. Keupayaan dan keberanian beliau untuk berucap di khalayak di majlis itu mendapat sanjungan dari guru-guru dan rakan-rakan pelajar.

Cerita kedua ini berlaku pada tahun ketiga. Seorang pensyarah baru berbangsa Arab telah tiba berkhidmat di Kolej Islam iaitu Ustaz Abdul Wahab. Kebetulan bersempena dengan sambutan Maulid al-Rasul pihak Kolej telah menjemput beliau untuk meyampaikan ceramah. Pihak kolej telah melantik Ustaz Haron Din untuk menjadi penterjemah pada ketika itu.

Pada tahun ketiga di kolej, Guru beliau Ustaz Mahyudin Musa menugaskan  beliau menggantikannya  untuk menyampaikan ceramah di suatu tempat di Selangor iaitu di Sejangkang dalam satu majlis sambutan Isra’ Mikraj.

Semenjak dari itu, beliau sentiasa menerima undangan berceramah. Yang meneronokkannya setiap kali ceramah beliau akan mendapat wang saguhati RM50.00. Satu jumlah bayaran yang cukup tinggi di masa itu.

Pengajian di Kolej ketika itu disampaikan secara tutorial dalam bahasa Arab sepenuhnya. Pada petangnya, beliau telah diminta oleh rakan-rakannya untuk mengajar mata pelajaran yang sukar iaitu Mantiq dan Falsafah. Beliau bertindak sebagai tutor kepada mereka.

Di Kolej Islam Malaya atau namanya ketika itu al-Kuliah al-Islamiah, Kelang, Selangor, beliau memperoleh Sijil Tertinggi Kolej dengan cermerlang.
Di Peringkat Pengajian Tinggi

Minat Tuan Guru Dato’ terhadap ilmu pengetahuan tidak terhenti di peringkat pengajian tinggi sahaja. Dengan kecekalan dan kesungguhan dalam pengajian, beliau telah memenangi hadiah Biasiswa Persekutuan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat “Master Degree”. Setelah tamat pengajian di Kolej Islam Malaya, beliau menyambung pengajian ke Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir (1966-1968) dengan biasiswa tersebut. Semasa di Mesir, beliau telah mendaftar untuk belajar dua degree sekaligus iaitu Master di Universiti Al-Azhar, Kaherah dan Diploma Pendidikan di Universiti ’Ain Shams, Kaherah. Keadaan ini menyebabkan beliau tidak ada ruang untuk mengikuti aktiviti luar dengan pelajar-pelajar Malaysia yang lain ketika itu. Beliau terpaksa mengerah tenaga dan mental untuk belajar pagi dan petang. Masanya banyak dihabiskan dibilik perpustakaan untuk mendapatkan rujukan serta membuat kajian.

Semasa di Kaherah, beliau memilih untuk tidak tinggal bersama pelajar-pelajar Malaysia di asrama Rumah Melayu  kerana budaya pelajar Malaysia di Rumah Melayu hanya bergaul sesama mereka dan bercakap bahasa ibunda. Keadaan sedemikian tidak banyak membantu pelajar melayu mempraktik bercakap bahasa Arab. Beliau memilih untuk menyewa di luar bersama-sama dengan pelajar-pelajar Mesir. Ini memberi lebih banyak peluang baginya untuk berkomunikasi dalam bahasa Arab dengan penutur aslinya. Dua orang sahabat karibnya yang tinggal bersamanya di Kaherah ialah Lutfi Ali Omar dan Mahmud al-Kafif seorang yang buta. Banyak masa beliau belajar bersama-sama dengan kedua-dua rakannya ini. Dan mereka juga banyak membantu beliau untuk menyiapkan tugasan pelajaran sehingga berjaya. Peluang ini digunakan sepenuhnya oleh beliau untuk menggilap bahasa Arabnya dari aspek percakapan, penulisan dan juga qaedah bahasa arab.

Tuan Guru Dato’ tidak pernah lokek dalam menyebarkan ilmu yang dimilikinya. Ini kerana, ilmu merupakan amanah Allah S.W.T. dan sepatutnya disebarkan kepada orang lain. Kesibukan beliau menelaah pelajaran tidak dijadikan penghalang untuk beliau berkongsi dan mencurahkan ilmu dengan pelajar-pelajar lain. Beliau diamanahkan mengajar pelajar-pelajar Melayu di Mesir terutama kuliah kepada pelajar-pelajar wanita yang kebanyakannya lemah dalam pelajaran dan ramai yang terkandas pada ketika itu. Kelas-kelas ini dianjurkan oleh pelajar Melayu di Mesir. Pengamalan sebegini masih diteruskan sehingga ke hari ini bagi pelajar-pelajar Malaysia di Mesir. Antara matapelajaran yang diajar oleh beliau ialah Bahasa Arab, Usul Fiqh, Qawaed Fiqhiyyah dan lain-lain.

Semasa di Mesir, beliau telah membuat dua degree; satu MA (Ijazah Sarjana) Syariah di Universiti al Azhar dan Diploma Pendidikan di ‘Ain Shams, Universiti Cairo. Akhirnya dalam masa tidak sampai dua tahun beliau telah berjaya memperoleh kedua-dua degree tersebut serentak dengan cemerlang.
Kehidupan Sebagai Murabbi

Setelah menamatkan pengajian di luar negeri, beliau kembali semula ke tanah air sekitar tahun 1968 dengan memperolehi Ijazah Sarjana Syariah dari Universiti Al-Azhar dan juga Diploma Pendidikan Universiti A’in Shams di Kaherah. Dengan ilmu yang diperolehi dari luar negeri, masyarakat meletakkan harapan tinggi agar dapat mengambil manfaatnya. Untuk tidak menghampakan harapan masyarakat, beliau telah berkhidmat sebagai guru agama di Sekolah Abdullah Munsyi, Penang. Beliau ditugaskan sebagai guru disiplin.

Bermula dari saat inilah, beliau mula aktif menyampaikan dakwah kepada umum sebagai memenuhi permintaan masyarakat. Beliau sentiasa sibuk dengan aktiviti dakwah melalui kelas-kelas pengajian agama dan tazkirah di masjid-masjid serta jemputan ke rumah-rumah perseorangan. Selain pada itu, warga guru sekolah juga dianjurkan kelas pengajian khas bersama beliau.

Pada waktu yang sama beliau juga telah bekerja sebagai pensyarah sambilan untuk kursus-kursus pendidikan guru agama seluruh Malaysia yang dianjurkan oleh Kementerian Pelajaran di Maktab Perguruan Teknik, Pulau Pinang. Beliau mengajar matapelajaran art of teaching dan child development. Kebanyakan guru-guru agama ketika itu tidak memiliki ilmu pedagogi. Berbekalkan ilmu dan pengalaman yang diperolehi dari Kolej Islam Malaya dan Universiti ‘Ain Syam, Mesir dalam bidang pendidikan, ia dapat dimanfaatkan dengan sebaik mungkin oleh para guru pada ketika itu.

Rentetan dari itu, akhirnya beliau ditawarkan menjadi pensyarah di Fakulti Islam, Universiti Kebangsaan Malaya (nama sekarang Universiti Kebangsaan Malaysia UKM). Dengan sifat rendah diri, beliau enggan menerima tawaran tersebut dengan alasan ingin memberi peluang kepada mereka yang lebih senior dan lebih layak untuk memegangnya. Beliau merasakan terlalu awal baginya untuk memegang amanah sebagai seorang pensyarah di sebuah universiti. Dekan Fakulti Islam ketika itu telah datang sendiri ke rumahnya memujuk beliau untuk menerima jawatan tersebut. Akhirnya beliau bersetuju dan menerimanya dengan hati yang terbuka.

Kecintaan Tuan Guru Dato’ terhadap ilmu telah mendorong beliau menyambung kembali pengajiannya. Ketika itu, beliau masih berkhidmat di UKM. Maka pada tahun 1972, beliau sekali lagi berlepas ke Mesir untuk menyambung pengajiannya dalam bidang Doktor Falsafah. Pada tahun 1973, beliau telah berjaya dengan cemerlang dalam bidang Syariah dan memperolehi Ph.D daripada Universiti Darul Ulum, Kaherah.

Sekembalinya ke tanah air,  beliau berkhidmat sebagai pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Setahun kemudian beliau dilantik sebagai timbalan dekan, empat tahun kemudian dianugerahkan profesor madya dan tiga tahun kemudian dilantik sebagai profesor penuh.


Hasil Sumbangan Beliau Dari Segi Penulisan.

Ketekunan dan kesungguhan beliau dalam penyebaran ilmu pengetahuan sepanjang penglibatan beliau dalam dunia akademik dapat dibuktikan dengan penghasilan pelbagai karya ilmiah seperti buku-buku, kajian ilmiah dan kertas kerja. Antaranya;
PENERBITAN BUKU

A. Buku Terbitan dalam Bahasa Arab

(Dissolution of Marriage and Related Problem: A Comparative Study of Schools of Law) I Watan Press, Kuala Lumpur. 1983.

(The Separation of Spouse Based on Legal Prohibition by Law and Court – Watan Press 1984.

( Some Family Cases : Maintenance, Breach of Marriage and Polygamy an Islamic Solution ) – Watan Press, Kuala Lumpur, 1985.

(Spread of Islamic Mission in Malaysia) – Watan Press, Kuala Lumpur, 1985.


B. Buku Terbitan dalam Bahasa Malaysia

1. Buku Teks untuk sekolah menengah – Pengetaahuan Agama Islam sebagai Ketua Editor – Obor Islam I, II, III, IV dan V.

2. Rawatan Pesakit Menurut al Quran dan as Sunnah. Percetakan Watan, terbitan bersama rakan. 1990

3. Buku tajuk “ Jawapan Kepada Hadith Satu Penilaian Semula – terbitan Dewan Pustaka Fajar 1988 Ketua Pengarang.

4. Masalah Pendidian Islam di Malaysia (bersama Dr Sabri Salamon) 1988.

5.Pengenalan Islam : Kemusykilan dan Penjelasan (bersama Ishak Din) 1989.

6. Rawatan Gangguan Makhluk Halus – Percetakan Watan 1989.

7. Taklik Talak Antara Hukum Fiqh dan Hukum Kanun – Watan 1989

8. Soal Jawab Agama – Fiqh Harian (bersama Ishak Din – Percetakan Akademi Art Printing Services Sdn Bhd 1992.

9. Aqidah Tauhid (bersama Ishak Din) 1995.

10. Hudud dalam Perundangan Islam – Pakar Print 1978.

11. Manusia dan Islam – Edisi Pertama (Dewan Bahasa dan Pustaka, KL 1991) Ketua Editor

12. Manusia dan Islam – Edisi Kedua (Dewan Bahasa dan Pustaka, KL 1992) Ketua Editor

13. Manusia dan Islam – Edisi Ketiga (Dewan Bahasa dan Pustaka, KL 1992) Ketua Editor

13. Tasawwur Islam – Percetakan  Graphico Kajang 1404H.

14. Melihat Anak Bulan di Malaysia : Maslah dan Kemungkinan

15. Kewajipan Menegak Negara Islam –Indera Press.

16. Suami Isteri dan Rumahtangga Menurut Islam – Maju Press KL 1979.

17. Penyelenggaraan Jenazah – Unit Bimbingan Agama UPM 1981.

18. Methodologi Zikr – Watan 1988.

19. Pengurusan Jenazah – Percetakan Zizi Kajang 1989.

20. Hudud dalam Perundangan Islam – Dany Press 1993.

21. Muhammad Rasulullah : Anugerah Kejayaan – Bahagian Hal Ehwal Islam JPM 1993.

22. Ulama’ Bukan Cap Getah – Percetakan Watan 1993.

23. Islam : Keadilan Membebaskan Manusia 2007 (PTS Millenia)

24. Islam : Jihad Sebagai Survival Insan 2001 (PTS Millenia).

25. Islam : Ibadah Pembina Tamadun Manusia 2007 (PTS Millenia)

26. Islam :  Ada Apa Dengan Islam 2007 (PTS Millenia).

27. Islam : Agama, Bisnes dan Pengurusan 2007 (PTS Millenia).

28. Islam : Panduan Komprehensif Keluarga Bahagia 2007 (PTS Millenia).

29. Islam : Rujukan Afektif Akhlak Mulia 2007 (PTS Millenia).

30. Ikhtiar Penyembuhan  Penyakit dengan Ayat-ayat dan Doa-doa Mustajab 2009 (Darussyifa’).



31. Fikah Harian 2009 (Edisi Kemaskini ) PTS Millenia.



32. Pengantar Pengubatan Islam – Jilid I  2011 (Darussyifa’).

33. Rawatan Penyakit Jasmani  1 – Jilid II    2011 (Darusyifa’).

34. Rawatan Penyakit Jasmani 2  – Jilid III   2011 (Darussyifa’).

35. Rawatan Penyakit Akibat Sihir – Jilid IV 2011 (Darusyifa’).



Kerjaya

1.    Pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (1975 – 1976)

2.   Timbalan Dekan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (1977-1985)

3.    Profesor di UKM sejak tahun 1986 hingga bersara

4.    Ahli Majlis Penasihat Syariah, CIMB

5.    Ahli Majlis Penasihat, Bank Negara Malaysia

6.    Majlis Penasihat Syariah, Suruhanjaya Sekuriti

7.    Ahli Majlis Fatwa Negeri Selangor

8.    Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat Syariah, Bank Pembangunan

9.    Pengerusi Majlis Penasihat Syariah, RHB Bank.

10) Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat Syariah, Public Bank Bhd

11) Ahli Majlis Fatwa Negeri Perlis

12) Ahli Majlis Penasihat Syariah, Muamalah Financial Consulting



Politik.



1. Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat (1975-1983)

2. Ketua Penerangan PAS Pusat

3. Ahli Majlis Syura Ulamak PAS

4. Timbalan Mursyidul Am PAS

Pilihanraya.




Beliau telah menjadi calon PAS di Parlimen Arau dalam 3 siri PRU, iaitu PRU 11, 12 dan 13.

PRU 11 (2004)
P003 Arau
Datuk Seri Syed Razlan Syed Putra Jamalullail (BN) - 17,367
Datuk Dr. Haron Din (PAS) - 14,124


PRU 12 (2008)
P3 Arau
Ismail Bin Kasim (BN) - 16,451
Datuk Dr Haron bin Din (PAS) - 16,151


PRU 13 (2013)
P3 Arau
Datuk Shahidan bin Kassim (BN) - 19,376
Datuk Dr Haron bin Din (PAS) - 18,005


Terima kasih kepada sumber daripada portal Darussyifa dan Darussyifa Perlis.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...